Tanah perkuburan Brooke yang terletak di sebelah Kubu Margherita mengandungi 1001 kisah keluarga. Ia merupakan sebidang tanah kecil yang ditahbis oleh Paderi McDougall pada tahun 1850an dan digunakan sebagai tanah perkuburan Kristian bagi ahli keluarga Rajah. Menerusi rekod diosis terdahulu, terdapat 4 buah kubur, sebuah batu peringatan untuk anak-anak Ranee Margaret dan Rajah Charles (Dayang Ghita, James dan Charles) dan sebuah kubur baru pada 2013.
Anne merupakan isteri Kapten Brooke, anak saudara dan bakal pengganti Rajah James Brooke (tetapi suaminya melepaskan jawatan tersebut selepas menolak perlindungan Sarawak dari Belgium tanpa pengetahuan Rajah). Anne dan Kapten Brooke berkahwin selama 2 tahun dan mempunyai 2 orang anak. Semasa Anne dalam perjalanan ke Sarawak pada April 1857, Sarawak pada masa itu dilanda pemberontakan. Selepas melahirkan anak kedua, Hope Brooke, Anne demam selama 12 hari dan akhirnya meninggal dunia pada 25 November 1858. Kematian Anne memberi kesedihan kepada penduduk Kuching dan kuburnya sering dijaga rapi oleh penduduk tempatan sehinggalah era penjajahan Jepun bermula pada 1944.
Julia Brooke
Julia Brooke merupakan isteri kedua Kapten Brooke dan berkahwin selepas kematian Anne. Pada awalnya, pertunangan mereka tidak disukai oleh Rajah dan Kapten mengirim surat kepada Julia untuk memansuhkan pertunangan. Sebaliknya, surat tersebut tiba lewat dan Julia sudah tiba di Kuching untuk meneruskan rancangan perkahwinan. Selepas berkahwin dengan Kapten, Julia mengambilalih tugas menjaga kubur Anne dengan rapi sehinggakan Julia seperti mahu menurut langkah Anne. Setelah berkahwin selama 2 tahun, Julia jatuh sakit selepas melahirkan anak yang diberi nama Agnes dan Julia akhirnya meninggal dunia pada 10 April 1862 ketika berusia 28 tahun.
Francis Basil Brooke
Francis merupakan anak pertama Anne Brooke dan Kapten Brooke. Francis meninggal dunia pada 28 Oktober 1860 ketika berusia 3 tahun selepas kematian ibunya. Francis disemadikan di sebelah kubur ibunya dan juga di sebelah kubur ibu tirinya, Julia Brooke.
Anak ke-4 Ranee Margaret dan Rajah Charles
Anak ke-4 Ranee Margaret dan Rajah Charles meninggal dunia di dalam kandungan ketika Ranee dalam perjalanan pulang ke Kuching. Ranee dikatakan terjatuh di atas dek kapal terbuka pada suatu malam selepas bertolak dari Singapura dan anaknya yang tidak cukup bulan itu meninggal dunia. Setelah tiba di Kuching, Paderi Macdougall tidak membenarkan anak tersebut dikebumikan kerana tanah itu sudah ditahbis dan hanya anak yang sudah dibaptis saja yang layak dikuburkan di situ. Maka Datuk-datuk Melayu pun bertindak mengebumikan anak tersebut tanpa pengetahuan Paderi kerana tidak sampai hati melihat Ranee Margaret bersedih. Hanya pengebumian anak ini tidak dimasukkan ke dalam rekod diosis.
Anthony Brooke
Anthony Brooke ialah anak lelaki Tuan Bertram Brooke dengan isterinya, Gladys Palmer (Khairunnisa Abdullah). Anthony menjadi Rajah Muda bagi menggantikan tempat bapa saudaranya, Charles Vyner Brooke dan menjadi ahli keluarga Brooke yang terakhir memerintah Sarawak. Selepas Sarawak diserah kepada British untuk pentadbiran, Anthony berpindah ke England, menjadi pengembara dan pensyarah, serta merantau ke banyak tempat. Anthony meninggal dunia di Wanganui, New Zealand pada 2 Mac 2011 di samping isteri keduanya, Gita Brooke. Pada 21 September 2013, abu mayat Anthony dihantar oleh Gita ke tanah perkuburan Brooke untuk disemadikan bersama ahli keluarga yang lain menerusi permintaan wasiat Anthony dan dibantu oleh Brooke Heritage Trust.
"Bersemadilah anda semua dengan aman dan damai."
@themagi2013
Ref:
Sarawak Zaman Dahulu: WJ Chater/Abdul Ghaffar Laili
No comments:
Post a Comment