Banglo merupakan satu seni bina kegemaran pada era Rajah Kedua di Sarawak, iaitu Charles Brooke. Tidak ramai yang tahu lokasi banglo-banglo yang dimiliki oleh pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat dengan pentadbiran Brooke. Pada era pentadbiran Charles Brooke, beliau memerintahkan pegawai dari Eropah harus mempunyai banglo sendiri. Maka, pembinaan banglo mula berkembang pada awal 1900. Beberapa buah banglo pada era tersebut kini berubah wajah, tetapi ada juga yang kabur di ingatan masyarakat.
Banglo Golf Links
Banglo Brooke di Siniawan, Bau. Antara banglo terawal keluarga Brooke di atas bukit berbatu yang masih kekal sehingga sekarang (credits: mns Kuching) |
Banglo Golf Links adalah salah satu banglo kerajaan tertua di Sarawak, dan ia tersorok di sebalik kubur Cina di atas bukit jauh dari Jalan Crookshank di Kuching. Banglo besar dan lama ini kelihatan suram dan gelap kerana dibina dengan kayu belian hampir keseluruhannya. Banglo ini dibina pada 1908 secara persendirian dan bahagian bawah banglo dijadikan sebagai kandang kuda memandangkan pada masa itu, Rajah Charles Brooke giat menganjurkan sukan lumba kuda. Apabila Rajah Kedua meninggal dunia, Rajah Ketiga, Charles Vyner Brooke mempunyai pemikiran yang berlainan dan memutuskan untuk tidak membenarkan pegawai Eropah memiliki banglo sendiri. Maka, banglo milik pegawai dari pentadbiran Rajah Kedua yang telah pencen diambil alih oleh Rajah Ketiga dan dijadikan bangunan kerajaan. Ia juga dijadikan penempatan pegawai-pegawai perubatan sejak ia mula didirikan sehinggalah selepas Perang Dunia Ke-2. Banglo ini antara banglo yang sangat dikenali oleh penduduk di Kuching pada masa dahulu kerana terdapat begitu banyak kisah seram, dan kejadian paranormal yang pernah dihadapi oleh pegawai perubatan yang tinggal di banglo tersebut serta pokok besar yang terletak bersebelahan dengan banglo itu pula sering dipanah petir. Kebanyakan tetamu yang menumpang tidur di banglo itu juga pernah mencatatkan pengalaman malam yang menakutkan sehingga mereka berpeluh-peluh. Setelah banglo itu tidak dijadikan penempatan untuk pegawai perubatan, ia pernah digunakan sebagai tempat penahanan anggota Pertubuhan Komunis Bawah Tanah.
Banglo Astana
Jambu Restaurant & Lounge- binaan banglo era Brooke 1930an yang kini dijadikan tempat menjamu selera yang terkenal di kalangan pelancong luar (credits: tripadvisor) |
Banglo Brooke yang terkenal, Astana yang dibina lengkap pada era Rajah Kedua. Sebelum itu ia diperbuat daripada kayu. Kini ia menjadi kediaman rasmi Gabenor Sarawak(credits: theskyscraper) |
Banglo Mr. Moore
Banglo Mr. Moore merupakan banglo persendirian yang dimiliki oleh lelaki Inggeris yang bernama Mr. Moore. Banglo ini berwarna cerah dan terdapat ukiran nama Moore di hadapan banglo tersebut. Banglo itu telah dirobohkan lewat tahun 1960 bagi memberi ruang untuk projek pembangunan di Kuching. Tapak kediaman banglo Mr. Moore akhirnya menjadi tempat letak kereta untuk Bangunan Wisma Bapa Malaysia atau dikenali sebagai Kompleks Kuching. Menurut orang tua yang pernah melihat kedudukan banglo tersebut, tiang lampu besar yang terletak di tengah tempat letak kereta tersebut merupakan titik kepada asal tapak banglo milik Mr. Moore.
Banglo lama Kompleks Kuching
Dahulu, kawasan ini pernah dijadikan kawasan kediaman pegawai Eropah dengan binaan banglo yang hampir serupa. Selepas era 70an, ia berubah menjadi kawasan pentadbiran di Kuching. (credits: flickrs) |
Banglo Jalan Siol
Banglo Jalan Siol (nama dan pemilik asal tidak diketahui) merupakan banglo Inggeris yang dirobohkan pada pertengahan era 60an bagi memberi ruang projek pembinaan sekolah SMK Tun Abang Haji Openg lama yang siap pada tahun 1970. Tapak banglo tersebut dijadikan laluan jalan yang terletak berdekatan dengan pintu masuk sekolah tersebut. Banglo tersebut dibina dengan rekaan yang sama seperti banglo yang lain- binaan batu yang tinggi dan menganjur ke belakang. Ia juga ditakuti oleh penduduk kampung berdekatan kerana terselindung di sebalik semak samun dan pokok-pokok yang rendang. Kini ia menjadi kawasan pembangunan dan juga aset persendirian bagi golongan atasan.
Basaga Holiday Residences; banglo kerajaan yang dibina oleh usahawan India pada era Brooke dan dibeli oleh Dr. Marjoribanks, doktor Eropah pertama di Sarawak. (credits: TheStar) |
Banglo DUN lama
Banglo lama (nama dan pemilik asal tidak diketahui) merupakan banglo yang terletak tidak begitu jauh dari Banglo Astana. Terselindung di sebalik pokok-pokok belacan yang rendang, lokasi banglo itu kini menjadi tempat rumah api yang terletak di belakang DUN lama. Tidak banyak maklumat mengenai banglo ini tetapi ia pernah menjadi tempat anak muda hidup bergelandangan dan ternyata digeruni oleh anak-anak dari kampung Jalan Siol yang balik mengaji Quran di kem Briged PGA pada sekitar tahun 1960an.
Terdapat banyak lagi tinggalan banglo pada era Brooke tetapi ia semakin tenggelam, hilang bersama kisah dan sejarah.
sumber:
catatan WJ Chater
penceritaan lisan orang tua di Kuching
@themagi2013
No comments:
Post a Comment