Monday, 3 February 2014

Batu-batu Misteri di Sarawak

Sarawak; sebuah negeri yang kaya dengan etnik, budaya, kesenian dan legenda. Menjadi sebahagian dari kepulauan Borneo telah memberi identiti yang unik dan menarik. Bukan itu saja, bumi Sarawak ini juga menjadi kediaman pelbagai jenis kisah-kisah yang misteri, termasuklah batu-batu aneh yang menjadi tanda-tanya.

Batu Kinyang, Jalan Rock, Kuching.

Batu Kinyang yang terletak di Jalan Rock, bersebelahan dengan kuil Hindu dan tidak jauh dari Wisma Saberkas merupakan sebuah batu misteri yang mengelupas dan membesar. Ia menjadi tempat memohon hajat pada zaman dahulu. Kononnya, hikmat batu kinyang ini diketahui oleh seorang lelaki berketurunan Jawa yang tertidur di atas batu kinyang ini selepas penat bekerja. Lelaki itu telah memohon hajat untuk memperoleh anak selepas dikunjungi oleh 'seseorang' di dalam mimpi. Apabila hajat lelaki itu termakbul, ramai penduduk mula memohon hajat di batu itu sehinggalah pada suatu hari, hikmat batu itu hilang apabila sebuah kandang sembelihan khinzir dibuka berhampiran. Berdasarkan catatan W.J Chater, Rajah Kedua, Charles Brooke pernah berniat untuk meletupkan batu kinyang dan menggunakan serpihan batu itu untuk membina jalan raya tetapi niat beliau dibatalkan atas pujukan penduduk tempatan.

Batu Buaya, Santubong.

Batu Buaya yang terletak di Santubong diberi nama sedemikian kerana ia kelihatan seperti kepala buaya. Menurut legenda, terdapat seekor buaya gergasi telah mengganas di Sarawak. Dikatakan Datuk Merpati telah memenggal kepala buaya tersebut dan menyumpah kepala buaya itu menjadi batu. Batu Buaya ini penuh dengan kaitan sejarah dan juga legenda, seperti ketibaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Dua puteri itu dikatakan tiba di Batu Buaya selepas berlayar keluar dari Brunei. Begitu juga dengan kisah mangkatnya satu-satunya sultan di Sarawak iaitu Sultan Tengah. Setelah kembali dari Matan, Sultan Tengah berhenti di Batu Buaya dan di tempat itulah baginda dibunuh oleh pengikut yang khianat.

Batu Nabau, Sungai Bukong, Engkelili.


Batu Nabau yang terletak di Engkelili merupakan batu yang sangat aneh kerana berbentuk panjang, mempunyai corak dan menyerupai seekor ular gergasi. Bukan itu saja, penemuan huruf jawi seperti alif, lam, ha, nun, mim dan sin yang terpisah menjadi persoalan ramai. Kisah Batu Nabau mendapat liputan luas selepas seorang lelaki Siam mendapat mimpi ular gergasi menjadi batu sehingga membawa beliau menemui Batu Nabau di Engkelili. Menurut cerita orang tua-tua, Nabau ialah nama ular gergasi yang hadir secara misteri. Masyarakat Iban percaya jika Nabau muncul merentasi Sungai Baleh, banjir besar akan berlaku. Terdapat legenda lain berkaitan dengan Nabau, kononnya Nabau menjelma menjadi manusia dan memikat isteri seorang pahlawan. Berang dengan kelakuan Nabau, pahlawan tersebut menangkap dan mengerat Nabau menjadi tujuh bahagian dan dibuang ke jeram. Jeram itu kini dikenali sebagai Jeram Pelagus yang terletak di Sungai Rajang.

Batu Katak, Jalan Sibu-Bintulu.

Batu Katak yang terletak di jalan Sibu-Bintulu merupakan bongkah batu yang kelihatan seperti katak dari jauh. Apabila didekati, ia dipenuhi dengan lubang-lubang, bermacam-macam jenis nombor dan barang-barang memjuja. Batu Katak menjadi perhatian penggemar nombor ekor kerana menurut cerita, seorang lelaki Cina sangat menginginkan hadiah tempat pertama nombor ekor. Lelaki itu telah meminta bantuan Batu Katak dan dipendekkan cerita, hajatnya termakbul dan lelaki itu membina tokong di Batu Katak sebagai tanda terima kasih. Terdapat kisah-kisah lain mengenai Batu Katak ini seperti kelibat perempuan berbaju putih dan lembaga menakutkan. Terdapat cubaan meletupkan batu ini ketika membina jalan raya dengan menggunakan 'dynamite' dan 'bulldozer' tetapi kedua-duanya tidak berjaya. Maka, Batu Katak kekal di situ dan menjadi kebimbangan masyarakat mengenai masalah syirik.

Batu Bergambar, Sungai Jaong, Santubong.


Batu Bergambar, yang terletak di Sungai Jaong, Santubong merupakan batu yang mempunyai imej manusia yang berusia ratusan tahun. Ia dipercayai tinggalan artifak penduduk Santubong yang terkenal dengan aktiviti berdagang dengan pedagang China, Arab dan India pada kurun ke-11. Penemuan Batu Bergambar menjadi rujukan para arkeologi untuk mengkaji kehidupan di Santubong pada masa lampau, sekaligus mengkaji kesenian dan pertukaran ilmu pengetahuan pada kurun tersebut antara penduduk tempatan dengan pedagang luar. Penemuan batu ini juga telah membawa penemuan artifak tua dari dinasti Tang dan Sung di China, 10 batu berukir dan barang dagangan seperti tembikar, manik, gangsa, perak dan emas. Replika batu ini boleh dilihat di Muzium Tun Abdul Razak, Kuching.

Batu Gong, Sungai Katibas.

Batu Gong yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak merupakan batu misteri yang kelihatan seperti gong yang kemek di tengah. Batu ini dahulunya dikenali sebagai batu bedawak atau batu tawak yang membawa maksud 'gong'. Menurut legenda, terdapat seekor raksasa bernama Remaung telah mengganas di Sungai Katibas dan memakan manusia. Seorang pahlawan bernama Bungai Nuing telah memerangkap Remaung ke dalam seketul batu dan menutup pintu masuk batu itu dengan batu yang digumpal-gumpal. Terperangkap di dalam batu tersebut, Remaung akhirnya mati dan kini batu tempat Remaung menemui maut dilihat seperti gong.

Batu Rasak, Jalan Bintulu-Miri.

Batu Rasak yang terletak di kawasan penempatan Penan Muslim bersembunyi di sebalik belukar, sukar didekati malah dijauhi penduduk tempatan kerana menganggap tempat itu 'keras'. Batu Rasak yang kelihatan seperti orang tegak, orang duduk, wanita mengendong anak, batu berbentuk kerusi, perempuan bertudung, kura-kura dan unta yang bertaburan menjadi perhatian pelancong tetapi tidak semua dapat melihat batu tersebut secara dekat kerana terdapat kejadian pengunjung yang dirasuk dan histeria. Berbeza dari Batu Katak, tiada siapa yang berani meminta nombor di Batu Rasak kerana bimbang dimarahi oleh penunggu. Menurut penceritaan orang tua-tua, Batu Rasak merupakan kawasan sumpahan akibat kelakuan orang Rasak yang terhadap tupai lebih 200 tahun yang lalu. Dikatakan penduduk Rasak mengadakan keramaian dengan memasak daging kura-kura dan tupai namun daging tupai tidak seenak kura-kura lalu mereka ketawa dengan rasa tupai tersebut. Tiba-tiba, hujan pun turun bersama ribut dan kilat, dan mereka semua bertukar menjadi batu. Berdasarkan istilah Sarawak, kejadian seperti ini disebut sebagai 'buak'.

Sea Stack, Taman Negara Bako, Kuching.

Sea Stack yang terletak di Taman Negara Bako merupakan mercu tanda Bako, sekaligus menjadi identiti Sarawak. Ia kelihatan seperti kepala ular tedung yang muncul dari air. Sebagai taman negara tertua di Sarawak (dirasmikan pada tahun 1957), Bako merupakan taman negara terkecil di Asia Tenggara tetapi mempunyai ekosistem yang paling lengkap. Tidak ada legenda khusus mengenai batu ini tetapi yang pasti, 'ular tedung' yang bangkit keluar dari air pasti dipenuhi dengan misteri dan kehebatan ciptaan Yang Maha Esa.

@themagi2014




Ruj:
W.J Chater/ Sarawak Zaman Dahulu; 1994
Gambar Menarik: Sea Stack, Bako
Zonfiniti: Batu Rasak
Jugam Pukung: Batu Gong
The Star: Santubong archeology
Utusan Borneo: Batu Bergambar
KitabKehidupan: Batu Katak
Kebudayaan Sarawak: Nabau
Utusan.com: Batu Nabau
Fakta Menarik: Sultan Tengah

No comments:

Post a Comment