credits: alumnimaterdei.com |
Ramadhan ialah perjuangan, AidilFitri ialah kemenangan. Umumnya, manusia menyukai kemenangan. 1 Syawal ialah hari yang dinamakan sebagai Id (hari raya) setelah selesai menunaikan kewajipan kepada Allah SWT dan RasulNya.
Bila sebut pasal Raya, meloncat rasa hati nak beli pakaian serba baru dari atas kepala sampai ke bawah kaki. Menghiasi diri dengan pakaian-pakaian yang baik, berwangi-wangian dan membersihkan diri adalah perkara yang disukai oleh Allah SWT. Perkara yang seterusnya disukai oleh Allah SWT ialah menunaikan solat AidilFitri. Nabi SAW melakukan solat AidilFitri pada tahun kedua setelah Hijrah, hukumnya sunat muakad dan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya.
Meraikan Kemenangan
Dalam meraikan kebahagiaan 1 Syawal, kemenangan selepas berjuang di bulan Ramadhan mestilah dihiasi dengan takbir. Sepertimana umat menghiasi diri dengan pakaian bersih serba baharu, takbir ibarat panji.
Dari Abu Hurairah ra: "Hiasilah hari rayamu dengan takbir."
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa membaca Subhanallah wa bihamdihi pada hari raya 300 kali, serta menghadiahkannya kepada kaum muslimin yang telah mati maka dalam setiap kubur akan memancar 1000 nur dan ketika dia mati, Allah akan menjadikan untuknya 1000 nur."
Tumbuhnya Pohon Tuba
Dari Wahab bin Munabbah ra: "Sesungguhnya Allah menjadikan syurga pada hari AidilFitri, juga pada hari itu Allah menanamkan pohon tuba. Malah Jibril juga memilih hari itu untuk menurunkan wahyu. Para tukang sihir Firaun bertaubat di hari itu."
Pokok Tuba atau Thuba merupakan tanaman di syurga. Pohon ini besar dan luas, jarak untuk melaluinya memerlukan 100 tahun perjalanan dan pohon ini tidak akan putus. Sabda Nabi SAW ada menyebut bahawa pakaian-pakaian ahli syurga keluar dari tangkai pohon ini. Allah SWT juga berfirman dalam surah Al Waqiah ayat 30-33:
"Dan naungan (pohon) yang terbentang luas. Dan airnya yang tercurah. Dan buah yang banyak. Yang tidak berhenti (buahnya) serta tidak terlarang mengambilnya."
Sesungguhnya, kebaikan dari pohon Tuba ini adalah kemenangan ukhrawi dalam kita mengenal kemenangan duniawi.
Godaan Kemenangan
Kemenangan dapat melekakan manusia. Dari Wahab bin Munabbah ra bahawa Iblis amat sedih apabila tiba hari raya. Mereka berkumpul lalu berkata, "Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?" Pemimpinnya berkata, "Sesungguhnya Allah telah mengampuni umat Nabi Muhammad pada hari ini. Kau semua mesti bekerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat!"
Maka, Nabi SAW telah bersabda: "Barangsiapa beribadah pada malam hari raya kerana mengharapkan redha Allah tidak akan mati hatinya pada hari di mana hati-hati semua mati."
Jadi, pada pagi Syawal nanti, janganlah kita menyambut kemenangan dengan berlebih-lebihan. Jangan jadikan hari kemenangan sebagai hari kekalahan :)
@theMagi2015
petikan Mukashafah al Qulub
rujukan tadriburrowi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment