Tuesday, 17 December 2019

Buku Rujukan Sejarah Sarawak

Sugeng sonten (selamat petang)! Tiba-tiba aku guna bahasa Jawa. Well, as Javanese jangan lupa jati diri. Gitu deh. Okay sebenarnya entri kali ni bukan nak belajar bahasa Jawa tapi aku cuma nak kongsi bahan bacaan aku untuk tahun ni. Kalau dikira, aku dah baca 20 buah buku, agak sikit sebenarnya tapi aku nak jaga kualiti bacaan aku dan aku pun perlu menulis dan bekerja. Bukan senang nak bahagikan masa sebenarnya.

Tapi entri ni aku cuma nak kongsikan buku ilmiah yang selalu aku guna sebagai rujukan untuk kajian sejarah Sarawak. Aku sebelum berjinak-jinak baca novel, antologi dan kumpulan, aku dulu cenderung baca buku ilmiah dan ensiklopedia. Buku ilmiah ni aku rasa sangat membantu untuk aku menulis terutama sekali semasa aku nak siapkan novel pengembaraan fantasi aku yang pertama iaitu Acang Merpati terbitan DBP. Buku tu banyak menggunakan maklumat sejarah, jadi aku perlu invest duit untuk beli buku yang berkaitan.

Okay, mari perkenalkan buku-bukunya~

Judul: Menelusuri Lembah Sungai Sarawak Sebelum 1840an
Penulis: Tom McLaughlin, Suriani Sahari
Tahun cetakan: 2019 
Rumah penerbitan: FK Creative Resources Sdn. Bhd.
Jumlah mukasurat: 340

Buku hasil kajian dua pengkaji sejarah Sarawak ini merupakan satu usaha persendirian yang menggali sejarah Sarawak melalui site-visit ke tempat-tempat bersejarah, melalui penceritaan semula secara lisan dari orang tua-tua yang mewarisi kisah dari nenek moyang mereka dan juga melalui beberapa kertas kerja dari pelbagai sumber. Buku ini mencatatkan sejarah Sarawak secara demografi, sosial, kisah mitos/legenda, penstrukturan salasilah kerabat dari Brunei, Sambas dan Santubong serta maklumat berkaitan dengan tapak-tapak arkeologi. Turut diselitkan senarai appendiks mengenai kampung di sepanjang sungai Sarawak, kepercayaan mantera/tuca zaman dahulu, beberapa sejarah lisan berkaitan dengan pahlawan, asal usul tempat, bencana dan kesusasteraan orang Sarawak. Buku ini dilihat menarik kerana ia banyak menerapkan kisah lisan yang amat jarang didengari dan juga senarai salasilah yang hampir hilang.

Judul: Sejarah Sarawak
Penulis: Haji Buyong Adil
Tahun cetakan: 1974
Rumah penerbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Jumlah mukasurat: 147

Buku terbitan tahun 1974  ini merupakan satu usaha dari pihak DBP untuk mencatat sejarah Sarawak dalam bentuk bahan bercetak. Buku ini mengandungi beberapa bahagian mengenai sejarah Sarawak dari awal permulaan, era pemerintahan Brooke yang dipecahkan kepada tiga dinasti iaitu Rajah Putih I, Rajah Putih II dan Rajah Putih III, era penjajahan Jepun dan Sarawak menjadi crown colony pada era penaklukan British dan penyatuan Sarawak ke dalam kesatuan Malaysia. Beberapa huraian menarik turut diselitkan di dalam buku ini seperti keadaan Sarawak pada 600 tahun sebelum Masihi, pemerintahan sebelum era Brooke, senarai pahlawan tempatan yang menentang usaha James Brooke untuk meluaskan empayar dan hubungan pembesar dari Brunei ke atas Sarawak.

Judul: Old Sarawak
Penulis: Craig A.Lockard, Graham E. Saunders
Tahun cetakan: 1992
Rumah penerbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Jumlah mukasurat: 105

Buku ini merupakan kajian bergambar (a pictorial study) mengenai Sarawak pada masa dahulu, menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu First Impression, Gunboat and Flag, Rural Life, Urban Life, dan The Brooke Raj. Untuk bahagian 1, buku ini mencatatkan gambara pihak Eropah mengenai Sarawak. British dilihat agak lambat dalam mengenali dan sampai ke Borneo sehingga gambaran pertama mereka mengenai Borneo, khususnya Sarawak amat mundur seolah-olah Sarawak tidak ada ketamadunan atau pentadbiran yang konkrit. Bahagian 2 pula memaparkan tarikan pihak Eropah mengenai kepintaran perahu perang di Sarawak ketika di bawah kuasa Brunei dan bagamana Kuching mengalami perubahan selepas James Brooke menjalankan dasar perluasan kuasa. Bahagian 3 memaparkan kehidupan pedalaman khususnya bagi kaum yang dominan seperti Iban dan Bidayuh. Turut diselitkan gambar pelbagai masyarakat pada zaman dahulu dari aspek pakaian, gaya hidup dan seni budaya. Bahagian 4 pula mengenai urban life di Kuching yang pesat membangun selepas dijadikan pusat pentadbiran era Brooke dan senibina yang diwujudkan sepanjang dinasti Rajah Putih.  Bahagian 5 ialah catatan mengenai pencapaian yang dilakukan oleh era Brooke bersama pembesar Melayu dan pegawai Eropah yang bertugas. Turut diselitkan gambar berdamai (peacemaking) dari pihak Brooke dengan masyarakat Iban di Kanowit, dan juga Marudi.

Judul: Sarawak Long Ago
Penulis: W.J Chater
Tahun cetakan: 1969
Rumah penerbitan: Borneo Literature Bureau
Jumlah mukasurat: 120

Buku terbitan Borneo Literature Bureau ini merupakan usaha terawal dari Sarawak untuk mencatat sejarah Sarawak dan dibukukan. Buku ini mempunyai banyak info yang menarik  yang kini lenyap dari Sarawak, antaranya sejarah pesta Chingay yang pernah disambut oleh masyarakat Cina di Kuching suatu masa dahulu, sejarah gunung dan bukit, tapak perkuburan lama Kristian, sejarah bendera Sarawak yang pertama, kisah-kisah seram banglo, kisah mistik tokong di Kuching, kebakaran besar di Kuching pada 1884 dan juga sejarah Masjid Bahagian Kuching. Selain itu, buku ini juga turut menyelitkan maklumat mengenai sejarah Fort Margherita, kediaman Astana, perihal jambatan Satok dan tapak perkuburan Brooke secara terperinci. 

Judul: Melayu Sarawak- Sejarah Yang Hilang
Penulis: Sanib Said
Tahun cetakan: 2013
Rumah penerbitan: UNIMAS
Jumlah mukasurat: 221

Buku ini merupakan gabungan kertas kerja dari kajian dan artikel dari penulis sendiri yang merupakan profesor, pensyarah dan pengkaji sejarah Nusantara. Menerusi buku ini, beberapa kertas kerja yang bersifat akademik disusun menjadi bahan rujukan mengenai sejarah Sarawak bermula dari kewujudan Melayu Sarawak secara sejarah, falsafah dan fakta. Seterusnya pensejarahan Sarawak dikupas mengenai mitos Brooke yang digembar-gemburkan, merekonstruksi sejarah melalui ketamadunan Barunai (Brunei), era penaklukan Majapahit dan catatan Negarakertagama. Kemudian buku ini menyelitkan usaha pihak pengkaji dalam menjejaki manuskrip dan puak yang hilang di Sarawak menerusi penyelidikan di perpustakaan dan arkib, bagaimana gambaran masyarakat Melayu Sarawak suatu masa dahulu dari segi pemakaian, pertuturan dan cara hidup. Pada bahagian seterusnya, buku ini menjelaskan pembentukan negeri-negeri Melayu iaitu permulaan Sarawak membentuk ketamadunan yang tersendiri melalui kerajaan-kerajaan tua di Borneo sebelum kedatangan Brooke.  Buku ini turut mengupas lebih lanjut perincian pakaian Melayu Sarawak melalui catatan Hugh Low yang bertugas sebagai penterjermah Brooke. Antara maklumat sejarah lain yang turut diperincikan dalam buku ini ialah manuskrip Melayu-Jawi di Borneo, dinasti Brooke yang merampas kuasa Melayu, identiti politik pada era kolonialisme dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.


@theMaGi2019

No comments:

Post a Comment