Credits: Tripadvisor |
Lane Building merupakan bangunan lama abad ke-19 yang kini menjadi hub perniagaan peniaga Cina seperti kopitiam, kedai makan, kedai pastri dan juga kraftangan. Lane Building terletak tidak jauh dari pusat membeli-belah Plaza Merdeka yang beroperasi pada tahun 2012 dan juga bersebelahan dengan deretan rumah kedai di Kai Joo Lane.
Kewujudan Lane Building di Kai Joo Lane mempunyai cerita tersendiri kerana Kai Joo Lane berada di laluan jaringan seperti Ban Hock Lane dan Jalan Court House. Ketiga-tiga laluan tersebut saling berhubung dengan India Street yang beroperasi selama 160 tahun. Malah Kai Joo Lane sendiri wujud pada era Brooke.
Lane Building
Lane Building merupakan bekas pejabat untuk sebuah syarikat guaman yang direka oleh pereka tempatan, Yap Han Boon di Kai Joo Lane. Struktur Lane Building dibina dengan gaya klasik seperti jubin bumbung kaca yang berwarna hijau jed, tingkap kecil kayu belian, dan jendela gaya pengatup Cina. Tidak banyak maklumat spesifik mengenai Lane Building itu sendiri.
Kai Joo Lane
Kai Joo Lane mendapat nama dari seorang peniaga Teochew yang mula-mula membuka rumah kedai di laluan tersebut. Beliau, Teo Kai Joo (1870-1924) membuka 32 buah rumah kedai pada 1923. Laluan tersebut diberi nama sebagai Kai Joo Lane oleh Charles Brooke. Terdapat anekdot menyatakan bahawa Charles Brooke berkawan baik dengan Teo Kai Joo dan berkunjung ke kedai peniaga tersebut jika ada masa terluang.
Walaupun Charles Brooke menamakan laluan tersebut sebagai Kai Joo Lane, ia dikenali sebagai 'sar lee hung' dalam dialek Teochew dan Hokkien yang bermaksud atap zink- merujuk kepada rumah kedai yang didirikan dengan batu bata berwarna coklat kemerahan dan atap zink.
Kemudian, ia mendapat gelaran baru iaitu 'kua ca hung' yang bermaksud jalan keranda kerana perniagaan membuat keranda beroperasi di laluan tersebut. Nama tersebut kekal untuk beberapa ketika sehinggalah kedai keranda tersebut menamatkan operasi.
Kini, Kai Joo Lane meneruskan operasinya sebagai hub perniagaan makanan yang aktif pada sebelah malam dan Lane Building sendiri menjadi tempat penginapan yang menawarkan suasana lokaliti dan juga diselitkan dengan elemen sejarah-sesuai dengan kewujudan Lane Building di laluan bersejarah seperti Kai Joo Lane.
rujukan:
@themagi2017
No comments:
Post a Comment