Wednesday, 23 January 2013

Nabi Muhammad S.A.W: Nabi dan Rasul Sepanjang Zaman

Nabi Muhammad S.A.W, nabi dan rasul terakhir yang sentiasa menjadi ingatan di dalam setiap umat Islam di seluruh dunia. Maulidur Rasul adalah hari untuk meraikan kelahiran baginda yang menjadi pendorong, pemimpin, penasihat dan juga pendakwah yang paling disayangi dan dihormati oleh golongan Muslim. Di sebalik keagungan Nabi Muhammad S.A.W, nabi dan rasul sepanjang zaman, kehalusan budi pekerti baginda adalah yang terindah dan terpuji.


Nabi Muhammad S.A.W mempunyai kelebihan daripada manusia lain. Selain dari memiliki mukjizat dan kepimpinan sebagai ketua, baginda memiliki keperibadian yang indah. Selain dari sifat sabar, tawaduk, amanah dan  digelar sebagai Al-Amin, baginda memiliki beberapa ciri-ciri keperibadian yang lain seperti:

1. Baginda tidak kisah berlapar.

Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.a, bahawa berkata: "Adalah Rasulullah SAW apabila masuk ke dalam rumah di waktu pagi hari, baginda bertanya kepada keluarganya; "apakah kamu mempunyai makanan?" Maka apabila dijawab; "tidak", baginda berkata; "Jika begitu, sungguh aku berpuasa."

2. Baginda tidak selesa tidur di tempat yang terlalu selesa.


Diriwayatkan Nabi SAW tidur di atas tikar yang diperbuat dari kulit yang diisi dnegan sabut. Kemudian, alas tidur Nabi SAW dibuat empat lapis. Setelah menjelang pagi, baginda bertanya:
"Apa alas yang kamu bentangkan untuk aku semalam?" Beliau (Hafsah) menjawab; "Alas itu tidak lain tidak bukan alas tuan, tetapi kami jadikan empat lapis, agar lebih empuk untuk tuan."


Nabi SAW bersabda: "Hendaklah kamu kembalikan seperti biasa, sebagaimana keadaannya dulu, kerana keempukannya itu menghalangi aku dari mengerjakan solat di tengah malam."

3. Baginda mempunyai sifat pemalu melebihi gadis muda


Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan lain-lain dari Abu Said al-Khudri r.a, ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW itu lebih sangat pemalu daripada gadis-gadis pingitannya; dan apabila baginda tidak menyukai sesuatu, kami mengetahuinya kerana kelihatan di mukanya."


Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW apabila baginda mendatangi seorang dari isteri-isterinya, baginda memejamkan kedua matanya dan menutup kepalanya."

4. Baginda tertawa dengan cara yang tersendiri.

Diriwayatkan oleh Ahmad dari Jabir bin Samurah r.a, ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW itu lama diamnya, sedikit tertawanya."

Diriwayatkan oleh Tirmizi dari Abdullah bin Harith r.a, ia berkata: "Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyumnya daripada Rasulullah SAW."

Diriwayatkan oleh Baghawi dari Walid Murrah r.a, ia berkata bahawa apabila Rasulullah SAW terlanjur dengan ketawa, baginda meletakkan tangannya pada mulutnya.

5. Baginda dan sifat humor

Diriwayatkan oleh Tirmizi dalam Asy-Syama'il dengan sanad yang mursal dari al-Hasan al-Basri, ia berkata bahawa pada suatu hari Nabi SAW didatangi oleh seorang perempuan tua yang memohon agar dirinya dimasukkan ke dalam syurga. Maka, baginda bersabda: "Hai Ummu Fulan, sesungguhnya syurga itu tidak akan dimasuki oleh perempuan tua." Lantas, perempuan tua itu pun berlalu sambil menangis. Oleh sebab Nabi SAW tahu bahawa perempuan tua tersebut salah faham akan sabda baginda maka para sahabat menjelaskan maksud tersebut yakni Allah berfirman: "Bahawasanya Kami menjadikan mereka (orang-orang perempuan) itu dengan kejadian yang baru; maka Kami menjadikan mereka itu gadis-gadis, remaja belia; berkasih kasihan dengan suami serta bersamaan usia."

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dari Anas r.a, ia berkata; Nabi SAW pernah berkata (memanggil) kepadaku: "Hai yang mempunyai dua telinga."

Juga diriwayatkan oleh Zaid bin Aslam bahawa Nabi SAW didatangi oleh seorang wanita bernama Ummu Aiman yang meminta baginda datang menemui suaminya. Apabila Nabi SAW mendengar permintaan wanita tersebut baginda berkata: "Siapakah dia? Apakah dia yang di matanya ada putihnya?" Wanita tersebut menjawab tidak, namun Nabi SAW berkata: " Ya, tentu di matanya ada putihnya" dan bersabda, "Tidak ada daripada seorang pun, melainkan di matanya mesti ada putihnya."

6. Cara Baginda menunjukkan rasa suka atau duka.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah dari Suhail bin Sa'ad r.a ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW apabila menyukai sesuatu (perkataan atau perbuatan), baginda diam."

Diriwayatkan dari Abu Nu'aim dari Abi Hurairah r.a, ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW apabila berdukacita, baginda membanyakkan menyentuh janggutnya."

Juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ka'ab bin Malik r.a, ia berkata: "Adalah Rasulullah SAW apabila gembira, berseri-serilah wajah baginda, seolah-olah sepotong dari bulan."


Antara sifat lain yang ada pada Rasulullah SAW
1. Baginda tidak suka menguap ketika di dalam solat (Tirmizi, Abi Umamah r.a)
2. Baginda tidak suka bersin dengan kuat di dalam majlis (Al-Baihaqi, Abu Hurairah r.a)
3. Baginda suka mengubah nama yang buruk kepada nama yang elok (Tirmizi, Aisyah r.a)
4. Baginda tidak pernah menonjolkan kedua lututnya (Al-Qadhi Iyadh, Asy-Syifa')
5. Baginda memberi salam terlebih dahulu sebelum menjabat tangan sahabatnya   
    (Thabarani, Jundub r.a)
6. Baginda tidak berjabat tangan dengan wanita lain, melainkan wanita yang sudah baginda  
    miliki (Bukhari, Muslim, Aisyah r.a)

Berdasarkan firman Allah SWT menerusi Al-Qalam:4, Allah SWT memuji, "Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) sentiasa dalam budi pekerti yang luhur."

p/s: Selawat dan puji-pujian ke atas junjungan Nabi SAW. Salam Maulidur Rasul.
__________________________________________________
Ruj: 
Izzuddin, A., M. (1998). Keperibadian Nabi Muhammad SAW- Perniagaan Jahabersa: Johor Bharu.
Abdullah, A. (1986). Nabi nabi dalam Al Quran- Pustaka Al Azhar: Kuala Lumpur.

#TMG2013

No comments:

Post a Comment