Saturday, 13 December 2014

Wanita Legenda dalam Hikayat Sarawak

Sarawak ada banyak hikayat. Hikayat dari pelbagai rumpun bangsa. Kalau di tempat lain, bab puteri memang terkenal. Sebagai contoh, Puteri Gunung Ledang, Puteri Gunung Banang, Cik Siti Wan Kembang, Puteri Walinong Sari, Puteri Lindungan Bulan, Puteri Sinar Bulan...termasuklah puteri misteri macam Mahsuri. Kalau di Sarawak, tak lain tak bukan, orang cuma tahu Puteri Santubong dan Sejinjang. Selain dari tu, tak ada orang tahu pun.

Selepas baca beberapa buah buku lama, termasuk beberapa laman sesawang secara rambang. Mungkin ada ramai lagi wanita legenda dalam hikayat Sarawak. 

Datuk Permaisuri 

Seorang puteri raja dari Johor dikatakan telah terdampar di pantai Miri dan dikenali sebagai Datuk Permaisuri. Menurut blog Jacqie, puteri tersebut mengikuti suaminya berlayar ke Brunei. Namun, ribut datang menyerang dan menyebabkan Puteri Kemala dan ibu mertuanya jatuh ke dalam laut. Dalam keadaan terdesak, suaminya menyelamatkan si ibu manakala puteri tersebut terumbang ambing di laut sehingga terdampar ke sebuah pantai. Apabila si suami mendapat tahu isterinya masih hidup, si suami datang dan cuba memujuk puteri itu untuk kembali. Malangnya, puteri itu enggan dan memutuskan untuk tidak kembali. 

Nama puteri ini dikatakan sama dengan nama isteri Datuk Merpati tetapi terdapat sumber mengatakan bahawa Datuk Permaisuri yang terdampar di Miri terus menetap di situ sehingga ke akhir hayatnya dan tidak dinyatakan pula sama ada puteri yang terdampar di Miri itu berkahwin semula atau tidak. *update2015

Dayang Isah Tandangsari

Dayang Isah, merupakan puteri Datuk Temenggung Kadir dan Dayang Siti Hajar. Kawasan pimpinan Datuk Temenggung Kadir terletak di Tandang Sari, Saribas (kini dikenali sebagai Pusa). Dayang Isah berasal dari sebiji telur yang dijumpai oleh bapanya di dalam sebatang buluh. 10 kati emas adalah syarat untuk berkahwin dengan Dayang Isah dan ia menyebabkan Abang Bunut, kekasih Dayang Isah terpaksa mengundur diri. Kemudian, Dayang Isah dikahwinkan dengan Nakhoda Khar dari Bugis tetapi Dayang Isah tidak bahagia. Nakhoda Khar cemburu apabila mendapati isterinya mencintai Abang Bunut, lalu lelaki itu dibunuh dengan keris. Apabila Abang Bunut mati, Dayang Isah menyedari kecantikannya menjadi punca masalah dan cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Dayang Isah menjerut diri dengan 7 urat rambutnya sampai mati. Nakhoda Khar pula mati dibunuh oleh Datuk Temenggung kerana membunuh Abang Bunut. Makam Dayang Isah masih ada di Kampung Kalok, Pusa dan tidak mudah untuk mendekati makam tersebut.

Dayang Kumunah

Dayang Kumunah ialah wanita legenda ikan patin yang terkenal di Sarawak. Diceritakan bahawa seorang nelayan Awang Gading menemui bayi perempuan di atas batu di tepi sungai. Bayi itu diberi nama Dayang Kumunah dan dijaga hingga dewasa. Kecantikan Dayang Kumunah menjadi perhatian ramai. Kemudian, Awang Usop, seorang lelaki tampan dan kaya mengahwini Dayang Kumunah. Sebelum berkahwin, Dayang Kumunah memberi syarat supaya suaminya tidak memaksanya untuk ketawa. Namun, pada suatu hari, Awang Usop memaksa isteri ketawa. Kerana terhibur dengan pujukan suaminya, Dayang Kumunah ketawa lalu ternampak insang di dalam mulutnya. Tersedar dengan kesilapan tersebut, Dayang Kumunah lari lalu terjun ke dalam sungai dan menjadi ikan patin. Sebelum meninggalkan suami dan anak-anak, Dayang Kumunah berpesan agar keluarga dan generasi selepas itu tidak boleh memakan ikan patin. Jika tidak, mereka menjadi sakit atau gila. Hal tersebut masih menjadi keutamaan bagi masyarakat Melayu Sarawak.

Puteri Sibo

Puteri Sibo merupakan wanita legenda yang tidak begitu jelas dari segi penceritaan dan latar belakang. Nama sebenar Puteri Sibo ialah Puteri Cahaya dan abangnya bernama Putera Indera. Negerinya diserang geroda dan hilang keluarga serta saudara mara. Puteri Sibo dan abangnya tiba di sebuah negeri dan secara tidak sengaja, Puteri Cahaya memakan buah sibo milik sebuah keluarga diraja. Bimbang adiknya dihukum, Putera Indera melumur muka adiknya dengan arang sehingga hitam dan menukar nama adiknya menjadi Puteri Sibo. Tetapi, tanpa disangka, mereka berdua diangkat oleh keluarga tersebut dan malang bagi Puteri Sibo, Putera Bujang, putera keluarga diraja tersebut selalu menyakat dan menyakitkan hatinya. Entah bagaimana, lama kelamaan, Putera Bujang semakin rapat dengan Puteri Sibo sehingga tunangannya, Puteri Ratna diabaikan. Tiba-tiba pada suatu hari, wajah Puteri Sibo terkena pancutan air kelapa yang dibelah oleh inang. Rahsia Puteri Sibo pun terbongkar dan Putera Bujang akhirnya memutuskan untuk menikah dengan adik Putera Indera. Malah, Putera Bujang membantu menewaskan geroda yang telah memusnahkan negeri dua beradik tersebut.

Dayang Puteri

Dayang Puteri merupakan anak bangsawan bernama Badaruddin yang berkahwin dengan wanita Pelajau bernama Biri-Biri. Kisah tersebut dikatakan berlaku di Oya, apabila Biri-Biri dihalau dari rumah keluarga mertua kerana dia tidak setaraf dengan Badaruddin. Biri-Biri membawa diri ke hutan dan selepas beberapa bulan, dia melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Dayang Puteri. Apabila besar, khabar kejelitaan Dayang Puteri tersebar dan diketahui oleh bapanya. Biri-Biri dan Dayang Puteri dijemput pulang dan diberikan sebuah rumah baharu sebagai kediaman mereka. Seterusnya, kecantikan Dayang Puteri, anak bangsawan Badaruddin menjadi kegilaan ramai lelaki dan ramai yang masuk meminang tetapi kesemuanya ditolak dengan penuh adab dan adat. Tetapi, keputusan Dayang Puteri menimbulkan kemarahan ramai lelaki. Akhirnya, segerombolan orang Iban bertindak menyerang Oya dan cuba merampas Dayang Puteri. Berang dengan perkara tersebut, penduduk Oya hidup dalam kacau bilau dan menyalahkan Dayang Puteri dan keluarga. Akhirnya, Dayang Puteri dijatuhkan hukuman mati.

Kumang

Kumang, merupakan pasangan Keling. Perayaan Gawai diselit dengan upacara Kumang dan Keling Gawai, sebagai tanda mengingati mereka. Menurut penceritaan dari Indudaraiban, Keling seorang pahlawan Iban yang gagah, tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Isteri Keling, iaitu Kumang, seorang wanita dambaan lelaki yang cantik serta pandai serba-serbi. Kumang berasal dari rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Dikatakan Kumang telah diculik bersama Lulong, isteri sahabat Keling iaitu Laja. Kumang dan Lulong diculik oleh Apai Sabit Berikat ketika sedang menangkap ikan di sungai. Dengan kuasa ghaib Keling, Kumang dan isteri sahabatnya berjaya diselamatkan. Kumang merupakan contoh wanita terbaik bagi masyarakat Iban dari dulu sehingga sekarang dan sentiasa menjadi rujukan untuk wanita Iban.

Dayang Seri Bulan

Dayang Seri Bulan, anak perempuan dan puteri tunggal Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri Kemala. Awang Samaun dari Kerajaan Brunei telah menawarkan diri untuk mencari jodoh anak Datuk Merpati. Maka, Sultan Bungsu dari Selangor dipilih menjadi bakal suami kepada Dayang Seri Bulan. Ketika Dayang Seri Bulan berada di Brunei, abangnya, Bulan Jati (seekor naga) datang menziarahi dan menjaga keselamatannya.


@themagi2014

No comments:

Post a Comment