Sedikit kisah>>>
credits: bolly1wc.blogspot |
James Brooke menjadi Rajah Pertama di Sarawak pada September 1841. Beliau mengubahsuai bendera St. George, sebuah palang merah berlatarbelakangkan warna putih dalam bentuk panji burung layang-layang sebagai simbol kuasa peribadi. Bendera itulah yang berkibar di Berlidah dan dibawa di dalam kapal pembesar Melayu dan Dayak yang menyokong pemerintahan Brooke yang bergolak pada peringkat awal. Bendera itu kini menjadi harta pusaka keluarga Dayak di Saribas dan Sungai Skrang, mencecah usia 100 tahun pada masa Jepun mula menyerang Nusantara.
Sejarah Bendera
Contoh Armorial Bearings England credits: wikipedia |
Pada 1845, Rajah memutuskan untuk memberi Sarawak sehelai bendera tersendiri. Disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, bendera tersebut dikibarkan pada 21 September 1848. Reka bentuk bendera dihasilkan oleh Rajah sendiri, terdiri daripada sebuah palang setengah ungu dan merah, berlatarbelakangkan warna kuning. Bentuk asal bendera ini berasal dari Armorial Bearings. Kuning dijadikan lambang diraja Borneo. Tetapi keraguan warna palang ungu itu diperjelaskan semula oleh Rajah Kedua dalam surat sebagai biru dan merah. Bukannya ungu dan merah.
Selesai mereka bentuk, Rajah Pertama memohon kepada Lord Palmerston dan Earl Grey (Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Tanah Jajahan) pada 1845, meminta kebenaran dan pengiktirafan terhadap kerajaan Sarawak dan mengibarkan bendera Protektorat. Pada 1846, Lord Palmerston memaklumkan kepada Rajah Pertama bahawa permohonan beliau belum dalam diputuskan oleh kerajaan England. Bulan Mac tahun berikutnya, Rajah memohon sekali lagi. Lord Palmerston membalas 3 bulan selepas itu dan memberi khabar gembira.
Malangnya, Sarawak terpaksa menunggu 15 tahun (Januari 1864) untuk mendapat bendera rasmi dan pengiktirafan dari kerajaan England sebagai sebuah negara dan 35 tahun lagi (Jun 1888) sebelum Britain dapat menjamin naungannya. Setelah bendera itu berjaya dirasmikan, Rajah Pertama melahirkan rasa kesal kerana tidak memasukkan Union Jack bersaiz kecil di dalam rekaan bendera Sarawak.
Penceritaan dari Letters from Sarawak
Letters from Sarawak merupakan koleksi surat-surat kiriman Puan MacDougall, isteri Biskop MacDougall pada 1851 kepada anak lelaki mereka, Charley yang bersekolah di England. Surat itu menceritakan upacara bendera Sarawak dinaikkan buat pertama kalinya. Isi kandungan surat itu kemudiannya diambil dan diterbitkan oleh Persatuan Penyebaran Kitab Injil untuk mengutip derma bagi kerja-kerja gereja di Sarawak. Malangnya, Charley meninggal dunia setahun selepas itu akibat terkena pukulan bola kriket.
Antara baris ayat di dalam surat-surat milik Puan MacDougall ialah:
"Bendera Sarawak merupakan sebuah palang ungu dan merah, daripada baju perisai Sir James Brooke, dengan berlatarbelakangkan warna kuning yang merupakan warna diraja Borneo...Bendera ini diberikan oleh Rajah kepada rakyatnya apabila ia kembali dari England pada tahun 1848 dan saya ingat betul tentang majlis yang sungguh besar itu. H.M.S Meander pada waktu itu di Sarawak (nama lama bagi Kuching) dan pancaragam mereka memainkan God Saves the Queen sementara bendera dinaikkan buat pertama kalinya pada tiang bendera di depan rumah Rajah. Semua orang Eropah dihimpunkan di situ, dan kumpulan besar Bumiputera, Melayu dan Dayak. Berucap kepada mereka dalam bahasa Melayu, Rajah memberitahu mereka bahawa bendera yang diberikan kepada mereka pada hari itu akan, dia berharap, menjadi kemegahan dan perlindungan mereka, kerana bendera England itu miliknya...Orang-orang Melayu mendengar ucapannya dengan rasa penuh sayang dan hormat dan dari rumah saya di seberang sungai, saya dapat mendengar pernyataan gembira mereka..."
(Terdapat keraguan dalam kata-kata Puan MacDougall mengenai warna palang bendera kerana beliau menyaksikan peristiwa itu dari rumahnya di seberang sungai. Memandangkan beliau menulis surat itu untuk anak lelakinya yang jauh, mungkin beliau cuba memberi kisah yang menarik untuk tatapan anaknya)
Antara penulis lain yang menyebut tentang palang bendera Sarawak ialah penulis Gertrude Jacob dalam The Rajah of Sarawak (1876) namun penjelasan tentang warna palang itu dipetik dari ayat-ayat dalam surat milik Puan MacDougall.
Pembaharuan Bendera Sarawak
Pemberitahuan rasmi bendera Sarawak dikeluarkan oleh Rajah Kedua pada 7 Mei 1870. Pemberitahuan itu menitikberatkan ukuran bendera dan bilangan yang patut diberi di pejabat luar. Terdapat ayat yang mengatakan warna hitam digunakan bagi menggantikan warna biru. Mungkin dari situ bermulanya era palang hitam dan merah, menggantikan palang biru dan merah. Tidak ada penjelasan bagi perubahan itu kecuali surat-surat buku milik Rajah Kedua yang ditulis dalam keadaan marah-marah pada 1880, dialamatkan kepada Borneo Company Limited berkenaan dengan pengibaran bendera Sarawak di pejabat mereka di Singapura.
Surat itu mengandungi beberapa perkara seperti:
- Bendera Sarawak ialah bendera yang diatur di England di Pejabat Herald daripada Brooke Armorial Bearings.
- Perbezaan kecil pada palang, dari biru ke hitam, satu pembaikan pada sebuah bendera.
- Untuk nasihat itu, beliau membayar 100 pound kepada Pejabat Herald.
- Rajah Kedua memberi tiga buah bendera kepada 3 badan tempatan (S.P.G pada 1871, Syarikat Borneo pada 1874 dan Gereja Roman Katolik pada 1906)
- Bendera yang diberikan kepada Borneo Company Limited pada 1874 merupakan bendera Sarawak dengan tepi keliling berwarna biru. Terdapat sepucuk surat lain sebagai surat lanjutan yang bertarikh Mei 1880.
Walau bagaimanapun, bendera itu digunakan untuk seketika saja dan kemudiannya ditarik balik. Terdapat dua alasan yang baik; samada bendera itu terlalu hodoh atau orang Cina tidak dapat menerima warna biru di tepi kerana mereka menganggap warna itu tanda berkabung dan tidak membawa tuah dalam perniagaan.
Untuk bendera yang diberikan kepada Gereja Roman Katolik pada 1906, ia dikibarkan di hadapan ibu pejabat R.C pada hari jadi Yang Mulia Rajah Muda. Satu perbarisan kehormat diadakan dan memberi hormat dengan tembakan senapang. Upacara itu diakhiri dengan Mazmur yang dinyanyikan oleh budak sekolah.
Rajah Kedua juga memberi kuasa kepada Encik D.J.S Bailey, pegawai kerajaan Sarawak (1888-1909) yang berkhidmat sebagai Residen Simanggang (kini Sri Aman) untuk mengibarkan dan menggunakan bendera Sarawak pada bila-bila masa dan difikirkan perlu untuk memperingati khidmat murni dan cemerlang abang Bailey iaitu Demetrius di Sarawak.
@themagi2014
Rujukan:
Sketch of Our Life At Sarawak by Harriette MacDougall (Ebook Gutenberg)
Sarawak Long Ago by W. J Chater (diterjemah oleh Abdul Ghaffar Laili, 1994)
Bendera Negeri Sarawak Sarawak Government Portal
Hari ini dalam Sejarah by Hasfiza, 2012 Arkib.gov.my
No comments:
Post a Comment