Hari Selasa, Ramadhan ke-10, pengiraan menuju bulan Syawal diteruskan. Okay, korang tahu kan kisah Nabi Adam a.s dan Hawa dikeluarkan dari syurga disebabkan godaan Iblis? Selepas Nabi Adam a.s dan Hawa turun ke dunia, berpisah dan bertemu semula di Padang Arafah, mereka berdua pun memulakan kehidupan baru di dunia dalam keadaan serba kekurangan dan menurut riwayat, Nabi Adam a.s meminta api dari neraka melalui malaikat Jibril dengan kebenaran Allah SWT.
Tapi ada satu kisah lain yang aku baca dari kitab Kisah Para Wali Tazkirat Al-Auliya karangan Farid Al-Din Attar yang sangat menarik perhatian. Kisah itu dijangka berasal dari At Tirmizi.
Keinginan Iblis Tercapai
Setelah Adam dan Hawa berkumpul kembali dan taubat mereka diterima oleh Allah SWT, pada suatu hari Adam meninggalkan Hawa seorang diri kerana sesuatu keperluan. Maka, datanglah Iblis beserta anaknya yang bernama Khannas kepada Hawa.
"Aku harus pergi untuk melakukan sesuatu hal yang penting," si Iblis berkata pada Hawa. "Tolonglah jaga anakku hingga kembali nanti."
Hawa menerima anak itu dan si Iblis pun pergi. Kemudian, Adam kembali semula.
"Dia adalah anak Iblis yang dititipkannya kepadaku," jawab Hawa apabila Adam bertanya.
"Mengapa engkau sudi menolongnya?" Adam mencela. Dengan sangat marah anak Iblis itu dibunuhnya, dicincangnya, dan setiap cincangan itu digantungkannya pada dahan. Setelah itu, pergilah Adam meneruskan kerjanya. Tidak lama kemudian, Iblis datang.
"Di mana anakku?" Iblis bertanya pada Hawa.
Hawa menerangkan segala sesuatu yang telah terjadi:
"Adam mencincang-cincang tubuh anakmu dan setiap potongan tubuh anakmu itu digantungkannya pada dahan pokok."
Si Iblis menyerukan nama anaknya. Potongan-potonan tubuh anaknya berkumpul dan ia pun hidup kembali, kemudian berlari menyambut ayahnya.
"Jagalah dia," si Iblis memohon kepada Hawa. "Kerana ada urusan lain yang harus kulakukan."
Mula-mula Hawa menolak tetapi si Iblis memohon begitu gigihnya sehingga akhirnya Hawa pun menyerah. Setelah itu pergilah si Iblis meninggalkan tempat itu. Ketika Adam pulang, terlihatlah olehnya anak Iblis itu.
"Apakah ertinya semua ini?" tanya Adam.
Hawa mengisahkan yang telah terjadi. Adam memarahi Hawa habis-habisan.
"Aku tidak tahu apakah rahsia di sebalik semua ini," Adam mengherdik. "Sehingga engkau tidak mematuhi aku tetapi mematuhi seteru Allah dan terpedaya oleh pujukannya."
Lalu, anak itu dibunuhnya dan mayatnya dibakar kemudian sebahagian abunya dibuangkan ke dalam air sedang sebahagiannya lagi dibuang ke udara dan diterbangkan oleh angin. Setelah itu, Adam pergi. Si Iblis datang pula menanyakan anaknya. Hawa menceritakan apa yang telah dilakukan terhadap anaknya. Si Iblis berteriak memanggil anaknya, abu-abu mayat anaknya yang dibakar tadi berkumpul, kemudian si anak hidup kembali dan bersimpuh di depan ayahnya. Sekali lagi, Iblis memohon pertolongan tetapi ditolak oleh Hawa.
"Pasti aku akan dibunuh Adam nanti," jawabnya.
Iblis memujuk dengan berbagai sumpah janji sehingga akhirnya Hawa sekali lagi menyerah. Si Iblis pun pergi. Kemudian, Adam kembali dan didapatinya Hawa bersama anak itu lagi.
"Allahlah yang mengetahui apa yang bakal terjadi sekarang," Adam mengherdik penuh marah. "Engkau menuruti kata-katanya dan tidak mempedulikan kata-kataku."
Khannas (dipercayai dalam rupa seekor kambing selepas dihidupkan oleh Iblis kali ke-2) pun disembelih dan dimasaknya. Separuh dari tubuh Khannas dimakannya sendiri dan separuhnya lagi diberikannya kepada Hawa. Kemudian,si Iblis datang menanyakan anaknya dan Hawa menceritakan apa yang telah terjadi:
"Anakmu dimasak Adam. Separuh tubuhnya aku makan dan separuhnya lagi dimakan oleh Adam."
"Inilah yang selama ini aku inginkan," si Iblis berseru girang. "Aku ingin menyusup ke dalam tubuh Adam. Kini, setelah dadanya menjadi tempat kediamanku, tercapailah sudah keinginanku itu."
Sesungguhnya, Iblis penuh dengan tipu muslihat. Jika Iblis tidak berputus asa memujuk dan membawa manusia ke neraka, kenapa kita harus berputus asa memujuk dan membawa diri kita ke syurga? Jangan biarkan Iblis terus menerus mendapat keinginannya.
p/s: Pengajaran? Kita hidup dalam godaan dunia, jangan mudah menyerah. Lebih2 lagi bulan puasa, jangan mudah tergoda dengan ABC, rojak, ayam golek, ikan bakar di tepi jalan...hehe
@themagi2014
ruj: Kisah Para Wali Tazkirat Al-Auliya karangan Farid Al-Din Attar (ms.370-372); Thinkers Library
No comments:
Post a Comment