credits: hillbertmontell-anak merdeka |
- Iban Skrang,
- Iban Miri-Bintulu-Limbang,
- Iban Saribas,
- Iban Batang Rajang,
- Iban Undop,
- Iban Lemanak,
- Iban Malikin.
Orang Iban tradisional dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka berasal dari Kalimantan Indonesia. Mereka berpindah ke Sarawak menerusi Batang Air Kapuas, antara sempadan Kalimantan-Sarawak dan masa perpindahan mereka hampir sama dengan kedatangan orang Eropah ke Asia Tenggara.
Pembentukan tradisi dan kepercayaan orang Iban dipengaruhi dengan sejarah perpindahan, alam sekitar dan juga adaptasi terhadap penempatan baharu. Mereka sering berpindah ke satu kawasan ke satu kawasan bagi memenuhi keperluan hidup dan ia mempengaruhi pemikiran, gaya hidup dan tindakan mereka dalam kehidupan seharian. Ia juga didorong oleh faktor kelangsungan hidup, ekologikal dan budaya mereka. Ketiga-tiga faktor itu membentuk kepercayaan terhadap kuasa alam yang menentukan nasib baik atau buruk mereka, lantas mendorong mereka untuk memikirkan cara untuk menggembirakan hati semangat yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Fungsi Lagu Rakyat dalam Masyarakat Iban
Lagu rakyat atau Leka Main berperanan sebagai puisi hiburan atau ritual bagi masyarakat Iban. Ia terbahagi kepada dua iaitu Leka Main sekular yang tidak serius (lebih kepada hiburan dan didikan) dan Leka Main Sakral (bersifat serius kerana bersifat magis dan pengukuhan kepercayaan). Ia dilafazkan untuk memohon keberkatan atau penyembuhan dan ia dihasilkan dengan imaginasi, estetika dan realiti budaya mereka yang dahulunya bersifat pagan dan primitif. Sepertimana syair atau sajak yang dihasilkan oleh orang Melayu secara lisan (dan sering diiringi oleh peralatan muzik seperti kompang, gendang, seruling dan sebagainya), Leka Main juga bersifat lisan dan memaparkan cara mereka berfikir, sosio-budaya dan adat istiadat masyarakat Iban dalam majlis tertentu. Pengucapan puisi rakyat ini biasanya disertai dengan upacara seperti tarian, korban (ayam jantan) dan doa.
Terdapat 20 jenis Leka Main yang menonjolkan corak pemikiran masyarakat Iban, ciri-ciri kebudayaan dan kepercayaan mereka dan antaranya ialah:
- ensera
- sampi (puisi doa)
- pelian
- pengap (zikir ritual)
- timang
- pantun
- jawang
- ganu
- renong
- dungai
- sanggai (nyanyian minum tuak)
Fungsi Tarian dalam Masyarakat Iban
Sebagaimana pengap dilafazkan dalam upacara dan ritual penting dalam perayaan masyarakat Iban, tarian juga dianggap penting dalam kepercayaan dan adat istiadat. Sepertimana yang diketahui, tarian memenuhi keperluan dalam hidup mereka seperti memuja dewa, berkabung, berperang, berkahwin dan sebagainya. Tarian Ngajat, atau tarian Pahlawan merupakan identiti utama masyarakat Iban kerana ia unik dan asli, malah penuh dengan dunia mistik dan kepercayaan dewa-dewi mereka. Penari lelaki biasanya dipakaikan dengan pakaian gagung (baju burung) dan topi burung sambil membawa perisai dan pedang, manakala penari wanita pula memakai pakaian tradisi mereka yang bercorak etnik dan perhiasan-perhiasan berat di pinggang.
Tarian Ngajat biasanya diraikan dalam Hari Gawai yang disambut pada 1 Jun setiap tahun bagi meraikan pesta menuai padi. Dahulunya, tarian ini ditarikan sebelum berperang (ngayau) atau selepas menuai. Memandang adat ngayau tidak lagi dijalankan maka tarian ini ditarikan sebagai kenangan dan penghormatan terhadap para pahlawan Iban pada Hari Gawai.
Terdapat beberapa jenis tarian ngajat iaitu:
- Ngajat bebunoh: Tarian yang berunsurkan peniruan atau pengulangan aksi pahlawan di medan perang semasa pahlawan menumpaskan musuh-musuh. Ia ditarikan sebelum memulakan upacara berburu.
- Ngajat Induk: Tarian yang ditarikan oleh golongan wanita Iban bagi menunjukkan kelembutan dan kehalusan seni budaya mereka. Tarian itu juga memaparkan gaya hidup kaum wanita dan sifat-sifat santun dalam diri mereka.
- Ngajat Lesong: Tarian ini ditarikan oleh lelaki Iban sahaja kerana ia menunjukkan kekuatan mereka dan sifat-sifat lelaki mereka. Menerusi tarian ini, penari lelaki akan menari sambil menggigit lesung.
- Ngajat Ngalu Temuai: Tarian ini dipersembahkan untuk tetamu yang hadir, biasanya dalam upacara perasmian atau pembukaan majlis rasmi yang dihadiri oleh tetamu kehormat.
- Ngajat Kuta: Ditarikan oleh lelaki dan perempuan bagi sambutan majlis atau persembahan budaya.
- Ngajat Pua Kumbu: Tarian ini lazimnya ditarikan oleh orang perempuan sambil membawa pua kumbu sebagai alat persembahan mereka.
Fungsi Muzik dalam Masyarakat Iban
Muzik memainkan peranan penting dalam masyarakat Iban, sebagai pendekatan terhadap kepercayaan, hiburan dan pendidikan. Menurut kajian dari UKM, muzik bersifat anjal, pelbagai, memenuhi aspek komunikasi dan menggambarkan imej dan ketamadunan budaya sesuatu kaum, serta membantu dalam pembangunan sosial (Norshafawati, Asiah & Fuziah Kartini, 2010). Muzik mengandungi simbol verbal (bahasa pertuturan) dan non-verbal (bahasa badan) yang menyokong komunikasi. Dalam konteks ini, muzik merupakan medium bagi masyarakat Iban dalam pembudayaan adat dan tradisi mereka.
Muzik Iban dikategorikan kepada dua jenis iaitu muzik vokal dan muzik instrumen. Umumnya, muzik vokal ialah penyampaian lagu puisi mengikut kesesuaian upacara dan muzik instrumen ialah peralatan yang digunakan bagi mengiringi muzik vokal. Menerusi kepercayaan Iban, upacara ritual perlu didukung oleh gabungan muzik, lagu atau pengap dan juga tarian. Muzik membantu dalam penghayatan kepercayaan, menyokong komunikasi yang tersirat dan penyampaian makna yang lebih berkesan.
Antara peralatan atau instrumen muzikyang digunakan oleh masyarakat Iban:
- Enserunai/Enseranai (Kordofon): instrumen muzik Iban bertali dua diperbuat daripada tempurung atau labu. Untuk mendapatkan bunyi yang betul, tali dibasahkan dengan air liur dan si pemain memainkan enserunai dalam keadaan rehat dan tunduk. Kod muzik dimainkan seperti bermain biola, dan biasanya alat muzik ini digunakan untuk upacara kematian dan berkabung, walaupun tujuan asal muzik ini dimainkan tidak diketahui (The Metropolitan Museum of Art)
- Engkromong/Kromong (Idiofon): Lapan buah gong kecil yang sering dimainkan oleh orang Iban dalam pelbagai upacara seperti Hari Gawai. Engkromong dipercayai wujud menerusi pertukaran budaya dari Jawa dan Bali (Jose Maceda)
- Gendang Pampat (Membranofon): Sejenis gendang yang biasa dimainkan oleh kaum Iban (biasanya warga emas) dalam perayaan Gawai Kenyalang, Gawai Sandau Ari, kelingkang atau gawai lain yang diraikan oleh masyarakat Iban (The Borneo Post)
- Tetawak (Idiofon): Alat muzik gong gantung yang dimainkan secara berpasangan (gong ibu dan gong anak). Gong tersebut mempunyai dinding yang tebal, diperbuat daripada tembaga dan bentuk busut di tengah. Ia terkenal dalam muzik tradisional Melayu, mengiringi tarian Sumazau di Sabah dan tarian ngajat Iban di Sarawak (Wikipedia)
- Sape (Kordofon): Alat muzik terkenal bagi Orang Ulu, Kenyah, Kelabit dan Iban. Diperbuat daripada kayu meranti dan ia biasanya dimainkan dalam upacara ritual. Getaran yang dihasilkan oleh sape menghasilkan not bunyi yang menenangkan dan unik, berbeza dari instrumen bertali yang lain (Kosmo)
- Engkerurai (Erofon): alat muzik yang diperbuat daripada buluh dan labu tetapi ia jarang dipamerkan dalam persembahan dan kewujudannya juga seolah-olah tidak diketahui oleh umum (Musik Tradisi Sabah dan Sarawak)
Kesimpulan
Lagu puisi, tarian dan muzik adalah asas pembentukan budaya kepada masyarakat Iban, perlambangan kepada cara berfikir, gaya hidup, konsep ketuhanan dan warisan adat yang penuh dengan sejarah, keunikan dan nilai estetika. Lagu puisi adalah penyampaian verbal, tarian adalah non-verbal manakala muzik adalah gabungan kedua-dua, digabungkan untuk menjadi satu tradisi yang berbeza dan menjadi identiti kepada kaum terbesar di Sarawak.
Lagu puisi, tarian dan muzik adalah asas pembentukan budaya kepada masyarakat Iban, perlambangan kepada cara berfikir, gaya hidup, konsep ketuhanan dan warisan adat yang penuh dengan sejarah, keunikan dan nilai estetika. Lagu puisi adalah penyampaian verbal, tarian adalah non-verbal manakala muzik adalah gabungan kedua-dua, digabungkan untuk menjadi satu tradisi yang berbeza dan menjadi identiti kepada kaum terbesar di Sarawak.
Rujukan/Pautan/Penghargaan:
No comments:
Post a Comment