Monday 3 June 2013

Pesta Chingay di Sarawak

Sejarah Ringkas Chingay

Pesta Chingay yang diraikan secara besar-besaran merupakan satu perarakan menyambut ulang tahun kebesaran dewa dewi orang Cina ataupun untuk Dewi Guanyin, Dewi Pengampunan. Istilah Chingay wujud di kalangan orang Cina di Asia Tenggara kerana menurut versi orang Cina Penang, ia bermaksud seni sebenar manakala versi Cina Singapura, ia bermaksud kereta berhias atau apungan (Wikipedia)

Chingay sangat terkenal di Pulau Pinang, Johor Bharu, dan di Singapura. Chingay bermula di Pulau Pinang pada tahun 1905, manakala di Singapura, ia berkembang pada tahun 1973 apabila perayaan bunga api diharamkan pada 1972. Chingay di Johor Bharu pula mempunyai sejarah 130 tahun menerusi galakan pemerintah Johor yang mengambil pekerja Cina dengan Sistem Kangcu dan Sistem Kangkar. Dua sistem tersebut membawa ribuan pekerja Cina menetap di Johor dan membawa tradisi Chingay sebagai amalan kesejahteraan, keamanan dan kekayaan di tempat tinggal yang baharu. Perkataan Chingay ini dipercayai berasal dari dialek Min Nan, termasuk Teochew yang membawa maksud seni menghias.


Chingay di Sarawak

Chingay bermula di Sarawak menerusi pekerja Cina Hokkien yang datang ke Sarawak di antara tahun 1850 hingga 1860. Pengelolaan perarakan ini banyak dibantu oleh golongan Cina Foochow, Hockchew, Chawan dan Henghua, juga seperti orang Cina Hokkien yang berasal dari wilayah Fukien, China.

Sebelum mengadakan Chingay, mereka memohon kebenaran dari pihak kerajaan. Selepas diberikan kelulusan, sebuah jawatankuasa diwujudkan yang terdiri daripada 12 atau 14 orang ahli. Encik Ong Tiang Swee (1864-1950), datuk kepada Tan Sri Datuk Amar Ong Kee Hui dan juga seorang Kapitan Cina merupakan pengerusi utama dalam perarakan Chingay di Kuching.

Pada masa dahulu, perarakan ini diadakan pada setiap 10 tahun sekali dan kesemuanya dilakukan pada bulan 8 kalendar Cina. Perarakan ini mengambil masa dua bulan untuk berlatih dengan jarak hampir sebatu jauhnya. Teater- teater sementara didirikan sepanjang laluan perarakan bagi menambahkan kemeriahan perayaan.

Tujuan Chingay di Kuching

Tujuan utama Chingay diadakan oleh orang Cina di Kuching ialah untuk menghindari taun dan memohon perlindungan dari dewa dewi. Penyakit taun sering berlaku di Kuching sebelum adanya bekalan paip. Di samping itu juga, perarakan ini bertujuan untuk mewujudkan keamanan dan kemewahan di negeri ini, terutama bagi golongan peniaga untuk terus berniaga.

Walau bagaimanapun, setelah wabak taun semakin berkurangan dan kos Chingay juga semakin meningkat dari tahun ke tahun, Chingay diraikan pada kali terakhir pada 1928.

Kemeriahan Chingay di Kuching

Walaupun Chingay tidak lagi diraikan, terdapat gambaran berkenaan dengan perarakan tersebut menerusi catatan W.J Chater, seorang penulis dari England yang menetap di Sarawak. Berdasarkan catatan Chater pada hari perarakan terakhir Chingay di Kuching, ia terdiri daripada:
  • kain rentang pelbagai warna dan saiz
  • kumpulan pemuzik (pemain gong, gendang dan sebagainya)
  • beratus-ratus anak muda memakai kostum haiwan berwarna-warni
  • kereta berhias yang dinaiki oleh wanita-wanita cantik
  • gambaran watak dalam sejarah China
  • sebuah naga kertas dengan mulut yang terbuka luas cuba menggigit sebiji bola emas yang cantik
  • seorang lelaki yang tidak sedarkan diri dengan lidah yang tercucuk di tengah-tengah perbarisan
  • tongkang mistik atau disebut sebagai Wang Kang
  • sekumpulan anak muda  yang berusia 10-18 tahun yang dikenali sebagai Cha-lian
  • patung Ong-yah yang diusung di atas kerusi oleh empat orang lelaki
  • persembahan barang-barang berupa 2 guni beras, 1100 kayu api yang diikat, 500 balang kecil garam dan gula, sayur-sayuran, kertas colok menyerupai wang kertas, seekor khinzir hidup, 2 ekor ayam jantan putih (seekor masak dan seekor lagi hidup), seekor itik, ikan masin, 3 set senjata keagamaan dari tokong, 8 laras meriam kayu, selaras meriam besi, 30 helai bendera sutera kecil dan besar, 9 gulung kain sutera merah, 5 kaki payung sutera, 3 buah kipas besar, 7 buah lampu, 14 buah perisai rotan bulat, pisau garpu dan beberapa buah kuali, 1 set lengkap peralatan tukang kayu, 3 buah model tempat tidur lengkap bagi 3 buah kabin, 3 buah kerusi rehat dengan pengusung yang diperbuat dari kertas, 4 ekor kuda kertas dengan penjaga, kapten dan anak kapal yang diperbuat dari kertas dan seorang manusia (manusia ini akan melompat keluar dari tongkang apabila api dinyalakan).
Setiap barang persembahan tersebut didermakan oleh peniaga Cina dan dikumpul bersama-sama. Tujuan mengisi tongkang dengan barang persembahan itu ialah untuk menarik perhatian roh jahat yang mahu mengganggu mereka dan membakar tongkang tersebut agar roh jahat tersebut mati terperangkap dan mereka akan selamat dari penyakit untuk sepanjang tahun. Pada asalnya, tongkang itu dilepaskan ke laut tetapi mereka bimbang sekiranya tongkang yang berisi roh jahat itu kembali ke bandar berhampiran maka sebab itulah tongkang itu dibakar di persimpangan Jalan Padungan dan Jalan Petanak.

Kos Chingay

Kos Chingay meningkat dari tahun ke tahun dan menjadi penyebab Chingay tidak lagi diraikan. Pada sebagai contoh, pada tahun 1898 dan 1908, kos perarakan Chingay berjumlah $20,000. Pada tahun 1928, kos meningkat kepada $30,000. Menyedari kos persembahan semakin mahal, timbul satu kesedaran mengenai pembaziran, wabak taun juga sudah berjaya ditamatkan dan percaya bahawa roh-roh jahat juga sudah berpuas hati dengan pemberian mereka selama ini, Chingay tidak lagi diamalkan.

Kini, Chingay di Sarawak hanya tinggal kenangan.


Rujukan:
Laman sesawang Wikipedia Chingay-South East Asia
Laman sesawang Infopedia
Buku terbitan DBP- W.J., Chater, terjemahan Abdul Ghaffar Laili

No comments:

Post a Comment