Sunday 1 June 2014

Kerajaan Silam Sarawak

Dinasti Brooke di Sarawak merupakan sejarah kerajaan silam yang terkenal di Sarawak. Catatan lama menunjukkan kegemilangan Dinasti Brooke selama 100 tahun, bermula dengan kisah pengembaraan James Brooke ke Borneo, menjadi Rajah, dan meninggalkan legasi di Sarawak sehingga sekarang. Walaupun kesan pensejarahan Brooke sangat jelas di Sarawak dan tidak semua menyukai penstrukturan fakta ini, kedatangan keluarga Brooke (ataupun sebenarnya, Rajah Kedua dan Ketiga berketurunan Johnson) tidak dapat dinafikan. Apa yang patut diperbetulkan ialah, hakikat kedatangan Brooke ialah pada era Sarawak Baru.

Sarawak Lama & Sarawak Baru


Sarawak dibahagikan kepada dua era iaitu Sarawak Lama dan Sarawak Baru. Sarawak Lama merupakan era pengenalan terhadap kuasa-kuasa besar dari seberang iaitu empayar Majapahit dan Srivijaya, serta penyebaran kuasa kerajaan Brunei . Terdapat banyak kerajaan silam yang wujud di Sarawak di dalam beberapa kawasan besar seperti Sawaku (Kuching), Samarahan, Saribas, Kalaka dan Malanau. Kerajaan silam ini berterusan hingga ke beberapa kawasan besar di Sabah seperti Silam, Sugut, Tungku dan Kinabatangan. Pada suatu ketika dahulu, kerajaan Brunei dikenali sebagai kerajaan Boni dan dikatakan nama 'Borneo' sendiri berasal dari perkataan 'Boni'.

Kerajaan Silam di Sarawak

1. Boni (Brunei)


Kerajaan Boni mempunyai sejarah yang panjang dan berterusan sejak dari abad ke-9 dan berjaya menjadi empayar yang besar. Ia menjadi entiti unggul di sebelah zon politikokultural Melayu dan kedudukan kerajaan ini juga tidak jauh dari penempatan awal pra sejarah Gua Niah.

Terdapat spekulasi bahawa kerajaan tua Kutei wujud lebih awal dari kerajaan Srivijaya sekitar 400 masihi dan ia terletak di garis selatan dari Gua Niah dan Brunei. Menurut catatan purba Awang Muhammad Jamil Al-Sufri dari Arab, dikatakan munculnya seorang lelaki yang berkahwin dengan 14 orang wanita dan memberi nama sebuah negeri sebagai 'Barunah'. Lelaki itu bernama Simaun, berbangsa Kelabit dan kemudian dikenali sebagai Awang Samaun. Menurut makna bahasa Kelabit, 'Maun' bermaksud tua. Menerusi Syair Awang Samaun pula, Awang Samaun bersama rakan seperjuangan mengembara dan menubuhkan negeri Barunah. Awang Alak Betatar dijadikan raja pertama kerana usianya yang paling tua, diikuti oleh Awang Samaun dan yang lain. Kuasa kerajaan Boni mula tersebar luas pada zaman pemerintahan Awang Alak Betatar dan ia juga merupakan era kejatuhan Majapahit yang berkuasa terlebih dahulu kerana Ratu Majapahit dan Patih Gajah Mada meninggal dunia seperti yang dicatatkan dalam Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni.

2. Santubong

Sejarah Santubong sangat banyak menerusi Syair Tarsilah Cetera Datu' Gudam dan Temenggung Abdul Kadir Negeri Saribas dan juga dalam Hikayat Datuk Merpati. Menerusi rujukan Hikayat Datuk Merpati terbitan DBP tahun 1989, dicatatkan bahawa Datuk Merpati dan saudaranya berketurunan dewa, jatuh di atas Gunung Jawa yang bernama Munggu Angus dan mereka mengembara ke Johor, Sikudana, Sambas dan Tanjung Datu. Datuk Merpati kemudiannya berkahwin dengan Datuk Permaisuri Kemala dan mempunyai tiga orang anak. Anak sulung, Merpati Jepang menjadi pengganti bapanya dalam meneruskan pemerintahan kerajaan Santubong. Anak perempuan Datuk iaitu Dayang Seri Bulan dikahwinkan dengan Sultan Bungsu dari Selangor. Anak lelaki kedua Datuk Merpati yang bernama Bulan Jati pula lahir sebagai naga dan dikatakan berkuasa di lautan serta mendiami puncak Gunung Kinabalu. Datuk Merpati mempunyai hubungan yang erat dengan Brunei menerusi bantuan Awang Samaun yang mencarikan jodoh Dayang Seri Bulan. Pembukaan bandar Santubong ini pula dipercayai bermula dari cerita Datuk Kuali yang memuji tanah subur di Hulu Sarawak dan menarik perhatian Datuk Merpati untuk berpindah. 

Kejatuhan Majapahit seiring dengan masa kebangkitan kerajaan Demak dan meletakkan Pangeran Benoworo sebagai Raja Jipang-Panolan. Kebangkitan kuasa-kuasa baru membuka laluan perdagangan dan pertukaran budaya antara Santubong dengan kerajaan-kerajaan besar di seberang dan menjadikan Santubong sebagai negeri maritim dan pelabuhan terkenal. Ia menjadi sebuah bandar pelabuhan terkenal pada abad 7-14. Penempatan Santubong yang lain seperti Bongkissam juga menunjukkan penemuan artifak dan peninggalan budaya seperti Batu Bergambar serta tembikar dagangan dari China malah beberapa objek lain yang berasal dari tanah Arab. Malah, istilah Santubong dikaitkan dengan perkataan 'Sha hu chung' (bahasa Mandarin), yang bermaksud lautan batu karang. 

3. Samarahan dan Sadong

Penemuan artifak tembikar Cina abad ke-14 dan 15 membuktikan perdagangan luar sudah lama wujud di Samarahan dan Sadong. Beberapa puluh ribu pecahan tembikar dan ratusan manik, duit syiling dan emas ditemui di Gedong dan dipercayai kewujudan kerajaan di Samarahan dan Sadong seiring dengan kegemilangan kerajaan Santubong. Terdapat kesinambungan politik dan sosial dari Santubong ke kawasan Samarahan dan Sadong, khususnya Bukit Sandong.

Terdapat kisah di mana Datuk Merpati membawa beberapa orang pengikut ke batang air Samarahan kerana di hulu sungai itu dikatakan dihuni oleh ramai orang. Apabila Datuk Merpati berangkat pergi, isteri Datuk Merpati diserang oleh Juragan Pego dan ditangkap bersama perempuan lain. Datuk Merpati kembali semula ke Santubong kerana berasa bimbang dengan keselamatan isterinya dan dalam perjalanan pulang, Datuk Merpati telah dicabar oleh seekor burung pekaka (Kingfisher) untuk berlumba. Malang sekali, burung pekaka kalah pertaruhan lalu muntah darah. Menurut legenda, muntah darah itu menyebabkan paruh burung pekaka kekal merah sehingga ke hari ini.

4. Kalaka

Sejak kebelakangan ini, kerajaan silam Kalaka mula menarik perhatian penduduk Sarawak mengenai sejarah Sarawak sebelum kedatangan Brooke. Kalaka yang terletak tidak jauh dari lembah Sungai Sadong, 10 batu di sebelah timur Santubong merupakan penempatan lama di Sarawak. Terdapat sebuah negeri bernama Kebas. Nanga Kalaka telah menyimpan 9469 serpihan tembikar dari China dan merupakan jenis tembikar abad ke-16 dan 17. Terdapat sebuah lagi penempatan di dalam Kalaka iaitu di Tebing Tinggi dan terdapat 41762 serpihan tembikar abad 16-17. Kalaka ternyata lebih muda berbanding Santubong dan Sadong, maklumat tentang negeri Kabong di dalam Kalaka juga masih belum lengkap kerana artifak tembikar telah diambil oleh orang ramai.

Tetapi, terdapat kemungkinan bahawa tembikar purba Kabong itu berusia lebih tua kerana catatan Majapahit ada meyebut 'negeri Kalaka', sebuah negeri yang dianugerahkan kepada kerajaan Brunei dalam Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni. Maka, usia sebenar kerajaan Kalaka ini masih belum dapat ditentukan sepenuhnya.

5. Saribas

Lokasi sebenar bermula di Batang Sambas. Ibu kotanya terletak di Kalaka. Negarakertagama, teks catatan yang menyebut salasilah raja-raja di Brunei tidak menyebut tentang Saribas pada abad ke-14 berbanding negeri jirannya, Kalaka. Tetapi Syair Tarsilah Saribas ada menyebut pelarian Pengiran Temenggong Abdul Kadir dari Brunei, anak perempuannya yang bernama Dang Chi' telah diambil oleh Sultan. Kecewa dengan tindakan Sultan, Temenggong membawa diri bersama isteri lalu tiba di Saribas dan mewujudkan negeri Tandang Sari. Kemudian, Datu' Gudam dari Pagar Ruyung datang ke Saribas, membawa diri kerana gagal naik takhta. Di Saribas, Temenggong dan Datu' Gudam berkenalan. Atas bantuan Datu' Gudam, Dang Chi' berjaya diambil semula lalu anak gadis Temenggong dinikahkan dengan Datu' Gudam dan seterusnya, Datu' Gudam menggantikan tempat Temenggong dalam meneruskan pemerintahan Tandang Sari. 

Tetapi, perhatian orang ramai terhadap kerajaan lama Saribas kebanyakannya menjurus ke arah kisah keampuhan anak gadis Temenggong iaitu Dayang Isah Tandang Sari (juga dipanggil sebagai Dayang Chi sebagai nama timangan) yang tak lut oleh sebarang senjata melainkan dengan kuasa 7 urat rambutnya sendiri.

6. Kuala Rajang

Selepas Sungai Kalaka, terdapat penempatan bernama Melano (Malanau) dan dipercayai pusat kerajaan Srivijaya yang bertapak di Sarawak tetapi setakat ini belum ada bukti jelas dari sudut arkeologi di kuala Sungai Rajang.

Sumber:

  • Kertas Kerja Sejarah Sarawak- Kerajaan Lama di Sarawak oleh Prof. Madya Sanib Said (Felo Kanan Kursi Nusantara Institut Pengajian Asia Timur UNIMAS, Kota Samarahan) pada 3 Disember 2011
  • Kertas Kerja Pensejarahan Sarawak- Mempengaruhi Makna Lama olehProf. Madya Sanib Said pada 24 April 2007
  • Malayuniversity.blogspot/Sejarah Sarawak
  • Hikayat Datuk Merpati oleh Haji Mohammad Tahir bin Abdul Ghani (1989)
  • Sarawak Gazette
  • Carigold.com/Archive (Sejarah negeri Sarawak)
  • Kuching Prosper 2009
  • Wikipedia/Sarawak
@themagi201

2 comments:

  1. Semoga maju jaya. Saya berbangga dengan penyelidikan anda. Terima kasih kerana berkongsi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Semoga maklumat ini membantu saudara

      Delete