Wednesday 31 July 2019

Tips Menulis Cerita Pendek

Image result for writing
source: boardeffect.com
Hai dearie~ Hari ni aku nak kongsikan tips menulis. Sebenarnya dari tahun lepas aku guide beberapa orang yang berminat nak menulis. Aku tak kata aku ni pandai sangat menulis. Aku belum sampai ke tahap mahaguru. Tahap guru pun belum layak. Tapi sepanjang aku menulis dan terlibat dalam dunia penulisan, dan pernah dikritik ramai penulis senior, aku rasa aku perlu kongsi apa yang aku dah belajar selama ni. Sebelum ini, aku merangkak sorang-sorang untuk belajar tulis cerpen. Tak ada yang betul-betul guide aku dari awal sampai akhir. Aku tak nak penulis muda rasa apa yang aku rasa. Sedih tau sebenarnya, bersendirian dan struggle nak cari tempat dalam bidang penulisan. Tapi syukur sekarang aku dah okay.

Sekarang ni aku tengah guide seorang penulis yang nampak berminat nak buat cerita pendek, a.k.a cerpen. Sejujurnya aku bermula dengan cerpen. Kisah di Isle of Skye, itulah tajuk cerpen pertama aku pada tahun 2004 kalau tak silap. Tapi cerpen tu teruk. Memang teruk. Cerpen pertama yang masuk newspaper Utusan Sarawak ialah Hantu-hantu Penglipurlara, tahun 2014. Dan cerpen pertama yang masuk newspaper Utusan Borneo ialah Kami Takkan Pernah Berhenti, tahun 2018.

Okay, macam mana nak buat cerpen? Cerpen ni satu kisah yang diringkaskan dalam 8-12 mukasurat. Dalam jumlah mukasurat yang limited, kena ada banyak bahagian dalam cerita tu iaitu pendahuluan, isi, suspen, konflik, klimaks dan penamat. Kalau aku nak huraikan dalam bentuk yang formal, aku tak berapa nak pandai sebenarnya. Jadi, aku akan kongsikan flow nak buat cerpen yang sedap dibaca. Aku tak kata cerpen yang hebat, okay? Tapi... sedap dibaca dan dapat diterima oleh pembaca.

Apa yang utama dalam membuat cerpen?
  1. Pemerhatian: Perhatikan keadaan sekeliling. Baca buku-buku yang baik. Dengar pengalaman orang lain, atau ingat semula pengalaman sendiri. Dari situ timbulnya idea nak tulis apa.
  2. Asas cerita: Asas cerita ialah pemilihan tema dan bagaimana jalan cerita nak dibina. Perlu ada asas, takkan nak tulis cerita tanpa sebarang asas? Nanti cerita ni nak pergi ke mana? Apa tujuannya? Mana penamatnya? 
  3. Unsur pengajaran: Unsur ni penting untuk menjadikan cerpen tu bermakna. Menulis ni seronok, tapi kita perlu sampaikan elemen nasihat dan ilmu juga. Mesti ada tujuan dan mesti ada destinasinya.
Okay, untuk menyiapkan sebuah cerpen yang sedap dibaca, ada beberapa perkara yang penting untuk menjadikan cerita itu sebuah cerita yang jelas dan difahami. Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah:
  • Kosa kata yang pelbagai- dapat mewujudkan situasi, emosi dan kejutan dengan lebih berkesan.
  • Alur cerita yang konsisten- setiap perenggan saling berhubungkait jadi tak  timbul isu cerita melompat-lompat, terkeluar dari tema atau masalah penceritaan yang tak difahami. Kalau perlu, buat rangka cerita.
  • Penggunaan dialog sesuai dengan keadaan- maksudnya setiap penerangan tak semestinya menggunakan dialog tapi boleh guna teknik briefing.
  • Penggunaan italic untuk rujukan- seperti petikan dialog yang diulang semula, perenggan mesej ringkas, perumpamaan, imbas semula dan monolog dapat membantu untuk menerangkan keadaan cerita.
  • Kedudukan noktah, koma, pembuka dan penutup kata serta pembahagian perenggan dan dialog- kekemasan amat membantu dalam menyusun alur cerita dengan lebih berkesan.
  • Pemilihan penanda wacana yang sesuai- membantu untuk 'smooth-kan' jalan cerita. Taklah pelik bunyinya dari satu perenggan ke satu perenggan.
  • Penyusunan struktur ayat- sama ada selari atau diterbalikkan, tapi pastikan maksudnya sampai dan ayatnya betul.
  • Kronologi jalan cerita- ini pun sama, nak guna teknik selari atau terbalik atau sebagainya, yang penting alur cerita masih konsisten, masih tetap dengan tema (tak ada isu kecelaruan tema), dan tidak berdepan dengan masalah struktur ayat. Jangan sampai pembaca keliru.
Untuk menulis sebuah cerpen, perlu diingatkan supaya setiap bahagian dibahagikan dengan baik. Pendahuluan tidak perlu terlalu panjang berjela, klimaks tidak berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, unsur suspen tidak keterlaluan dan penutup cerita juga tidak terlalu ringkas (perlu ada kesimpulan dari keseluruhan tema). Masalah yang aku selalu dengar dari mereka yang baru nak menulis ialah:
  • Nak tulis apa?
  • Cerita apa yang menarik?
  • Genre apa yang orang suka?
  • Macam mana dengan gaya bahasa?
Okay, ni aku bagi tips yang aku biasa amalkan. Menjawab soalan di atas, aku bagi jawapan yang mudah dan harap dapat membantu:
  • Nak tulis apa? Tulislah apa yang dapat memberi manfaat yang baik kepada orang lain. Jangan tulis cerita syok sendiri. Boleh kalau nak tulis cerita syok sendiri, tapi simpan untuk diri sendiri sajalah, atau cari penerbit yang sama kepala dengan anda. Penerbit indie pun dah mula picky sekarang, jadi carilah isu semasa yang menarik untuk diceritakan- dari perspektif anda.
  • Cerita apa yang menarik? Sejujurnya pembaca suka genre thriller, seram dan misteri. Korang boleh masukkan elemen tu semua, tapi perlu diingatkan dalam cerpen, perlu ada tujuan dan unsur pengajaran. Dalam kita nak bercerita, biarlah cerita kita dapat 'mengajar' orang lain. Bukan sekadar hantu je memanjang.
  • Genre apa yang orang suka? Tu, aku dah bagi jawapan kat atas. Tapi tema kemasyarakatan dan cinta pun ada peminat tersendiri. Boleh gabungkan tema dengan genre tersebut. Tak ada masalah. Lebih kreatif, lebih ramai pembaca suka.
  • Macam mana dengan gaya bahasa? Okay, yang ni ambil masa sikit. Setiap penulis develop gaya bahasa mereka dalam tempoh tertentu. Nak cipta gaya sendiri ni memang perlukan masa. Tapi untuk permulaan, tak salah kalau tiru gaya penulis yang korang suka. Aku suka gaya bahasa dan gaya penceritaan Shahnon Ahmad dan Ali Majod. Ada masanya aku terpengaruh dengan cara Faisal Tehrani, Azizi Haji Abdullah atau Fatimah Busu. Jadi, tengoklah gaya penulis mana yang korang suka dan sesuai dengan jiwa. Nanti, gaya bahasa korang akan berubah dari semasa ke semasa. Apa yang penting, jangan berhenti menulis.

Ini sajalah tips menulis cerpen dari aku yang terlibat dalam penulisan cerpen sejak dari tahun 2004 sampai sekarang. Masih budak hingusan juga sebenarnya, maaflah sebab penerangan kat atas bukannya 100% formal dari buku rujukan tapi lebih ke arah pembelajaran kendiri yang aku hadap selama ni. Tapi aku harap pengalaman aku yang tak seberapa ni dapat membantu sesiapa yang ingin nak menulis cerpen tapi tak berani nak mulakan. Menulis, menulislah cerpen dengan berani. Sebab, menulis sebuah cerita dalam 8-12 mukasurat adalah lebih mencabar dari menulis dari bab ke bab. Seluruh cerita dalam jumlah mukasurat yang terhad, jadi bagi sesiapa yang berjaya menyiapkan cerpen dan cerpen anda dikategorikan sebagai 'sedap' (bukan 'hebat'), anda sebenarnya sudah pun berjaya! Best of luck, writers!

Cerpen hidup selamanya!
Puisi takkan mati!

@theMaGi2019

No comments:

Post a Comment