Tuesday 16 July 2013

Kenali Al Quran

Al Quran adalah kitab suci umat Islam. Sebagaimana orang Kristian memuliakan Injil, orang Yahudi memuliakan Talmud, atau agama lain yang memuliakan kitab suci masing-masing, Al-Quran mendapatkan tempat yang tertinggi di hati umat Islam. Al-Quran bukan sahaja kitab suci yang mengandungi ilmu agama, ia juga mengandungi ilmu yang lain seperti astronomi, matematik, botani, sains dan sebagainya. Al-Quran bukan sekadar kitab agama, ia merangkumi seluruh aspek kehidupan dan juga selepas kehidupan.

Pengertian Al Quran

Al- Quran adalah himpunan wahyu Allah swt yang diturunkan kepada Nabi SAW sebagai pedoman dan pandangan hidup dalam mencapai keredhaan Allah swt. Menurut pengertian bahasa, Al Quran berasal dari perkataan 'Qorona' (pendapat Al-Asy'ari) yang membawa maksud 'menggabungkan'. Menurut pendapat dari beberapa tokoh terkenal, Al Quran berasal dari perkataan 'Qoroa' yang bermaksud 'bacaan'. Selain itu, tokoh Az Zajjaj menyatakan bahawa Al Quran berasal dari perkataan 'Qori' atau 'Qoru' yang bermaksud 'mengumpul' atau 'menghimpun'.

Menurut pengertian istilah pula, Al Quran ialah 'kalamullah', mukjizat terbesar Nabi SAW dengan bahasa Arab yang mutawatir, dimulai dengan surah Al Fatihah dan dihabisi dengan surah An Nas. Al Quran menurut istilah juga membawa maksud mukjizat kerana ia merupakan satu peristiwa istimewa yang membuktikan kerasulan seorang Nabi. Selain itu, ia juga membawa makna mushaf yakni tulisan ayat Al-Quran yang ditulis oleh sahabat Nabi SAW di atas objek (batu, kayu, pelepah dsb) sebelum ia digabungkan.

Pemberian nama Al Quran

Al Quran adalah kumpulan wahyu Allah swt kepada umat Islam dan menjadi mukjizat terbesar kerana sifatnya yang rasional. Nama Al Quran diberi secara langsung oleh Allah swt menerusi beberapa petikan surah seperti Surah Al Baqarah ayat 2 dan ayat 185, Surah Al Hijr ayat 87, dan Surah al Isra ayat 9. Nama Al Quran juga disebut berulang-ulang kali bagi menyatakan ketegasan dan kepentingan terhadap pemberian nama tersebut. Dalam masa yang sama, Al Quran juga dikenali dengan beberapa nama yang lain seperti Al Furqan (pemisah antara yang benar dan yang salah) dan juga Al Burhan (tanda bukti yang nyata).

Cara Al Quran diturunkan

Al Quran diturunkan menerusi perantara, iaitu Malaikat Jibril a.s dan ia berlaku buat pertama kalinya pada 17 Ramadhan tahun ke-41 kelahiran Nabi SAW (bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masehi). Ia juga diturunkan secara berperingkat dan beransur-ansur bagi memudahkan Nabi SAW menghafal, memahami dan mengamalkannya. Para ulama, ahli tafsir dan ahli sejarah dan pakar hadis bersepakat bahawa surah pertama yang diturunkan ialah Surah Al-Alaq ayat 1-5 yang mendidik Nabi SAW untuk menyebut dan membaca kalam Allah swt. Tetapi ada juga riwayat menyatakan bahasa Surah Al-Fatihah adalah surah permulaan kerana ia menjadi pendahuluan wahyu Al Quran.

Penghabisan wahyu Al Quran pula berlaku pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 kalendar Hijrah, bersamaan dengan 8 Mac tahun 632 Masehi ketika Nabi SAW berusia 63 tahun. Tempoh penyampaian Al Quran ini berlaku selama 22 tahun 2 bulan dan 22 hari. Menurut beberapa riwayat, Surah An-Nisa adalah ayat terakhir yang diturunkan tetapi beberapa ulama mempunyai pendapat yang berlainan. Menerusi Surah Al-Maidah ayat 3, Allah swt menyatakan bahawa:

"Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu."

Proses Penyampaian Al Quran

Al-Quran diturunkan kepada Nabi SAW dalam pelbagai cara iaitu:

  • Melalui mimpi yang benar, mimpi yang terang seperti terangnya cuaca pada waktu Subuh (riwayat Al Bukhari dari Aisyah Ummul Mukminin r.a)
  • Melalui malaikat Jibri a.s yang menampakkan diri sebagai seorang lelaki (HR Al Bukhari dari Umar Ibnu al Khattab r.a dan Aisyah r.a)
  • Melalui malaikat Jibril a.s dalam bentuk yang asli dan ia berlaku sebanyak dua kali ke atas Nabi SAW menerusi Surah an-Najm ayat 13-14 iaitu: "Sesungguhnya dia telah melihatnya (malaikat itu) pada kali yang lain, (Iaitu) di sisi Sidratul Muntaha.."
  • Melalui malaikat Jibril a.s yang tidak menampakkan dirinya kerana ia masuk secara langsung ke dalam diri Nabi SAW. Ia berdasarkan keterangan Surah asy-Syura ayat 51 iaitu: "Atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan izinNya apa yang Dia kehendaki. Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana"
  • Melalui suara gemerincing loceng. Wahyu yang datang melalui cara ini biasanya menyebabkan Nabi SAW berpeluh-peluh dingin dan berasa berat (HR Imam Ahmad dalam musnadnya dari Abdullah bin Umar r.a)
  • Melalui Isra' dan Mikraj, proses itu berlaku secara langsung tanpa perantara ketika Nabi SAW sedang berada di alam berlainan. Nabi Musa a.s juga pernah menerima wahyu secara langsung dari Allah swt tanpa perantara.
Dua Bahagian Al Quran

Nabi SAW pernah tinggal di dua kota iaitu Kota Mekah dan Kota Madinah. Ketika berlakunya proses Al Quran diturunkan, hijrah terjadi ke atas Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Maka, sebahagian wahyu yang diturunkan di kota Mekah dinamakan sebagai surah Makkiyyah (surah Makki) dan sebahagian wahyu yang diturunkan di kota Madinah dinamakan sebagai Madinniyyah (surah Madani).

Surah Makkiyyah diterima oleh Nabi SAW semasa berada di Kota Mekah dalam tempoh 12 tahun 5 bulan dan 13 hari. Manakala Surah Madinniyyah pula diterima oleh Nabi SAW semasa berada di Kota Madinah dalam tempoh 9 tahun 9 bulan dan 9 hari. Berdasarkan penyelidikan para ulama yang pakar, jumlah ayat dalam surah Makkiyyah sebanyak 19/30 manakala jumlah ayat dalam surah Madinniyyah pula sebanyak 11/30. Terdapat perbezaan antara surah Makkiyyah dan Madinniyyah iaitu:
  • Surah Makki diturunkan dalam ayat yang ringkas atau pendek. Surah Madani pula kebanyakannya panjang-panjang. Tetapi terdapat surah Makki diturunkan dalam ayat yang panjang seperti Surah asy Syura ayat 1-227 dan surah Madani pula diturunkan dalam ayat yang pendek seperti Surah Al Anfaal ayat 1-75.
  • Permulaan kata dalam surah Madani kebiasaannya menggunakan susunan kata seperti "Hai orang-orang yang percaya". Permulaan kata dalam surah Makki kebiasaannya menggunakan susunan kata seperti "Hai manusia".
  • Surah Madani yang menggunakan permulaan kata "Hai manusia" hanya ada tujuh sahaja yakni Surah Al Baqarah ayat 21, Surah Al Baqarah ayat 168, Surah an-Nisa ayat 132, 170 dan 175, Surah Al Hajj ayat 1 dan Surah al Hujurat ayat 13.
  • Ayat Makki tidak mengandungi hukum agama yang berfasal-fasal satu demi satu tetapi lebih kepada tujuan  asal agama iaitu membawa manusia mengenal Pencipta, mengesakan Tuhan dan mengingatkan manusia pada hari Pembalasan, dosa pahala dan azab seksa bagi yang ingkar.

[Akan disambung]


Dari Abdulllah bin Amr r.a, Nabi SAW pernah bersabda: "Sampaikanlah ilmu dariku walau hanya satu ayat" (HR Al Bukhari)


Ruj: 
Noraine Abu (1997). Al Quran Mukjizat yang Terbesar Nabi Muhammad SAW. Kuala Lumpur: Al Hidayah

#tmg2013

No comments:

Post a Comment