credits: bestkuchinghotels.com |
Astana merupakan lambang kediaman rasmi Gabenor di Sarawak pada masa kini. Sebelum itu, ia merupakan kediaman Rajah Putih di Sarawak. Sebelum wujudnya Astana yang tersergam indah pada masa kini, tapak rumah tersebut menyaksikan pelbagai kisah suka dan duka.
Sejarah kediaman Brooke
Pada detik pertama James Brooke tiba di Kuching, James Brooke telah memilih lokasi untuk mendirikan kediaman. Lokasi rumahnya dibina berdekatan dengan Sungai Sarawak dan strukturnya sederhana. Lakaran rumahnya dibuat pada 1848 dan secara keseluruhannya ia dibina dengan menggunakan kayu di atas tiang dan luasnya 54 kaki persegi. Ada 4 bilik tidur, setiap satu di penjuru dan sebuah bilik rehat besar di tengah dengan sebuah bilik untuk James Brooke di belakang.
Bilik rehat yang besar itu sangat berguna kerana menjadi adat ketua-ketua Melayu mengunjungi James Brooke pada sebelah petang dan duduk berbual-bual sehingga larut malam. Pada masa itulah James selaku Rajah dapat mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Terdapat ladang pokok pinang di belakang rumah dan Rajah menanamnya bagi kegunaan rakan-rakannya yang gemar mengunyah pinang dan mengambil pinang apabila ingin mengadakan kenduri besar.
Kediaman pertama James Brooke Credits: British Museum/ White Rajah by Nigel Barley |
Reka bentuk bumbung kediaman James Brooke direka tinggi dan berangin, sama seperti rekaan Astana pada masa sekarang. Rekaan kediaman yang agak luar biasa ini tidak begitu menarik tetapi memberi rasa sejuk dan selesa di dalamnya. Dikatakan James Brooke meniru rekabentuk kediaman tersebut daripada banglo-banglo yang pernah didiaminya semasa bertugas di Syarikat Hindia Timur. Tarikan utama kediaman ini adalah perpustakaan James Brooke yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku yang meliputi berbagai-bagai perkara, kebanyakannya tidak dapat diterima oleh Biskop. Malangnya perpustakaan peribadi itu musnah dalam kebakaran Pemberontakan Rakyat dalam bulan Februari 1857. Menurut catatan Puan McDougall, isteri Biskop McDougall:
"Sungguh menyedihkan, perpustakaan telah dibakar oleh para pemberontak. Ini adalah harta karun di dalam hutan dengan buku yang berbagai-bagai perkara yang dibaluti dengan kulit yang amat menarik. Perpustakaan ini amat kami sayangi kerana kami diberi kebenaran untuk melihatnya. Saya nampak timbunan buku menyala kemerah-merahan seperti relau, lama selepas api membakar rumah kayu itu. Kebakaran itu berterusan selama 2 hari..."
Selepas kejadian kebakaran itu, rumah baharu dibina segera bagi menggantikan rumah yang lama dan koleksi perpustakaan yang musnah digantikan dengan koleksi yang baharu. Rakan-rakan di Englan telah membeli dan menghantar sejumlah besar buku untuk James Brooke. Universiti Cambridge juga memberi sedikit sumbangan tetapi koleksi kedua itu tidak dapat menggantikan koleksi yang pertama.
Rumah Kerajaan
Rumah Kerajaan Credits: Sarawak long ago by WJ Chater |
Selepas musnahnya kediaman James Brooke yang pertama, rumah baharu dibina dengan segera dan diberi nama Rumah Kerajaan. Rumah ini juga dibina daripada kayu tetapi pengalaman dari kisah pemberontakan terdahulu membuatkan James Brooke memutuskan untuk mendirikan binaan kubu yang disebut sebagai The Tower. The Tower dibina sebahagian daripada kediaman dan ia merupakan tempat berlindung jika berlaku kecemasan.
Tidak banyak kisah dicatatkan berkenaan dengan Rumah Kerajaan ini kecuali mengenai kisah buruk Kapten Brooke Johnson (Rajah Muda/ anak saudara James Brooke) yang kematian isteri pertama, Anne, anak lelakinya, Francis Basil dan isteri keduanya, Julia. Kesemuanya berlaku dalam tempoh 3 tahun. Kesemuanya meninggal dunia di rumah ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Brooke yang terletak di tepi sungai berhampiran.
Setelah James Brooke selaku Rajah Pertama meninggal dunia pada 1868 dan pentadbiran seterusnya diterajui oleh adik Kapten Brooke, iaitu Charles Brooke, kediaman ini dirobohkan. Kerja-kerja membina kediaman baharu bermula pada tahun 1869. Apabila Charles Brooke kembali dari England bersama isterinya yang baru dikahwininya, Margaret Lili deWindt pada tahun 1870, sebuah kediaman baharu sudah siap, lebih cantik dan menjadi hadiah perkahwinan pertama dari Charles untuk isteri yang dicintai.
Astana
Astana sekitar tahun 1930 Credits: Sarawak site 90 |
Kediaman ketiga yang dibina didiami oleh Charles Brooke selama 47 tahun sehingga kematiannya pada 1817. Rajah Ketiga, Charles Vyner Brooke (anak Rajah Kedua) mendiami kediaman tersebut selama 27 tahun kecuali semasa pendudukan Jepun.
Pada awal ia dibina, kediaman ini masih dikenali sebagai Rumah Kerajaan. Selepas beberapa tahun, nama itu ditukar menjadi Astana yang membawa maksud 'istana'. Ketibaan Margaret Lili de Windt pada tahun 1870 di Astana menyaksikan kediaman itu hanya mempunyai sedikit perabot. Oleh itu, Charles dan isterinya menumpang di banglo keluarga Crookshank yang berhampiran dengan Kubu Margherita. Ia menyebabkan Margaret selaku Ranee, isteri kepada Rajah dan juga wanita utama di tempat itu berasa malu keraha isteri Residen Crookshank melihat Margaret sebagai 'budak perempuan kecil dari biara'. Pada masa itu, Margaret berusia 20 tahun.
Maka selepas itu, Charles Brooke pun berpindah semula ke Astana bersama Margaret. Seterusnya pedagang-pedagang Cina mengambil kesempatan dengan memberi pelbagai jenis hadiah seperti 12 belas pasang lampu dari Encik Law Kian Huat dan rakan kongsinya, Encik Sim Ah Nio dari Syarikat Ghee Soon. Perabot dan keperluan lain juga turut dikirim.
Reka Bentuk Astana
Astana Ballroom Kuching sekitar 1930 credits: nowheremag.com |
Ruang dalaman Astana pada umumnya tidak dibuka kepada umum pada masa kini. Ia kekal ditutup sebagai kawasan larangan untuk pelancong dan hanya boleh mengambil gambar dari seberang sahaja. Ia memberi banyak rasa ingin tahu dan pertanyaan, bagaimanakah rupanya ruang dalaman Astana?
W.J Chater, penulis Barat telah mencatatkan sedikit penerangan berkenaan dengan reka bentuk Astana, termasuk juga dengan ruang dalaman. Astana dibina dengan reka bentuk yang agak ganjil iaitu:
- Dibina dalam bentuk 3 buah rumah.
- Ditopang dengan 3 batang tiang batu bata yang tebal kira-kira 20 kaki tinggi.
- Laluan masuk terdiri daripada sebuah menara yang kelihatan lama dengan bentuk kubu di bumbungnya- berfungsi sebagai tempat perlindungan jika berlaku darurat.
Pada awalnya, hiasan dalaman Astana seperti sebuah muzium. Sylvia selaku Ranee dan isteri kepada Charles Vyner Brooke pernah menyatakan pandangan pertamanya apabila dia mula-mula memasuki Astana pada tahun 1916:
"Sungguh menakjubkan dalam keindahan, beraneka rupa yang mengecewakan. Kulit luarnya seperti sehelai kain cantik yang diletakkan di atas bahu perempuan yang hodoh."
Pada zaman Rajah Ketiga, kolam renang kecil dibina di belakang Astana untuk kegunaan mereka. Rekabentuk yang cantik pada siling di bilik melukis adalah hasil pakar-pakar Cina yang dibawa khas dari Hong Kong kira-kira pada tahun 1930 dan kerja seni itu dilakukan ketika Rajah Ketiga sekeluarga sedang bercuti. Malangnya, rekaan awal tidak disukai dan dipecahkan dengan tongkat lalu kerja seni dibuat semula.
Rajah dan pasukan Renjer di hadapan Astana credits: strangeflowers.wordpress.com |
Ranee Margaret di Bilik Pagi (Morning Room) Credits: strangeflowers.wordpress.com |
Sesi minum petang antara Rajah ke-3, Ranee Sylvia, Anthony Brooke dan Tuan Muda Bertram Credits: strangeflower.wordpress |
Terdapat perbezaan bagaimana Rajah di Sarawak menggunakan ruang Astana dalam urusan pentadbiran. James Brooke dikatakan lebih suka memilih ruang bilik rehat sebagai 'takhta bersemayam'. Charles Brooke mentadbir seperti sebuah ladang Inggeris- sentiasa berada di beranda Astana bersama teleskop dan memerhati pekerjanya tiba di pejabat. Charles Vyner Brooke pula dikatakan membincangkan pelbagai perkara ketika minum petang.
Sejarah dan Kisah dalam Astana
Perahu Rajah yang melewati Astana (1939) credits: uniquecollection.wordpress.com/ Dutch Travelling in Dutch Vintage Book |
Astana menyaksikan pelbagai kisah dan sejarah. Dayang Anne, anak perempuan Tuan Muda Bertram yang selalu menemani bapanya pernah menyebut bahawa dia banyak kali ternampak hantu Rajah Kedua dalam Astana.
Rajah Ketiga dan isterinya, Sylvia mempunyai kegemaran mengadakan jamuan besar-besaran di Astana, bankuet Malam Tahun Baru dan pesta tari-menari yang dihadiri kira-kira 100 orang tetamu.
Di Astana, kelapan-lapan Mesyuarat Majlis Negeri berlangsung di antara tahun 1873 dengan 1906 telah diadakan di dewan santapan Astana sama seperti Majlis Berdamai di antara orang Murut Trusan dengan orang Dayak Saribas, Kalaka dan Rejang dalam bulan Mei 1886.
Sebelum Perang Dunia Kedua, menara di Astana dilitupi oleh pokok Ivy, sejenis poko menjalar dan tidak pernah dibuang kerana mereka percaya bahawa jika pokok itu dibuang, orang itu akan ditimpa nasib malang. Semasa perang, Putera Maeda yang mendiami Astana telah membuang pokok Ivy tersebut. 3 hari kemudian, Putera Maeda terbunuh apabila kapal terbang dinaikinya terhempas di laut berhampiran Bintulu.
@themagi2015
ruj:
Sarawak Long Ago by WJ Chater| White Rajah by Nigel Barley| Wikipedia|Telegraph.co.uk| nowheremag.com| strangeflowers.wordpress.com
No comments:
Post a Comment