18 Ramadhan, terus mengira sebelum malam Lailatul Qadar. Entri hari ini berkenaan dengan Nabi bukan Rasul.
Seperti yang korang sedia maklum, tak semua Nabi adalah Rasul dan Rasul yang terpilih itu sememangnya golongan Nabi. Masa belajar dulu-dulu, cikgu kata Nabi terima wahyu untuk diri sendiri, tak wajib sebar pada orang lain dan peranan Rasul pula sebaliknya. Yang sebetulnya, Nabi terima dan sampaikan wahyu kepada manusia lain cuma, Nabi tersebut menurut syariat Rasul yang terdahulu. Manakala Rasul terima dan sampaikan wahyu kepada manusia lain dan setiap Rasul membawa syariat baru.
Umumnya, ada 25 orang Rasul yang wajib kita ketahui (kalau tak ingat, sila nyanyi lagu Raihan)
Nabi Adam a.s| Nabi Idris a.s| Nabi Nuh a.s| Nabi Hud a.s| Nabi Saleh a.s|
Nabi Ibrahim a.s| Nabi Luth a.s| Nabi Ismail a.s| Nabi Ishak a.s| Nabi Yaakub a.s|
Nabi Yusuf a.s| Nabi Ayub a.s| Nabi Syuaib a.s| Nabi Musa a.s| Nabi Harun a.s|
Nabi Zulkifli a.s| Nabi Daud a.s| Nabi Sulaiman a.s|Nabi Ilyas a.s| Nabi Ilyasa a.s|
Nabi Yunus a.s| Nabi Zakaria a.s| Nabi Yahya a.s| Nabi Isa a.s| Nabi Muhammad SAW
Ulul Azmi ialah gelaran yang diberikan kepada Rasul yang mempunyai kedudukan istimewa dan tinggi kerana kesabaran dan ketabahan yang luar biasa dalam menyebarkan agama Islam. Pemilihan Rasul sebagai Ulul Azmi dinyatakan secara jelas dalam firman Allah SWT di dalam Surah Asy-Syuraa ayat 13. Ulul Azmi tidak ramai, hanya 5 orang saja iaitu:
1. Nabi Nuh
Terkenal dengan kisah bahtera dan banjir besar, Nabi Nuh berusaha gigih mengajak kaumnya supaya beriman. Setelah hidup bersabar dan bersama kaumnya selama 950 tahun, kesabaran Nabi Nuh habis kerana kaumnya ternyata begitu degil dan bongkak.
2. Nabi Ibrahim
Terkenal dengan kisah dakwah menentang Raja Namrud, dibakar hidup-hidup dan sebagai pengasas Kaabah. Sehingga ke akhir hayat, Nabi Ibrahim masih berharap agar kaumnya sentiasa di jalan yang benar dan berpegang pada Islam
3. Nabi Musa
Terkenal dengan kisah dakwah menentang Firaun, tongkat berubah menjadi ular, membelah Laut Merah dan menerima kitab Taurat di Bukit Sina. Setelah puas berusaha dan berdakwah, Nabi Musa akhirnya berdoa meminta dirinya dan saudaranya, Harun agar dipisahkan dari orang fasik yang masih ingkar pada nikmatNya.
4. Nabi Isa
Terkenal sebagai Al-Masih, tidak berbapa, mampu berkata-kata sejak bayi dan diangkat ke langit. Nabi Isa diberi pelbagai mukjizat yang luar biasa seperti menyembuh orang buta, menghidupkan orang mati dan mengubati penyakit sopak. Kesungguhan Nabi Isa dalam berdakwah masih berterusan, sehingga tiba hari Kiamat.
5. Nabi Muhammad
Terkenal sebagai Rasul terakhir yang berketurunan Arab, terkeluar dari susur galur rasul sebelumnya, penerima mukjizat terbesar yakni Al Quran dan pemimpin Islam yang menyebarkan Islam secara meluas. Nabi Muhammad mengalami cabaran yang paling besar kerana membawa syariat yang menentang pemahaman orang Nasrani dan Yahudi serta masyarakat yang tenggelam di dalam kepercayaan terdahulu.
Nabi & Rasul yang 'Senyap'
Masa di sekolah, kita diajar jumlah Nabi dan Rasul, siapakah Ulul Azmi dan peranan mereka dalam menyampaikan dakwah. Tapi kita tak diajar berapa ramai Nabi bukan Rasul dan siapakah Nabi bukan Rasul yang terkenal. Sebenarnya, jumlah Nabi sangat ramai iaitu:
- Ada 124 000 orang. Daripada 124 000 orang, 312 orang yang tercatat melalui sabda Rasulullah SAW.
- Daripada 312 orang, 25 orang adalah Nabi dan Rasul yang wajib diketahui.
- Daripada 25 orang, 5 adalah Ulul Azmi.
- Dan daripada 312 orang, 16 orang adalah Nabi bukan Rasul yang terkenal. Kisah 16 orang Nabi bukan Rasul ini tercatat di dalam Al Quran, riwayat-riwayat dan kitab-kitab terdahulu.
1. Nabi Syith (Set)
Nabi Syith ialah anak Nabi Adam a.s, dikurniakan oleh Allah SWT sebagai pengganti Habil yang dibunuh oleh Qabil. Melalui keturunan Syith lahirlah Nuh, Ibrahim, Daud dan Isa. Nabi Syith hidup selama lebih 912 dan akhirnya meninggal dunia pada usia 1042 tahun. Nabi Syith ialah guru Nabi Idris yang mengajar Nabi Idris membaca, menulis, berkuda, menjinakkan kuda dan lain-lain. Nabi Syith mempunyai seorang anak yang bernama Enos.
2. Nabi Dzulqarnain
Nabi Dzulqarnain adalah pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj dan Makjuj. Nabi Dzulqarnain juga seorang pengembara hebat yang mengembara dari timur ke barat dan namanya bermaksud 'Dia yang bertanduk dua' kerana dia berjaya mencapai dua 'tanduk' (batas) matahari terbit dan terbenam iaitu timur dan barat serta memerintah dua kawasan. Cendekiawan Barat menyamakan Nabi Dzulqarnain dengan Alexander the Great tetapi terdapat jurang yang berbeza dari segi tempoh masa, sejarah penaklukan, aspek sosio-politik dan latar belakang. Sarjana Islam berpendapat bahawa Raja Cyrus dari empayar Parsi Arkemenia ialah Nabi Dzulqarnain berdasarkan artifak tulisan, ukiran, istana dan kubur.
3. Nabi Khidir
Nabi Khidir dipercayai sepupu kepada Nabi Dzulqarnain dan digelar sebagai nabi yang misteri. Latar belakangnya samar, diberi usia yang panjang setelah meminum air kehidupan dan ilmuwan yang bijaksana. Nabi Khidir pernah menjadi guru kepada Nabi Musa berkenaan dengan ilmu Allah SWT (Surah Al-Kahfi). Nabi Khidir pernah dijadikan sebagai pengantara untuk menegur Raja Ibrahim bin Adham (yang akhirnya bertukar menjadi ahli sufi) dan pernah menjadi menteri (untuk beberapa ketika sahaja) di bawah kerajaan Nabi Dzulqarnain.
4. Nabi Yusha (Joshua)
Yusha bin Nun ialah pembantu Nabi Musa yang menemani Nabi Musa mencari Nabi Khidir. Setelah wafatnya Nabi Musa, Nabi Yusha menyambung usaha Nabi Musa dan membawa pengikut Nabi Musa yang bergelandangan selama 40 tahun memasuki Kanaan. Nabi Yusha juga mengatur penempatan pengikut Nabi Musa berdasarkan 12 nama anak Nabi Yaakub (dikenali sebagai 12 puak Bani Israil) dan memimpin mereka tinggal di atas Tanah yang Dijanjikan (yakni Palestin) dengan baik, sesuai dengan kehendak Allah SWT terhadap Nabi Yusha. Setelah Nabi Yusha wafat, Bani Israil berpecah belah, berselisih pendapat dan akhirnya porak peranda. Nabi Yusha diberikan mukjizat memberhentikan matahari dan memanjangkan hari Jumaat kerana pada masa itu Allah SWT menetapkan bahawa hari Sabtu ialah hari beribadat sedangkan mereka berdepan dengan peperangan. Dengan hari Jumaat yang lebih panjang daripada biasa, mereka berjaya memenangi peperangan.
5. Nabi Daniel
Nabi Daniel ialah nabi yang hidup dalam zaman pembuangan bangsa Yahudi ke Babel (Iraq). Nabi Daniel berbangsa Israil, ditangkap oleh Raja Nebuchadnezzar dan tidak dibenarkan balik ke BaitulMaqdis. Semasa di dalam tahanan, Nabi Daniel hanya menjamah sayur dan air saja manakala makanan yang diberikan oleh tentera Babilonia kepada mereka tidak disentuh sedikit pun. Kebetulan, Raja Nebuchadnezzar bermimpi akan sebuah patung yang berkepala emas tua, berlengan dan berdada perak, pinggang dan perutnya tembaga, peha dan kakinya besi dan sebahagian kecil lagi adalah campuran besi dan tanah liat. Tetapi tidak dapat ditafsir oleh ahli nujumnya. Kemudian, Raja diberitahu bahawa Nabi Daniel dapat menafsir mimpi Raja. Maka Nabi Daniel menjelaskan mimpi Raja itu membawa maksud penggantian kuasa iaitu daripada Babilonia (emas tua) kepada Media Parsi (perak), Yunani (tembaga), Rom (besi) dan akhirnya kerajaan campuran di Eropah selepas kejatuhan Rom (besi+tanah liat). Dengan kebijaksanaan Nabi Daniel, Raja melantiknya sebagai penasihat Kemudian, dikhianati para menteri dengan mencampaknya ke dalam lubang besar bersama haiwan buas tetapi Nabi Daniel selamat. Para menteri menghasut Raja agar mengurung Nabi Daniel di dalam sebuah bilik, tetapi sebaliknya, Raja yang terbunuh kerana pengawal sudah dipesan supaya membunuh sesiapa saja yang memasuki bilik tersebut.
6. Nabi Uzair (Ezra)
Nabi Uzair ialah nabi yang hidup antara zaman Nabi Saleh dan Nabi Ibrahim. Kaum Yahudi diranapkan sebanyak 2 kali oleh Allah SWT kerana sikap mereka yang angkuh dan degil. Melihat kemusnahan Jerusalem, Nabi Uzair berdoa dan berkata bagaimana untuk memulihkan negerinya yang sudah hancur? Kemudian, Nabi Uzair pun ditidurkan selama 100 tahun dan dalam tempoh 70 tahun, negeri itu kembali pulih dan dihuni ramai penduduk (atas arahan Raja Kurush yakni Nabi Dzulqarnain). Apabila Nabi Uzair bangkit dari tidur, Nabi Uzair melihat kuasa Allah SWT menghidupkan keldainya yang tinggal tulang dan kemudian Nabi Uzair kembali semula ke rumahnya yang terpencil. Di situ, ibu Nabi Uzair terkejut melihat anaknya yang dahulu berusia 18 tahun dan hilang selama 100 tahun kini kembali semula dalam keadaan sihat. Seterusnya, Nabi Uzair menulis semula kitab Taurat melalui ingatannya yang kuat dan beberapa orang Yahudi mula menganggapnya sebagai anak Tuhan kerana Nabi Musa begitu hebat tetapi tidak dapat menghafal kitab Taurat seperti Nabi Uzair. Perbuatan mereka dicela (dalam Surah At Taubah 9:30)
7. Nabi Samwil (Samuel)
Selepas wafat Nabi Musa dan Nabi Yusha, Bani Israil tumbang disebabkan sikap mereka yang lupa pada Yang Esa dan hidup bersengketa. Mereka dikalahkan, diusir dan hidup huru-hara. Tiada siapa yang mahu tampil ke depan dan menjadi pemimpin. Maka, Samwil pun mencela mereka kerana bersikap pengecut dan takut untuk pergi berperang. Kemudian Samwil mendapat wahyu dari Allah SWT agar memilih Talut (seorang anak desa yang miskin) menjadi pemimpin mereka. Seterusnya, Samwil pun melantik Talut dan dengan kecergasan yang dimiliki Talut, mereka berjaya bangun semula dan berjaya menumpaskan tentera Jalut yang menguasai Palestin. Kemenangan Talut dibantu oleh Nabi Daud, panglima yang berjaya membunuh Jalut.
8. Nabi Imran
Nabi Imran ialah bapa kepada Maryam (ibu Nabi Isa al-Masih). Nabi Imran seorang yang sederhana di Nazareth dan ingin tinggal berdekatan dengan Baitulmaqdis. Isteri Nabi Imran bernazar kepada Allah SWT untuk menjadikan anak yang ada di dalam kandungannya (yakni Mariam) sebagai ahli ibadat. Hidup Nabi Imran dan isterinya diuji hebat apabila mengetahui anak mereka, Mariam dipilih untuk melahirkan Nabi Isa tanpa bapa dan mereka sekeluarga dicela oleh masyarakat kerana menyangka Mariam melakukan perbuatan terkutuk.
9. Nabi Jurjis
Nabi Jurjis diutuskan kepada Bani Israil kerana raja mereka bersikap melampaui batas. Raja itu memerintah mengikut hawa nafsu, zalim dan mengeluarkan undang-undang menurut kehendaknya. Nabi Jurjis berusaha mengajak mereka supaya kembali beriman pada Allah SWT tetapi dakwah Nabi Jurjis tidak dipedulikan langsung malah ditentang hebat. Akhirnya, Allah SWT menurunkan bala iaitu tidak diberikan hujan bertahun-tahun. Kota mereka musnah, kering kontang dan semua tanaman tandus tetapi raja tidak dapat berbuat apa-apa. Kemudian, Raja memutuskan untuk meminta bantuan Nabi Jurjis atas nasihat para menteri dengan niat mahu memerangi Allah SWT jika hujan tidak turun. Setelah dinasihati oleh Nabi Jurjis, Raja pun akur bahawa dirinya lemah dan tidak berdaya. Akhirnya, hujan pun turun dan Raja serta penduduk lain mengaku keimanan pada Yang Maha Esa.
10. Nabi Amos
Nabi Amos ialah nabi yang lantang menentang ketidakadilan dalam masyarakat Bani Israil. Pada masa itu, Bani Israil hidup makmur dan ibadah dipentingkan serta semuanya kelihatan aman damai. Tetapi hakikat sebenarnya orang kaya bertambah kaya manakala orang miskin bertambah miskin. Ibadah yang dilakukan juga tidak ikhlas dan kedamaian yang ada cuma pura-pura. Melihat keadaan tersebut, Nabi Amos berkata bahawa "Tuhan akan menghukum bangsa Israil."
11. Nabi Jeremiah
Nabi Jeremiah diutuskan antara tempoh fasa Nabi Daud dan Nabi Zakaria. Nabi Jeremiah dipenjarakan di kerajaan Bani Israil kerana dakwah untuk mengEsakan Allah ditentang masyarakat. Nabi Jeremiah diseksa dan dipenjara dengan teruk, malah dipukul oleh nabi palsu iaitu Hananiah. Tidak tahan dengan keadaan tersebut, Nabi Jeremiah berdoa agar kerajaan Bani Israil ditumbangkan. Doa Nabi Jeremiah pun dimakbulkan oleh Allah SWT dengan mengutuskan tentera Babilionia dan Assyria menggempur kerajaan Bani Israil sehingga hancur. Kemudian seorang gabenor bernama Gedalliah memerintah kerajaan Bani Israil tetapi mati dibunuh. Bangsa Israil melarikan diri ke Mesir dengan membawa Nabi Jeremiah bersama. Nabi Jeremiah dipercayai mengakhiri kehidupannya di Mesir.
12. Nabi Malakhi
Nama Malakhi bermaksud 'Malaikatku' atau 'Utusanku'. Menerusi AlKitab Perjanjian, Malakhi ialah nabi yang menulis kitab Maleakhi (kitab terakhir dalam perjanjian Lama) dan juga kitab terakhir dalam kitab Tanakh Yahudi. Menerusi Nabi Malakhi, dinyatakan perihal kedatangan Nabi akhir zaman iaitu "kedatangan penutup segala nabi ialah seperti nyala api dan sabun binara. Kedatangan nabi penutup itu dicatatkan seperti api yang menggentarkan jiwa musuh-musuhnya dan kedatangan nabi itu juga tidak seperti Isa (Yesus); yang lembut dan senyap, yang mengasuh umatnya seperti induk ayam yang mengumpul dan menaungi anak-anaknya." Nabi yang dimaksudkan oleh Nabi Malakhi ialah Nabi Muhammad SAW.
13. Nabi Isaiah (Yesaya)
Nabi Isaiah hidup di dalam zaman kerajaan Judah di bawah pemerintahan 4 orang raja, dan mungkin hidup sehingga zaman pemerintahan Manasseh. Nabi Isaiah diutuskan sebelum Nabi Zakaria dan Nabi Yahya, malah bernubuat tentang kedatangan nabi dan rasul terakhir yakni Nabi Muhammad SAW. Nabi Isaiah berusaha mengajak kaumnya kembali ke jalan yang benar setelah kerajaan Judah porak peranda apabila raja mereka wafat. Tidak tahan dengan dakwah Nabi Isaiah dan juga dihasut oleh Iblis, mereka bertindak membunuh Nabi Isaiah yang bersembunyi di dalam pokok dengan menggergaji pokok tersebut. Para sarjana Islam berpendapat orang Bani Israil pada masa itu tidak sepatutnya marah dan menggergaji tubuh Nabi Isaiah. Maka, Nabi Isaiah dianggap sebagai mati syahid.
14. Nabi Hagai
Nabi Hagai ialah penulis kitab Hagai dalam AlKitab Perjanjian Lama. Hagai di antara tiga nabi (Zakaria yang hidup sezaman dan Malakhi yang hidup 100 tahun kemudian) yang hidup dalam sejarah Yahudi setelah kepulangan orang Bani Israil (ke tanah Kanaan) dari pembuangan di Babilonia. Tidak banyak kisah berkenaan dengan Nabi Hagai melainkan Nabi Hagai mungkin salah seorang buangan ke Babel dan kembali berdakwah dengan memanfaatkan oerubahan dalam kebijaksanaan yang diambil oleh pemerintah Parsi iaitu Darius I.
15. Nabi Hanzalah
Nabi Hanzalah ialah nabi yang tidak dicatatkan namanya di dalam Al Quran tetapi kisah kaumnya tercatat dalam Surah Al Furqan ayat 38 iaitu perihal kemusnahan kaum Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan juga kerajaan pada zaman-zaman tersebut. Nabi Hanzalah berdakwah dengan kaumnya, Ashaabur-Rassyi yang tinggal berhampiran dengan kaum Thamud. Nama kaum Nabi Hanzalah dikenali sebagai Ashaabur-Rassyi kerana terkenal dengan perigi mereka dan maksud Ar-Rass ialah mata air/telaga. Kehadiran Nabi Hanzalah menyeru kaumnya kembali beriman pada Yang Esa tidak disenangi dan menimbulkan kemarahan mereka lalu Nabi Hanzalah pun dibunuh dan dicampakkan ke dalam perigi. Allah SWT menurunkan azab kepada mereka iaitu seluruh kaum mereka dihilangkan dari muka bumi ini, seperti kaum Aad dan Thamud. Kisah ini diterangkan dalam ayat 39 surah Al- Furqan bagaimana kaum Aad, Thamud dan Ashaabur Rassyi dihancurkan sehancur-hancurnya.
16. Nabi Syam'un (Simson/Samson)
Nabi Syam'un, juga digelar sebagai Sam'un Ghazi ialah nabi yang dikurniakan kekuatan luar biasa. Kisah Nabi Syam'un ini tidak ada di dalam Al Quran tetapi tercatat di dalam buku Qisasul Anbiya berkenaan sabda Nabi Muhammad SAW apabila ditanya oleh sahabat baginda, "Apa yang membuatkanmu tersenyum wahai Rasulullah?" Pertanyaan itu dijawab, "Diperlihatkan kepadaku hari akhir ketika seluruh manusia dikumpulkan di mahsyar, ada seorang Nabi yang membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut satupun, masuk ke dalam syurga. Beliau adalah Syam'un." Nabi Syam'un dikatakan hidup pada zaman raja Israil yang bongkak dan berusaha mengajak kaumnya kembali beriman tetapi tidak diendahkan. Nabi Syam'un ditimpa malang apabila isterinya mengkhianatinya dengan mendedahkan kelemahannya bahawa beliau boleh dilemahkan dengan rambutnya sendiri. Dengan kehendak Allah SWT, doa Nabi Syam'un untuk menentang kebatilan dimakbulkan dan Nabi Syam'un berjaya merobohkan seluruh istana dengan kekuatannya sehingga mengorbankan raja serta isterinya.
"Semakin kita membaca, semakin kita sedar betapa daifnya ilmu kita."
@themagi2014
ruj: ululalbabgeneration.wordpress| ms.wikipedia| netfision.com| answering-islam.org| bambangbelajar.wordpress| ojahat.blogspot| alhuriyyah.lk.ipb.id
No comments:
Post a Comment