Wednesday, 3 September 2014

Trip to Asajaya

Hari Isnin, 1 September 2014. Selepas hari 31 Ogos yang jatuh pada hari Ahad, hari Isnin hari yang santai untuk berjalan-jalan. Jadi, aku dan parent pun keluar seawal jam 8 pagi dari Kuching ke Asajaya. Yang peliknya, kenapa Asajaya jadi tempat pilihan? Sebenarnya, mak aku mengidam siang dan malam nakkan tempayan antik. Maka sebab itulah kami bertiga ke sana, semata-mata disebabkan tempayan.

Bertolak jam 8 pagi dan sampai di Asajaya pada pukul 9:30 pagi (guna jalan darat sepenuhnya), ada bermacam-macam benda yang aku lihat sepanjang perjalanan. 


Sedikit info pasal Asajaya>>
Papan tanda ke
Asajaya(ke kanan)dan
khidmat feri (ke kiri)

Dahulu, kawasan ini dikenali sebagai kampung Nonok, perkampungan orang Melayu yang juga dihuni oleh masyarakat Cina dan Iban.  Kawasan Asajaya berkeluasan 443 kaki persegi dan populasi penduduk berjumlah 32,000 orang. Kebanyakan orang Melayu berasal dari Saribas iaitu dari kawasan Serembang dan penduduk di sini mempunyai rentak bahasa yang berbeza dari penduduk di Kuching. Pada 1988, nama Kampung Nonok ditukar menjadi Asajaya disebabkan maksud nama 'Nonok' merujuk kepada alat sulit perempuan. Asajaya terkenal dengan Pesta Ambal, sejenis siput buluh yang enak dimasak lemak atau sambal dan kemudian Ambal dijadikan sebagai simbol Asajaya. Namun, simbol Ambal ditukar menjadi kelapa memandangkan bentuk Ambal menyerupai seperti alat sulit lelaki. Pada sekitar 80-an, tiada jalan darat yang menghubungkan Kuching ke Asajaya dan semuanya bergantung pada khidmat kapal dan feri. Naik taraf jalan bermula pada 1990 dan kini, jalan darat menjadi pilihan pengguna jalan raya selain dari khidmat feri.

Pasar berdekatan dengan Batang
Samarahan
Bagi pengunjung yang sukakan pemandangan hijau dan segar, perjalanan ke Asajaya sangat menarik. Di kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan pokok-pokok rambutan, jagung, kelapa tinggi melangit, kebun sayur, padi huma, gerai-gerai yang menjual buah-buahan seperti nanas, cempedak, terap dan segala jenis buah-buahan tempatan bermusim, telur itik masin, biskut tradisional seperti kuyak, bahulu dan sebagainya. Sayur tempatan seperti midin dan rebung juga dijual dengan harga yang lebih murah. Harga udang dan ketam juga jauh lebih murah berbanding di Kuching dan tempayan-tempayan antik untuk hiasan rumah juga boleh dilihat di luar rumah penduduk. 

Jambatan Batang Samarahan
Dari Kuching ke Asajaya, perjalanan bermula dari simpang masuk UiTM Samarahan dan melalui banyak perkampungan Melayu dan beberapa batang sungai yang dihubungkan dengan jambatan. Aku sempat catatkan nama-nama sungai yang kami lalui sebelum tiba ke Asajaya,

1. Sg. Meranek
2. Sg. Empila
3. Batang Samarahan
4. Sadong Canal
5. Sg. Mata
6. Sg. Semawang
7. Sg. Sui
8. Sg. Sabang
9. Moyan Canal
10. Sg. Serpan
11. Asajaya Canal


Kumbang mengawan
di sebalik daun bebuas/
daun singkil
Bunga pokok cepak
Asajaya yang masih dilitupi dengan kesegaran alam sekitar dan tumbuhan hijau sesuai bagi penggemar bidang fotografi. Ada banyak tumbuhan, serangga, haiwan dan juga seni bina rumah lama yang menarik untuk dijadikan subjek. Terdapat tumbuhan yang kini jarang dilihat di sekitar Kuching seperti tumbuhan menjalar yang dikenali sebagai 'cepak'. Buah cepak ditutupi oleh bebulu jaring yang halus dan apabila buah cepak menguning, isinya boleh dimakan dan rasanya manis. Buah cepak tidak dijual di mana-mana, melainkan anda masuk ke dalam celah semak dan kutip sendiri. Sekitar tahun 80-90an, buah cepak sangat mudah didapati di tepi jalan di bandaraya Kuching. Tapi sekarang, buah cepak agak sukar untuk diperolehi memandangkan banyak kawasan Kuching telah dimajukan menjadi pusat komersil dan sebagainya.


Burung 'CCTV' yang
 berusia lebih sedekad
Tempayan antik
dari Asajaya
Sebaik saja sampai di Asajaya, niat nak mendapatkan tempayan diteruskan. Aku dan parent singgah di rumah mak cik yang tinggal di Asajaya. Suaminya bekerja sebagai penangkap ketam dan udang. Ketam yang ditangkap biasanya menggunakan jaring perangkap bulat manakala udang pula ditangkap menggunakan tangan sahaja dan teknik itu dikenali sebagai 'menyepa' atau 'sepa' udang. Hasil yang diperolehi hanya menggunakan tangan boleh mencecah 100kg. Aku tertarik dengan burung bacang/merpati yang mereka jaga sebab sangat gemuk dan sangat jinak, fungsi burung ni dah macam CCTV sebab setiap kali orang lalu burung ni buat bising. Ayam belaan mereka juga tak ada rumah reban tapi tak pernah lari dari tuan dan semuanya tidur atas pokok cermai yang berbuah lebat.

Dan sebelum pulang semula ke Kuching, apa yang mak aku idamkan akhirnya menjadi kenyataan. Dua bijik tempayan antik yang entah tahun bila agaknya dibawa pulang dan seekor ayam kampung paruh hitam yang gemuk dan menyelerakan diberi secara percuma. Mak cik aku memang terr-boek~


@themagi2014
ruj.info: 
theborneopost.com/indecent tale of Asajaya
Wikipedia/Asajaya

No comments:

Post a Comment