Sunday, 8 December 2019

Berkarya di Media Akhbar dan Tips Menulis

Selamat pagi, semua! Hari ni aku nak kongsikan tips berkarya di media akhbar. Tak panjang berjela-jela entri kali, jangan risau...hahaha~

Okay, sebelum aku nak bagi tips aku nak bagitahu kepada mereka yang berada di Sarawak khususnya, yang suka menulis tapi tak tahu nak tulis apa atau macam mana nak memulakan kerja-kerja penulis, aku ada satu pesanan yang ringkas.

KONSISTEN

Konsisten untuk menulis, konsisten untuk belajar, konsisten untuk memperbaiki karya 
dan konsisten untuk pelbagaikan tema.

Seterusnya, aku nak imbau sikit kenangan aku menulis. Aku bermula tahun 2004, pernah menang tempat pertama kategori cerpen pada tahun 2007. Tapi 2014 barulah aku diberi peluang untuk menulis di media akhbar tempatan iaitu ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) Utusan Sarawak. Dan melalui media akhbar, aku mula mendapat perhatian oleh penulis senior dan aku diberi peluang untuk menulis sebuah buku. Sekarang, buku tu dah diterbitkan oleh pihak DBP. Jadi, nampak tak betapa pentingnya permulaan berkarya di media akhbar?
karya certot aku yang disiarkan di akhbar Suara Sarawak

Sebenarnya menulis di media akhbar ni tak semudah yang disangka. Ramai penulis baru ada tabiat tulis dan hantar. Tapi tak semak semula ciri-ciri sebuah cerpen atau puisi. Tapi berkarya di media akhbar sangat membantu penulis muda menimba pengalaman, karya juga diulas oleh penulis senior dan penulis dapat memperkenalkan nama mereka ke dalam dunia penulisan. Jujur aku cakap, dunia penulisan ni rumit. Nak masuk bukannya mudah, nak kekal pun bukannya senang. Tapi dunia penulisan ni satu ruang yang baik untuk meluahkan pemerhatian dan pemikiran dalam bentuk penceritaan. Aku boleh katakan, menulis ni medan aku mendapat ketenangan dari kekacauan mental akibat tekanan hidup. Manusia perlukan suatu ruang untuk mencari maksud kesukaran dan aku pilih untuk menulis.

Baiklah, sekarang aku nak kongsikan tips untuk menulis cerpen dan puisi (berdasarkan pengalaman aku sendiri dan tips yang aku dapat dari penulis lain). Aku bahagikan kepada dua dan tips ini aku gunakan sepanjang aku menulis. Aku harap tips ni bagi manfaat untuk mereka yang ingin nak menulis.

Tips menulis puisi:
  • Guna ayat gramatis agar penyampaian lebih puitis
  • Jika tak tahu nak tulis tentang apa, pilih objek atau subjek. Sebagai contoh, tulis puisi tentang awan. Fikirkan apa yang dapat disampaikan melalui perkataan 'awan'
  • Gunakan perasaan. Ambil mood sebelum menulis (dengar lagu, tengok drama/filem atau berjalan-jalan)
  • Jangan bazirkan kata dalam puisi. Manfaatkan perkataan supaya tak berlebih-lebihan
  • Tentukan kepanjangan puisi. Kebanyakan penulis baru suka puisi panjang. Puisi panjang dapat menyampaikan makna tapi berkemungkinan terlalu sarat atau berlebih-lebihan. Puisi pendek selalunya lebih ringkas dan padat, tapi mungkin makna tak sampai atau hambar. Jadi untuk penulis baru, panjang puisi sebaik-baiknya sederhana.
  • Patahkan baris puisi mengikut kesesuaian. Aku dapat tips dari editor sendiri, jangan biarkan baris ayat puisi dalam keadaan tergantung, jangan diulang perkataan yang sama lebih tiga kali dan kenal pasti ciri-ciri puisi yang mana sesuai dengan penulis. Kalau aku, aku suka puisi yang ada ciri-ciri individualistik atau sinikal.
Okay, ini tips menulis cerpen:
  • Menulis cerpen ni macam bercerita. Jadi anggap proses menulis macam bercerita dengan kawan-kawan. Maksudnya, permulaan harus ada daya tarikan, persoalan dan menjentik perhatian pembaca.
  • Elak tema cliche. Aku sekarang ni tengah pantau beberapa penulis baru yang bukan dalam kategori remaja. Adoi, penulis baru ni suka betul tema cinta, keluarga dan sahabat. Tema macam ni tak cukup kuat untuk tangkap perhatian pembaca sebenarnya.
  • Baiklah kalau nak juga guna tema cliche, boleh. Tapi gunakan dari sudut perspektif yang berbeza. Dari sudut benda bukan hidup atau apa saja yang boleh menimbulkan rasa ingin tahu pembaca. Be creative untuk masukkan elemen saspen.
  • Elakkan perincian yang berlebih-lebihan dan sensitif. Kalau boleh guna teknik kiasan. Sebagai contoh: kulitnya hitam seperti arang. Okay ini perincian yang sensitif. Tapi kita nak terangkan fizikal watak. Jadi, kiaskan sedikit. Sebagai contoh: kulitnya muram kerana sering dikucup mentari. Sekurang-kurangnya kita dapat gambaran kulit watak tu gelap.
  • Penulis baru biasanya risau dengan teknik perumpamaan, simile, metafora dan pelbagai jenis gaya bahasa yang lain. Sebenarnya, tak susah. Penulis cuma perlu cari objek atau subjek yang sesuai untuk dipadankan dengan maksud ayat. Sebagai contoh, kalau penulis nak ceritakan kemalasan watak, penulis boleh samakan watak seperti seketul batu- pegun, tak bergerak dan dingin.
  • Pastikan cerpen ada 3 perkara- pendahuluan, kemuncak dan peleraian. Jangan biarkan cerpen bergerak lurus tanpa konflik atau tanpa pemikiran/pengajaran.
  • Orang selalu kata, kalau menulis kenalah berfikir di luar kotak. Kalau aku, aku kata berfikirlah di luar kotak tepi kotak atas kotak bawah kotak dan sekeliling kotak. 360 darjah, barulah dapat gambaran menyeluruh untuk jalan cerita.
  • Bacalah karya orang lain untuk tambah kosa kata.
  • Rajin-rajinlah observe keadaan sekeliling (tips tambahan gila: Kalau berani, cubalah cipta situasi. Tengok reaksi orang)
Akhir sekali, penulis kena berani bereksperimen dan mencuba. Sekarang ni aku dah cuba tulis cerita kontot (certot). Asasnya sama macam cerpen, tapi kurang 500 patah perkataan. Jadi cabarannya ialah untuk pastikan jalan cerita dan penggunaan ayat tak sarat atau berlebih-lebihan. 

Apa-apapun, selamat mencuba!


@theMaGi2019

No comments:

Post a Comment