April, macam-macam event yang diraikan di Kuching pada bulan berbunga-bunga ni. Walaupun Kuching bukan 4 season city tapi at least di Kuching ada mall bermusim- The Spring & Summer Mall (...aku menunggu ketibaan Winter dan Autumn). Sejak dari dulu, aku selalu perhatikan Kuching dan aku mendapat feedback kenalan dari Kelantan setahun yang lalu. Dia cakap within 5 years, Kuching mengalami banyak perubahan yang sangat obvious. Itu satu perkara yang baik sebenarnya. Tapi tak bermakna, kisah lama dari Kuching dilupakan.
Dalam entri ni, aku nak imbas kenangan lama di Kuching.
1. Orkid bunga majlis
Sekarang, bunga hiasan zikir untuk majlis zikir kini lebih moden dan diperbuat daripada plastik. Terdapat banyak pilihan bunga seperti bunga mawar, bunga ros, bunga dahlia dan sebagainya. Ia dijadikan sebagai tanda penghargaan dari tuan rumah kepada tetamu. Berbeza dengan bunga zikir pada era 60an, ia diperbuat daripada orkid kala jengking (nama saintifik: arachnis flos aeris) yang asli dan daun paku bunga (seperti daun pokok ru), diikat dengan benang dan disembur minyak wangi. Dahulu, orkid kala jengking dan daun paku bunga menjadi pilihan kerana ia cantik dan menarik perhatian. Kini, ia tidak menjadi pilihan kerana orkid dikategorikan sebagai hiasan bunga yang mahal dan daun paku bunga juga sangat sukar dicari.
2. Tandas korek
Lebih kurang macam ni |
Dari bunga kita beralih ke topik pasal tandas. Tandas, a.k.a jamban merupakan keperluan harian kita. Sekarang, tandas lebih praktikal. Kita duduk, kita buang apa yang patut dan kemudian kita flush. Dulu tak sama seperti sekarang. Di Kuching, tandas dulunya dibina secara nomad. Datuk aku pernah korek tanah untuk buat tandas (dulu kampung aku di Astana Field Force, sekarang dah jadi Masja). Tanah akan dikorek sedalam-dalamnya, lebih dalam dari liang lahad agar bau kumbahan tak keluar dan tak mengganggu deria hidung. Kemudian tandas dibina di atas lubang itu dan dibuat seperti pondok mini (rujuk filem P.Ramlee). Bila lubang dah sarat dengan kumbahan, lubang itu akan dikambus semula dan lubang lain akan dibina. Jadi, kalau ada sesiapa yang tanam sayur atau pokok buah di kawasan tanah yang luar biasa suburnya, mungkin tanah itu pernah dijadikan lubang tandas *sengih
3. Kek hari Raya
Sekarang, kek lapis Sarawak merupakan juadah utama hari Raya di Kuching. Tak ada kek lapis tak sah. Kegilaan terhadap kek lapis sekarang merebak ke banyak tempat dan kek lapis sangat berpengaruh. Namun pada era 60an sehingga ke pertengahan 80an, kek lapis tidak ada di dalam senarai juadah hari Raya. Di Kuching, juadah Raya pada era tersebut ialah kuih-kuih tradisional, puding atau agar-agar. Bagi yang berkemampuan, kek acuan bulat disaluti krim dan hiasan seperti buah-buahan (kek hari jadi) ialah juadah paling istimewa kerana ia lebih cantik dan lebih moden. Kek acuan bulat zaman dahulu boleh dianggap setaraf dengan kek lapis pada masa kini.
4. Corner Shop
Bagi Kuchingites, pasti ramai yang tahu tempat menunggu teksi (Jalan Ajibah Abol kalau tak silap), tak jauh dari kedai makan Bismillah, kedai kasut Bata dan juga Plaza Merdeka. Kawasan yang berjiran dengan bangunan Saujana di bahagian Jalan Masjid dahulunya dikenali sebagai Corner Shop, tempat paling terkenal menjual alat tulis sekolah pada era lewat 60an sehingga ke 70an. Mak aku selalu beli barang sekolah di situ. Kata mak, dulu kedai tu syurga bagi pelajar sekolah. Corner Shop ditutup kerana percambahan kedai alat tulis yang lain dan kini kawasan tersebut menjadi shoplot kedai makan, kedai kasut, kedai menjual beg dan sebagainya.
5. Kedai serbaneka Gartak Street
Gartak Street antara lokasi jual beli terkenal di Kuching selain dari India Street dan Carpenter Street. Jika India Street dikuasai oleh peniaga India dan Carpenter Street dikuasai oleh peniaga Cina, Gartak Street ialah lokasi berniaga bagi peniaga Melayu. Bagi Kuchingites yang tahu kedai Emas Pao Lung, di deretan rumah kedai itu pernah menempatkan sebuah kedai serbaneka yang sering dikunjungi oleh penduduk Kuching setiap kali hari gaji. Makanan ringan seperti kacang pedas, gula-gula, kerepek dan sebagainya diletakkan di dalam botol yang besar dan pelanggan boleh memilih mana-mana makanan ringan yang mereka mahu dengan harga serendah 10 sen. Bagi setiap makanan ringan yang dipilih, ia akan dibungkus dan ditimbang mengikut harga. Mungkin, kedai serbaneka tu ibarat seperti kedai 7-11 pada masa sekarang.
p/s: Bagi sesiapa yang ada kisah2 lama dari Kuching, boleh share di kotak komen. TQ
@themagi2015
No comments:
Post a Comment