Tuesday, 28 October 2014

Pantang Larang Datuk Nenek

Pantang larang ialah perkara biasa dalam hidup masyarakat. Bukan orang Melayu je yang ada pantang larang, kaum lain pun ada. Bahkan lebih banyak dan berbelit-belit pantang larangnya. Entri kali ni nak cerita sikit pasal pantang larang yang biasa aku dengar masa kecik-kecik dulu. Kalau korang tahu pasal pantang larang yang lain, boleh share kat dalam kotak komen.

1. Buat tangga rumah

Orang Cina kata, buat tangga ni penting untuk menentukan umur pemilik. Anak tangga tak boleh 2, tak boleh 4, tak boleh 6. Pendek kata, tak boleh nombor genap sebab dikatakan mereka kira anak tangga macam ni: 1 untuk hidup, 2 untuk mati, 3 untuk hidup, 4 untuk mati, 5 untuk hidup, 6 untuk mati (dan seterusnya). Jadi mereka lebih suka pilih nombor ganjil atau, tak payah buat tangga langsung. Bagi orang Melayu pula, anak tangga dikira macam ni: 1 untuk tangga, 2 untuk tunggu, 3 untuk tinggal, 4 untuk tangga, 5 untuk tunggu, 6 untuk tinggal. Anak tangga dibuat sampai ke kiraan 'tangga' ataupun 'tunggu'. Kiraan 'tinggal' tak boleh dimasukkan sebab kononnya si tukang tu mendoakan tuan rumah cepat-cepat 'tinggalkan' rumah (yakni mati).

2. Buat induk rumah

Sekali lagi pasal rumah. Datuk aku dulu tukang buat rumah. Jadi, dia pernah cakap. Kalau nak buat rumah, pastikan induk rumah besar. Nanti kalau nak sambung rumah, induk rumah tak 'dimakan' oleh bahagian rumah yang lain. Induk rumah ni maksudnya bahagian tengah rumah yang pertama sekali dibuat. Biasanya, orang kita ni suka renovate rumah. Sebagai contoh; tambah bilik, tambah anjung, besarkan anjung, lebarkan tepi rumah. Akhirnya, bahagian tengah rumah dikelilingi oleh bahagian rumah lain yang ditambah-tambah. Yang inilah dikatakan 'induk rumah kena makan'. Induk rumah kena makan ni tak baik sebenarnya. Pernah dengar istilah 'rumah kata pergi, kubur kata mari?' Bila induk rumah 'dimakan', rumah tu sedang 'menghalau' tuan punya rumah supaya bersegeralah masuk ke dalam kubur. Percaya atau tidak, perkara ni memang dah banyak kali berlaku.

3. Hujan panas

Masa sekolah dulu, mustahil kalau tak pernah balik rumah masa hujan panas. Masa hujan panas ni, benda-benda halus yang kita tak nampak suka merayau. Bagi yang tak percaya tu tak apa, jangan sampai terkena nanti. Jadi, mak aku pernah pesan, kalau balik rumah masa hujan panas, petik mana-mana rumput kat tepi jalan dan selitkan rumput tu di sebelah telinga. Kemudian, ucap "Assalamualaikum, tumpang lalu." Insya-Allah, bila kita 'mintak izin' lalu masa hujan panas, takkan ada benda yang boleh ganggu kita. Lagipun, kita memulakan langkah dengan salam, pasti semuanya berjalan dengan baik.

4. Hari senja kuning

Hari senja kuning memang tak elok jalan-jalan kat luar. Sebab? Pada masa itulah, sekutu-sekutu Iblis merayau dengan gembiranya. Orang Sarawak cakap, hari senja kuning ni disebut sebagai 'hari ilo petang'. Larangan keluar waktu senja dua kali disebut dalam hadis riwayat Muslim kerana tabiat Iblis dan Syaitan ialah mereka gemar dengan beberapa keadaan: antara siang dan malam, antara sejuk dan panas, antara hujan dan panas. Sebab itulah, hujan panas tak elok. Jadi, bila terjadinya hari senja kuning, adalah lebih baik duduk rumah, tutup pintu dan tunggu masuk waktu Maghrib. Untuk mengenal pasti hari senja kuning ni senang je. Kalau korang nampak suasana luar rumah macam disimbah cahaya keemasan, keadaan kelam dan sejuk semacam, itulah hari senja kuning.

5. Balik dari kubur

Pernah terjadi masa dulu, kakak aku teman bapak aku balik dari kubur. Hari Raya tak lama lagi jadi bapak aku nak bersihkan kubur keluarga. Lepas balik dari tanah perkuburan, bapak aku suruh kakak aku mandi. Kakak aku pun mandilah. Tapi, bapak aku terlupa nak mandi. Dia penat lalu tertidur sampai malam. Malam tu, kakak aku dengar ada anak kecil menangis. Menangis tak henti-henti. Bunyi pun dekat je, macam depan rumah, padahal jiran sebelah tak beranak pun. Tapi kebetulan pula jiran yang tinggal kat row kedua ada anak kecil jadi kakak aku andaikan anak dialah yang menangis. Keesokan harinya, barulah bapak aku cakap yang benda tak baik ikut balik rumah. Ada dua sebab. Satu, bapak aku lupa nak mandi. Dua, benda tak baik tu tahu kakak aku lemah semangat. 

6. Masuk hutan

Kita kenalah ingat, dalam dunia ni bukan kita je makhluk Tuhan. Haiwan pun makhluk Tuhan, makhluk halus pun makhluk Tuhan. Jadi, bila masuk hutan, orang tua-tua selalu cakap, bagi salam dan jangan cakap takbur. Kalau tak tahu nak cakap apa, lebih baik diam. Jangan mengarut yang bukan-bukan. Tapi ada jugak yang pandang remeh, bergurau macam neraka. Akibatnya teruk. Menggila tak tentu arah. Jadi, bila ada program khemah dalam hutan, masuklah dengan rendah diri. Ibarat masuk rumah orang, takkan berleluasa nak bermulut longkang, kan? Korang nak ke jiran masuk rumah korang, sesuka suki hati merepek meludah ke sana ke mari? Pasti korang marah. Terdapat petua lain bila masuk hutan. Bila berdua atau bertiga, pastikan setiap seorang ada isyarat masing-masing. Bunyi burung ke, bunyi unggas ke, bunyi cicak ke. Diingatkan, kawan yang kita nampak depan mata tu, tak semestinya kawan kita. Boleh jadi, kawan kita tu sebenarnya 'benda lain' yang menyamar. Bunyi isyarat tu membantu sama ada itu kawan kita, atau tidak.

7. Perempuan mengandung

Perempuan mengandung ni sensitif dengan segala keadaan dan suasana. Maksud aku, mereka ni terdedah dengan benda-benda halus. Lagi-lagi perempuan yang mengandung anak pertama dan mengandung buat pertama kalinya; bau mereka 'manis' dan menarik perhatian sekutu supernatural. Maka, orang tua-tua pesan, perempuan mengandung 'pungas' (kata orang Sarawak), lebih baik duduk rumah dan jangan suka jalan-jalan kat luar. Lebih baik mengaji ke, berzikir ke. Antara sebab lain perempuan mengandung tak elok selalu keluar jalan-jalan ialah anak dalam kandungan mungkin 'diganggu.' Sebab itu ada kes badan budak jadi 'rumah tumpangan' jin. Salah seorang guru aku pernah berdepan dengan situasi ni.

p/s: Ada pantang larang lain, aku tak ingat. Kalau dah ingat nanti aku masukkan dalam entri lain. Apapun pantang larang yang pernah kita dengar dari datuk nenek kita, semuanya untuk kebaikan kita. Apa yang tak menyesatkan, itulah yang terbaik.

@themagi2014

No comments:

Post a Comment