credits: isigood.com |
Salam Khamis, dengan entri pendek kedua. Dengan kuasa hotspot, aku tak nak sia-siakan 1GB dengan melayari FB semata-mata. Lebih baik aku kongsikan sedikit pembacaan di blog. Sekarang masih bulan puasa dan dalam minggu inilah, puasa Ramadhan di tahap klimaks. Semoga puasa dan segala amal kebajikan kita diterimaNya.
Hakikat Manusia
Allah SWT mencipta makhluk dengan 3 bahagian. Yang pertama, malaikat yang hanya diberi akal tetapi tidak diberi syahwat. Yang kedua, haiwan diberikan syahwat tetapi tidak diberi akal. Yang ketiga, manusia yang diberi akal dan syahwat. Sebagai sebaik-baik ciptaan, manusia yang dapat mengawal nafsunya dan menggunakan akalnya, mereka adalah lebih baik dari malaikat. Tapi jika akal dikalahkan oleh syahwat, maka haiwan jauh lebih baik dari mereka.
Sebahagian ulama mengatakan: "Barangsiapa telah dikuasai oleh nafsunya maka dia akan menjadi hamba syahwatnya. Ia meringkuk dalam penjara kegilaannya. Dan hatinya semakin lalai. Barangsiapa menyirami bumi tubuh ini dengan syahwat, bererti dia telah menanam pohon penyesalan dalam hatinya."
Jelasnya, manusia tidak pernah lari dari syahwat. Akibat syahwat perut, Nabi Adam as dan Hawa dikeluarkan dari syurga kerana tidak dapat menahan godaan buah khuldi. Secara dasarnya, syahwat perut adalah permulaan terhadap sumber segala syahwat.
Bahaya Syahwat
Syahwat merupakan kehendak yang bahaya, membuatkan raja menjadi hamba. Ia berlaku pada Zulaikha yang jatuh cinta pada Nabi Yusuf sehingga sanggup berdusta dan memfitnah. Dalam menentang syahwat, sabar membuatkan budak menjadi raja. Ia berlaku pada Nabi Yusuf yang menjadi raja Mesir kerana kesabarannya.
Dalam menentang syahwat, sabar dapat dididik dalam mengenal lapar dan haus. Lapar dan haus itu menjadi asas kepada umat Islam dalam berpuasa di bulan Ramadhan, sebagai disiplin diri dalam menundukkan kehendak yang mengheret ke Neraka. Malah, kitab Perjanjian Ibrani Lama juga menyebut bahawa gelojoh (gluttony) dianggap sebagai penyumbang kepada dosa-dosa yang lain kerana bersikap berlebih-lebihan, membazir, tamak, kurang moraliti dan akhirnya menindas golongan yang tidak berkemampuan.
Memahami Kelaparan
Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu menjalar dalam tubuh manusia bagaikan aliran darah. Maka bendunglah aliran itu dengan lapar!" dan "Jihad paling utama adalah memerangi nafsu."
Konsep tersebut menjadi perkara utama di bulan Ramadhan dalam memahami kelaparan kerana melawan nafsu jauh lebih besar dari perang kerana nafsu ialah musuh yang tidak kelihatan. Diceritakan bahawa Abul Hasan Ar Razi bertemu ayahnya yang mengenakan pakaian dari aspal. Apabila Ar Razi bertanya kenapa ayahnya berpakaian seperti ahli Neraka, bapanya menjawab: "Wahai anakku, nafsu telah mengheret aku ke Neraka. Maka takutlah engkau wahai anakku, terhadap tipuan nafsumu."
Dalam memahami makna kelaparan, Hatim al-Ashom berkata: "Nafsu tempat peristirehatanku, ilmu adalah pedangku dan dosa adalah kegagalanku sedangkan syaitan itu musuhku. Aku dikhianati oleh nafsu." Oleh itu, manusia yang paling dekat dengan Allah kelak pada hari Kiamat adalah orang yang paling kuat menahan haus dan lapar.
Sesungguhnya aku diuji 4 perkara, selalu menjeratku dalam binasa,
Iblis, dunia, nafsu dan syahwat.
Bagaimana selamat sedangkan mereka musuh semuanya.
Kulihat syahwat merayu anganku.
Di kegelapan syahwat dan keinginanku.
Semoga makna kelaparan di bulan Ramadhan menjadi pengajaran untuk akal kita.
@theMaGi2015
petikan dari Mukashafah al Qulub
No comments:
Post a Comment