Monday 21 July 2014

Ramadhan 23: Jenis-jenis Malaikat


Selamat petang kepada visitor. Ramadhan ke 23, cuaca panas dan langit biru. Semalam entri bercerita pasal Syaitan. Hari ni pasal Malaikat pula, tak adil rasanya kalau tak cerita pasal Malaikat. Tak gitew?


Jenis-jenis Malaikat

Jumlah malaikat sebenarnya sangat banyak dan tidak terhitung. Setiap daripada mereka memikul tugas dan tanggungjawab yang sudah ditetapkan dan mereka merupakan makhluk yang sangat patuh. Malaikat dicipta daripada nur iaitu cahaya yang murni, zat yang sangat halus, mampu berkata-kata, mampu bergerak jauh dalam masa yang singkat dan mampu menjelma dalam pelbagai rupa. 

Mempercayai wujudnya malaikat adalah rukun kedua dalam Rukun Iman. Terdapat 10 jenis Malaikat yang Utama iaitu:

1. Jibril

Malaikat yang pengutus dan membawa wahyu daripada Allah SWT  kepada Nabi dan Rasul. Juga menguruskan bala bencana di dunia seperti gempa bumi, banjir, ribut dan lain-lain.

2. Mikail 

Malaikat yang ditugaskan untuk membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan dan mengeluarkan hasil galian dari perut bumi.

3. Israfil

Malaikat yang bertugas sebagai peniup sangkakala pada hari kiamat. Tiupan pertama adalah tiupan penghancuran, tiupan kedua ialah tiupan kebangkitan semula di alam akhirat.

4. Izrail

Malaikat yang bertanggungjawab mencabut nyawa manusia iaitu mematikan manusia apabila tiba ajalnya. Juga dikenali sebagai malaikat maut.

5. Munkar

Malaikat yang bertugas menyoal manusia di dalam kubur.

6. Nakir

Malaikat yang bertugas menyoal manusia di dalam kubur.

7. Raqib

Malaikat yang memegang buku amalan kebaikan, mencatat setiap kebaikan yang dilakukan oleh manusia dan duduk bahu kanan.

8. Atid

Malaikat yang memegang buku amalan kejahatan, mencatat setiap kejahatan yang dilakukan oleh manusia dan duduk di bahu kiri.

9. Ridhwan

Malaikat yang menjadi penjaga Syurga.

10. Malik

Malaikat yang menjadi penjaga Neraka. 


Malaikat-Malaikat Yang Lain (Berdasarkan hadis dan Al-Quran)


  • Zabaniah: 19 malaikat penyeksa di neraka yang berwajah bengis, kasar dan ganas.
  • Hamalat Al-A'rasy: Malaikat yang membawa arasy Allah SWT. Dari saat ini sehingga hari kiamat jumlahnya ditambah menjadi 8.
  • Dar'dail: Malaikat yang bertugas mencari manusia yang berdoa, bertaubat dan lainnya pada bulan Ramadhan.
  • Kiraman Katibin: Malaikat yang bertugas sebagai pencatat yang mulia kepada Jin dan manusia.
  • Mu'aqqibat: Malaikat yang memelihara manusia dari kematian sehinggalah tiba waktu manusia itu menemui ajalnya.
  • Arham: Malaikat yang menetapkan rezeki, keberuntungan, ajal dan lainya bagi wanita dalam 4 bulan kehamilan.
  • Jundallah: Malaikat yang bertugas sebagai malaikat perang yang membantu nabi di medan peperangan.
  • An-Nuqmah: Malaikat yang berurusan dengan unsur api dan duduk di atas singgahsana nyala api. Wajahnya berwarna kuning tembaga.
  • Rahmat: Malaikat yang ditugaskan untuk menyebar keberkahan, rahmat dan permohonan ampun dari orang-orang soleh. Ia datang bersama malaikat Azab dan malaikat Maut.
  • Azab: Malaikat yang ditugaskan untuk membawa roh orang munafik, kafir dan zalim. Ia datang bersama malaikat Rahmat dan malaikat Maut.
  • Ahlul Adli: Malaikat yang mempunyai saiz besar melebihi ukuran bumi bersama isinya dan mempunyai 70 ribu kepala.
  • Ad-Dam'u: Malaikat yang menangis apabila melihat kesalahan yang dilakukan oleh manusia.
  • Harut dan Marut: Malaikat yang bertanggungjawab untuk turun ke negeri Babil.
  • As-Sijjili: Malaikat yang memaklumkan kepada Harut dan Marut tentang makhluk yang pernah melakukan kerosakan di bumi.
  • Qarin: Malaikat yang mendampingi manusia dari awal kelahiran sehingga sampai ajalnya dan bertugas membisikkan kebenaran dan kebaikan.
  • Ar-Rad: Malaikat yang mengatur awan dan hujan.
  • Rumman: Malaikat yang masuk ke alam kubur dan menemui manusia sebelum Munkar dan Nakir. Tugasnya untuk meminta manusia menulis kesalahan di atas kain kafannya dan mengalungkan kesalahan itu di leher manusia berkenaan agar manusia itu berasa malu pada kesalahannya sendiri.

Kewujudan Malaikat

Malaikat wujud dalam jumlah yang sangat banyak, dan ia membantu mengatur dunia, menjadi pendengar doa orang-orang soleh dan orang yang berzikir, mendampingi manusia yang mengaji Al-Quran, penjaga langit, penenteram hati, penjaga gunung-ganang, pembeza hak dan bathil serta pelindung orang yang beriman. Ia memiliki sifat yang berbeza dari Iblis dan Syaitan iaitu:

  • Tidak makan, minum, tidur, atau tiada hawa nafsu.
  • Tidak berasa letih.
  • Sangat patuh dan taat pada perintahNya.
  • Mampu mengubah rupa
  • Mempunyai kelajuan cahaya.
  • Pemalu
  • Terganggu pada patung (berhala), bau yang menyengat (arak dan sekutunya) dan anjing (kecuali anjing menjaga keamanan, anjing berburu atau anjing yang menjaga tanaman)
  • Tiada keluarga, anak isteri dan tidak ada jantina.

Setiap manusia di akhirat kelak akan diiringi oleh malaikat pengiring dan malaikat saksi. Malaikat dipercayai mempunyai beberapa sayap seperti yang disebut dalam surah Al Fathir 35:1;

"Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan padanya ciptaanNya apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Pada malam Lailatul Qadar, para malaikat akan turun ke bumi dengan izin Allah SWT untuk mengatur segala urusan seperti yang dicatatkan dalam surah Al-Qadr:

"Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan."

Ketika surah Al Kahfi diturunkan ke bumi, ia diiringi oleh 70 ribu malaikat. Juga, sebanyak 70 ribu malaikat dikhaskan untuk mengheret setiap rantai (ada 70 ribu rantai semuanya) di neraka bagi menyeksa orang-orang yang menempah tempat di neraka.

Malaikat Jibril ialah ketua kepada seluruh para malaikat dan kewujudannya dicipta dengan cantik oleh Allah SWT dengan 600 sayap yang panjang dan kelebaran sayapnya dari timur ke barat. Ada pendapat lain mengatakan Jibril mempunyai 124000 sayap. Jibril menemui Nabi Muhammad SAW lebih dari nabi-nabi yang lain (iaitu sebanyak 124000 kali) manakala Nabi Isa a.s hanya ditemui 10 kali, Nabi Musa a.s pula beberapa puluh kali dan Maryam pula hanya sekali (menyampaikan berita kelahiran Nabi Isa a.s)

Kekuatan Malaikat

Malaikat diberikan kekuatan yang tersendiri, sesuai dengan jenis tugas yang mereka pikul. Kekuatan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka memudahkan mereka melakukan tanggungjawab mereka.

Terdapat satu hadis dari Ibnu Abbas, ketika Jibril melewati Masjidil Haram dan dilihat oleh Iblis, angin sayap Jibril terkena pada Iblis dan Iblis pun terlempar ke India akibat derasnya angin dari sayap malaikat tersebut. Satu hayunan sayap Jibril sama dengan jarak perjalanan 3000 tahun. Malah, tempikan dari malaikat Jibril juga telah memusnahkan kaum Thamud (kaum Nabi Saleh a.s) sehingga tubuh mereka hancur berkecai.

Malaikat diberikan kekuatan bukan sekadar tenaga tetapi kerohanian yang tinggi dalam beribadat. Malaikat Jibril menghabiskan masa 20 ribu tahun bersolat sunat syukur kerana Allah SWT menciptakannya dengan rupa yang indah dan sempurna berbanding makhluk lain. 

*Sungguhpun begitu, Allah SWT lebih menyukai solat sunat 2 rakaat umat Muhammad walaupun dilakukan dalam keadaan lupa, serba kurang dan fikiran melayang-layang kerana manusia itu melakukan atas perintahNya manakala Jibril mengerjakan solat bukan di atas perintahNya. Betapa malaikat diciptakan untuk patuh, tetapi Allah SWT tetap memilih kita, manusia yang sering melakukan kesilapan.


@themagi2014
ruj: cahayapurnama.com| ilmuamalan.blogspot.com| akhirzaman.info| Risalah SMKTAHO Jun/2003| Risalah SMKTAHO Mei/2004| agunkzscreamo.blogspot.com| media.isnet.org| themaidensgiedd.blogspot.com| ms.wikipedia/jibrail| Facebook page: Laskar Nabawi| myibrah.com| image credits: stephrobbins.com

No comments:

Post a Comment