Selamat malam, sekalian MaGians. Aku tambah 's' di belakang MaGi, simbolik plural. Dengan penuh rasa lega lagi lapang, aku berjaya siapkan satu manuskrip. Sampai bengkak bijik mata aku sebab aku tak nak bertangguh.
Credits: http://mte3012-sherrene.blogspot.my |
Sepanjang proses menyiapkan manuskrip yang bergenrekan sejarah, aku rasa macam tak sangka banyaknya benda yang aku tak tahu. Makin banyak membaca, makin banyak yang tak tahu. Aku tak tahu. Aku memang tak tahu. Bila sebut 'tak tahu' banyak kali, macam bodoh sangat bunyinya, kan? Tapi sebenarnya, bila kita belajar banyak benda memang kita akan sedar banyak benda yang kita tak tahu. Kita memang tak tahu. 'Tak tahu' ialah perkataan yang menyedarkan diri kita bahawasanya kita ni manusia biasa. Tinggi manapun kita belajar, berapa banyak sijil yang kita ada, berapa hebatnya pangkat yang kita dapat, sejauh mana kita dah pergi dan berapa banyak harta yang kita cari, kita takkan pernah tahu apa yang ada di hadapan kita. So, be humble.
Jadi dengan rasa rendah diri lagi bersyukur, aku nak sangat kongsi sebahagian pembacaan aku daripada jurnal akademik yang aku baca mengenai Melayu Sarawak. Siapa Melayu Sarawak asli? Tolong angkat tangan! Sejujurnya, aku tak tahu siapa Melayu Sarawak Asli di Sarawak. Sebab aku sendiri Melayu Sarawak campuran. Tapi kalau ada, boleh pm aku.
Jadi persoalannya di sini, siapa yang tahu pasal Melayu Sarawak? Apa yang kita tahu tentang Melayu Sarawak? Berapa ramai yang tahu tentang fakta ringkas tentang Melayu Sarawak? Aku tak pasti budak zaman sekarang tahu atau tidak, apatah lagi makcik pakcik. Sebab media sogok fikiran orang ramai bahawa Sarawak tak ada Melayu. Kalau ada, Melayu Sarawak dianggap minoriti disebabkan pengaruh media yang asyik tunjuk kaum lain, padahal Melayu Sarawak ramai sebenarnya.
Okay, aku tak nak buang masa. Aku bagi ringkasan jadi sekurang-kurangnya kita tahu sedikit siapa bangsa Melayu. Aku ringkaskan dalam bentuk point. Harap anda semua ambil peduli dan selamat menambah ilmu pengetahuan.
- Menurut kajian Mohamed Anwar Omar Din, Nusantara dibahagikan kepada 4 sub gugusan empayar pada abad ke-14 iaitu Melayu (Sumatera), Tanjung Negara (Kalimantan), Hujung Medini (Tanah Melayu dan Thailand) dan Jawa (Jawa). Menerusi Gugusan Tanjung Negara, Sawaku ialah gugusan sub empayar sama seperti Kalka, Tanjung Kutei, Malano dan Barune(ng). Sawaku dipercayai merujuk kepada Sarawak. Pada masa ini, Melayu bertebaran di 4 sub gugusan empayar dan perlahan-lahan mewujudkan masyarakat Melayu di Sarawak.
- Di Sarawak, istilah ‘masuk Melayu’ ialah istilah yang biasa digunakan bagi mereka yang memeluk agama Islam, menganggap diri sebagai Melayu dan dianggap Melayu oleh orang yang sebangsa dengannya.
- Melayu merujuk kepada masyarakat yang tinggal di pesisir laut dan beragama Islam pada era Rajah Putih.
- Melayu Peribumi merupakan penduduk asal yang mendiami Sarawak. Mereka tidak berhijrah dari tempat lain dan mengamalkan kehidupan tradisional. Ia dibuktikan dengan penemuan istilah ‘Melayu’ di dalam catatan Cina dan Barat sejak dari abad ke-7 lagi.
- Sarawak pernah ditadbir oleh kesultanan Brunei dan ia bermula pada abad ke-15 iaitu pada era Awang Alak Betatar. Seterusnya, para pembesar Melayu Brunei dihantar ke segenap bahagian di Sarawak seperti Saribas, Kuching, Samarahan, Kalaka, Lidah Tanah dan juga Sadong.
- Penempatan awal Melayu Sumatera dipercayai bermula di Lidah Tanah iaitu di sekitar Sungai Sarawak pada awal abad ke-15.
- Penduduk Kampung Boyan berasal dari Jawa dan dibawa masuk oleh Pengiran Muda Hashim dan pada asalnya mereka menetap di Kampung Permutus, sebuah penempatan yang berhampiran dengan India Street yang sudah tidak wujud lagi.
- Penduduk asal Kampung Gersik pula dipercayai dari Sumatera dari sebuah kawasan bernama Kayong, berhijrah sekitar abad-19.
- Di Sarawak, melayu campuran mewujudkan golongan yang berasimilasi (sebagai contoh: apabila orang Dayak menikahi orang Melayu sehingga wujud istilah ‘masuk Melayu’). Ia juga membuktikan bahawa Melayu sudah ada di Sarawak sebelum kedatangan Brooke.
- Pada abad ke-15 pada pemerintahan Sultan Brunei di Sarawak, banyak suku seperti kaum Dayak, Melanau dan Kedayan memeluk agama Islam dan mereka mengubah cara hidup mereka sehingga menjadi seorang Melayu.
- Beberapa kaum minoriti di Sarawak sudah pupus pada awal abad ke-19 akibat proses asimilasi mutlak seperti Pegu, Seru dan Bliun antara yang terawal memeluk Islam dan mengamalkan kehidupan seperti masyarakat Melayu.
- Pedagang dari Arab dan India Muslim dipercayai datang ke Sarawak pada abad ke-5. Sebahagian daripada mereka menetap dan menikahi wanita tempatan.
- Penyebaran agama Islam secara aktif pada tahun 1521 Masihi di Sarawak telah mewujudkan golongan Melayu dari yang memakai gelaran sayyid/syed, tungku dan juga wan.
- Masyarakat Melayu Sarawak sudah mengamalkan cara hidup Islam sebelum kedatangan James Brooke.
- Sekolah Melayu Encik Boyang antara sekolah Melayu terawal yang dibina dalam era Brooke. Ditubuhkan pada 1861, ia merupakan pusat pendidikan untuk pelajar Melayu dalam menimba ilmu agama dan pendidikan berlandaskan agama Islam.
- Perahu balok Melayu ialah perahu yang digunakan oleh orang Melayu di Kampung Ladung dan Batang Air Simunjan secara meluas suatu masa dahulu. Ia diperbuat daripada kayu balak dan pada awalnya ia dibuat menggunakan keseluruhan pokok dengan menggunakan peralatan mudah seperti parang dan beliong. Ia juga dikenali sebagai Sampat.
- Datuk Merpati ialah tokoh dipercayai sebagai pengasas kepada kerajaan Santubong dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu.
- Kuching, atau Sarawak pada suatu masa dahulu antara negeri yang tersenarai dalam petikan dari teks lama Brunei dan mempunyai sejarah tersendiri dari segi penempatan, sosio-politik dan ketamadunan Melayu Sarawak. Pengaruh Johor (empayar Johor-Riau) terhadap Sarawak berterusan di dalam kerajaan besar Brunei menerusi pemerintahan Sultan Tengah.
- Terdapat sebuah masjid kecil di tebing sungai pada kaki bukit yang digunakan oleh masyarakat Melayu Sarawak yang tinggal di Kuching. Masjid sudah wujud lebih awal sebelum James Brooke tiba. Masjid tersebut mengalami perubahan dan kini ia menjadi Masjid Divisyen Kuching dan ia menjadi lambang bagi Melayu Sarawak yang sejak sekian lama berpegang pada prinsip Islam.
- Bermukun dan bergendang ialah budaya masyarakat Melayu Sarawak yang diamalkan sebelum kedatangan Brooke. Menurut kajian dari Institut Bahasa Melayu Malaysia Kuala Lumpur, pantun bermukun dan bergendang merupakan gambaran world view masyarakat mengenai konsep cinta terhadap Tuhan, manusia, dan alam.
@theMaGi2018
Rujukan:
Jeniri Amir (2015). Asal-usul Melayu Sarawak:
Menjejaki titik tak pasti. Melayu: Jurnal Antarabangsa
Dunia Melayu 8(1) UNIMAS.
Ahmad Nasir Mohd Yusoff (2016). Islam di Sarawak:
Sejarah Awal dan Faktor-faktor perkembangan
Islam di Sarawak. Jurnal Al-Anwar, Persatuan Bekas MahasiswaIslam Timur Tengah
(PBMITT),1(1): 1-19
Mohamad
Tahir Abdul Ghani (1989). Hikayat Datuk
Merpati. Kuala Lumpur: DewanBahasa dan Pustaka
Sanib
Said (2007). Pensejarahan Sarawak:
Memperbaharui Makna Lama. Kota Samarahan: UNIMAS
Sanib
Said (2011). Sarawak Sebelum Brunei dan
Brooke. Kota Samarahan: UNIMAS
Mohd.Fauzi
Abdullah, Abd. Hamid Mukri, Roselan Bakri Omar Mamat, Raja Ahmad Raja Musa & Ahmad Shahril Rajain (2002). Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang Melayu Sarawak.
Kuala Lumpur: Institut Bahasa Melayu Malaysia
No comments:
Post a Comment