Wednesday, 2 January 2013

Satok, Laluan Sejarah dan The Garden City of Kuching

Pasar Satok merupakan pasar tamu terkenal di Kuching, yang kini berpindah secara kekal di Kubah Ria. Mengimbas semula suasana Pasar Satok yang wujud selama 20 tahun, ia penuh dengan kenangan nostalgia dan juga nilai sentimen peribadi antara penjual dan pembeli. Akibat masalah kesesakan, terutama sekali pada hari Ahad dan masalah kebersihan, Pasar Satok harus bergerak ke hadapan demi memberi ruang kepada sektor pelancongan dan berniaga di tapak yang lebih selesa.


Sejarah Pasar Satok>>>

Era pasar tamu ini bermula di Market Street pada 1980-an, terdiri dari peniaga yang datang dari Bau dan Padawan yang menjual hasil hutan. Lama-kelamaan, bilangan peniaga bertambah dan menimbulkan kesesakan. Kemudian, pasar tamu ini ditukar ke kawasan Padang Pasir, yang kini menjadi lokasi klinik kesihatan. Walau bagaimanapun, masalah kesesakan dan kebersihan berulang lagi, lalu menyebabkan pasar tamu ini dipindah ke Satok dan zaman kegemilangan Pasar Satok pun bermula. Kemudian, pada 1 Januari 2013, Pasar Satok akhirnya dipindahkan secara kekal ke infrastruktur yang baru, dikenali sebagai Medan Niaga Satok dengan jumlah peruntukan sebanyak RM47 juta dan dibiayai oleh FAMA menerusi jabatan persekutuan.

Satok, Laluan Sejarah dan The Garden City of Kuching>>>

Square Tower
Setelah 20 tahun berkhidmat, menjadi tapak berniaga bagi puluhan peniaga, Pasar Satok kini dikosongkan bagi memberi peluang untuk projek seterusnya- projek taman rekreasi dan juga projek Laluan Sejarah. Mendapat inspirasi dari laluan sejarah di London, Kuching bersedia untuk mengalami perubahan dengan memperkenalkan pengembaraan dan alam semula jadi dalam laluan sejarah. Konsep 'Garden City' juga telah dicadangkan dalam projek laluan sejarah ini.

Laluan Sejarah merupakan trek untuk pelancong dalam atau luar negara menikmati kawasan bersejarah di Kuching melalui laluan pejalan kaki yang selesa dan mengembara menerokai keindahan alam. Para pelancong boleh memulakan perjalanan dengan:
Brooke Dock Yard
  1. menginap di Grand Margherita Hotel, hotel antarabangsa pertama di Sarawak.
  2. Menaiki bas ke Main Bazaar dan melalui kawasan Lebuh Pasar, Lebuh Gambier, Masjid India, seterusnya ke Brooke Dockyard dan Masjid Divisyen Kuching.
  3. Berjalan ke tebingan Sungai Bintangor, melalui perkampungan Melayu tradisi sebelum tiba ke Satok- yang bakal menjadi pusat rekreasi dan taman mini. 
  4. Perjalanan diteruskan ke sebelah kanan Satok di mana laluan itu mengarah ke kawasan taburan muzium seperti Muzium Sarawak dan Muzium Tekstil, bangunan bersejarah yang lain seperti Pejabat Pos Besar Kuching, Gereja Anglican (St. Thomas) dan Muzium Kesenian Islam
  5. Old Courthouse
  6. Seterusnya, trek menuju ke Taman Budaya, di mana terdapat bangunan amphiteather lama, restoran lama dan baru, dan akhirnya tiba di Gereja Katolik (St. Joseph) sebelum kembali semula ke hotel.
Tebingan Kuching ke Tebingan Sungai Bintangor akan dipanjangkan, secara tidak langsung membuka laluan sejarah seterusnya ke Square Tower, Old Court House, China Town (Carpenter Street), Round Tower, Old Pavillion, Padang Merdeka dan ke kawasan taburan muzium.

p/s: gembira dengan pembangunan di Kuching ^^

#TMG2013

Ruj:
Sebanaku Sarawak
The Borneo Post
Wikipedia- Bandaraya Kuching

No comments:

Post a Comment