credits: lovequotesforherhim.com |
Selamat pagi, MaGians. Tinggal beberapa hari lagi nak sambut Syawal. Hari ni Ramadan ke-26. Mesti ramai yang stres fikirkan persiapan raya. Dan raya tahun ni aku tak dapat cuti panjang, so aku akan mereput dengan jayanya di tempat kerja. Stres doh...
Bila sebut pasal stres, dunia zaman sekarang memang sangat mencabar. Tekanan perasaan ialah makanan harian manusia zaman sekarang. Faktor sekeliling yang berubah dengan cepat sangat mempengaruhi emosi manusia. Tapi stres dan tertekan ialah perasaan yang normal. Cuma kalau berlebihan, mungkin tak normal.
Baru-baru ni, kita mendengar khabar kematian chef selebriti terkenal iaitu Anthony Bourdain akibat depresi. Pengasas Kate Spade juga ditimpa nasib yang sama. Tahun lepas, penyanyi Chester Bennington dan Kim Jonghyun memilih untuk bunuh diri akibat gagal mengawal depresi. Aku ada terbaca satu artikel mengenai isu depresi dan persepsi masyarakat lebih-lebih lagi orang kita ni. Sebahagian daripada mereka yang tipikal ni melihat pesakit depresi ni:
- suka nak menyusahkan diri dan orang lain
- suka nak menyakitkan diri sendiri.
- tak ada usaha nak menyembuhkan diri
- tak ada iman
Kata-kata yang selalu diberikan kepada pesakit depresi juga sangat tidak bersesuaian seperti:
- "aku pun ada masalah, bukan kau sorang je."
- "solat la lebih sikit..."
- "alah, masalah sikit je..tak payah fikir lah!"
- "kau ada iman, kan?"
credits: Pinterest |
Bagi aku la, kalau orang yang setakat ada masalah biasa tu jangan suka-suka nak tunjuk pandai bagi nasihat kepada pesakit depresi lebih-lebih lagi jenis pengidap depresi kronik yang senyap. Setiap orang ada tahap kemampuan yang berbeza bila berdepan dengan masalah. Kata-kata yang salah boleh mendatangkan akibat yang sangat bahaya. Dan aku boleh anggap manusia yang tak jaga bahasa tu pembunuh tanpa sedar.
Hari tu aku ada baca tentang masalah depresi dan stigma masyarakat yang tak ambil serius dengan kesihatan mental. Orang kita selalu ambil berat dengan penyakit-penyakit yang nyata seperti ketumbuhan, tumor, leukimia, barah dan sebagainya. Orang kita juga ambil berat penyakit tak nampak seperti kerasukan, histeria, gangguan saka dan lain-lain. Tapi kenapa bila ada yang berdepan dengan masalah depresi, kita tak ambil peduli?
Bagi aku, depresi ialah kanser alaf baru- kanser yang tumbuh dalam emosi dan menyebabkan kesakitan yang tak disedari. Depresi merosakkan segala hormon manusia dan menjadi punca kesihatan fizikal terjejas. Orang kita ni kena faham, penjagaan kesihatan manusia ni bukan setakat fizikal dan rohani semata-mata, tapi kesihatan mental pun penting juga untuk dijaga. Betullah kata sesetengah orang, bila ahli keluarga/kawan kita sakit kanser kita beria-ia beri perhatian tapi bila ada berdepan masalah kemurungan kita membebel bagi nasihat yang tak membantu langsung.
Okaylah, bagi sesiapa yang dilihat berpotensi untuk mengidap depresi, tanda-tandanya adalah seperti berikut:
- Cenderung marah hampir setiap hari atau secara berturut-turut.
- Perasaan rendah diri, tidak berminat dengan aktiviti sosial.
- Berat badan merosot atau mendadak naik.
- Corak tidur berubah- sama ada kurang tidur atau terlebih tidur.
- Jadual harian berubah- sama ada kurang aktif atau terlebih aktif.
- Selalu letih dan tidak bertenaga dalam melakukan aktiviti harian.
- Sukar untuk fokus, berfikir secara rasional dan membuat keputusan.
- Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai rancangan untuk mati di masa hadapan.
credits: Pinterest |
- Genetik/keturunan.
- Kehidupan zaman kanak-kanak yang sukar
- Penyalahgunaan dadah
- Sejarah hidup yang negatif
- Ketidakseimbangan hormon di dalam otak (serotonin, norepinephrine dan dopamine)
Memetik kata-kata Dr. Yusni Yusuff dari Hospital Sultanah Bahiyah, depresi tak boleh dikaitkan dengan bunuh diri kecuali pengidap memang berniat untuk melakukannya.Ada 3 sebab utama bagi sesetengah kes bunuh diri akibat depresi iaitu:
- Gagal kawal perasaan
- Meminta perhatian/crying for help- pesakit sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia bertindak untuk membunuh diri tapi amat terdesak untuk mendapat perhatian.
- Impulsive- pesakit tidak ada niat untuk membunuh diri tapi perbuatannya untuk meminta perhatian akhirnya menyebabkan dia terbunuh.
Antara jenis depresi yang terjadi di kalangan masyarakat pada masa kini ialah:
- Major depression/Kemurungan utama/Kemurungan Unipolar: rujuk tanda-tanda depresi di atas. Jika memiliki 5 daripada 8 tanda, anda berpotensi mengidap Major Depression.
- Bipolar Disorder/Kemurungan 'manic'/ Kemurungan Bipolar: sejenis masalah psikologi yang menyebabkan pesakit mengalami gangguan mood berpanjangan (eg: terlalu gembira, terlalu sedih, terlalu marah, terlalu cergas dan sebagainya)
- Dysthymia/Persistent Depressive Disorder/Gangguan Kemurungan Berterusan: tanda-tanda bagi penyakit ini sama seperti Major Depression. Gangguan yang berterusan tanpa dirawat akan menjadi Major Depression.
- Postpartum Depression/Kemurungan selepas bersalin/meroyan: masalah ini dihadapi oleh wanita selepas bersalin yang gagal menerima perubahan selepas melahirkan anak. Setakat ni, masalah meroyan antara masalah depresi yang mendapat perhatian dalam masyarakat Malaysia.
- Psychotic Depression/Kemurungan Psikotik: Masalah Dysthymia berterusan turut menjadi punca masalah kemurungan psikotik- iaitu mendengar bisikan halus, berhalusinasi, berkhayal dan pengalaman pesakit bercanggah dengan realiti.
- Seasonal Affective Disorder/Gangguan Afektif Bermusim: Masalah Major Depression yang muncul pada masa-masa tertentu merupakan gangguan afektif bermusim, yang terjadi pada musim sejuk di mana cahaya matahari adalah berkurangan.
- Kemurungan remaja: terjadi pada golongan remaja yang berdepan dengan kesukaran untuk menerima perubahan seperti perubahan bentuk badan, tekanan daripada rakan sebaya dan pencapaian akademik.
- Premenstrual Depression: terjadi pada golongan wanita sebelum minggu haid. mereka akan mengalami perubahan emosi, selera makan, keletihan, tidak fokus dan cepat panik.
- Stress Response Syndrome/Situational Disorder: Punca masalah ini berlaku ialah disebabkan oleh kejadian yang menimbulkan tekanan jiwa seperti kematian ahli keluarga, kehilangan kerja atau penceraian. Jika berlarutan akan menjadi Major Depression.
- Atypical Depression: Masalah ini berbeza dari depresi biasa yang cenderung ke arah kesedihan. Atypical depression berlaku apabila berlaku kejadian positif yang meningkatkan mood. Antara simptom pengidap atypical depression ialah selera bertambah-tambah, tidur melampau-lampau, rasa berat di bahagian lengan dan kaki, dan terlebih sensitif terhadap kritikan.
Kesimpulannya, pesakit kanser dimaklumkan berapa lama mereka akan hidup dan kematian adalah sesuatu yang jelas bagi mereka. Sedangkan pesakit yang mengidap depresi berdepan dengan ketidakpastian, stigma masyarakat dan hilang kawalan diri. Jika ada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan yang berdepan dengan depresi, jangan abaikan mereka. Tak guna nak bersedih atau bagi pendapat- "bunuh diri tu salah, tak dapat masuk syurga" dan sebagainya bila benda dah jadi. Kita tak ada hak untuk tentukan orang masuk neraka atau syurga, tapi kita ada hak untuk membantu mereka yang memerlukan.
Jangan jadi 'pembunuh' tanpa sedar.
@theMaGi2018
ruj: webmd.com| remaja.my| mydoc.asia | mmgazette.com
No comments:
Post a Comment