Ghazal, zapin, kuda kepang dan sebagainya antara warisan budaya Melayu di Malaysia. Tapi budaya gendang Melayu Sarawak atau bermukun masih kedengaran baru di telinga masyarakat Malaysia. Tetapi, budaya ini tidak asing bagi masyarakat Sarawak. Ia sudah lama wujud dan bertapak di Bumi Kenyalang sebagai hiburan santai yang mendidik, menghibur, dan mengkritik perilaku masyarakat.
Sejarah budaya bermukun
Budaya bermukun dikatakan bermula sebelum era Brooke ataupun lebih awal. Gendang melayu ini wujud untuk mendidik budaya berbahasa juga mendidik akhlak menerusi pantun dan tandak (tarian) mudah. Namun, budaya ini pernah disalahgunakan oleh segelintir individu sebagai medium 'menjerat' dan maksiat. Isu tersebut menjadi sindiran menerusi novel Melati Sarawak oleh Mohamad Rakawi Yusuf terbitan tahun 1932 mengenai kelonggaran akhlak masyarakat Melayu Sarawak dalam bermukun pada tahun 1927 dan 1928. Pandangan serong terhadap seni gendang tersebut ternyata memberi konflik terhadap golongan bangsawan, perabangan, pengiran, syed dan tunku yang tergolong dalam istilah 'Melayu Sarawak'. Disebabkan perkara tersebut, mereka yang menggemari budaya ini memenuhi kehendak mereka dengan memakai topeng bagi menyembunyikan wajah sambil berpantun dan bertandak. Sejak itu, lahirlah istilah 'menopeng' dalam budaya bermukun.
Seni pantun mukun Melayu Sarawak
"If one of the assets of poetry at its best is the magic and beauty accomplished by language, the Malay pantun can be placed among the highest achievements of mankind in this form of art..." - Francois Rene Daillie[La Lune et les estoiles: le pantoun malais- Belle Lettres, 2000]
Terdapat tiga elemen penting dalam budaya bermukun iaitu:
1. Dendangan (Seh Gendang)
2. Menopeng
3. Bertandak
Selain dari tiga perkara di atas, terdapat elemen sampingan lain seperti koreografi, zapin dan alat muzik seperti biola, akordian dan gong.
Bagi acara berpantun, nyanyian pantun berubah-ubah mengikut kemahiran Seh Gendang dan penggesek biola Irama pantun tersebut berdasarkan pembayang maksud pantun tersebut. Antara iraman pantun mukun yang terkenal ialah:
1. Labuan (juga dijadikan nyanyian tidur anak kecil oleh datuk saya).
2. Menyubuh
3. Asam Paya
4. Samsudin
5. Air Amboi
6. Selendang Mayang
7. Bintang Beralih
8. Sayang Serawak
9. Bercerai Kasih
10. Air Pasang
11. Laila Majnun
Antara contoh pantun dan irama yang digunakan dalam bermukun ialah:
Sayang Labuan pulo di laut,
Khabar berita pulo yang tumbuh,
Salam mu tuan kamek menyambut,
Asal rahsia disimpan teguh [Pantun Melayu Asli Sarawak-irama Labuan]
Asam payak buah di hutan,
Dalam sepompong masak sebiji,
Sungguh kacak wajah mu tuan,
Dalam kampung payah dicari [Pantun Melayu Asli Sarawak- irama Asam Paya]
Ya menantu ya nya anak,
Jangan dikira fikir yang banyak,
Mana yang panjang mana yang pendek,
Barang yang keras disuruh licak [ Pantun Melayu Asli Sarawak- petikan dari Hikayat Datuk Merpati, 1989]
Tuntung dian tuntung pelita,
Hendak menyuluh si batang sirih,
Berperang dandan dengan dewa,
Kerana merebut intan terpilih [Pantun Melayu Asli Sarawak-petikan Dandan Beranyut dari Syair Kitab Tajul Muluk]
Pemikiran bermukun dan bergendang
Bermukun dan bergendang dijadikan medium pemikiran cinta sama ada tersurat atau tersirat. Pemikiran tersebut menjadi fungsi utama bergendang sebagai hiburan santai bagi melegakan jiwa. Pantun yang berlandaskan cinta dan kasih sayang berbentuk ringan, sederhana dan menghiburkan bagi menyampaikan isi dan makna pantun dalam konteks etika dan beradab. Menurut kajian dari Institut Bahasa Melayu Malaysia Kuala Lumpur, pantun bermukun dan bergendang merupakan gambaran world view masyarakat mengenai konsep cinta terhadap Tuhan, manusia, dan alam. Kini, budaya bermukun dan bergendang menjadi aktiviti pelajar pengajian tinggi dan institut perguruan di Sarawak selain dari menjadi acara hari perkahwinan dan majlis-majlis keramaian.
(Dedicated to my grandfather who passed away in 1995).