Monday 19 February 2018

Sejarah Perkapalan di Sarawak

Selamat petang, Magians! Entri kedua untuk bulan Februari. Bulan cinta, kononnya. Tapi bulan ni bulan yang tough. Dapat penyakit, dapat ceramah free dan dapat stres. Tapi nasib baiklah mood aku baik. Aku malaslah nak stand still dengan benda-benda macam tu. Lebih baik move on. Well, positive thinking. Dalam hidup ni kita kena positif.

Okay, kembali ke topik asal. Sebenarnya, aku nak kongsikan pembacaan aku dari buku Tenggelamnya Pulau Kidjang (dan dari buku-buku yang lain). Seperti yang aku sebut dalam entri sebelum, buku ni banyak info tambahan yang aku rasa aku patut kongsikan dalam entri kali ni. Kata orang, sharing is caring.

Sejarah Awal Perkapalan di Sarawak

Image result for the royalist brooke
Image Credits: dawlishchronicles.com
Pengangkutan air memainkan peranan penting di Sarawak suatu masa dahulu. Kedudukan geografi Sarawak yang dilingkari dengan aliran sungai menjadi penghubung antara satu tempat ke tempat yang lain. Pada era Brooke, kapal merupakan perkara penting sebagai meidum pengangkutan harian, perdagangan, peperangan dan sebagainya. Aku pernah kongsikan artikel mengenai senarai nama kapal yang pernah digunakan pada era Brooke dan turut dikongsikan di page Facebook Planet Sarawak dengan tajuk Kapal-kapal Era Dinasti Brooke di Sarawak. Dan aku pernah kemaskini satu entri berkenaan dengan kapal Maimuna yang bertajuk Rajah Brooke's Ship: The Maimunah

The Shipping Office merupakan satu syarikat perkapalan di Sarawak suatu masa dahulu. Catatan sejarah menyebut bahawa James Brooke tiba di Sarawak menggunakan jalan laut pada era pemerintahan Kesultanan Brunei dan beliau tiba pada 15 Ogos 1839 menggunakan kapal Royalist (menerusi Brooke Heritage Trust, kapal Royalist di dalam perancangan untuk dibina semula replika di Plymouth dan baru selesai dalam peringkat fasa pertama). Menerusi pelayaran di Asia Tenggara, James Brooke mengetahui antimoni banyak terdapat di Sarawak.

Pada 5 Julai 1843, H.M.S Samarang tiba di muara Sungai Sarawak. Seterusnya pada 25 Julai 1843,  Sir Henry Keppel tiba bersama  kapal diraja British H.M.S Dido diiringi oleh sebuah lagi kapal H.E.I.C.S Phlegethon. James Brooke melawat ke Sarikei dengan menaiki kapal H.E.I.C.S Phlegethon.

Kedatangan James Brooke, permulaan dinasti Brooke dan penglibatan awal keluarga Brooke ketika itu telah memulakan era Sarawak moden. Jalan sungai dan laut menjadi sistem perhubungan penting Sarawak dengan dunia luar. Walaupun usaha membina jalan darat dijalankan tetapi pembinaan terhad di kawasan bandar. Maka jalan air menjadi keutamaan di Sarawak.

Kepentingan Jalan Air, Kapal dan Sejarah Pertempuran Beting Maru

Image result for beting maru
Image Credits: sarawakdayakheritageand
variousstories.blogspot.com
Sejarah pertempuran Beting Maru bermula di anak tanjung Batang Maru yang terletak di Simanggang (kini dikenali sebagai Sri Aman). Pertempuran tersebut berlaku pada 31 Julai 1849 dan James Brooke sendiri yang mengetuai angkatan perang dan belayar menuju ke Sri Aman. Sejarah mencatatkan beliau menaiki kapal Rajah Singh pada 24 Julai 1849, dianggotai oleh 640 orang Melayu ke Batang Lupar dan menumpaskan lanun yang bermaharajalela di pesisir perairan Sarawak.

Selain kapal Rajah Singh, terdapat beberapa buah lagi kapal perang British yang turut serta seperti kapal Nemesis, Royalist dan Ranee. Pertempuran ini juga disertai oleh 7 buah kapal perang kecil, juga 70-80 buah perahu milik orang Dayak Sungai Lundu dan Sugai Balau, orang Melayu dari Samarahan dan Batang Sadong. Peristiwa pertempuran itu membuktikan jalan air merupakan penghubung dan komunikasi penting bagi penduduk Sarawak dengan dunia luar. Namun tarikh sebenar bermulanya sistem pengangkutan air di Sarawak tidak dapat dipastikan. Malah, sistem pengangkutan air di Sarawak dipercayai telah wujud sejak sekian lama sebelum kedatangan keluarga Brooke.

Syarikat Perkapalan era Brooke:  The Borneo Company Limited

Ia merupakan syarikat milik orang Eropah yang ditubuhkan pada tahun 1856 dan ia menjalankan urusan perdagangan di Sarawak dengan dunia luar dan turut mengendalikan aktiviti pengangkutan laut.

Image result for the borneo company
Image Credits: themaidensgiedd.blogspot.my
Penubuhan Jabatan Laut Sarawak bermula sebagai The Shipping Office pada tahun 1873 dan ia menjadi bukti kewujudan pengangkutan air di Sarawak secara rasmi walaupun sistem pengangkutan ini sudah lama digunakan. Pada awal penubuhan, bilangan kakitangan cuma 10 orang dan diketuai seorang pegawai British.

Hal ehwal perhubungan dengan dunia luar pula diuruskan oleh Post, Shipping & Customs Department pada awal pentadbiran Sarawak dan pentadbiran pejabat terbabit sentiasa berbeza. Pada 1874, The Shipping Office akhirnya memiliki pejabat sendiri dan diletakkan di bangunan The Public Office. Selain pejabat The Shipping Office, ia juga menempatkan beberapa pejabat kerajaan lain dan pernah dijadikan Mahkamah Tinggi.

Selepas tahun 1922, satu perintah baru dikeluarkan iaitu The Shipping Office bekerjasama dnegan Trade and Customes Department Sarawak untuk urusan hal ehwal perdagangan. Perintah baru ini dikeluarkan sesuai dengan kepentingan jalan laut dan fungsi utama pengangkutan air dalam urusan perdagangan di Sarawak. Seterusnya, The Shipping Office (turut dikenali sebagai The Marine Department) berpindah ke bangunan Godown No.6 di Main Bazaar (sekarang tebingan Kuching) dan pada Oktober 1930, Jabatan Laut Sarawak dipindahkan ke bangunan The Custome House yang juga terletak di Main Bazaar. Kemudian, Jabatan Laut Sarawak dipindahkan sekali lagi untuk projek pembangunan Bandaraya Kuching dan pada awal tahun 1988, Jabatan Laut Sarawak beroperasi di Tanah Putih, Pending.

Sejarah Penubuhan Sarawak Steamship Company

Image result for sarawak steamship company
Image Credits: sarawaktourism.com
Sarawak Steamship Company merupakan syarikat perkapalan komersial pertama di Sarawak dan ia ditubuhkan pada 1 Julai 1875 oleh Straits Steamship Company Limited yang berpangkalan di Singapura. Peranan Jabatan Laut Sarawak diperluas dan berubah sejajar dengan perkembangan semasa. Antaranya, tanggungjawab Shipping Master atau Harbour Master terhadap soal-soal berkaitan dengan kapal perdagangan telah diperluas kepada hal ehwal keselamatan membabitkan kapal-kapal tempatan, bot kecil dan perahu penambang serta kebajikan anak-anak kapal tempatan.
Peraturan sijil pelepasan pelabuhan yang dicadangkan pada 1872 dikuatkuasakan pada tahun 1920 dan dikenali sebagai Aturan 1920. Ia merupakan sistem pemeriksaan kapal keluar masuk ke dalam perairan Sarawak sebelum memperolehi sijil pelepasan pelabuhan. Peraturan dan undang-undang awal itu juga meliputi Aturan Post Office, Aturan Pemeriksaan Kapal-kapal kecil, Aturan Kapal-kapal Ikan dan beberapa aturan lagi yang melibatkan aktiviti perkapalan laut. Sejak dari awal tahun 1958 iaitu melalui peraturan The British Registry, setiap kapal di Sarawak perlu berdaftar dengan Jabatan Laut Sarawak dan kapal-kapal tersebut akan menjalani pemeriksaan setiap tahun sebelum sijil keselamatan dikeluarkan.

Pada tahun 1942, sijil pengiktirafan pelaut telah diperkenalkan bagi mengawal bilangan anak-anak tempatan yang menjadi pelaut. Kesatuan pekerja Jabatan Laut Sarawak ditubuhkan pada tahun 1963. Ia berperanan untuk menjaga kebajikan sosial anak-anak kapal dan memberikan penerangan mengenai perancangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Laut Sarawak. Apa yang menariknya, rekod Jabatan Laut Sarawak menunjukkan pelepasan pelabuhan yang dikeluarkan oleh The Shipping Office sebelum Perang Dunia ke-2 dan selepasnya menggunakan tulisan Jawi.

Fakta-fakta Lain Mengenai Sejarah Perkapalan di Sarawak
  • Encik Awang Mantali bin Awang Bujanh merupakan pemegang pertama sijil pelaut dan pernah bekerja di atas kapal milik Sarawak Steamship Company.
  • Kapal Sri Harum Muda antara kapal layar tradisional yang pernah beroperasi di perairan Sarawak pada sekitar tahun 1950-an.
  • Sijil perahu penambang terawal yang pernah dikeluarkan ialah pada tahun 1951 iaitu lesen dikeluarkan kepada Encik Mail Bin Daud.
  • Penggunaan kapal kecil bermula di Sungai Rajang pada tahun 1910, diperkenalkan oleh seorang mubaligh Kristian dari Pennsylvania (USA) iaitu Rev.James Hoover.
  • Perkhidmatan bot ekspress bermula pada awal tahun 1960.
  • Selepas penubuhan Sarawak Steamship Company, beberapa syarikat perkapalan ditubuhkan seperti The Hua Siang Steamship Company, The Borneo Company, South East Asia Shipping Sdn.Bhd. dan Messrs Central Shipping Company.
  • Antara kapal dagang dan penumpang yang dikenali penduduk tempatan pada awal tahun 1950-an ialah  M.V Tambali, M.V Ong Tiang Swee, S.S Meluan, M.V Dido, M.V Rejang, M.V Rajah Mas dan M.V Pulau Kidjang.
  • Kapal A.V Rulla merupakan kapal terawal milik Sarawak Steamship Company dan berperanan sebagai kapal kargo/penumpang.
  • S.S Marudu milik Straits Steamship Company menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari Kuching ke Miri dan juga North Borneo (sekarang Sabah).
  • The Hua Siang Steamship Company mempunyai 2 buah kapal kargo/penumpang iaitu M.V Hua Li dan M.V Hua Heng.
  • Antara kapal milik keluarga Brooke yang terkenal selain Royalist ialah H.H.S.Y Aline, H.H.S.Y Zahora, H.H.S.Y Maimuna dan H.H.S.Y Shorna. Kapal Zahora kini dikenali sebagai Seri Sarawak dan berkhidmat sebagai kapal kerajaan.
  • Kapal M.V Auby, M.V Rajah Mas (nama asalnya M.V Rejang), dan M.V Pulau Kidjang merupakan kapal kargo/penumpang yang popular di Sarawak suatu masa dahulu.


@theMaGi2018
ruj:
Tenggelamnya Pulau Kidjang| Sarawak Suatu Masa Dahulu| Brooketrust.org| Britishpathe.com| White Rajah by Nigel Barley

No comments:

Post a Comment