Tuesday, 20 January 2015

Dongeng Barat: Versi Baru Vs. Versi Lama

Cerita dongeng dari Barat merupakan cerita yang biasa kita dengar. Sama ada dari buku, atau penceritaan di sekolah, kita semua tahu tentang kisah Cinderella, Snow White, Hansel & Gretel dan banyak lagi. Kebanyakan cerita dongeng berakhir dengan gembira. Terima kasih dengan Walt Disney, kebenaran di sebalik cerita dongeng Barat ditutup dengan sempurna.

Menyebut tentang kebenaran, penamat kisah dongeng sebenarnya lebih menjurus ke arah 'kejam' berbanding 'gembira'.

1. Pied piper

Kisah Pied Piper yang meniup seruling dan memukau tikus-tikus yang banyak merupakan kisah dongeng yang terkenal. Orang kampung yang diserang tikus mengupah Pied Piper untuk menghalau tikus keluar dari kediaman mereka dan mereka berjanji untuk membayar upah yang banyak. Tetapi setelah Pied Piper berjaya melakukan tugas yang diberi, penduduk enggan membayar jumlah upah yang dijanjikan. Marah dengan perkara tersebut, Pied Piper memukau semua anak kecil dan disembunyikan di gua sehinggalah dia mendapat upah yang dijanjikan. Tetapi, menurut versi asal, Pied Piper sebenarnya memukau semua anak kecil, menghantar mereka ke sungai dan membiarkan mereka mati lemas, kecuali seorang anak kecil yang ketinggalan di belakang disebabkan tempang. Menurut para sarjana Barat, kisah Pied Piper ini mempunyai ciri-ciri pedophilia, iaitu tarikan seksual terhadap kanak-kanak.

2. Little Red Riding Hood

Kisah Red Riding Hood berkenaan dengan seorang anak gadis muda yang sentiasa memakai jubah berhud merah. Ketika menziarahi neneknya, Red Riding Hood tidak tahu bahawa neneknya sudah mati. Seekor serigala jahat telah menyamar menjadi neneknya dan cuba memakan gadis tersebut tetapi berjaya diselamatkan oleh tukang kayu. Menurut versi asal, Red Riding Hood sebenarnya ditipu oleh serigala jahat semasa mencari jalan ke rumah neneknya. Serigala jahat memberi tunjuk arah yang salah dan akhirnya, Red Riding Hood pun dibaham sampai mati. Moral sebenar yang disampaikan dalam cerita asal ialah, jangan mudah percaya cakap orang asing.

3. Little Mermaid

Little Mermaid versi Walt Disney merupakan versi yang riang. Ariel, si ikan duyung jatuh cinta dengan seorang putera raja. Mereka bercinta dan melalui halangan bersama-sama. Akhirnya Ariel bertukar menjadi manusia dan berkahwin dengan putera idamannya. Perkahwinan mereka disaksikan rakyat jelata dan rakyat duyung. Menurut versi asal, putera idaman Ariel telah berkahwin dengan puteri raja yang lain dan menyebabkan Ariel patah hati. Ariel diberikan sebilah pisau dan diminta untuk membunuh putera raja tersebut. Tetapi Ariel memilih untuk tidak membunuh putera tersebut dan memilih untuk membunuh diri. Terdapat kisah yang mengatakan Ariel menikam dirinya sendiri dan ada juga yang menyebut Ariel membiarkan dirinya mati lalu bertukar menjadi buih-buih di lautan.

4. Snow White

Snow White merupakan anak yatim piatu yang dibenci oleh ibu tirinya, Queen. Snow White bertindak melarikan diri kerana tidak mahu hidup di dalam kekuasaan Queen. Maka Queen memerintahkan seorang pemburu upahan untuk menangkap dan membunuh Snow White serta jantungnya diambil untuk dijadikan bukti bahawa Snow White sudah mati. Mengikut versi asal, Queen sebenarnya memerintah pemburu upahan supaya menangkap, membunuh dan mengorek hati serta paru-paru Snow White. Hati dan paru-paru itu pula akan dimasak dan menjadi santapan malam untuk Queen. Versi asal juga menyebut, Snow White tersedar dari sumpahan bukan disebabkan oleh ciuman putera raja tetapi sebaliknya tersedar di atas kuda ketika putera raja membawanya pergi. Jadi, persoalannya, putera raja nak buat apa dengan Snow White yang dikatakan sudah mati? Antara versi lama yang menarik berkenaan dengan Snow White ialah, setelah Snow White berkahwin, ibu tirinya ditangkap. Kedua-dua belah kaki Queen dipasung di dalam kasut besi dan dipaksa menari di hadapan Snow White sehingga mati.

5. Sleeping Beauty

Sleeping Beauty merupakan puteri raja yang tidur setelah jarinya tercucuk pemintal benang. Sumpahan itu berlarutan sehingga tiba seorang putera dan memberi ciuman sejati. Kemudian, mereka berkahwin dan hidup bahagia. Filem Maleficent merupakan versi terbaru untuk kisah Sleeping Beauty. Menurut versi lama, apa yang terjadi pada Sleeping Beauty bukannya satu sumpahan tetapi satu ramalan yang menjadi kenyataan. Sleeping Beauty juga tidak menerima apa-apa ciuman dari mana-mana putera raja. Dikatakan bahawa raja sering memerhati Sleeping Beauty yang lena sehingga timbul keinginan jahat. Sleeping Beauty dirogol sehingga hamil, malah melahirkan dua orang anak ketika masih tidur. Sleeping Beauty tersedar dari tidur apabila anaknya menghisap jari yang tercucuk dan setelah sedar, Sleeping Beauty terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya dirogol dan mempunyai dua orang anak.

6. Rumplestiltskin

Rumplestiltskin merupakan kisah dongeng popular, kisah seorang lelaki magik yang boleh menunaikan apa saja hajat dengan syarat tertentu. Menurut versi baru, seorang perempuan meminta bantuan Rumplestiltkin untuk menjadikan semua jerami yang dipintal bertukar menjadi emas dan berpeluang untuk berkahwin dengan putera raja. Sebagai tukaran, Rumplestiltskin meminta anak sulung pertama dari perempuan tersebut. Tetapi apabila perempuan itu melahirkan anak, dia enggan menyerahkan anaknya kepada Rumplestiltskin. Jadi Rumplestiltskin meminta perempuan tersebut untuk meneka namanya. Jika tersilap, perempuan itu akan menerima balasan. Kebetulan perempuan itu pernah terdengar nama Rumplestiltskin ketika lelaki itu sedang menyanyi di unggun api, maka perempuan itu berjaya meneka dengan mudah. Rumplestiltskin pun beredar dengan marah dan tidak muncul-muncul lagi di hadapan perempuan tersebut. Tetapi menurut versi asal, Rumplestiltskin sangat marah lalu menghentakkan kaki ke tanah sehingga terbenam lalu mengoyak dirinya sendiri. Dengan kata lain, Rumplestiltskin membunuh diri.

7. Goldilocks and 3 Bears

Kisah Goldilocks yang menumpang di rumah keluarga beruang merupakan kisah yang bersifat klasik. Goldilocks menjumpai rumah beruang dan menumpang teduh, makan dan tidur di situ sehinggalah keluarga beruang pulang. Goldilocks yang terkejut cuba untuk melarikan diri tetapi sebaliknya, keluarga beruang itu menerima kedatangan Goldilocks dengan gembira. Menurut versi pertama, Goldilocks sebenarnya tidak bernasib baik. Apabila keluarga beruang pulang, Goldilocks terperangkap dan gagal melarikan diri. Akhirnya, Goldilocks dikoyak sehingga mati. Menurut versi kedua, Goldilocks ialah perempuan tua. Apabila keluarga beruang pulang, Goldilocks melarikan diri melalui tingkap lalu terjatuh. Penamat kisah Goldilocks dalam versi kedua mungkin, Goldilocks mati, ataupun ditangkap disebabkan mencuri.

8. Hansel & Gretel

Hansel dan Gretel, dua bersaudara yang sesat di dalam hutan menjumpai rumah istimewa yang diperbuat daripada manisan. Pemilik rumah tersebut, iaitu ahli sihir telah menangkap dua beradik tersebut dan dipaksa bekerja sehingga ahli sihir berhasrat untuk memakan mereka. Dua beradik itu cepat-cepat membuat helah dan akhirnya berjaya melarikan diri selepas menolak ahli sihir ke dalam api. Menurut versi dari Perancis yang bertajuk The Lost Children, pemilik rumah tersebut sebenarnya syaitan dan berniat mahu memakan dua beradik dengan memotong mereka menggunakan gergaji. Dua beradik itu pura-pura tidak mengerti apa yang disampaikan oleh syaitan maka syaitan pun menunjukkan bagaimana gergaji itu digunakan. Sekelip mata, dua beradik itu pun menggergaji syaitan tersebut sehingga mati. Terdapat versi lain yang mengatakan bahawa Hansel dan Gretel telah dimakan oleh ahli sihir dengan penuh rakus.

9. Cinderella

Cinderella merupakan kisah kegemaran ramai, berkenaan dengan seorang gadis muda yang malang kerana dianiaya oleh ibu tiri dan kakak-kakak tirinya. Hidupnya berubah apabila bertemu dengan pari-pari yang memberinya magik, pakaian yang indah dan peluang untuk bersua dengan putera raja ketika majlis tari menari. Apabila tepat jam 12 malam, Cinderella terburu-buru melarikan diri kerana kesan magik akan hilang lalu menyebabkan sebelah sepatu kacanya tercicir. Putera raja pun pergi mencari Cinderella menerusi saiz sepatu itu dan akhirnya Cinderella berjaya dijumpai. Mereka pun berkahwin dan hidup bahagia. Berbeza dengan versi asal, kakak-kakak tiri Cinderella bertindak memotong kaki mereka mengikut saiz sepatu kaca dengan harapan putera raja akan memilih mereka. Tetapi, putera raja mengetahui bahawa dirinya ditipu apabila seekor burung merpati memberi amaran dengan mematuk mata kakak-kakak tiri Cinderella. Setelah Cinderella berkahwin dan hidup kaya raya di istana, kakak-kakak tiri Cinderella cuba untuk menumpang senang. Sebaliknya, mereka dihalau keluar dan Cinderella meminta supaya burung merpati mematuk mata kakaknya sehingga bebola mata mereka tercabut dan dibiarkan menjadi pengemis di kota.

p/s: kebenaran tak semestinya menarik :p

@magi2015
ruj: Listverse.com|coffesonlife.blogspot.com|pijotpanadol.blogspot.com|

1 comment: