Thursday, 12 February 2015

Kota yang Hilang (The Lost City)

Beberapa hari ni, aku tertarik betul dengan sejarah kota yang hilang a.k.a the lost city. Ancient Aliens, rancangan yang pelik di History Channel ada menyebut pasal kota Atlantis. Sebetulnya, aku tak peduli sangat pun pasal alien yang kononnya penyumbang kemajuan Atlantis. Bukannya aku tak percaya pasal makhluk lain selain manusia, tapi aku lebih tertarik dengan sejarah manusia masa lampau. Kadang-kadang aku curious, macam mana kota yang besar-besar boleh lenyap? Well, kuasa Tuhan.

Anyway, aku bagi list the lost city yang aku cari and baca di Google. Ada banyak sebenarnya, aku cuma tahu Atlantis, Mahabalipuram dan Lemuria (ketiga-tiga kota tu belum ada bukti kukuh pun dari segi arkeologi). Itu menunjukkan, betapa tak tahunya aku. Jadi, entri ni disusun bagi 'mencerahkan' minda. Aku memang suka bagi pencerahan....hahaha~

1. Machu Picchu (Old Peak), Lembah Urubamba, Peru.

Machu-Picchu-1
Machu Picchu merupakan lambang empayar Inca suatu masa dahulu. Ia dipanggil The Lost City of Incas. Ia dijadikan sebagai Tapak Warisan Sejarah pada 1983 disebabkan seni bina yang luar biasa dan misteri, malah menjadi simbol kepada ketamadunan kaum Inca. Ia dipercayai dibina sekitar 1450 dan ditinggalkan 100 tahun kemudian. Sebab kota ditinggalkan masih belum jelas sepenuhnya. Ada yang memberi pendapat bahawa kota ini dibina atas tujuan keagamaan, ataupun singgahsana diraja. Setelah ditinggalkan, kota ini terlindung di dalam hutan untuk ratusan dekad sehinggalah pada tahun 1911, sejarawan dan ahli arkeologi dari Yale, Hiram Bingham menemui Machu Picchu semula dalam satu ekspedisi arkeologi di Peru.

2. Angkor Wat, Kemboja

Angkor
Angkor Wat merupakan seni bina empayar Khmer dari abad ke-9 sehingga abad ke-15 AD. Pembinaan kota ini merupakan perlambangan kuasa Raja Jayarvarman II sebagai 'pemerintah mutlak' atau 'god-king'. Pada sekitar 1431 AD, Thai meluaskan kuasa dan menyebabkan empayar Khmer tumbang bersama Angkor Wat. Kini, Angkor Wat diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO dan menjadi kota keagamaan terbesar di dunia. 

3. Memphis, Mesir

Memphis
Memphis merupakan kota kerajaan lama Lower Egypt suatu masa dahulu dan juga pada era Kerajaan Lama di Mesir. Ia wujud pada 2200 BC dan dikenali sebagai Ineb Hedj (Dinding Putih). Nama Memphis merupakan nama gabungan dua perkataan iaitu Men-nefer dan Pepi. Menurut Herodotus, kota ini diasaskan oleh Menes, tokoh yang menyatukan dua kerajaan di Mesir. Pada abad ke-6, Memphis merupakan kota terbesar di dunia pada masa itu dengan populasi seramai 30 ribu penduduk. Ia merosot pada abad ke-18 selepas kota Iskandariah dibangunkan. 

4. Petra (Batu), Jordan

Petra-1
Petra ialah kota yang dipahat di Gunung Hor, terletak di antara Wadi Arabah dan lembah di Laut Mati di Selat Aqaba. Seni reka bangunan batu yang dipahat sepenuhnya menjadi keajaiban dan tarikan pada pengunjung. Kota ini ditemui oleh penjelajah Swiss, Johann Ludwig Burckhardt dan kota ini disebut sebagai 'a red rose city half as old as time.' Kota ini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO pada 1985 dan dinilai sebagai kebudayaan yang bernilai. Petra dipercayai berfungsi sebagai kota pertahanan dan menjadi laluan perdagangan pada masa yang sama (laluan Gaza di Barat, Busrah dan Damsyik di utara, Aqaba dan Leuce di Laut Merah serta merentasi selat Persia. Petra merosot ketika era penjajahan Rom dan pada tahun 363, berlaku gempa bumi dan memusnahkan sistem perairan dan beberapa bangunan di sekitar Petra.

5. Palmyra (Pengantin dari Gurun/Bride of the Desert), Syria

Palmyra
Palmyra, kota purba yang penting di Syria suatu masa dahulu. Ia merupakan lokasi persinggahan pengembara dan pertukaran ilmu serta budaya. Sebagai sebuah kota elegan dan mewah, Palmyra dahulunya dikenali sebagai Tadmor/Tadmur/Tudmur dalam bahasa pra-Semitik melalui tablet era Babylonia yang dijumpai di Mari. Kitab Hebrew Bible ada menyebut tentang Tadmur, dibina oleh Raja Solomon/Sulaiman dari Judah dan putera kepada David/Daud. Palmyra menjadi daerah pemilikan Rom di bawah pemerintahan Tiberius dan menguasai laluan perdagangan ke Persia, China India dan empayar Rom. Sekitar 634, Islam berkembang di Palmyra menerusi ketibaan pengembara beragama Islam dan kemudian diambilalih oleh kuasa Islam menerusi pentadbiran Khalid Ibn Walid pada 636. Walau bagaimanapun, pada abad ke-16 iaity 800 tahun kemudian, kota ini dipercayai ditinggalkan dan tidak digunakan lagi. 

6. Pompeii, Itali

Pompeii
Pompeii antara kota yang sangat terkenal kerana ditimbus oleh abu dan lahar gunung berapi iaitu Gunung Vesuvius. Letusan gergasi Gunung Vesuvius telah menimbuskan Pompeii dan meruntuhkan sebuah kota besar dalam sekelip mata. Ia tertanam dalam jangka masa yang lama, hilang selama hampir 1700 tahun sebelum ditemui semula pada 1748. Dipercayai bahawa tiada siapa pun yang terselamat dalam bencana tersebut dan bukti musibah yang dahsyat boleh dilihat dengan jelas menerusi mayat penduduk serta senibina kota yang telah 'diawet' oleh abu dan debu gunung berapi. Kini, ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Sejarah oleh UNESCO.

7. Palenque, Mexico

Palenque

Palenque merupakan kota tinggalan yang diasaskan oleh kaum Mayan suatu masa dahulu dan terletak berdekatan dengan Sungai Usumacinta di Mexico. Kota Purba Mayan dilihat menakjubkan kerana dilindungi oleh hutan hujan bersama seni bina yang mengagumkan dan dekorasi yang luar biasa. Ia dibina pada 100 BC dan berkembang pesat pada 600-700 AD. Kemajuan kota ini berlaku pada era Pakal, pemerintah yang mentadbir dari 615 ke 683 AD. Ketika pemerintahan Pakal, beberapa plaza dan monumen dibina dalam skala besar-besaran, termasuklah mausoleum Pakal yang dikenali sebagai Templo de las Inscripiciones. Dipercayai bahawa Palenque merosot dan tumbang selepas kematian pemerintah iaitu Chan-Bahlum II (anak Pakal)  dan juga menerusi pesaingnya, kota Tonina yang terletak berhampiran.

8.  Vijayanagar, India.

Vijayanagara
Vijayanagar, antara kota raya terbesar dalam Dinasti Sangam menerusi pemerintahan dua putera iaitu Harihara dan Bukka pada 1336. Kuasa Vijayanagar berkembang di bawah pentadbiran Krishnadevaraya dan menguasai kawasan semenanjung selatan Krishna dan Sungai Tungabhadra. Pada abad ke-14, populasi kota ini mencecah setengah juta dan kekayaan kota ini diperolehi melalui perdagangan rempah dan industri kapas. Empayar kota ini runtuh pada Perang Talikota selepas Vijayanagar diserbu oleh pemerintah Deccan dar Bidar, Bijapur, Golconda, Ahmednagar dan Berar, sekaligus mengubah kota ini menjadi permulaan penaklukan Islam di selatan India. Sebagai sebuah kota raya Hindu, ia mengandungi banyak monumen keagamaan seperti Kuil Vittala yang dipenuhi dengan ukiran dan masih berkeadaan baik.

9. Ephesus, Turki


Ephesus, kota purba Anatolia pada zaman Greek diasaskan oleh pihak kolonial dari Athens pada 10 BC. Ia terletak di Ionia di mana Sungai Cayster menganjur menuju ke Laut Aegean. Ephesus merupakan salah satu kota yang disebut dalam kitab Bible sebagai 'hosted one of the seven churches Asia' dan juga tapak perkuburan bagi pahlawan Gladiator. Ephesus merupakan kota utama yang penting pada awal perkembangan Kristianiti dan disebut sebagai asas kepada penyebaran dakyah suatu masa dahulu.

10.  Sanchi, India

Sanchi
Sanchi merupakan kota keagamaan untuk penganut Buddha yang terletak di India tengah iaitu di Sungai Betwa. Dengan reka bentuk binaan yang separuh sfera, diperbuat daripada batu pasir dan binaan Great Stupa yang terkenal ditemui pada 1818. Ia dipercayai wujud pada era pemerintahan Asoka iaitu sekitar pertengahan abad ke-3 dan ia dihiasi dengan ukiran yang memaparkan kisah Buddha. Tapak Sanchi juga dipenuhi dengan binaan stupa yang lebih kecil, penemuan tiang yang dipenuhi dengan inskripsi, relik purba, 400 rekod epigrafik serta beberapa buah biara suci, Sanchi 


Okey, sebenarnya, kota hilang ni lebih banyak dari apa yang aku fikir. Tak larat pulak nak buat pencerahan banyak-banyak. Jadi, aku buat pencerahan sekadar yang boleh.

11. Mesa Verde (Cliff Palace/Mahligai Tergantung), Colorado

2E2Ny3K











Didiami oleh puak asli Pueblo di Amerika dan terkenal dengan nama Anasazi. Ia diasaskan pada 1200 AD dan kebanyakan penghuni yang tinggal di situ tidak panjang usia. Kota ini terbiar dan tidak ditemui untuk jangka masa yang lama sehinggalah dijumpai semula pada 1888. Perpindahan puak tersebut ke pinggir jurang dipercayai berpunca dari masalah kemarau dan pertanian yang merosot teruk.

12. Pavlopetri, Greece

446Pavlopetri








Merupakan sebuah pekan besar pada era pra-klasik Greece yang bertahan pada era Zaman Batu. Ia berkembang dan berlaku proses pembangunan. Namun, ia dipercayai mengalami gempa bumi yang dahsyat dan tenggelam ke dasar laut. Beberapa bahan binaan telah dapat dikenalpasti dan Pavlopetri mula dikaitkan dengan kota purba Atlantis yang lenyap di dasar laut menurut catatan Plato.



13. Akrotiri, Santorini

Akrotiri









Tamadun Minoan dari Crete, nama yang berasal dari mitos Raja Minoa menjadi permulaan di Akrotiri. Sebagai kota purba dengan binaan labirin, ia sebuah kota dan tamadun yang mengelirukan. Seluruh ketamadunan dilupakan untuk jangka masa yang sangat lama sehingga ia dijumpai semula pada abad ke-20. Penemuan Akrotiri pada 1967 telah menemukan tinggalan seni bina, budaya, rekod, serta kemusnahan tamadun yang berpunca dari ledakan gunung berapi.


14. Troy, Turki

P57734-Assos-Odeon At Troy
Menerusi hikayat sajak Iliad dari Greek, kota Troy (yang diasaskan pada 3000 BC) musnah ketika Perang Troy dilihat sebagai penceritaan semata-mata. Ia juga disamakan dengan mitos Atlantis, sehinggalah kota ini ditemui oleh Heinrich Schliemann pada 1871. Penemuan tersebut telah membuka mata dunia bahawa hikayat tersebut merupakan kejadian sebenar dan beberapa artifak, rekod, senibina telah ditemui. Kehilangan kota ini berpunca dari pembinaan pelbagai kota baru yang menutupi kota purba Troy secara berlapis-lapis lalu tenggelam di dalam tanah. 

15. Timgad, Algeria

Trajan
Juga dikenali sebagai Colonia Marciana Ulpia Traiana Thamugadi, ia merupakan kota purba diserbu pada abad ke-5 dan 'dilahirkan' semula sebagai kota pra-Kristianisasi. Kota ini diasaskan ketika pemerintahan Trojan, dimajukan dan berkembang menjadi pusat perdagangan. Ia merosot pada abad ke-7 dan ditinggalkan. Pada 1888, ia ditemui semula dan menjadi bukti penjajahan empayar Rom di kawasan Afrika. Beberapa senibina Rom boleh dilihat terutama sekali seni pintu gerbang lengkung dan grafiti di dewan forum yang tertulis 'To hunt, to bathe, play games and laugh. This is life.'

16. Mohenjo Daro, Pakistan

Lost-City-Mohenjo-Daro-Pakistan 24712 600X450
Tamadun yang wujud bersama Mesopotamia dan Mesir Purba, Mohenjo Daro merupakan bukti ketamadunan di Pakistan dengan sebuah kota raya yang lengkap dengan sistem perparitan, kumbahan, jalan raya dan susun atur bangunan. Berbeza dengan ketamadunan yang lain, kota ini tidak ada kuil atau rumah agama yang khusus dan beberapa sejarawan memberi pendapat bahawa kota ini mengamalkan sistem sama darjat iaitu egalitarian. Banjir besar yang melanda lembah Indus dipercayai menjadi punca kemusnahan Mohenjo Daro dan ia ditinggalkan selepas itu. Ia lenyap dari sejarah untuk beberapa ketika sehinggalah ditemui semula pada 1922.

17.  Carthage, Tunisia

Carthage
Ia diasaskan oleh koloni Phoenician dan berkembang sebagai kuasa besar di Mediterranean. Ia dipercayai merosot disebabkan persaingan antara Syracuse dan Rom, serta pencerobohan Hannibal ke atas Carthage. Kota ini mengalami kemusnahan pada 146 BC oleh empayar Rom dan dibangunkan semula oleh Rom. Kemudian, ia musnah sekali lagi ketika penaklukan empayar Islam pada 698 AD.

18. Ciudad Perdida, Colombia

Ciudad Perdida
Bermaksud 'kota hilang' dalam bahasa Spanish, ia merupakan kota purba di Sierra Nevada dan dipercayai diasaskan pada 800 AD. Ahli puak dikenali sebagai Teyuna dan kota itu menjadi pusat utama kepada perkampungan sekeliling. Ia ditinggalkan pada era penjajahan Sepanyol.

19. Skara Brae, Orkney, Eropah

Skara Brae
Skara Brae merupakan kota purba yang wujud pada Zaman Batu di Eropah. Ia kekal terpelihara disebabkan timbunan pasir yang menutupinya. Ia ditemui semula setelah ribut menerbangkan timbunan pasir tersebut pada 1850. 

20. Caral, Lembah Supe, Peru

Caral
Caral merupakan kota purba yang tertua di Amerika. Ia didiami sekitar 2600-2000 BC dengan 3000 penduduk dan pusat utama dalam ketamadunan Norte Chico.


Ooo, senarai ni makin bertambah rasanya. Walaupun senarai bertambah banyak (aku tak expect pun senarai kota ni makin panjang berjela-jela), aku memang determine untuk senaraikan apa yang aku baca. Maka, senarai pun diteruskan.

21. Babylon

Babylon
Babylon, kota utama Babylonia dan empayar penting di Mesopotamia merupakan kota yang disusun semula ke dalam sistem anarki pada 1180 BC. Ia menjadi cabang kota yang sibuk dalam empayar Assyria pada abad ke-9 BC.  Ia terkenal menerusi legenda Nebuchadnezzar yang memberi perintah untuk membina Taman Tergantung Babylon.

22. Taxila, Pakistan

Taxila
Taxila, kota purba yang dibina di Pakistan pada era pemerintahan Raja Darius yang Hebat, raja Persia pada 518 BC. Pada 326 BC, ia di bawah taklukan Alexander the Great. Menerusi amalan pemerintah terdahulu, Taxila menjadi pusat penyebaran Buddha dan dikenali ramai disebabkan laluan perdagangan yang strategik. Apabila kegemilangan Taxila pudar, ia merosot dan akhirnya musnah dalam serangan bangsa Hun pada abad ke-5.

23. Sukhotai, Thailand

Sukhothai
Sukhotai merupakan kota purba terawal di Thailand, dan antara kota terpenting dalam sejarah di Asia Tenggara khususnya. Pada asalnya ia merupakan kota kecil di bawah pengaruh Khmer, ia berkembang menjadi sebuah kota besar yang hebat. Sukhotai merdeka pada abad ke-13 dan menjadi pusat utama pentadbiran Thai pada masa itu. Tapi apabila Ayutthaya diasaskan dan dijadikan pusat kota yang baharu pada 1351, kuasa Sukhotai pun merosot dan menjadi taklukan Ayutthaya. Sukhotai ditinggalkan pada abad ke-15 atau awal abad ke-16.

24.  Hatra, Iraq

Hatra
Sebuah kota besar di bawah pengaruh empayar Parthian, ia merupaka ibu kota pertama kerajaan Arab. Kota ini berjaya menangkis serangan Rom disebabkan binaan dinding yang besar, tebal dan tinggi. Tapi kota ini tumpas di tangan empayar Shapur oleh Sassanid dari Iran. Sisa kota ini menunjukkan seni bina campuran dari budaya Hellenistik dan Rom.

25. Hattusa, Turki

Hattusa
Hattusa dari empayar Hittie abad ke-17 BC. Ia musnah pada era Zaman Gangsa, sekitar 2000 BC. Seterusnya, ia ditinggalkan dan tidak dihuni. Dianggarkan pada era kegemilangan Hittie, jumlah populasi penduduk mencecah 40 ribu-50 ribu. Kebanyakan seni bina rumah musnah sepenuhnya, apa yang tinggal ialah sisa kuil, kod undang-undang, rekod dan puing istana. Ia ditemui semula pada abad ke-20 di Turki Tengah. 

26. Chan-Chan, Peru

Chan Chan
Wujud pada pra-Columbia Amerika. Senibina bangunan menggunakan batu bata dan lumpur, dihiasi dengan pelbagai corak asli puak. Ia diasaskan oleh Chimu sekitar 850 AD dan musnah pada 1470 AD oleh empayar Inca. Dianggarkan jumlah penduduk yang tinggal di Chan-Chan seramai 30 ribu orang pada era kegemilangannya.

27. Persepolis

Persepolis
Ibu kota Greek di Persia, dan juga pusat utama empayar Persia. Ia sebuah kota yang penuh dengan seni bina dan ukiran yang indah. Kebanyakannya musnah apabila Alexander the Great menggempur Persepolis pada 331 BC dan membakarnya sehingga musnah. Untuk beberapa ketika, Persepolis masih diiktiraf sebagai ibu kota oleh empayar Makedonia tetapi lama-kelamaan, Persepolis merosot dan akhirnya ditinggalkan. Saki baki seni di Persepolis masih boleh dilihat tetapi tidak berkeadaan baik.

28. Leptis Magna, Libya

Leptis Magna
Ia dibina oleh empayar Rom di Libya dan menjadi pusat penting dalam kuasa pemerintahan Rom. Ia juga menjadi lokasi agrikultur. Maharaja Rom yang bernama Septimus Severus yang dilahirkan di Leptis menjad penaung utama Leptis Magna dan menjadikan Leptis Magna sebagai sebuah kota yang hebat. Namun, Leptis Magna mengalami kemerosotan disebabkan oleh masalah ekonomi meruncing dalam empayar Rom.

29. Urgench, Uzbekistan

Urgench
Urgench sebuah kota terkenal di Laluan Sutera dan lokasinya terletak di Sungai Amu-Darya. Abad ke-12 dan ke-13 menjadi zaman emas bagi Urgench dan ibu kota empayar Asia Tengah, Khwarezm. Ia mengalami kemusnahan apabila Genghis Khan menyerang pada 1221. Walaupun Urgench dibangunkan semula selepas penggempuran tersebut, perubahan laluan perdagangan telah menyebabkan penduduk berpindah dan Urgench ditinggalkan.

30. Calakmul, Mexico

Calakmul
Terselindung di dalam hutan belantara, Calakmul antara kota yang besar dalam ketamadunan Mayan. Kehebatan Calakmul pernah mencabar kemegahan kota Tikal. Pada abad ke-6 dan 7, Calakmul mengalami perluasan kuasa tetapi gagal menumbangkan Tikal. Berlaku permusuhan antara Calakmul dan Tikal tetapi kedua-duanya tidak mendapat kemenangan. Sebaliknya, kedua-duanya musnah bersama ketamadunan Mayan.

31. Ctesiphon

Ctesiphon
Merupakan kota besar Mesopotamian pada abad ke-6. Ia menarik perhatian empayar Rom dan akhirnya ditakluki. Kemudian, empayar Byzantine menjajah Ctesiphon sebanyak 5 kali. Seterusnya, ia jatuh ke dalam penaklukan Islam Persia pada 637. Penemuan ibu kota Abbassid akhirnya menumbangkan Ctesiphon dan ditinggalkan sehingga disebut sebagai 'kota berhantu'. Ctesiphon dipercayai antara salah sebuah kota yang disebut dalam hikayat 1001 Malam.

32. Hvalsey, Greenland

Hvalsey
Salah sebuah kota purba dalam bangsa Viking di Greenland. Ia didiami oleh petani Norse pada 985 AD dan jumlah populasi tertinggi dicatatkan seramai 4000 orang. Terdapat rekod perkahwinan berlaku di Hvalsey dan hanya itu saja rekod yang ada berkenaan dengan Hvalsey.

33. Ani, Turki

Ani
Kota ini wujud di lokasi laluan perdagangan timur-barat. Ia menjadi kota penting Armenia pada abad ke-10. Banyak gereja telah dibina sehingga Ani digelar 'city wity 1001 churches'. Ani pernah didiami oleh penduduk seramai 100 ribu-200 ribu orang suatu masa dahulu sehinggalah ia diserang puak Mongol, dilanda gempa bumi pada 1319 dan perubahan laluan perdagangan. Ia ditinggalkan dan dilupakan selama ratusan dekad dan kini ia menjadi lokasi pelancongan dan tapak arkeologi.

34. Tiwanaku, Bolivia

Tiwanaku
Terletak di Tasik Titicaca, kota Tiwanaku ialah kota yang mendahului kota empayar Inca. Pada sekitar 300 BC hingga 300 AD, ia menjadi pusat moral dan kosmologi, serta menjadi tempat persinggahan untuk tujuan kerohanian. Kota ini berkembang antara abad ke-7 hingga ke-9 dan berkuasa di selatan Andes. Namun pada 1000 AD, berlaku perubahan cuaca yang dahsyat. Hasil pertanian musnah, kemarau, sumber makanan pun merosot dan Tiwanaku pun ditinggalkan.

35. Teotihuacan, Mexico

Teotihuacan
Teotihuacan ialah tamadun yang muncul di Mexico bersama kota raya yang hebat pada abad ke-2 BC. Ia mengalami kemerosotan apabila dilanda kemarau dan perubahan cuaca yang dahsyat pada abad ke-6 AD. Teotihuacan ditinggalkan dan terabai selama 7 abad sehinggalah ditemui oleh bangsa Aztec. Kuil-kuil dan segala senibina Teotihuacan dihargai dan digunakan dalam pembentukan empayar Aztec. 


36. Tikal

Tikal
Tikal merupakan kota terbesar dalam ketamadunan Mayan dan dihuni penduduk seramai 100 ribu-200 ribu orang. Ketika Tikal menikmati kegemilangan, beberapa kota lain dalam tamadun Mayan mula merosot akibat penebangan hutan serta beberapa siri bencana alam. Akhirnya, Tikal turut musnah bersama kota-kota yang lain dan Tikal ditinggalkan. Penduduk kebanyakannya berpindah ke hutan berhampiran dan mendiami pondok-pondok kecil. Beberapa ratusan dekad kemudian, pihak perhutanan Guatemala menuntut Tikal untuk dipelihara. 



*Pembacaan tambahan berkenaan dengan kota misteri yang hilang boleh dilanjutkan ke laman sesawang 9 ruined cities oleh io9.com

@magi2015
ruj: Oddee.com| wikipedia.org| listverse.com| touropia.com| roughguides.com| io9.com| amazingbeautifulworld.com

No comments:

Post a Comment