Saturday 22 March 2014

Cerpen: Malam Di Bandung

Bandung, kota indah nun di tanah seberang. Tempat lahirnya pemula keturunanku berbangsa Belanda-Indonesia. Kata orang sana, aku ini berketurunan induk. Datukku pernah berkata, dia punya bercupak-cupak tanah bendang, lembu kambing beranak pinak. Hidupnya bahagia berkahwin dengan gadis pilihan, sehinggalah Jepun menyerang dan merampas harta benda. Tidak sempat menyampaikan pesan, datukku ditangkap ketika sedang bekerja di kebun. Tinggalkan si isteri dengan anak begitu saja, tanpa mengetahui nasib mereka. Segalanya ternoktah, hidup bagaikan terhenti. Begitulah bahana perang. Perang hanya membawa derita.
Aku kemudiannya menarik nafas sambil membelek kad pengenalan dan melihat ke kiri dan ke kanan. Untuk seketika, aku teringat pada datukku. Dia sudah menjadi arwah selama 18 tahun. Ketika aku masih kecil, dia selalu duduk di sebelahku dan bercerita pada keindahan kampung halamannya. Aku terpesona. Dia memberitahu aku bahawa isterinya pasti sedang menanti kedatangannya. Lantas aku menoleh memandang nenek, kehairanan. Ah, aku mengangguk. Kini aku mengerti bahawa nenek itu isteri kedua.
Kemudian, aku terdengar beberapa pengumuman dari mulus suara gadis dari corong pembesar suara. Beberapa orang lalu lalang, sibuk seperti aku. Aku duduk resah menanti giliranku untuk bertolak. Ah, aku terlupa. Terlupa pula untuk memaklumkan kepada rakanku bahawa aku mahu ke Bandung pada hari ini. Tapi, bukankah aku sudah menghantar surat cuti kepada dia? Bukankah dia majikan aku sendiri?
Aku tertawa sendirian.
                                                        * * *
Terdapat sebuah rumah tumpangan di Bandung. Rumahnya cantik, pemiliknya berasal dari Padang Panjang. Sekarang berpindah ke Bandung dan menjadi kaya. Rumah penginapan itu dikatakan milik seorang wanita tua yang bernama Dasari. Sekarang rumah itu  menjadi kepunyaan wanita yang bernama Mande Haryati, mendapat lima bintang dari pengunjung sebelumnya. Begitulah, aku terpesona pada kandungan risalah yang disediakan oleh pesawat penerbangan. Benarkah rumah ini indah seperti apa yang dikatakan?
“Kamu mahu ke sana?” tiba-tiba seorang wanita pertengahan umur yang duduk di sebelah aku menyapa aku. Aku mengangguk.
 “Ya.”
“Rumahnya Dasari itu indah. Saya pernah ke sana. Ada kolam, kamarnya cantik,” kata wanita tersebut.
“Kamu kenal dengan Dasari?” aku kehairanan.
“Bukan, saya temannya si Mande,” ujar wanita tersebut lalu memperkenalkan dirinya, “Nama saya Sastri.”
Maka, berkenalanlah aku dengan Sastri, seorang pemilik toko jamu yang membekalkan ramuan mandian untuk spa kecantikan milik Mande. Kemudian, aku memandang semula risalah tersebut erat-erat dengan perasaan teruja. Kata-kata Sastri sebentar tadi mempesonakan aku. Rumah Inap Dasari, nampaknya rumah inilah yang menjadi pilihanku untuk percutian kali ini. Setahun yang lalu, saudaraku berkunjung ke Bandung, menginap di hotel antarabangsa bersama keluarganya. Mereka kesurupan membeli belah. Duit menyusut bukan masalah. Asalkan hati senang. Si penjual juga turut gembira, kerana dengan ketibaan pelanggan seperti saudaraku, mereka untung besar. Aku berniat mahu membawa orang tuaku dan merasakan kesurupan di kedai kain seperti mereka. Malangnya, orang tuaku enggan berbuat demikian. Katanya, mahu berbakti dengan tanah. Katanya lagi, berbakti dengan tanah lebih menggembirakan dan juga untung besar.
Tiba-tiba, pesawat bergegar. Terdengar suara mulus dari corong pembesar suara. Lantas, aku menjenguk ke luar tingkap dan menghela nafas gembira. Tanah hijau dan kemeriahan tanah seberang mula melambai ke arahku. Sekarang, Bandung menyambutku dengan kelapangan. Tapi, kelapangan itu hilang apabila kakiku menapak di atas bumi Bandung.
Derapan kaki manusia lebih dahsyat dari tapak kaki kuda. Manusia berpusu-pusu di kaunter pasport, berpusu-pusu di bahagian bagasi, berpusu-pusu di kedai serbaguna. Malah, bersesak bagaikan lembu sekandang di dalam tandas. Segala-galanya sesak. Kami saling berhimpit, bersaing mendapatkan teksi. Lantas, aku terkenangkan datukku yang dipaksa bersesak-sesakan di dalam lori ayam. Selepas dia ditangkap oleh askar Jepun, mereka dihantar ke Sarawak menggunakan lori ayam dan menaiki kapal tongkang. Mereka semua dijadikan buruh tanpa upah untuk membina jalan dan menyiapkan tempat pertahanan di sana. Malang menimpa, setelah tamat berkhidmat, beberapa buruh seangkatan dengan datukku menerima hukuman bunuh kerana didapati tidak berguna lagi akibat penyakit. Askar Jepun sangat jahat. Untung nasib datukku melarikan diri ke perkampungan Dayak dan diselamatkan oleh penduduk di sana. Jika tidak, aku pasti tidak wujud di sini, sedang mengembara di tanah tumpah darahnya.
“Mau ke mana, pak?” suara pemandu teksi menerpa aku. Aku dibawa kembali semula ke dunia nyata, lalu tersenyum.
“Bawa saya ke Rumah Inap Dasari.”
“Maaf pak, saya tidak masuk ke situ. Tapi saya bisa hantar bapak ke Toko Jamu Sastri. Bapak boleh berjalan kaki dari situ ke Rumah Inap Dasari,” ujar si pemandu teksi.
“Oh ya? Tadi saya ada berkenalan dengan Puan Sastri dalam kapal terbang. Dialah yang cadangkan Rumah Inap Dasari kepada saya,” aku membalas riang.
“Oh bapak, kamu ini memang pandai bercanda,” kata pemandu teksi tersebut lalu ketawa. Aku juga turut ketawa, tetapi aku hairan. Kenapa aku dikatakan bergurau?
Pemandu teksi tersebut memandu dengan berhati-hati. Mataku segar menikmati tanah baru untuk pertama kalinya. Angin pagi di sini menerpa dengan nyaman. Sejuk terasa sehingga ke tulang sum-sum. Untuk beberapa ketika aku terdiam melayan perasaan. Sesekali si pemandu teksi memandang aku dengan senyuman. Teringat pula aku pada perjalanan datukku dari sini ke Sarawak. Kisah pengembaraan datukku penuh ranjau sepanjang jalan.
Akhirnya, perjalanan kami terhenti di depan Toko Jamu Sastri. Aku melihat toko jamu itu dengan perasaan kagum.
“Ini tokonya?”
“Ya. Ini memang perhentian saya, pak. Tambangnya, pak?” ujar pemandu teksi. Aku segera menghulurkan sekeping Rupiah kepadanya. Kulihat pemandu teksi itu terperanjat.
“Aduh pak, duit besar.”
“Tak apa, kamu ambil saja bakinya.”
“Betul pak? Kamu baik ya, pak. Nama saya Harto. Harap kita ketemu lagi.”
 Aku ketawa. Harto, si pemandu teksi ternyata menyenangkan aku. Setelah teksi Harto berlalu, aku berdiri tepat-tepat di depan Toko Jamu Sastri. Terbit keinginan untuk membeli jamu. Bukan untuk aku. Aku teringat akan masalah sendi ibu yang kerap terjadi sejak kebelakangan ini. Abah pula selalu sakit badan. Kesan akibat kerja berat suatu ketika dulu. Begitulah orang tua zaman dulu. Bekerja keras mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Sekarang, anak remaja tidak perlu bersusah memotong kayu api, meniup asap memasak nasi dan mencangkul membajak tanah kebun. Tulang belulang anak muda zaman sekarang sudah rapuh. Seperti keropok.

 “Ya saudara. Mau membeli jamu?”
Aku tiba-tiba di sapa oleh seorang lelaki tua, berpakaian seperti pak lebai. Berserban, berjubah, bertasbih. Terkejut aku dibuatnya.
“Oh, saya cuma nak melihat,” aku tergagap-gagap.
“Kamu ini induk?” soal lelaki tersebut. “Saya juga induk seperti kamu. Nama saya Habib.”
Habib, lelaki yang menyapa aku menghulurkan salam perkenalan. Aku menyambutnya dengan baik. Kata Habib, dia seorang siak, yakni orang masjid yang tidur bangun dan bekerja di masjid. Mengetahui akan perkara tersebut, aku turut menceritakan kisah datukku yang juga menghabiskan usia tuanya di masjid, menjadi orang siak seperti Habib. Malah, aku turut bercerita akan kisah datukku yang juga berasal dari situ. Ternyata, Habib seorang rakan yang seronok untuk dibawa berbual-bual. Habib juga pandai berbicara. Kemudian, Habib bertanya bagaimana aku boleh sampai ke Toko Jamu Sastri.
 “Siapa yang menghantar kamu ke mari? Taksi?”
 “Ya, Teksi si Harto. Kata Harto dia selalu datang ke mari, hantar penumpang,” aku menyahut.
  “Oh iya? Biar benar?” tiba-tiba Habib tertawa. Kemudian dia berkata, “Oh tuan, kamu ini memang pandai bercanda.”
    Aku ketawa. Tetapi aku hairan sebenarnya. Apa yang lucunya pada kata-kata aku?
   Habib mengiringi aku ke Rumah Inap Dasari yang terletak di atas bukit. Ada ladang di sebelah kanan, ada kolam di sebelah kiri. Di belakang pula terdapat lembu dan kambing. Kali ini aku benar-benar terpesona dengan keindahan Rumah Inap Dasari. Tempat seperti inilah barangkali tempat datukku menyulam keindahan zaman mudanya.
“Saya mau meminta diri ya, saudara. Mau ke masjid semula,” ujar Habib.
“Ya saudara, terima kasih temankan saya ke sini,” aku membalas.
Aku melihat Habib pergi meninggalkan aku, menghilang di sebalik pepohon. Seronoknya aku, baru sahaja tiba di Bandung aku sudah kenal tiga kenalan yang baik-baik belaka; Puan Sastri, Pak Harto dan Saudara Habib. Sekiranya aku kembali semula ke Sarawak nanti, akan aku ceritakan pengalaman ini kepada keluargaku. Saudaraku yang pernah ke Bandung itu pasti berasa cemburu kerana mereka ditipu oleh penduduk tempatan sebanyak empat kali sepanjang berada di sini.
Berbalik semula ke kisah Rumah Inap Dasari, aku menapak masuk dengan perasaan berdebar-debar. Bau wangian dan rempah ratus menerpa ke deria bau aku. Ketibaan aku itu disambut oleh dua orang penyambut tetamu yang memakai satu set batik pekalongan yang cantik. Aku terasa seperti orang kaya kerana mendapat layanan sedemikian.
 “Selamat tiba pak, kami di Rumah Inap Dasari pantas membantu. Bapak mahu menginap di sini?” ujar seorang gadis di kaunter. Aku mengiyakan.
  “Ini kuncinya, kamar bapak bernombor 6. Semoga bapak gembira,” sambung gadis tersebut lalu menyerahkan kunci bilik, tanpa meminta duit bilik terlebih dahulu. Wah! Ini sungguh hebat. Aku seperti mahu memberitahu datuk bahawa tempat kelahirannya sungguh baik sekali.
 Kemudian, ketika aku sedang tercari-cari bilik ke 6, aku terserempak dengan seorang wanita lewat 50-an yang sedang membawa kain batik. Aku kebingungan mencari arah. Rumah Inap Dasari ini lebih luas dari apa yang aku jangkakan. Untung nasibku dari detik pertama aku ke Bandung, wanita itu membantu aku menunjukkan bilik bernombor 6. Tanpa disangka-sangka, wanita yang aku sangkakan pekerja rumah penginapan itu sebenarnya Mande Haryati, pemilik Rumah Inap Dasari.
“Saya Mande, harap kamu gembira memilih kami di sini,” ucap Mande, ramah sambil menunjuk kemudahan yang ada di kamar 6.
“Maaf ya sebab susahkan Mande,” aku tersengih menggarukan kepala.
“Oh, tidak. Tidak susah bagi Mande. Mande suka menolong,” ujar Mande lalu ketawa. “Kamu jangan hairan ya sama Mande. Mande memang begini. Kalau mau apa-apa kamu bisa tanya apa saja sama Mande.”
 Aku segera mengambil peluang, terus bertanya mengenai khidmat makan di dalam bilik. Ternyata, khidmat itu ada di sini. Maka, tersenyumlah aku sampai ke telinga.
                                                     * * *
  Dasari, seorang wanita berketurunan Jawa Semarang. Beliau mengahwini suaminya, Sirat dua tahun sebelum Jepun menyerang. Kehilangan suaminya selepas Jepun menyerang membawa malang pada Dasari yang menguruskan rumah, anak dan ladang sendirian. Setelah 18 tahun berjuang menjaga harta peninggalan suaminya, Dasari akhirnya meninggal. Selepas kematian Dasari, rumah dan ladangnya terbiar. Tiada siapa yang berani menjaganya selama beberapa dekad, sehinggalah Mande Jamilah, orang kaya dari Padang Panjang terpandang akan keindahan permata berdebu di sebalik rumah milik Dasari. Kini, rumah usang Dasari dibangunkan semula dan dijadikan rumah tumpangan lima bintang, dikenali sebagai Rumah Inap Dasari.
Begitulah catatan sejarah mengenai Rumah Inap Dasari di ruang tengah rumah tersebut. Ada kolam air pancut yang cantik di situ. Terpegun aku dibuatnya. Tap kenapa agaknya rumah ini seperti mengingatkan aku pada kisah datukku?
 “Oh, tuan! Kamu di sini. Bagaimana dengan makan malam?” tiba-tiba aku disapa oleh Mande. Sekali lagi aku melihat pemilik rumah penginapan ini berjalan bersama beberapa helai kain batik di tangan.
“Belum lagi Mande, saya mahu melihat rumah Mande yang cantik ini,” aku menyahut. Mande tersenyum lebar.
“Ayuh tuan, sudah tiba masanya untuk makan malam. Biar Mande sendiri yang sediakan,” ujar Mande. Pujianku sebentar tadi mencuit hati Mande barangkali. Itulah kata ibuku, jika kita baik dengan orang, orang juga baik sama kita. Orang berbudi, kita berbahasa.
Aku ke bilik semula, melihat seorang lelaki muncul di depan bilikku sambil membawa hidangan makanan. Kemudian, Mande tiba dengan bakul yang berisi buah-buahan dan duduk di kerusi bersama pekerjanya.
“Ini pekerja saya, Dede. Orangnya rajin. Jika tuan mau apa-apa, terus saja berjumpa Dede,” ujar Mande.
 “Terima kasih, Mande. Bilik Mande cantik sekali,” aku memuji lagi.
 “Ini kamarnya istimewa. Mau tahu kenapa?” Mande cuba mencuit perhatian aku. Aku tidak dapat menyembunyikan perasaan tersebut.
“Kamar ini dulu asalnya milik Dasari sendiri. Orang kata dia mati di kamar inilah, menunggu suaminya. Kemudian, saya terima tetamu pertama yang mahu tidur di kamar ini. Harto namanya. Dia dibunuh orang dalam kamar ini karena tidak bayar hutang. Sesudah itu, saya bersihkan kamar ini. Tetamu saya sukakan kamar ini, saya juga tidak ceritakan kisah Harto kepada mereka. Kemudian, Sastri teman saya tinggal di kamar ini setahun lalu. Mati ditikam anaknya. Sesudah itu, saya bersihkan kamar ini sekali lagi. Saya tidak ceritakan kisah Harto dan Sastri pada tetamu saya. Beberapa bulan lepas, anak kiyai bernama Habib datang ke mari dan tinggal di kamar ini. Malang sekali, dia gantung diri. Di atas alang kayu itu, dia berperang sama ajalnya,” cerita Mande wajah tenang. Aku pula? Aku terkulat-kulat mendengar ceritanya. Tiba-tiba, kulihat Dede menyiku bahu Mande dan tersenyum.  Terus, Mande seperti tersedar dari kisah maha rancaknya sebentar tadi, lantas menoleh ke arahku sambil tertawa.
 “Oh ya, tuan, kamu tidak keberatan bukan mahu tidur malam ini, di kamar ini?” ujar Mande.
 “Oh, tidak. Saya tak keberatan.”

 Aku tersenyum, memandang Mande. Namun, fikiranku berperang dengan hebatnya. Perang minda yang tidak pernah habis dalam sejarah manusia. Perang minda seperti itu, tiada siapa yang dapat mengerti. Begitulah bahana perang. Tidak kira apapun jenisnya, perang hanya membawa bahana.

(TAMAT) 
@themagi2014 (2013)
::Tidak boleh diterbitkan semula dalam bentuk elektronik dan sebagainya. Hanya digunakan atas tujuan pendidikan sahaja::

No comments:

Post a Comment