Friday, 4 July 2014

Ramadhan 6: Jumaat Pertama

credits: mselim3.blogspot
Hari ini, Ramadhan 6 dan Jumaat pertama dalam bulan puasa. Esok, genaplah seminggu berpuasa. Sebelum ni bercadang nak post entri pasal neraka tapi hari ni hari penuh barokah gitew, postpone dulu la tajuk neraka. Jadi hari ni, tukar tajuk entri, Jumaat Pertama

Jumaat: Kemuliaan dan Fadilat

Hari Jumaat hari yang penuh berkat. Peristiwa agung banyak berlaku pada hari Jumaat. Seperti yang korang sudah sedia maklum, peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa,; Nabi Yusuf dan Zulaikha; Nabi Musa dan Shafura; Rasulullah SAW dan Khadijah; Rasulullah SAW dan Siti Aisyah; serta Ali bin Abi Talib dan Fatimah AzZahara

Selain dari itu Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga."

Menurut Hadis riwayat Muslim, "Pada Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya."

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda lagi: "Hari yang dijanjikan ialah hari Kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat."

Terdapat banyak kebaikan dalam hari Jumaat, lebih-lebih lagi Jumaat pertama dalam bulan Ramadhan yang patut dimanfaatkan dengan sebaiknya. Menurut hadis riwayat Tirmizi, berdoa pada hari Jumaat sangat afdal dan Allah SWT memakbulkan setiap doa-doa yang baik dan doa-doa yang memohon perlindungan dari kejahatan. Baginda SAW juga bersabda bagi sesiapa yang hadir pada solat Jumaat iaitu:

1. Solat Jumaat saat pertama: berkorban seekor unta
2. Solat Jumaat saat kedua: berkorban seekor lembu
3. Solat Jumaat saat ketiga: berkorban seekor qibas
4. Solat Jumaat saat keempat: memberi hadiah seekor ibu ayam
5. Solat Jumaat saat kelima: seolah-olah memberi hadiah sebiji telur

Jumaat: Penghulu Segala Hari

Jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat Islam, Sabtu merupakan hari sabat (sabbath) bagi penganut Judaisme dan Ahad merupakan hari suci bagi penganut Kristian. Sedikit penerangan mengenai hari Jumaat, Sabtu dan Ahad:

  • Hari Jumaat dikenali sebagai penghulu segala hari kerana hari Jumaat Nabi Adam a.s, manusia pertama dicipta oleh Allah SWT dan pada hari Jumaat Nabi Adam a.s dikeluarkan dari syurga dan turun ke dunia bersama Hawa. Hari Jumaat juga hari berlakunya Kiamat, hari umat Islam diselamatkan dari api neraka dan hari keberkatan dalam berdoa. Segala kebaikan dan keberkatan ada di dalam hari Jumaat.
  • Hari Sabtu dikenali sebagai hari Sabat/Shabat/Sabbath bagi penganut Judaisme kerana menurut kitab percayaan mereka iaitu Torah, perintah ke-4 dari 10 Perintah Tuhan, hari Sabtu merupakan hari Tuhan 'beristirehat' seketika. Dari perkataan Sabat itu muncul konsep cuti sabatikal. Hari Sabat diraikan selepas terbenam matahari pada hari Jumaat sehinggalah tibanya malam pada hari Sabtu.
  • Hari Ahad dikenali sebagai hari suci wajib bagi penganut Kristian dan juga dikenali sebagai Hari Ahad Easter kerana menurut kepercayaan mereka, Jesus bangkit semula pada hari Ahad. Selain dari itu, hari Ahad menjadi hari suci kerana pada hari itulah Tuhan selesai menciptakan alam semesta.

Maka, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

"Kita adalah umat yang terakhir, tetapi kita umat yang lebih dahulu pada hari kiamat nanti. Kerana setiap umat diberikan kitab sebelum kita sedangkan kita diberi kitab sesudah mereka. Kemudian, hari ini (hari Jumaat) hari yang ditentukan oleh Allah SWT kepada kita, Allah telah memberikan petunjuk kepada kita pada hari tersebut, maka umat lain akan mengikuti kita, besok (hari Sabtu) umat Yahudi dan lusa (hari Ahad) umat Kristian."

Kemuliaan yang ada pada hari Jumaat meletakkan ia sebagai penghulu segala hari dan Abu Hurairah r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Jumaat dinamakan sebagai Sayyidul Ayyam iaitu Penghulu segala Hari (hari yang sebaik hari)" kerana terdapat banyak ganjaran yang perlu direbut dan dimanfaatkan oleh umat Islam.

Ganjaran Hari Jumaat, antaranya ialah:

  • Meninggal dunia pada hari Jumaat, terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
  • Membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, Allah SWT dan para malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam.
  • Membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, Allah SWT menerangi hidupnya antara 2 Jumaat.
  • Membaca surah Yasin pada malam Jumaat, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kecil.
  • Mandi pada hari Jumaat, seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
  • Mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnta, Allah SWT mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
  • Berdoa dengan seikhlas hati pada hari Jumaat, mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.
  • Setiap kebaikan yang dilakukan pada hari Jumaat, pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT.


Pada Jumaat pertama Ramadhan kali ini, mudah-mudahan kita peroleh kebaikan dan rahmat. Wallahu'alam.

@themagi2014
ruj: Risalah SMKTAHO Jul/2004, Wikipedia, Facebook|Rahsia Malam & Hari Jumaat, MaGi|Luv Islam dan Keberkatan Setiap Hari

Thursday, 3 July 2014

Ramadhan 5: Peringatan dalam khutbah

credits:moeflich.wordpress
Ramadhan 5, hari ni nak buat short entry. Untuk hari ke-5 berpuasa, Rasulullah SAW pernah memberi khutbah berkenaan dengan keberkatan bulan Ramadhan. Semestinya, kita diminta untuk menjaga adab dan mengelakkan apa-apa saja yang membatalkan puasa. Dalam khutbah Rasulullah SAW dalam menyambut Ramadhan yang penuh berkat, baginda memberi tips-tips penambah pahala yang mungkin kita tak sedar, tak ingat atau tak ambil berat sangat pada bulan-bulan yang lain.

Kali ini, apa kata kita cuba?

"Seorang hamba yang berpuasa dalam sehari di jalan Allah, maka dijauhkan Allah orang tersebut pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim dingin." [Bukhari, Muslim]


  • Untuk membebaskan amalan yang tidak baik, beristighfarlah. Dalam erti kata yang lain, sedarlah diri dan ingatlah Allah selalu.
  • Memanjangkan masa sujud dapat meringankan beban dosa (dan dapat menjaga kesihatan jantung).
  • Membantu mukmin berbuka puasa sama seperti membebaskan seorang hamba dan diberi keampunan terhadap dosa-dosa lalu. Maksudnya, bersedekahlah. 
  • Memperbaiki akhlak pada bulan puasa akan membantu meringankan langkah di siratul mustaqim. Maksudnya, cerminlah diri dan jaga kelakuan.
  • Siapa yang meringankan kerja (beban) orang orang lain pada bulan puasa, Allah SWT akan meringankan pemeriksaanNya pada hari kiamat. Maksudnya, rajin-rajinlah buat kerja, jangan suka curi tulang.
  • Siapa yang dapat menahan nafsu dengan baik pada bulan puasa, Allah SWT akan menahan murkaNya pada hari berjumpa denganNya. Dalam erti kata lain, marilah bersabar.
  • Siapa yang memberi kemuliaan pada anak-anak yatim, Allah SWT akan memuliakannya pada hari kiamat. Maksudnya, bantulah orang yang perlukan bantuan.
  • Barangsiapa menyambung silaturrahim di bulan puasa, Allah SWT akan menghubungkan rahmatNya pada hari berjumpa denganNya. Maka, janganlah cari pasal dengan jiran atau orang lain di sekeliling kita.
  • Menunaikan solat sunat pada bulan puasa, Allah SWT akan beri kebebasan dari api neraka. Tak lama pun, 2 rakaat je.
  • Menunaikan solat fardu pada bulan puasa ibarat melakukan 70 solat fardu. Jadi, lengkapkanlah solat kita, dapatlah extra 70 solat fardu.
  • Memperbanyakkan selawat pada bulan puasa akan memberatkan timbangan kebaikan di akhirat. Timbang akhirat lebih penting dari timbang berat badan.
  • Membaca satu ayat Al Quran ganjarannya sama dengan mengkhatam Al Quran pada bulan-bulan lain. Surah-surah pendek pun jadilah, asalkan anda baca.
  • Berdoa dengan ikhlas setiap kali lepas solat pasti akan diperkenankan dan dimakbulkan. Berdoalah perkara yang baik-baik.
  • Melalui hari-hari berpuasa dengan ikhlas, setiap nafas menjadi tasbih, tidur adalah ibadah, amal-amal diterima dan doa-doa diijabah. Tapi, jangan habiskan masa dengan tidur sepanjang hari.
Pada pengakhiran khutbah, Nabi SAW menyebut bahawa pintu-pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu. Kita diminta berdoa supaya Allah SWT tidak menutup pintu syurga dan membuka pintu neraka untuk kita dan meminta agar syaitan tidak menguasai kita. 

Moga-moga bulan Ramadhan kali ni dapat meringankan dosa-dosa kita. Jangan nak ringankan berat badan jew... :D

Entri seterusnya: Neraka, tutup untuk sementara waktu O_o

@themagi2014
ruj: risalah SMKTAHO Okt/2005

Wednesday, 2 July 2014

Ramadhan 4: Mencari keajaiban di langit

credits: salafus-sholih.blogspot
Ramadhan ke-4 tahun 2014, kita semua masih di awal Ramadhan. Pada awal Ramadhan tahun 2007, aku melihat keajaiban Maha Besar di langit buat pertama kalinya dalam hidup. Masa tu, aku duduk di asrama sekolah dan tengah berborak dengan kawan di koridor tingkat 1. Tiba-tiba, pandangan kami beralih ke langit dan terpandang kalimah Allah, sayup-sayup di langit ketika waktu senja keemasan (sekitar jam 6:30 ptg). Beberapa saat mata kami tak beralih dari langit dan kemudian, barulah kawan aku sedar nak ambil phone. Tahun 2007, phone tak secanggih sekarang dan kawan aku pakai Nokia daun masa tu (korang tau kan Nokia daun?)

Malang sekali, kalimah Allah hilang dari langit dan kawan aku tak sempat nak snap gambar tu sebagai kenangan. Tapi aku taklah kecewa sangat, sebab itu cuma secebis tanda kebesaran dari Allah SWT. Ada banyak lagi tanda kebesaran yang lain, aku cuma perlu bukak mata dan minda sebesar-besarnya.

Tanda Kebesaran Allah SWT.

Entri kali ini berkenaan dengan kebesaran Allah. Aku saja je letak perkataan 'langit', ada impak sikit. Bulan Ramadhan ialah bulan yang ajaib dan penuh keberkatan. Siapa tahu? Kita akan menyaksikan keajaiban ini di langit, atau di mana -mana saja. Sebenarnya, kalimah Allah atau Muhammad ni menjadi satu fenomena yang memberi kesedaran, dan juga masalah ketaksuban. Ada yang sanggup membuat gambar photoshop dan menipu orang lain. Sekarang, kita hidup di akhir zaman, berhati-hatilah dengan penipuan. Tapi seandainya kita menyaksikan keajaiban itu dengan mata kepala kita sendiri, kita bertuah kerana diberi kesempatan dan berpeluang.

Solat Maghrib di Masjid Nabawi
credits: taotauajer.blogspot
Mengenai kalimah Allah atau Muhammad yang muncul di dada langit, Allah SWT berfirman:

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al-Quran itu benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu." [Fussilat 41:53)

Jadi, melihat keajaiban itu di langit, bumbung luas yang tak bertiang, di situlah terletaknya sebuah cerita kebesaran sehingga manusia mendongak dan terlupa pada semuanya, kecuali Allah SWT. Wallahu'alam.

Secebis Kenangan dari Langit.

Okay, pada tahun 2009, lebih spesifik, 30 Ogos 2009, jam 7:17 petang di Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor (aku study di UiTM masa tu), aku dan kawan sebilik menyaksikan keajaiban itu sekali lagi. Menariknya, ia bukan sekadar kalimah Allah, tapi kalimah Lailahaillallah. Aku dan kawan aku tergamam di tepi tingkap selama beberapa saat sebelum aku capai phone (jenis Nokia 5130-c2 Xpress Music) dan snap gambar tu sebagai kenangan. Tapi memandangkan kamera phone aku cuma 2mp dan zoom pun tak begitu power maka gambar pun nampak tak begitu jelas. Lagi satu, aku terlambat beberapa saat jadi kalimah itu hampir nak hilang dari langit. Dan, keajaiban itu berlaku pada 9 Ramadhan. Aku masih ingat sebab masa tu kawan aku tengah berborak pasal hari Raya.


Kalimah Lailahaillallah, tak jelas sangat. Blok
kediaman aku menuju ke arah kampus Fakulti
IM (atau IS, panggilan dulu2) dan kalimah ni
kelihatan selari dengan kampus.
Yang ni, aku dah explen kedudukan kalimah
(guna Paint je). Seperti yang aku katakan kat atas,
kalimah ni hampir nak hilang masa aku tengah
capai phone atas katil double decker.
Nasib baik sempat.

Sebetulnya, kalimah Allah ni bukan saja muncul di langit, tapi muncul di mana saja; pada dahan pokok, sisik ikan, sarang lebah, bulu burung, pokok kaktus, akar pokok, urat buah-buahan, di dalam daging dan banyak lagi. Tapi itu tak bermakna, dengan keajaiban itu barulah kita percaya dan yakin padaNya. Apa-apapun, manfaatkan bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Apa yang penting, hati kita.

Sabda Rasulullah SAW: "Ingatlah dalam jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad itu secara keseluruhannya, apabila daging itu rosak maka rosaklah jasa itu secara keseluruhannya. Ingatlah, daging itu adalah hati."

@themagi2014
ruj: feryco.com|salafus-sholih.blogspot|sinarharian.com

Tuesday, 1 July 2014

Ramadhan 3: Kisah Seekor Semut

Yeah, kembali lagi. Entri Ramadhan 3 kali ni pasal semut. Why semut? Sebab aku tertarik dengan kisah semut yang aku baca dalam risalah lama (7 tahun yang lepas). Mungkin ada yang pernah baca tentang kisah semut ni tapi sesiapa yang belum pernah baca, aku share sikit. Semoga kita dapat manfaat. 

Kisah Seekor Semut

Pada zaman Nabi Sulaiman a.s, baginda bertemu dengan seekor semut. Pada masa itu, Baginda ternampak semut itu berada di atas batu dan Baginda berasa hairan bagaimana seekor semut kecil boleh hidup di atas batu yang kering dan di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Baginda pun bertanya kepadanya:

"Wahai semut, apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untukmu?"

Semut pun menjawab, "Rezeki milik Allah SWT. Aku percaya dan yakin di atas batu yang kering di padang pasir yang tandus ini pun ada rezeki untukku."

Lantas Baginda bertanya lagi, "Wahai semut, berapa banyak yang kau makan selama sebulan? Dan apa yang kau gemar makan?"

Maka jawab semut, "Aku hanya makan sekadar sebiji gandum sebulan."

Lantas Baginda pun mencadangkan, "Kalau kau hanya makan sebiji gandum sebulan, tak perlulah engkau melata di atas batu. Aku boleh menolongmu."

Kemudian, Nabi Sulaiman a.s pun mengambil sebiji bekas lalu diletakkan semut di dalamnya beserta sebutir gandum. Seterusnya, Nabi Sulaiman a.s meninggalkan semut itu selama sebulan. Apabila cukup sebulan, Nabi Sulaiman a.s mendapati gandum itu hanya dimakan setengah sahaja oleh semut. Lantas, Baginda menempelak semut,

"Engkau rupanya berbohong padaku! Bulan lalu kau katakan bahawa kau makan sebiji gandum sebulan. Ini sudah sebulan, tetapi kau hanya makan setengah!"

Semut pun menjawab, "Aku tidak berbohong! Aku tidak berbohong! Sekiranya aku berada di atas batu, aku akan makan apa jua sehingga banyaknya sama dengan sebiji gandum untuk sebulan. Ini kerana rezeki itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya dari Allah SWT, dan Allah SWT tidak pernah lupa padaku. Tetapi apabila engkau memasukkan aku ke dalam bekas, rezekiku bergantung pada engkau. Aku tak percaya pada manusia, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya ia tahan dua bulan. Aku takut kau lupa..."

Setiap kali bulan puasa, ramai yang meluru pergi ke bazaar. Tapi ramai juga yang membazir. Jadi, Ramadhan kali ini, jangan lupa berjimat cermat. Jangan lupa untuk bersyukur. Biarpun cuma sebijik kurma, janganlah merungut. Dan sesungguhnya, Allah SWT tidak akan pernah lupa pada setiap perbuatan kita. Wallahu'alam.


@themagi2014
ruj:Risalah SMKTAHO Apr/07