Tuesday, 8 July 2014

Ramadhan 10: Keinginan Iblis Tercapai (Riwayat At-Tirmizi)

Hari Selasa, Ramadhan ke-10, pengiraan menuju bulan Syawal diteruskan. Okay, korang tahu kan kisah Nabi Adam a.s dan Hawa dikeluarkan dari syurga disebabkan godaan Iblis? Selepas Nabi Adam a.s dan Hawa turun ke dunia, berpisah dan bertemu semula di Padang Arafah, mereka berdua pun memulakan kehidupan baru di dunia dalam keadaan serba kekurangan dan menurut riwayat, Nabi Adam a.s meminta api dari neraka melalui malaikat Jibril dengan kebenaran Allah SWT.

Tapi ada satu kisah lain yang aku baca dari kitab Kisah Para Wali Tazkirat Al-Auliya karangan Farid Al-Din Attar yang sangat menarik perhatian. Kisah itu dijangka berasal dari At Tirmizi.

Keinginan Iblis Tercapai

Setelah Adam dan Hawa berkumpul kembali dan taubat mereka diterima oleh Allah SWT, pada suatu hari Adam meninggalkan Hawa seorang diri kerana sesuatu keperluan. Maka, datanglah Iblis beserta anaknya yang bernama Khannas kepada Hawa.

"Aku harus pergi untuk melakukan sesuatu hal yang penting," si Iblis berkata pada Hawa. "Tolonglah jaga anakku hingga kembali nanti."

Hawa menerima anak itu dan si Iblis pun pergi. Kemudian, Adam kembali semula.

"Dia adalah anak Iblis yang dititipkannya kepadaku," jawab Hawa apabila Adam bertanya.

"Mengapa engkau sudi menolongnya?" Adam mencela. Dengan sangat marah anak Iblis itu dibunuhnya, dicincangnya, dan setiap cincangan itu digantungkannya pada dahan. Setelah itu, pergilah Adam meneruskan kerjanya. Tidak lama kemudian, Iblis datang.

"Di mana anakku?" Iblis bertanya pada Hawa.

Hawa menerangkan segala sesuatu yang telah terjadi: 

"Adam mencincang-cincang tubuh anakmu dan setiap potongan tubuh anakmu itu digantungkannya pada dahan pokok."

Si Iblis menyerukan nama anaknya. Potongan-potonan tubuh anaknya berkumpul dan ia pun hidup kembali, kemudian berlari menyambut ayahnya.

"Jagalah dia," si Iblis memohon kepada Hawa. "Kerana ada urusan lain yang harus kulakukan."

Mula-mula Hawa menolak tetapi si Iblis memohon begitu gigihnya sehingga akhirnya Hawa pun menyerah. Setelah itu pergilah si Iblis meninggalkan tempat itu. Ketika Adam pulang, terlihatlah olehnya anak Iblis itu.

"Apakah ertinya semua ini?" tanya Adam.

Hawa mengisahkan yang telah terjadi. Adam memarahi Hawa habis-habisan.

"Aku tidak tahu apakah rahsia di sebalik semua ini," Adam mengherdik. "Sehingga engkau tidak mematuhi aku tetapi mematuhi seteru Allah dan terpedaya oleh pujukannya."

Lalu, anak itu dibunuhnya dan mayatnya dibakar kemudian sebahagian abunya dibuangkan ke dalam air sedang sebahagiannya lagi dibuang ke udara dan diterbangkan oleh angin. Setelah itu, Adam pergi. Si Iblis datang pula menanyakan anaknya. Hawa menceritakan apa yang telah dilakukan terhadap anaknya. Si Iblis berteriak memanggil anaknya, abu-abu mayat anaknya yang dibakar tadi berkumpul, kemudian si anak hidup kembali dan bersimpuh di depan ayahnya. Sekali lagi, Iblis memohon pertolongan tetapi ditolak oleh Hawa.

"Pasti aku akan dibunuh Adam nanti," jawabnya.

Iblis memujuk dengan berbagai sumpah janji sehingga akhirnya Hawa sekali lagi menyerah. Si Iblis pun pergi. Kemudian, Adam kembali dan didapatinya Hawa bersama anak itu lagi.

"Allahlah yang mengetahui apa yang bakal terjadi sekarang," Adam mengherdik penuh marah. "Engkau menuruti kata-katanya dan tidak mempedulikan kata-kataku."

Khannas (dipercayai dalam rupa seekor kambing selepas dihidupkan oleh Iblis kali ke-2) pun disembelih dan dimasaknya. Separuh dari tubuh Khannas dimakannya sendiri dan separuhnya lagi diberikannya kepada Hawa. Kemudian,si Iblis datang menanyakan anaknya dan Hawa menceritakan apa yang telah terjadi:

"Anakmu dimasak Adam. Separuh tubuhnya aku makan dan separuhnya lagi dimakan oleh Adam."

"Inilah yang selama ini aku inginkan," si Iblis berseru girang. "Aku ingin menyusup ke dalam tubuh Adam. Kini, setelah dadanya menjadi tempat kediamanku, tercapailah sudah keinginanku itu."

Sesungguhnya, Iblis penuh dengan tipu muslihat. Jika Iblis tidak berputus asa memujuk dan membawa manusia ke neraka, kenapa kita harus berputus asa memujuk dan membawa diri kita ke syurga? Jangan biarkan Iblis terus menerus mendapat keinginannya.

p/s: Pengajaran? Kita hidup dalam godaan dunia, jangan mudah menyerah. Lebih2 lagi bulan puasa, jangan mudah tergoda dengan ABC, rojak, ayam golek, ikan bakar di tepi jalan...hehe

@themagi2014
ruj: Kisah Para Wali Tazkirat Al-Auliya karangan Farid Al-Din Attar (ms.370-372); Thinkers Library

Monday, 7 July 2014

Ramadhan 9: Bila Ajal Kita?

Hari Isnin, 9 Ramadhan. Baru-baru ni kita dengar pemergian Datuk Sharifah Aini yang sudah kembali ke rahmatullah. Betapa kita tak tau bila ajal kita sampai, hari bila, pukul berapa dan bagaimana kita berdepan dengan kematian. Kita tahu bahawa meninggal dunia pada bulan Ramadhan adalah satu keberuntungan dan pasti ada di kalangan kita berharap agar bulan Ramadhan menjadi bulan terakhir kita. Tapi, siapa kita untuk tahu bila ajal kita. Semuanya sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ajal dan Kematian

Kematian itu pasti. Apabila menjelangnya kematian, ada beberapa perkara yang terjadi dan sesetengah di antara kita dapat melihat tanda-tanda yang ada pada si mati. Malah, ada juga di kalangan si mati dapat merasakan sesuatu di dalam rohnya sebelum tiba ajalnya. Umumnya, pada detik berdepan dengan sakratulmaut, mulut si hamba Allah akan terkunci. Kemudian, 4 malaikat datang secara bergantian. Setiap malaikat mengucapkan salam dan memberitahu tugasnya kepada orang tersebut yakni:

1. Malaikat Pertama: "Selama ini aku ditugaskan mengurus rezekimu dan telah kutunaikan dengan baik. Sekarang, sudah tidak kudapatkan rezeki untukmu, baik di belahan bumi timur atau barat."

2. Malaikat Kedua: "Aku diperintahkan mengurus minumanmu dan kini tidak kuperolehi lagi setitik pun air minuman untuk mu."

3. Malaikat Ketiga: "Aku dipercayai untuk mencari dan menyambung nafasmu dan saat ini tidak kutemukan lagi nafas untukmu."

4. Malaikat Keempat: "Ajalmu sepenuhnya diserahkan kepadaku dan sekarang telah habis masanya."

Setelah malaikat keempat pergi, datanglah Malaikat Raqib dan Atid, mengeluarkan lembaran dan menyampaikan berita tentang buku amalan dosa dan pahala secara terperinci. Apabila tiba saat ini, tidak ada jalan lagi untuk berpatah balik dan meminta peluang bertaubat, melainkan bantuan dari sedekah doa-doa, ilmu pengetahuan yang disebarkan dan kebaikan yang pernah dilakukan.

Tanda-tanda Kematian

100 hari: Seluruh badan rasa bergegar.
60 hari: Pusat rasa bergerak-gerak.
40 hari: Daun dengan nama orang yang akan mati di arasy akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang runsing.
7 hari: Mengidam makanan.
5 hari: Anak lidah bergerak-gerak.
3 hari: Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.
2 hari: Seluruh dahi bergerak-gerak.
1 hari: Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu Subuh dan Asar.
Saat Akhir: Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi

Bila Malaikat Mencabut Nyawa

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Apabila telah sampai ajal seseorang itu makan akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datanglah pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke  perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Pada saat nazak orang itu, jika orang itu orang yang beriman, malaikat Jibril akan datang dan menebarkan sayap kanannya lalu memperlihatkan kedudukan orang itu di syurga. Pada masa itu, orang itu lupa pada sekelilingnya dan hanya rindu pada syurga.

Jika orang itu orang yang munafik, malaikat Jibril akan menebarkan sayap kirinya lalu memperlihatkan kedudukan orang itu di neraka. Pada masa itu, orang itu tidak lagi melihat sekeliling kerana terlalu takut pada neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.


p/s: Sesungguhnya, mengingati kematian adalah satu kebaikan dan semoga kebaikan itu tersemat di hati kita. Wallahu'alam.

@themagi2014
ruj: Risalah SMKTAHO Mac/2003


Sunday, 6 July 2014

Ramadhan 8: Tahukah Anda?

Hari ini, puasa ke-8. Hari ni sangat indah, langit biru, awan sirus. Tekak pun rasa haus. Jadi, short entry je weekend kali ni.

Apakah motif aku bagi title 'Tahukah Anda?' Sebenarnya aku terbaca beberapa senarai hadis dalam Permata Hati BaitulMal semalam. Memang menarik perhatian sebab aku tak tahu perkara tu selama ni. Maka aku terfikir nak kongsi sedikit apa yang aku baca semalam.

"Celaka tumit-tumit yang tidak basah (terkena air wudhu) dengan ancaman api, sempurnakanlah wudhu kamu!" (Riwayat Sahih Muslim)

"Apabila diantara kamu bangun dari tidur hendaklah ia memasukkan air ke hidung 3 kali kerana syaitan tidur di dalam lubang hidung." (Riwayat Sahih Muslim)

"Hari Kiamat itu tidak akan datang selagi masih terdapat di muka bumi ini orang yang beriman kepada Allah." (Sahih Muslim)

"Kadang-kadang syaitan itu datang kepadamu sambil berkata: Siapa yang menciptakan ini, menciptakan itu, sampai ia berkata, siapa pula yang menciptakan Tuhanmu? Apabila telah sampai di sana maka mintalah perlindungan Allah daripadanya dan nyahkanlah bisikan itu." (Sahih Muslim)

"Sesungguhnya Allah tidak akan memperhitungkan bisikan yang jahat dalam hati seorang, selagi orang itu tidak melahirkan dengan lisan atau perbuatan." (Sahih Muslim)

"Apabila imam membaca: Sami Allahu liman hamidah, maka katakanlah: Allahumma rabbana lakal hamdu, kerana yang serentak ucapannya dengan ucapan Malaikat nescaya Tuhan akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Sahih Muslim)

"Apabila bangun seseorang dari tidur, maka janganlah ia menyelamkan tangannya ke dalam tempat air sebelum dibasuh lebih dahulu 3 kali kerana waktu tidur dia tidak tahu di mana tangannya terletak." (Sahih Muslim)

"Siapa yang iktikaf 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan maka dia mendapat pahala bagaikan 2 kali haji dan 2 kali umrah." (Riwayat Albaihaqi dari Al-Hassan bin Ali r.a)

"Orang yang zikir (ingat) pada Allah pada bulan Ramadhan akan diampunkan baginya dan orang yang minta-minta pada Allah di dalamnya tidak akan kecewa." (Riwayat Atthabarani & Albaihaqi)

"Sesiapa yang ingin mengintai malam Lailatulqadar hendaklah ia mengintai pada malam 27 haribulan." (Riwayat Ahmad)

"Segerakanlah olehmu menguburkan/mengusung jenazah kerana kalau dia soleh, kamu telah menyegerakannya kepada kebaikan/kebahagiaan dan jika dia tidak soleh, kamu telah menanggalkan bencana dari lehermu." (Sahih Muslim)

"Sesiapa yang tertidur atau terlupa hingga luput sembahyang hendaklah dia menunaikan (sembahyang) sebaik-baik sahaja dia ingat (sedar) kembali." (Sahih Bukhari)

"Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan: Aku ini berpuasa." (Sahih Bukhari)

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Wallahu'alam.

@themagi2014
ruj: Permata Hati BaitulMal (Tabung BaitulMal Sarawak)

Saturday, 5 July 2014

Ramadhan 7: Neraka, Tutup Untuk Sementara Waktu

credits: spreadingonlytruth.worpress.com
Ramadhan 7, pagi-pagi dah keluar jalan-jalan beli stok barang. Dah puas beli barang, tak sedar, 30 minit lagi nak masuk tengah hari. Patut la rasa kering semacam. Panas pun boleh tahan. Tapi, panas dunia...baru sikit. Masuk dalam kereta dah sejuk balik. Bayangkan macam mana panasnya di neraka.

Well, good news, bulan puas Neraka tutup untuk sementara waktu. Tapi tak bermakna aku tak boleh share pasal neraka, kan? 

Luasnya Neraka

Neraka Jahanam sangat luas, Kenyataan kehebatan dan kengerian Neraka disampaikan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW menurut riwayat Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik iaitu:

"Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, dan kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya."

Neraka dibahagikan kepada beberapa pintu iaitu bermula dari bawah ialah pintu orang-orang munafik dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun. Pintu kedua ialah Jahim, tempat orang-orang musyrikin. Pintu ketiga ialah Saqar, tempat orang shobi'in iaitu kelompok ahli kitab yang musyrik . Pintu keempat tempat Iblis La'natullah dan pengikutnya dari kaum majusi. Pintu kelima ialah Huthomah, tempat orang-orang yahudi. Pintu keenam ialah Sa'eir, tempat orang-orang nasara, yakni orang nasrani. Pintu yang ketujuh ialah tempat orang-orang yang berdosa besar dari umat akhir zaman yang sampai mati belum sempat bertaubat, yakni umat Nabi SAW.

Hadis Qudsi ada menyebut:

Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panasnya terik matahariKu?

Berkenaan dengan Neraka

1. Neraka Jahannam mempunyai 7 tingkat.
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah.
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung.
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah.
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik.
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak.
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum.
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular.
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai.
11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat.

Terdapat kata-kata yang menyebut, jika salah satu baju ahli neraka digantung antara langit dan bumi, nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Juga, jika satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah kerak bumi yang ke-7.

Menurut riwayat Nabis SAW, Baginda menceritakan berkenaan dengan asal usul api di dunia ini berasal dari neraka iaitu:

Setelah Nabi Adam a.s dikeluarkan dari syurga bersama Hawa dan tinggal di dunia, Nabi Adam a.s memohon api bagi meneruskan kelangsungan hidup di tempat baharu. Permintaan Nabi Adam a.s diperkenankan oleh Allah SWT dan malaikat Jibril berjumpa dengan penjaga api neraka iaitu Zabaniah. Apabila malaikat Jibril meminta api neraka sebesar kurma, Zabaniah mengatakan bahawa 7 lapis bumi dan 7 lapis langit akan cair. Apabila diminta separuh kurma, Zabaniah mengatakan bahawa tidak ada setitik pun hujan turun ke bumi dan tumbuhan juga tidak akan tumbuh. Setelah menghadap Allah SWT bagi mendapatkan jumlah api neraka yang sesuai untuk bumi, malaikat Jibril mengambil sebesar zarah api neraka, membawanya ke bumi, mencelupnya 70 kali di dalam 70 buah sungai, dan meletakkannya di atas gunung. Tetapi, gunung tersebut terus mencair dan meleleh. Malaikat Jibril segera mengambil semula api neraka itu dan membawanya kembali ke neraka. Sisa-sisa kepanasan yang tertinggal di gunung itulah tersebar menjadi magma dan api yang menjadi keperluan manusia di bumi.

Betapa Neraka begitu panas, lebih panas dari apa yang kita hadapi setiap hari di bawah terik matahari. Sekarang, pintu neraka ditutup untuk sementara waktu disebabkan bulan Ramadhan. Alangkah baiknya jika pintu neraka tertutup terus dan hanya pintu syurga saja yang terbuka untuk kita. 

Sesungguhnya, kedinginan syurga lebih hebat dan melegakan dari air-cond kereta. Tak gitew? :D


@themagi2014
ruj:
Risalah SMKTAHO mei/04, eramuslim.com, halaqah.net