[Terima kasih Abdul Rahim Kajai kerana inspirasimu]
Dahulukala, di sebuah daerah tenang di
Serembang, zahirnya seorang anak kecil yang tidak mengerti kehendak dunia atau
kehendak manusia. Bapanya, Pak Usup cuma bekerja susah, mencari makan tiadalah
mudah untuk anak-anak yang berderet seperti rumah kedai tauke Cina. Bininya
pula, Siah pula cuma orang rumah yang hanya tahu meminta wang dapur. Perut anak
harus diisi, perut sendiri juga mesti diisi. Jika sudah tiba masanya, maka diterbangkanlah
anak-anak perempuan mereka menjadi pemilikan mana-mana pemuda di luar sana atas
junjung akad. Anak-anak lelaki pula akan menjadi penyambung hayat mereka
apabila usia sudah amat tua untuk mengerah tulang. Begitulah nasib anak-anak,
sudah disiapkan oleh orang tua yang kecil ilmu sejak dari awal lagi.
Anak kecil mereka yang keempat, Dayah
namanya mempunyai tiga kakak di atas dan seorang adik lelaki di bawah. Mukanya
riak seperti Cina, hasil dari keturunan buruh Cina yang datang masuk dari Borneo
Belanda (atau Sambas) dan dari Singapura lalu bekerja jadi kuli lombong, berkebun
sayur, menjadi amah dan mengangkat tinja pada awal zaman Bapa Putih James. Di
masa akan datang, siapa akan jangka bahawasanya buruh kurus yang datang dengan
cita-cita besar di atas tongkang, dengan upah lapan belas sen sehari dan
bekerja seperti mahu mati pada esok hari itu boleh berubah menjadi orang-orang
kedai besar, menjadi doktor, menjadi tetuan, dan menzahirkan benih-benih
keturunan dalam setiap rupa dan kaum.
Dipendekkan ceritanya sehingga
beberapa tahun ke depan, Dayah yang kecil itu kini sudah besar dan berusia
sembilan tahun. Dia tidak sekolah, kerana keluarganya sempit dengan wang. Pada
usianya yang muda itu, dia tiada mengerti akan makna hidup sebagai anak sunti
atau kenal dengan agamanya sendiri. Pada awal 1930an seperti itu, guru-guru
agama tidak ramai. Dia hanya diam di rumah membantu emak dan mengenal apa yang
ada tanpa perlu belajar mengeja.
Tersebut pula kisah seorang
perempuan bernama Mayang yang dinikahkan dengan juragan kapal yang diketahui
sebagai Mat. Dikatakan perempuan itu kulitnya putih dan manis dan beruntung
pula kerana lakinya bekerja bawa kapal dan banyak wang. Hidupnya juga tiadalah
sulit kerana dia itu tidak ramai saudara di atas atau di bawah. Bernikah pula
dengan Mat anak Tuan Khan yang berasal
dari Pakistan dan beribukan perempuan Melayu bangsawan dari Jalan Ellis, ia
menjadi satu kebanggaan kerana mendapat anak bermuka baru. Pada usia anak perempuan mereka, Lara yang
masih muda tiada tahu apa-apa, Mat selalu keluar berlayar meninggalkan Mayang
sendirian di rumah. Mayang jadi sepi. Mayang termenung kenangkan dirinya yang
ditumpahkan dengan kesenangan, tapi laki yang satu selalu lenyap bercinta-cinta
dengan laut.
Lama-lama, Lara yang umairah dan
kecil itu sudah tahu bertatih. Mayang melihat itu semua, Mat pula sedang
bersungguh berkeras di atas kapal sampai ke Filipina. Setelah beberapa purnama
melimpas lalu, Mat pun kembali meraih anak bini yang kerinduan di rumah. Pada
ketika itu juga, Mat membawa seorang pemuda ke rumah, dijadikan anak angkat
kerana kiranya pemuda itu masih muda dan Mat juga perlukan lelaki kuat dan
pandai tangan untuk melindungi anak bini yang sendirian di rumah. Maka,
berkenalanlah Mayang dengan anak barunya
yang disebut-sebut sebagai Lang. Mayang tidak sangka bahawa Mat akan membawa
seorang laki-laki cukup usia untuk dijadikan anak. Mayang tersipu dalam hati
sedangkan Mat berasa senang apabila melihat kedua-dua anak beranak itu bergaul
senang seperti emak dan anak layaknya.
Dalam masa yang girang dengan anak
bini seperti seluruh bahagia di dunia miliknya, wang kerja yang dikumpul
perlahan-lahan ghaib dari peti. Belanja semakin kecil. Lara semakin besar.
Kehendak Mayang juga makin lebar. Berat rasanya hati Mat meninggalkan
keluarganya yang bahagia. Tapi atas nasihat Lang, dan percaya yang tiada kurang
terhadap Lang, Mat kembali berangkat ke laut untuk mengumpul wang.
Sepeninggalan Mat yang tiada memikirkan perkara lain selain dari Mayang, Lara
dan Lang, si bini kembali termenung di tingkap mengira beberapa usul minda yang
terlarang. Tanpa sedar, Mayang membuka telinganya untuk syaitan laknatullah.
Hatinya pun lama-lama hanyut di dalam laut dan tenggelam menjadi hitam.
Kembali semula kepada suka duka si
Dayah, anak sunti itu hidup dalam gelumang sebuah cerita keluarga. Bapanya,
Usup lemah sendi untuk kerja berat-berat. Emaknya, Siah juga sakit-sakit badan.
Kakaknya, Limah dan Yah sekarang ambil alih kerja kampung. Jibah kakak ketiga pula kerja jauh sampai ke Brunei. Adiknya, Asan pula hanya duduk rumah kerana
masih muda untuk kerah tulang. Apabila
kedua-dua orang tua itu sedar Dayah
tidak beri apa kesan untuk mereka, si bapa mengusul kepada si emak supaya dihantarkan
saja Dayah ke rumah kemenakan yang tinggal di Kampung Nonok dan bergaul dengan
saudarinya, Ceng si perawan. Namun sesungguhnya, tidak mudah untuk Dayah
menurut kerana usianya yang masih muda dan masih belum mahu meninggalkan
keluarga yang dicintai. Dayah menangis malam-malam apabila teringat kata
bapanya:
“Kau Dayah, aku hantarkan kau ke
rumah ibu menakan kau di Nonok. Kau tinggallah di sana. Kami tidak dapat
menampung kau. Bukannya aku tidak suka kau. Kau anak aku. Aku sayang kau. Emak
kau juga sayang kau. Tapi aku tidak mahu kau melarat bersama kami.”
“Jangan hantar aku, pak. Aku boleh
patahkan tulang aku di kebun seperti Limah, seperti Yah dan Jibah. Hantarkan
Asan saja ke sana. Dia anak lelaki. Jadikan Asan senang dan pandai. Moga-moga
dapat membantu kita.”
“Emak kau tak mau berpisah dengan
Asan. Asan anak lelaki tunggal. Kakak kau pula bekerja mencari wang. Aku lihat
kau saja yang harus dalam perkara ini. Bersetujulah Dayah. Semuanya demi
kemaslahatan kau juga.”
Apa lagi pilihan yang ada untuk anak
sunti seperti Dayah. Air matanya berhamburan tidak mahu berpisah. Tetapi tidak
ada seorang pun yang tahu dia menangis.
Setelah beberapa purnama tenggelam,
di mana Dayah dikirim oleh Usup ke Nonok dan menjadi anak baharu kepada ibu
kemenakannya yang warak, Mat pula kembali ke Bedil Kecil menemui anak bini yang
pasti merinduinya. Kepulangannya itu disambut girang oleh Lang dan Lara.
Tetapi, tidak bagi Mayang. Dia sudah berlainan dari sifat. Mat menganggap,
Mayang cuma merajuk minta dipujuk. Maka dibelinya emas bertingkat dan
persalinan yang baik-baik. Dibawanya si bini melihat wayang, mengikut
keramaian, bermukun serta bergendang. Akhirnya, si bini tersenyum semula dan
kembali senang. Nah, begitulah sandiwara cinta suami isteri yang tidak jauh berbeza
usia. Ternyata cinta mereka masih tidak usai ditelan waktu.
Walaupun begitu, Mat mula terdengar
bisik-bisik orang di kampung. Tiga empat hari di belakang, Mat dimaklumkan akan
temasya yang terlarang di rumahnya beberapa purnama yang lalu. Mat tidak percaya,
Mayang perempuan yang beragama. Dia bini orang yang sah, punya anak seorang dan
Lang menjadi pelindung di rumah itu. Jika Mayang membuat cemar dan tenggelam di
dalam temasya yang terlarang, bagaimana dengan Lang? Lang pandai tangan, lelaki
jahanam yang datang mencemar itu pasti sudah dihempuk dengan buku lima.
Hati Mat penuh dengan tanda tanya.
Tetapi, tanda tanya itu disimpannya dahulu sebelum dinyalakan. Tidak sampai
hati Mat untuk menyakiti Mayang dengan pertanyaan yang mengguris hati.
Adapun kehendak hati Mat bersimpang
siur seperti ombak di laut, Dayah yang muda itu menjadi pemilikan saudara
sebelah bapanya. Ibu kemenakannya orang yang tahu agama. Dayah pula tidak tahu
agama. Maka, diajarnya Dayah akan ilmu agama, mengaji, bersembahyang dan
berkelakuan seperti perempuan baik-baik. Diajarnya juga puasa sehingga Dayah
terasa terseksa. Dayah tidak pernah berpuasa, ibu kemenakannya pula garang
orangnya. Dalam diam, Dayah mengadu dengan Ceng, anak perawan ibu kemenakannya
yang berhidung mancung.
“Ceng, sukakah kau dengan cara ibu
kau melayan aku?”
“Kenapa?”
“Ibu kau terlalu kuat untuk aku. Aku
tidak tahan.”
“Dia cuma mahu berikan kau
pengertian. Fasal hidup yang ada undang-undang, ada batas. Untuk menjadi lebih
baik. Ibu aku bukan ibu tiri. Dia ibu kemenakan kau.”
“Kalau begitu, aku tidak sabar mahu
menjadi besar. Aku mahu keluar dan melihat dunia ini.”
“Aku juga begitu. Kita akan
sama-sama melihat dan bertentang muka dengan dunia ini.”
Dayah dan Ceng ketawa. Masing-masing
memandang muka langit dan melepaskan hela panjang. Pada usia muda begitu,
mereka tidak sabar mahu besar. Maka, impian pun mula bergentayangan di segenap
fikiran.
Kebetulan pula Mat yang makan hati juga
memikirkan banyak perkara. Perihal si bini yang sangat dicintainya masih
menjadi tanda tanya, tetapi dipanggil pula turun bekerja sedangkan baharu
sekejap pulang ke rumah. Memikirkan soal Lara yang semakin besar dan perlukan
lebih banyak wang, dia menetapkan hatinya kuat-kuat. Dengan fikiran yang masih berkira-kira
sebelum berangkat, Mat memandang bininya tepat-tepat seraya berkata, “Aku
sayang kau, Yang.” Dengan muka manis, Mayang memegang pipi Mat, “Aku juga.
Percayalah aku. Aku setia.”
Dengan kepala yang tertunduk menekur
muka bumi yang berbonjol dan berpasir, melangkah Mat meninggalkan anak bininya.
Lalu membawa diri berlayar ke Sibu. Ketika kapal sedang membelah muka laut yang
bergelora dan angin menderu-deru sehingga kedengaran seperti siulan jin, Mat
memandang dirinya sendiri dan mengira garis kedut yang ada di muka.
Perlahan-lahan Mat berkata, “Tuakah aku untuk Mayang?” Di fikirannya, kisah
temasya terlarang di rumahnya itu masih menjadi satu kesakitan yang tidak mampu
diucap. Mat fikir, adalah lebih baik jika itu semua cuma satu usikan.
Pada masa Mat tidak mampu lena di
kabin dan bersedih-sedihan, sehingga makan pun tidak kenyang mandi pun tidak
basah, Mayang duduk termenung di tepi tingkap. Memikirkan banyak hal dan
cakap-cakap orang yang jahanam. “Kenapa mulut mereka busuk dan besar seperti
tempayan pekasam?” tanya Mayang pada dirinya, tetapi tidak berjawab. Kalau
diikutkan hati mahu saja dia lari membawa Lara pergi, biar terkulat-kulat mata
orang kampung kerana menjaga tepi kainnya. Siapa yang kecewa? Bukankah Mat yang
mereka kasihi itu juga yang akan kecewa? Jadi, bukankah molek jika dijaga saja
tepi kain sendiri? Mat gembira, dia juga bahagia. Semua orang puas hati.
Kemudian, perbualan Mayang terhadap rohnya sendiri padam dengan sendirinya
apabila terdengar derap kaki seseorang di dapur. Derap kaki itu semakin dekat
dan rapat. Pantas pinggang Mayang yang kecil dihimpit bengkung ikat itu dipeluk
sayang. Mayang segera menutup tingkap sambil tersenyum.
“Oh, kau sudah selesai makan?
Bagaimana?”
“Sedap rasanya. Sekarang masa untuk
kita makan-makan pula.”
“Marilah!”
Dengan muka yang manis seperti anak
dara, Mayang berlari ke dalam kamar tidur sambil ketawa-ketawa. Tidak lama
selepas itu, temasya terlarang bermula tanpa restu. Orang di kiri dan kanan
rumah pula hanya menggeleng dan kesal. Silapmu tuan dalam caturan ini, bisik
jiran sebelah. Suatu hari bangkai busuk pasti akan dihidu jua.
Sewaktu Mat berlayar di laut menuju ke Sibu dengan barang-barang dagang dalam kotak kayu, entah bagaimana, ribut memukul tidak tenang seperti diamuk rasa marah. Tidak pernah sebelum ini terjadinya amukan sebegitu di laut. Mereka di alam kesulitan, hampir pasrah mahu menyerah nyawa kepada laut. Namun, atas kuasa Allah yang kasihan pada mereka, mereka surut ke jeti Sarikei, membaiki kapal dan menumpang teduh. Nasib saja barang-barang tidak rosak, mereka menyegerakan urusan kerja dengan mengirimkan barang menggunakan kapal lain ke Sibu kerana perjalanan dari Sarikei ke Sibu tidaklah jauh. Sementara itu, mereka meneruskan kerja membaiki kapal untuk tiga empat hari ke belakang sampai kapal sudah sihat. Apabila segala urusan selesai dan barang-barang juga cepat pula sampai ke Sibu kerana berkat cuaca yang tenang, berkatalah kawan Mat kepada semua:
“Berangkat saja kita pulang ke
Kuching. Tiada urusan lagi di sini. Barang sudah sampai dengan selamat. Cuaca
juga elok, pasti tidak lama kita di laut.”
“Bagus juga cadangan kau.”
Maka, kembalilah kapal itu ke
Kuching, cepat tiga hari dari jadual kerana kerja sudah habis. Sebelum kembali
ke rumah, sempat Mat singgah di kedai membeli selendang baru untuk si bini.
Mudah-mudahan Mayang senang dengan pemberian tersebut.
Ketika hati Mat dikandung dengan
rasa gembira kerana mahu pulang ke Kuching, berlainan pula dengan Dayah. Dia
sudah belajar agama di Nonok, seterusnya mahu dihantar ke rumah kemenakan yang
lain di bandar Kuching kerana sudah besar jadi perawan dan mahu dicarikan
jodoh. Dengan usia yang baharu saja tiga belas tahun, usia seperti ini tidak
dinikahkan dengan segera menjadi satu kerugian. Kata orang tua-tua di kampung,
sementara badan masih muda dan subur seperti tanah gambut, taburkan saja benih,
pasti menjadi orang. Jika usia sudah tujuh belas nanti akan dipandang jadi anak
dara tua. Orang laki-laki pun tidak ingin. Nabi juga tidak mengaku umat yang tidak
nikah-nikah. Maka berangkatlah Dayah dengan impian besar. Kuching, itulah
bandar besar yang menjadi siulan anak muda pada masa itu di mana tertunainya
cita-cita dan janji. Sedangkan Bapa Putih James orang asing boleh berjaya,
orang Cina datang jadi kuli boleh berjaya, masakan orang sendiri tidak boleh?
Begitulah fikiran Dayah yang muda dan masih tidak mengerti akan kehidupan.
Begitu jugalah dengan Mat. Walaupun
usianya sudah matang seperti padi masak dan sedia dituai, dia masih belum
mengerti akan kehidupan. Hidup tidak selama-lamanya di atas, ada masa ia jatuh
ke bawah. Kadang-kadang jatuhnya begitu dalam sehingga boleh mati. Mati hati.
Itulah apa yang terjadi pada Mat sekembalinya laki-laki setia itu ke rumahnya.
Disebabkan kerjanya cepat habis dan tidak dapat kirim surat untuk memberitahu kepulangannya,
Mat pulang ke rumah membawa kejutan untuk si bini. Tetapi sebaliknya, si laki
pula yang terkejut besar.
“Yang! Sampai hati kau!”
Segala pemberian yang dibeli untuk
si bini jatuh dari genggaman, terburai di atas lantai rumah dengan hati yang
hancur. Si bini yang memberi janji keluar dengan mata yang terjojol,
menyelaputi diri dengan gebar bersama jantung berdebar yang seperti mahu pecah.
Di belakang si bini pula, terlihat seorang laki-laki muda tidak berbaju. Hanya
menekur di belakang si bini, tidak dapat berkata apa-apa lagi.
“Aku tidak dapat melihat ini semua.
Pakaikan semula pakaian yang aku beli untuk kau selama ini. Makanlah makanan
yang aku cari untuk kau sebelum kau berangkat keluar. Jangan kau kata aku
kejam. Aku terpaksa kerana kau.”
“Maafkan aku. Aku sunyi. Kau sering
tinggalkan aku.”
“Jadi kau gantikan batinku dengan
Lang?! Kenapa kau menghina aku sedangkan aku sentiasa memuliakan kau?
Keluarlah! Kau bukan milik aku lagi.”
Mayang terjelepuk di atas lantai,
menangis. Lang, simpanan Mayang untuk temasya terlarang selama ini hanya
terdiam tidak dapat menolak kebenaran. Lang terperangkap kerana cinta syaitan
terhadap Mayang, ibu angkatnya yang pandai menawan hatinya. Oleh itu, tidak ada
lagilah ikatan di antara Mayang dan Mat kerana cinta mereka sudah habis. Lang
juga disuruh keluar kerana tidak ada gunanya lagi Lang kepada Mat. Sebelum Lang
keluar, Mat memberinya sedikit duit dan surat kerana tidak mahu kelihatan kejam
terhadap anak angkatnya yang amat disayangi selama ini. Bersama hati dan jiwa
yang sesal, Lang pergi membawa diri lalu membaca surat terakhir kiriman bapa
angkatnya.
‘Kepada
Lang. Aku tidak dapat menulis surat yang panjang-panjang kerana nafasku menjadi
pendek kerana kau. Aku sayangkan kau seperti anak aku.Kau kuambil kerana aku
percaya pada kau. Walaupun orang kampung mengatakan aku buta kerana mengambil
kau yang besar teruna dan mungkin mengundang cemar kepada Mayang, aku tetap
mengambil kau kerana kau sentiasa menyenangkan aku. Ternyata pula mereka benar
dan aku buta. Sekarang, keluarlah dan cari kehidupan yang baru. Ambillah
jandaku jika kau begitu suka padanya, aku tidak peduli. Moga-moga kau sedar
akan kelakuan kau sendiri dan tidak mengulanginya lagi.’
Bermula dari detik itu, ketiga-tiga
mereka membawa diri. Lang entah ke mana, Mayang keluar membawa Lara dan Mat
hidup sendirian di dalam rumah tanpa sekuntum bunga. Hatinya hancur.
Adapun Mat hidup sendiri dan bekerja
seperti dunia habis esok hari, Dayah pula hidup bekerja seperti amah di rumah
kemenakan. Dia memasak, menyental baju, mengangkat timba dari perigi sampai ke
dapur dan bekerja keras memikul kayu api. Sakitnya tidak terkata. Dia tidak
sangka impiannya berderai apabila sudah sampai di Kuching. Bukan saja diperlakukan
seperti amah, dia juga tidak diberi wang belanja malah khabar mahu diberikan
suami juga tiada. Timbul rasa sesal di fikiran Dayah kerana bersetuju terus
dikirim ibu kemenakan ke Kuching.
Tetapi entah apa yang terjadi, kerja
Allah swt yang tiadalah diduga, seorang perempuan datang membawa berita akan
seorang laki-laki mahu mencari calon isteri. Seorang laki-laki bernama Abu, sebaya
Dayah dari Nonok menghantar saudara untuk meminang Dayah yang memikat hatinya
sejak dari dulu lagi. Laki-laki itu cuma kerja tebas rumput, gajinya lima puluh
sen sehari. Tetapi pinangan yang dikirim telah ditolak. Samada keluarga
kemenakan Dayah belum bersedia melepaskan Dayah yang rajin, Dayah belum
bersedia atau sebenarnya Dayah tidak suka pada Abu kerana gaji Abu yang kecil
dan rupa pun tidak ada, tiada siapalah yang tahu apa sebabnya. Maka, mundurlah
si Abu dari hidup Dayah yang sangat dicintai. Cinta itu masih tidak susut
walaupun emaknya menjodohkan Abu dengan seorang perempuan satu kampung selepas
cintanya ditolak oleh kemenakan Dayah.
Setelah pinangan tersebut ditolak,
entah apa malangnya Dayah tidak dipinang siapa-siapa sejak dari hari itu.
Kemenakan Dayah tidak keruan memikirkan perkara tersebut. Biasanya anak perawan
seperti Dayah yang suci lagi bersih ini akan dikerumun oleh pemuda yang sudah
sampai seru. Anak jiran sebelah sebaya Dayah sudah nikah dua purnama lepas.
Mudah pula urusannya. Tatkala bersungut dan bersesal menolak pinangan Abu
tempoh hari, seorang perempuan berusia 30an dari Bedil Kecil datang ke kampung
mahu mencari perawan yang masih belum dipunyai siapa-siapa untuk dijadikan
jodoh kepada jirannya yang membujang. Berita itu sampai ke telinga kemenakan
Dayah yang kebetulan mahukan laki-laki untuk dijadikan suami kepada Dayah.
Menurut mereka, Dayah sudah masak ranum, sudah berusia lima belas tahun dan
tidak mahu ditahan lama-lama lagi di dalam rumah kerana sudah tidak mahu
memberi makan kepada anak orang. Tanpa banyak bicara, hal pinang terus
diterima. Bapanya si Usup diberi maklum dan Dayah dijodohkan dengan seorang
laki-laki tua yang berusia empat puluh tahun. Pada masa itu, anak perawan tidak
lulus untuk memotong urus nikah, kerana hanya orang tua saja yang arif akan
perkara sedemikian. Dalam diam juga si Dayah juga mahu keluar dari rumah
tersebut kerana sudah mafhum tidak mahu makan budi di rumah orang dan sudah
tidak tahan lagi bekerja keras. Walaupun dinikahkan dengan laki-laki yang jauh
lebih tua daripadanya, Dayah gembira kerana si laki-laki dikatakan banyak wang
dan rupa pun ada. Seterusnya, bernikahlah pasangan itu dengan sederhana lalu
memulakan hidup laki bini di Bedil Kecil. Si laki itu pula tidak lain tidak
bukan, si Mat.
Demikianlah mereka berdua menempuh
hidup laki bini di kampung kecil dengan berlainan fikiran. Dayah perempuan
muda, tidak matang dan masih anak-anak sifatnya. Mat pula laki-laki yang tua,
matang dan hanya mampu melayan kerenah bini baharunya. Dia tidak kisah akan
semua itu asalkan Dayah setia. Dayah juga tidak peduli akan ketuaan si laki
asalkan hidupnya tidak sempit. Untunglah Dayah kerana Mat masih bekerja sebagai
juragan kapal maka keperluan Dayah tidak pernah kurang walaupun rumah kecil
beratap nipah. Makan pakainya cukup, persalinan dan perhiasannya juga
indah-indah belaka.
Berkatalah Dayah kepada dirinya
sendiri, “Beruntunglah aku kerana memilih Mat berbanding si Abu.”
Perlayaran dua laki bini itu seperti
laut. Dalamnya tidak tersentuh, luasnya tidak kelihatan. Diberi oleh Allah swt
akan anak lelaki yang pertama, menjadi penawar hati Mat yang sangat
menginginkan anak lelaki, entah dari mana anak itu tiba-tiba pula diminta oleh
sahabat jiran Mat, seorang perempuan dari Jalan Green yang kepingin anak kerana
mereka tidak ada anak walaupun sudah puluhan tahun berlaki. Seperti hati emak
dan bapa yang kasihkan anak, mereka berdua tidak mahu menyerah. Tetapi
perempuan yang mahukan anak itu berkata, “Mat, bini kau muda. Kau masih
bertenaga. Lain hari bini kau akan zahirkan satu lagi anak seperti benih sawi
dicampak atas tanah subur. Sedangkan aku tidak ada anak dan hidup kami sangat
sunyi. Berikanlah anak kau atas belas. Aku akan menjaga anak lelaki kau dengan
baik.”
Atas dasar kasihan dan mudah-mudahan
ehsan ini akan mendapat pahala dari Allah swt, maka Mat dan Dayah pun
memejamkan mata dan berpisahlah mereka anak beranak, dugaan untuk manusia yang
diturunkan sebagai ujian hidup.
Malangnya, anak itu tidak dapat
hidup lama. Beberapa bulan dimiliki orang, anak itu pun pulang mengadap Allah
swt kerana sakit anak-anak. Menangislah Dayah kerana kehilangan anak pertama
yang sangat dicintainya. Namun, air mata itu terhapus apabila Dayah diperiksa
oleh bidan kampung setelah sudah enam bulan bercerai susu dengan anak pertama,
Dayah tidak datang kotor. Rupa-rupanya tidaklah Dayah menyangka bahawasanya dia
mendapat anak lagi. Apabila genap ranum anak tersebut di dalam rahim, Dayah
menzahirkan seorang anak perempuan dengan nama Rokayah. Tidak terbilang rasa
gembiranya si Mat kerana peroleh seorang lagi anak dan dengan segeranya
dimaklumkan kepada anak perempuannya yang dahulu, si Lara yang kini sudah manis
membesar. Walaupun Lara itu anak Mat, kelihatan seperti Lara tidak suka melihat
bapanya sendiri apabila Mat datang membawa berita gembira kepada emaknya,
Mayang. Hatinya dibisik cemburu.
Namun, sekali lagi mereka diuji
apabila perempuan yang sama datang meminta anak lagi. Perempuan itu meminta
Rokayah sebagai anak dan memberi janji yang sama tetapi Dayah tidak mahu
percaya. Kali ini, Dayah pula yang dipujuknya kerana sudah pasti tidak mudah
untuk perempuan itu memujuk Mat yang sakit hati padanya.
“Dayah, kau masih muda. Berikan
anakmu kepada aku. Aku akan menjaga anakmu dengan baik. Lagipun kau masih muda,
baharu masuk usia tujuh belas tahun. Jika kau mahu kau boleh dapat anak lagi
selepas rehat dua bulan dan zahirkan anak hujung tahun ini. Sedangkan aku tidak
ada anak dan hidup kami laki bini sungguh sunyi.”
“Tapi kakak, saya sayang anak saya.
Mintalah anak orang lain. Anak jiran belakang saya juga baru menzahirkan anak
tiga bulan lepas.”
“Dia sudah tiga bulan, Dayah.
Emaknya pasti tidak mahu berikan anak itu kepada aku. Sedangkan anak kau baharu
saja tujuh hari dan kau juga belum kenal kasih dengan anak kau. Jadi jika aku
ambilnya sekarang tidaklah menimbulkan kerinduan yang amat di minda kau yang
masih muda ini.”
“Kalau begitu, berjanjilah dengan
saya. Besarkan anak saya seperti anak kakak.”
Sekali lagi, anak Mat diberikan
kepada orang. Apabila Usup bapa si Dayah dimaklumkan, pantas lelaki tua itu
datang membawa emak si Dayah sekali datang ke Kuching. Menurut firasat tuanya,
Dayah dan Mat itu mudah benar diperdayakan oleh orang. Sebaik saja tiba di
rumah Mat setelah dihantar oleh apek Cina dengan beca tarik sampai ke depan
rumah, Usup terus menerpa masuk lalu berkata,
“Mana cucu aku, Dayah?”
“Sudah kuberikan pada perempuan yang
tidak ada anak. Kami kasihan kerana dia tidak ada anak dan aku pula boleh
beranak lagi. Jadi tidak salah kami serahkan Rokayah dengannya.”
“Dulu dia ambil cucu sulungku,
Samad. Sekarang dia ambil Rokayah pula. Di mana dia tinggal? Aku mahu bertemu
dengan perempuan itu.”
“Dia tinggal di Jalan Green,
bersebelahan dengan sekolah anak-anak. Apabila bapak sudah bertemu dengan dia,
beritahu aku bagaimana keadaan si Rokayah. Aku tidak boleh keluar kerana aku
masih pantang. Mat juga tidak kasi aku keluar sebab itu disuruhnya dua orang
perempuan ini mengatur makan minum aku ketika dia berlayar.”
“Baiklah, aku dan emak kau akan
datang semula petang nanti.”
Demikianlah bicara anak beranak lalu
si Usup berlalu berjalan kaki sampai ke pangkalan. Dari pangkalan itulah dia
menaiki perahu tambang beratap nipah dengan tambang sepuluh sen seorang. Apabila
tiba di seberang, Usup dan Siah berjalan kaki begitu jauh sehingga keletihan.
Maka ditumpangnya lori pendek apek Cina penjual surat khabar sampai ke Jalan Green. Tiba jugalah si Usup di rumah perempuan itu demi
mahu melihat cucu perempuannya.
“Oh si Dayang, aku ini pak nek si
Rokayah. Benarkan aku melihat cucu aku,” kata Usup apabila pintu dibuka.
“Masuklah.”
Sebaik saja si Usup dan si Siah
masuk ke dalam, dijenguknya Rokayah yang merengek kecil di dalam buaian.
Disangkanya Rokayah sihat dan montel di bawah jagaan perempuan tersebut.
Rupa-rupanya si Rokayah itu tidak lebih dari seperti kain buruk yang terperusuk
di celah bantal. Terasa seperti mahu menangis Usup dan Siah apabila melihat
cucunya tetapi apakan daya, hak anak sudah diberikan oleh orang yang
menzahirkan. Maka si Usup dan si Siah pun kembali semula ke Bedil Kecil dan
memaklumkan si Rokayah sudah sakit tenat dan seperti mahu melepaskan nyawa
tidak lama lagi. Maka, diperkenankan oleh Allah swt, Rokayah pun menurut
langkah abangnya selepas usianya dua bulan dan Mat dan Dayah tidak mahu
memandang muka perempuan itu lagi kerana dikatakan perempuan itu membela hantu
jembalang sebagai pendamping. Barangkali sebab itulah dia tidak dapat anak, dan
anak-anak Mat mati dibaham hantu.
Tahun-tahun ke depan selepas itu,
Dayah menzahirkan seorang anak lelaki diberi nama Hisam pada tahun 1959, Ijah
pada tahun 1960, Rahman pada 1965, Rabuyah pada 1968, Mohsen pada 1970, Nora
pada 1971 dan Yuli pada 1972. Pada tahun 1966, Dayah kehilangan anak kerana
rahim tidak kuat dan badannya juga lemah. Pada tahun-tahun tersebut jugalah Mat
mengakhiri kerja juragan kerana sudah tamat tempoh, dan dia sempat membeli
tanah di Astana serta membina rumah tetapi kehidupan di tempat baru ternyata
lebih susah. Kesusahan itu menyebabkan mereka berdua menyerahkan Nora kepada
keluarga di Astana yang kebetulan mahukan anak perempuan dan kemudian memberi
Yuli kepada keluarga di Ajibah Abol kerana mereka tidak ada anak melainkan anak
angkat saja. Yuli adalah anak yang paling sakit untuk dizahirkan kerana Dayah
dipaksa potong perut, dia kesakitan beberapa purnama sehingga satu kerja pun
tidak dapat dibuat dan terpaksa pula dimasukkan darah baharu kerana badan
sangat lemah. Mat pula sudah tidak bekerja lagi, menambah sulit untuk mencari
belanja. Kerana kasihankan Dayah, Mat pun memohon kerja menjadi jaga di sekolah
rendah. Kebetulan pula menantu Mat, laki si Lara yang sudah menikah itu cikgu
di sekolah berkenaan. Maka mudahlah Mat mendapat kerja dan mencari sesuap nasi.
Pada masa itu, timbullah pengertian
di fikiran Dayah, mengapa bapanya menyerahkan dia dengan kemenakan dan tindakan
dia menolak pinangan Abu yang adakalanya terasa sedikit sesal tetapi segera ditahan. Abu kini jadi sudah pegang jawatan
di kampung dan ura-ura mahu dicalonkan jadi ketua kampung tidak lama lagi. Niatnya
cuma mahu hidup sempurna dan selesa. Kini dia kesakitan melawan kesan potong
demi sesuap nasi untuk anak-anak. Dalam diam, Dayah menitiskan air mata.
Hidup pada zaman 70an tidak mudah
kerana anak-anak sudah sekolah dan mahu diberi belanja. Apabila anak turun ke
sekolah, mereka minta wang untuk beli buku, beli pensel, beli pemadam. Semenjak
Dayah dimasukkan darah baharu selepas kehilangan darah menzahirkan Yuli, Dayah
yang lemah lembut itu tidak seperti dahulu lagi. Dayah menjadi baran, tidak
tahu bersabar. Lagi-lagi apabila nama wang disebut di depan mukanya, Dayah akan
melolong. Tabiat suka menyumpah juga tiba-tiba pula menjadi kebiasaan di mulut
Dayah yang berusia tiga puluh tahun itu. Atas kelakuan itu jugalah, Mat memikul
tanggungjawab mengajar anak perempuan memasak kerana Dayah terlalu garang dan
tidak dapat tahan sabar.
“Hai anak tidak guna! Aku mati gila
bekerja kau membuta di rumah tak mau tolong apa-apa! Dapat pula bapak kau yang
tua dan miskin, aku yang jadi susah! Kalau begini hancurlah aku, mati habis,
mati kering tak tinggal bekas!” jerit Dayah setiap kali selepas balik bekerja
di kedai runcit di pangkalan.
“Hai Dayah jangan menyumpah! Kita
ini bukan tidak ada agama. Bersabarlah sedikit,” tegur Mat apabila Dayah
melolong di kaki tangga menyimbah kakinya dengan air di dalam tempayan.
“Kau tahu apa? Kau duduk saja di
rumah, aku bekerja di luar cari makan! Lebih baik kau diam!”
Begitulah Mat, apabila bininya marah
dia akan beralah. Mat tahu fikiran Dayah tidak keruan. Begitu banyak perkara
menyulitkan hidup mereka yang dahulunya bahagia dan senang. Sekarang, roda
sedang berada di bawah. Tidak ada ruang untuk Mat cuba memusingkan roda itu
naik ke atas semula. Maka diteruskan jua bekerja menjadi jaga di sekolah dan
mengutip belanja menjadi tukang kayu di kampung-kampung.
Pada suatu ketika, apabila Hari Raya
tidak lama lagi menjengah, Dayah termangu di depan dapur, memikirkan tidak ada
apa-apa yang boleh dihidangkan untuk tetamu. Tiada baju baharu untuk anak-anak,
tiada persalinan dan sepatu untuk diri sendiri, melainkan hanya pakaian lama
yang tersumbat di dalam almari usang. Dayah memejamkan mata dan menoleh ke
belakang, lalu dileterinya anak-anak dengan segala macam sumpah bagi menebat
kedukaannya yang tidak mampu memberi apa-apa kepada anak-anaknya melainkan
hanya makan minum sahaja. Menyedari akan perihal itu, Mat meminta anaknya
Rabuyah tinggal di rumah kakak mereka, Lara yang kini sudah hidup senang dengan
Cikgu Aman di Siol. Menurut fikiran Mat, Lara mungkin akan memberi sedikit kuih
muih kepada Rabuyah untuk dijadikan buah tangan untuk mereka di Hari Raya.
Namun, hati Mat hampa apabila Rabuyah kembali semula ke rumah, dengan membawa
sisa kuih yang dipotong dalam bekas yang begitu kecil.
Lalu berkatalah si Mat kepada
Rabuyah, “Apakah ini yang kakak kau bagi atau kau tersilap?”
“Tidak, pak. Kakak sendiri yang
serahkan bekas ini kepada aku. Katanya dia tidak dapat belanja banyak jadi ini
saja yang mampu diberi,” Rabuyah menyahut.
Kemudian, pantas pula Dayah
menyampuk, “Kau lihatlah! Anak kau yang kaya itu pura-pura tidak ada wang.
Biarkan dia menipu bapaknya sendiri! Kalau dia tidak kena tulah dengan aku,
dengan engkaulah dia mendapat tulah! Dasar anak tidak tahu budi! Engkau
bapaknya, maknya pula pembelit dan sekarang dibalas pula dengan sisa dari celah
giginya!”
“Tidak apalah, Yah. Bukan rezeki
kita. Tuhan tahu,” Mat yang sabar itu segera memujuk Dayah. Dia redha. Barangkali
segala dosanya ketika masih muda sekarang dibayar dengan tunai oleh Allah swt.
Pada detik itu jugalah Mat sudah mafhum
bahawasanya Lara anaknya dengan si Mayang itu sudah tidak peduli akan dirinya.
Juga tidak dilihat sebagai bapa kandung yang pernah memberi wali dan
kebajikannya diabaikan kerana perkara lampau, sedangkan perkara lampau itu
jatuh di bahu emaknya juga, si Mayang. Oleh itu, Mat mundur tenang dari hidup
Lara. Tanggungjawabnya memberi bahagia Lara ke tangan Aman sudah pun dipenuhi. Moga-moga
Lara bahagia dan menjaga Mayang yang tua itu baik-baik sampai hayatnya habis.
Ketika air laut berombak dan tidak
berhenti mengalir di bumi Allah, begitulah kehidupan manusia seperti Dayah dan
Mat menempuh dugaan hidup yang tiada habis. Dayah yang masih muda dan masih molek
susuk badannya itu membuang kerja di kedai runcit dan menjadi pencuci baju dari
rumah ke rumah sehinggalah diambil bekerja oleh perempuan Cina kaya yang sangat
baik hati. Di situlah Dayah menumpang nasib mencari sesuap nasi, juga
dihiburkan oleh anak-anak taukenya yang sangat bersopan santun. Mat pula
membuang impian mahu ke Mekah kerana tidak sampai hati menyakiti hati Dayah
yang sedia ada sakit. Maka begitulah kisah mereka berlayar di atas lautan
hidup. Dalamnya tidak tersentuh, luasnya tidak kelihatan.
* * *
Dahulu Mat ingin benar mahu melihat
rumah Allah, menjadi haji. Tetapi rezeki tidak ada. Maka dimintanya jiran depan
membawakan kain ihram yang sudah dibelinya siap-siap agar dapat direnjis
sedikit air Zam-zam. Biarlah kain ihram saja sampai ke Mekah, biarlah orangnya
tertinggal di rumah, asalkan dia dapat mencium kain itu dengan renjisan dan
bauan dari Mekah dengan perasaan rindu. Namun, hajatnya ditolak. Kain ihramnya
pun tersimpan bersama impiannya sekali. Allah swt berasa kasihan. Akhirnya,
pada tahun 1995 Mat mendapat jemputan mengadap Allah swt, jemputan yang tidak
dapat ditolak dan Mat tidak mungkin dapat menolak. Mat akhirnya berangkat ke
alam kekal, meninggalkan Dayah sendiri menempuh gelora hidup. Sepeninggalan
Mat, Dayah tidak mencari pengganti malah dia juga tidak pergi mengundi
pilihanraya. Dayah sudah tidak ada teman untuk bersama dengannya seperti dulu.
Anak-anak mereka kini sudah besar.
Ada yang sudah berkahwin dan beranak pinak. Kakak Dayah pula langsung tidak
menikah dan adiknya pula pulang terus mengadap Allah swt setahun yang lepas kerana dilanggar
kereta. Si Abu yang pernah jatuh cinta padanya dulu menjadi ketua kampung
beberapa lamanya sebelum dia meninggal dunia. Apabila Dayah kembali mencari
Ceng di Nonok, Ceng memberitahu bahawasanya anak kedua Abu diberi nama Dayah
sebagai lambang cintanya terhadap Dayah. Tetapi, Dayah tidak berkata apa-apa.
Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang ada di fikirannya.
Bukan itu saja, menantu pertamanya,
Cikgu Aman yang baik hati itu juga sudah mengadap Tuhan kerana sakit tua.
Tinggallah Lara seperti Dayah, hidup tanpa laki. Cuma bezanya, Dayah masih kuat
dan badannya cergas. Lara pula sakit-sakit seperti nenek, mulutnya herot barangkali
terkena strok. Adapun hal si Dayah yang masih dengan kelakuan barannya yang
bingit sehingga menimbulkan kegusaran di hati anak dan cucu, Dayah tidak pernah
lupa dirinya yang dahulu. Terkadang dia akan duduk mengelap bingkai gambar
keluarga yang mengandungi wajah Mat yang terasa seperti masih hidup. Apabila
melihat keramaian di tebingan dia akan teringat pada Mat yang suka menonton lumba perahu. Dia juga suka memasak
banyak, seolah-olah seperti ada Mat di depan mata dan anak-anak seperti masih kecil.
Seperti biasa dia tidak dapat berhenti dari tabiatnya yang suka berjalan-jalan
kerana dari tabiat itulah dia membantu Mat mencari sesuap nasi di pasar dan di
rumah orang. Hati tuanya semakin sukar dimengerti. Anak cucu juga tidak faham
apa yang terkandung di dalam kepala orang tua itu. Malah, si Mohsen yang tidak
berbini dan menjadi penjaga emaknya juga tidak faham akan sifat Dayah.
Meniti hari tua dengan perasaan yang
berkecamuk, maka berkatalah Dayah kepada dirinya, “Aku mahu kembali ke masa
dahulu, Mat. Apabila kita sangat bahagia.”
Cubalah agak betapa lukanya hati
Dayah dengan kehilangan dan cubalah agak berapa lamakah di belakang itu Dayah
melalui pengalaman pengajaran di hayat tua. Hidupnya seperti peti, kunci pula
sudah hilang. Maka tertutuplah ia buat selama-lamanya.
@themagi2013
@themagi2013
No comments:
Post a Comment