Intro...*hehe..rasa macam dah lama sangat x hantar bahan dalam bahasa Melayu. Cerpen yang dibuat 5 tahun dulu (lama dah, haha)...xpenah anta kat mana2 kontes. Terperap je dalam laptop. Jadi, setakat ni je la intro...selamat membaca =)
Untuk Perempuan Yang Ada Segalanya.
Mentari
memancar begitu menikam sekali. Langit pula ketandusan awan nan putih,
menambahkan lagi keperitan bahangnya. Anak-anakku seramai tiga orang itu sudah
kegelisahan di tempat duduknya, suamiku pula apatah lagi. Namun, tiada seorang
pun mengoceh dan merungut apa-apa, bagi mereka ini panas rahmat agaknya.
“ Jauh lagi ke mak?” Anakku yang pertama, Kristy, tujuh belas tahun, sudah pun bersuara. Peluhnya memercik mengalir halus di dahinya.
“ Sekejap lagi sampailah,” pujuk suamiku
pula. Tangannya asyik memutar sterengke kiri dan ke kanan. Sesekali dia akan
menekan hon dan termenung seketika. Entahlah kenapa lebuhraya kali ini begitu
sesak sekali. Pening kepalaku dibuatnya.
“ Mak, jauh lagi ke?” Yasha, anakku yang
berada di Tingkatan Tiga juga sudah membuka mulut. Rambutnya yang paras bahu
itu sudah kusai dibasahi peluh sungguhpun penghawa dingin sudah kuhidup pada tahap maksimum.
“ Kejap lagi sampailah kita ya.” Kali ini,
aku pula yang memujuk anak-anakku. Aku harap mereka dapat bertahan untuk
sekejap lagi. Bukannya apa, kami semua ingin menziarahi sahabat lamaku, Lina
yang asyik jatuh sakit sejak akhir-akhir ini. Katanya, diserang penyakit tua.
Aku bimbang pada kesihatan Lina, lebih-lebih lagi Lina duduk bersendirian di
dalam banglo mewah tiga tingkatnya. Pasti terasa benar suasana dingin dan sepi
menyelubungi hari-harinya di sana. Atas dasar itulah aku membawa anak-anakku
sekali, biar banglo itu hidup dengan suara anak-anak muda.
“ Banyak betul kereta. Boleh sampai ke kita
‘ni?” Anakku yang ketiga, Adam, lapan tahun usianya sudah mula membebel.
Suamiku tertawa pada bebelannya.
“ Boleh sampai, Adam. Sekejap lagi. Lepas
jalan ‘ni dah lengang sikit, kita jalan terus, belok kiri , pusing bulatan,
masuk kanan…hah, sampailah kat rumah Auntie
Lina.”
Aku menghenyakkan tubuhku pada kusyen kereta
dengan gelengan kepala. Hanya suamiku saja yang mampu melayan kerenah
anak-anak. Sambil memerhatikan puluhan kenderaan yang berderet di hadapan kami,
mindaku digamit oleh wajah ayu Lina semasa muda. Sudah lama kami bersahabat,
sejak kami berusia tujuh tahun lagi. Itupun disebabkan kami berjiran dan ibuku
bekerja sebagai penjaga Lina apabila ibu bapa Lina pergi bertugas. Namun, Lina
tidak memandang darjat. Dia sudi menjadi sahabatku ketika aku disisihkan oleh
kanak-kanak lain. Sebab itu aku sangat menyayanginya sehingga kini. Entahlah, tiba-tiba saja aku dibawa kembali mengingatimu,
Lina.
Lina,
sebentar lagi aku akan datang menjengukmu. Kau tunggulah ketibaanku di muka pintu dengan senyuman.
Aku
mengenali Lina apabila keluarganya berpindah di sebelah rumah kami yang kecil
seperti teratak . Lebih-lebih lagi dia dijaga oleh ibuku apabila ibu bapa
bekerja pada sebelah pagi. Kadang-kadang, Lina akan bermalam di rumah kami
sekiranya ibu bapa Lina dihantar berkursus. Aku kagum pada Lina sejak pertama
kali kami berkenalan. Dia punya mata yang galak dan bersinar. Rambutnya pula
keperang-perangan seperti anak orang Barat dan lembut panjang hingga ke
pinggul. Kulitnya pula begitu cerah jika dibandingkan dengan aku yang gelap
terbakar ini. Dia juga memiliki susuk tubuh yang tinggi lampai, lemah lembut
dan punya otak yang cerdas. Malah, dia turut menikmati kekayaan keluarganya.
Sungguh beruntung sekali jika aku menjadi Lina. Namun, impian itu tinggal
impian. Masakan aku boleh menjadi Lina? Aku hanya boleh menjadi diri aku
sendiri, cuma Hajar sahaja.
Apabila kami sama-sama meningkat usia, Lina
menjadi perhatian guru-guru sekolah rendahku. Dia menjadi murid kesayangan,
intan permata. Segala peluang yang baik-baik akan diserahkan pada Lina terlebih
dahulu dan saki baki peluang yang tinggal akan dikutip oleh murid peringkat
sederhana seperti aku.
“ Johan menulis karangan… Lina Ashikin!”
“ Johan catur… Lina Ashikin!”
“ Pemenang tempat kedua pertandingan melukis
poster… Lina Ashikin!”
“ Lina Ashikin… pelajar harapan tahun ini!”
Ya, Lina
Ashikin. Hanya nama itu saja yang aku dengar sepanjang aku berada di bangku
sekolah rendah. Hanya nama itu saja yang bergema pada corong pembesar suara.
Hanya nama itulah yang diumumkan dan disebut-sebut. Hebat sungguh Lina! Aku
cemburu pada kelebihannya.