cetakan baru Dawama |
Hari ni, aku stumble at buku-buku lama keluaran DBP. Well, buku-buku lama, especially hikayat memang terkenal dari segi gaya bahasa. Memang sangat melampau-lampau dan berjela-jela panjangnya. Sejarah Melaka, Sulalatus Salatin antara karya hikayat Melayu lama yang sarat dengan gaya bahasa. Ada macam-macam; metafora, simile, hiperbola, peribahasa, pantun, seloka, gurindam, syair dan lagi dan lagi.
Tapi buku Hikayat InderaPutera, keluaran pertama pada tahun 1968 dan dicetak semula pada 1973 antara buku yang sarat gile dengan gaya bahasa. Sori, bahasa melayu aku tak baku kat sini. Apa-apapun, hikayat InderaPutera ni sebenarnya himpunan transkripsi lama dan turut disimpan dalam bentuk microfische dan mikrofilem (di The Hague). Microfische terakhir didapati dalam tulisan rumi Indonesia naskhah tahun 1719. Naskhah Inderaputera dalam simpanan DBP didapati tidak lengkap jadi banyak persoalan yang wujud dengan penulis hikayat yang tidak diketahui dan zaman sebenar penulisan hikayat ni bermula. Sejujurnya, aku rasa hikayat ni datangnya dari tanah seberang.
Hikayat InderaPutera: kisah apa?
Hikayat ni berkenaan dengan putera raja Bikrama Buspa negeri Samanta Puri, dilarikan oleh merak emas lalu jatuh ke taman bunga nenek kebayan. Di situ, InderaPutera membesar dan kemudian berkhidmat dengan Maharaja Syahian lalu bertemu dengan Berma Sakti yang menginginkan ubat beranak. Demi mendapatkan ubat beranak Berma Sakti, InderaPutera dihantar mengembara dan berdepan dengan kisah-kisah ajaib serta cabaran. Dalam masa yang sama, Inderaputera bertemu dan berkahwin dengan 4 orang puteri raja dan akhirnya InderaPutera bertemu semula dengan bapanya, Bikrama Buspa. Kemudian InderaPutera ditabal menjadi Paduka Sultan Mengindera.
Pengaruh Budaya dalam InderaPutera
Pengaruh Hindu memang jelas dalam InderaPutera. InderaPutera digambarkan sebagai watak utama yang kacak, digilai ramai wanita, mempunyai kuasa sakti, ikan dan ketam boleh bercakap, kemunculan merak emas (merak ialah simbol haiwan suci bagi Hindu) dan penggunaan busur dalam bertempur dengan musuh.
Dalam masa yang sama, pengaruh Islam boleh dilihat menerusi penggunaan nama Allah serta nama-nama Islam yang lain seperti Raja Tahir Johan Syah, Nobat Rom Syah, Jin Islam dan pelbagai puji-pujian terhadap kekayaan Tuhan Maha Besar. Pertembungan dua pengaruh ini menjadi perdebatan sarjana Timur dan Barat, tidak dianggap sebagai kelemahan dari pihak pencerita yang asal tapi mungkin mahu mengekalkan suasana hikayat pada zaman perkembangan Islam.
Gaya Bahasa Yang Sarat Dalam InderaPutera
Sepertimana tajuk entri kat atas, InderaPutera memang sarat dalam membayangkan sesuatu benda. Perumpamaan yang digunakan memang hebat-hebat sokmo. Mengingatkan aku dengan Hikayat Raja Donai dan Bahtera Kulit Kacang. Cerita tu pun melampau-lampau gaya bahasanya. Maklumlah, hikayat dulu-dulu. Ni aku petik sedikit perenggan, beberapa potong ayat kegemaran aku dalam buku ni walaupun sebenarnya buku ni dari A-Z penuh dengan gaya bahasa. Dan sesungguhnya aku tak tipu, pencerita asal buku ni memang tinggi imaginasinya.
Mukasurat 27, Bab V: Dua Geliga Hikmat:
"Maka dilihat olehnya InderaPutera pasirnya itu daripada emas urai dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahadan gerseknya daripada mantika dan rumput daripada kuma-kuma dan airnya seperti bau kasturi dan tepi tasik itu beberapa pohon anggur dan pohon zabib dan pohon delima dan buah-buahan yang indah-indah di tepi sungai itu..."
Mukasurat 40, Bab V: Dua Geliga Hikmat:
"Arakian ia pun berjalan menuju mahligai tuan puteri itu Seri Ratna Gemala Nehran. Maka dilihat oleh InderaPutera perbuatan mahligai itu pagarnya daripada jala-jala besi kharsani dan pintunya itu daripada emas sepuluh mutu bertatahkan ratna mutu maknikam dan terlalulah indah-indah rupanya itu sekali eloknya."
Mukasurat 85, Bab VIII: Kuda Janggi Gerdana:
"Maka berkata bayan seraya menghamparkan sayapnya, katanya, Ya tuanku anak raja Indera, tahukah tuanku akan Puteri Seri Lela Gading nama timang-timangan Tuan Puteri Cendera Lela Nor Lela di padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu maknikam. Adapun parasnya itu terlalulah elok darjahnya dan rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seribulan dan keningnya seperti bentuk taji dan matanya seperti bintang timur, dan hidungnya itu seperti laksana kuntuk meliur dan telinganya seperti telepuk layu, dan pipinya seperti pauh dilayang, dan bibirnya itu seperti pati dicarik, dan giginya itu seperti delima merekah dan lidahnya itu seperti laksana kembang seroja dan dagunya itu seperti lebah bergantung, dan lehernya itu laksana kumbah dilarik, dan bahunya itu seperti sampiran, dan lengannya itu laksana dastar gulung dan jarinya itu seperti duri landak dan dadanya itu umpama lengkung pelangi, susunya itu seperti telur burung, dan pinggangnya bunga setangkai, dan pahanya seperti paha belalang dan betisnya seperti laksana batang padi, dan sikapnya seperti merak mengigal." (siyes, bayangkan macam mana rupa puteri raja ni)
Mukasurat 144, Bab X: Bota Yang Makan Manusia:
"Setelah sudah genaplah peri yang demikian hatta maka Tuan Puteri Seribulan pun dihiasi oleh orang pula beberapa dengan pakaian yang keemasan bergelang awan dipahat dan bercincin intan dan pedaka dan bersawat sandang berkilat-kilat rupanya dan pontoh bernaga ditatahkan dengan permata dan bermalai intan dikarang gemerlapan seperti bintang di langit rupanya."
@themagi2014
Ruj: Hikayat InderaPutera (1973), Dewan Bahasa dan Pustaka
No comments:
Post a Comment