Selamat petang, salam 21 Ramadhan. Sehari selepas tragedi MH17, puasa kali ni sangat menguji kesabaran semua pihak. Aku pun sama. Dalam keadaan letih, haus dan lesu ni adalah lebih baik kita duduk diam-diam di rumah dan banyakkan berdoa. Sekarang minggu Lailatul Qadar. Siapa tahu, mungkin malam ni yang kita cari-cari? Jadi jangan lepaskan peluang ni.
Kekuatan Karamah
Karamah bermaksud mulia, ia berasal dari bahasa Arab. Pada istilahnya ialah ia satu kejadian yang luar biasa yang tidak masuk akal dan ia tanda kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada orang yang terpilih. Karamah bukanlah mukjizat atau sihir. Karamah ialah hasil daripada niat ketakwaan dan doa-doa yang ikhlas datang dari hati.
Kekuatan karamah ini biasanya dimiliki oleh golongan soleh yang bertakwa dan biasanya golongan ini tidak pernah mengidam-idamkan sifat tersebut. Kejadian-kejadian luar biasa yang terjadi pada masa-masa tertentu adakalanya menimbulkan rasa takut di dalam diri mereka jika hal ini menimbulkan rasa takjub di kalangan manusia lain dan akhirnya mewujudkan rasa ujub. Maka, kekuatan karamah ini dijadikan pendorong untuk mereka terus bertawaduk dan patuh pada suruhanNya.
Begitulah kekuatan karamah, yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang diberikan kepada hambaNya yang disukai.
Doa-doa Karamah
Biasanya, golongan yang diberikan kekuatan karamah ini diberi kelebihan dalam berdoa. Doa-doa mereka yang ikhlas mudah diterima dan dimakbulkan Allah SWT. Beberapa catatan dari kisah ahli sufi yang terkenal banyak menyebut bagaiman kekuatan karamah dititipkan kepada mereka dan membantu manusia lain di dalam kesukaran.
Antara contoh doa-doa karamah ialah:
1. Karamah Habib Al-'Ajami
Seorang wanita tua datang kepada Habib, menyatakan kerinduannya terhadap anak lelakinya yang sudah lama pergi merantau. Maka wanita tua itu memohon berkat doa Habib agar anak lelakinya kembali semula kepadanya. Kemudian Habib bertanyakan wang kepada wanita tua itu dan wanita tua itu hanya memiliki dua dirham saja. Lalu Habib meminta dua dirham itu disedekahkan kepada orang miskin, seterusnya dia berdoa dan meminta wanita tua itu kembali ke rumah. Belum sempat wanita tua itu sampai ke rumah, anak lelakinya sudah menunggu di depan rumah. Wanita tua itu segera membawa anak lelakinya menemui Habib dan Habib pun bertanya apa yang dialami oleh anak lelaki wanita tua tersebut. Lelaki itu pun menceritakan dia berada di Kirmani dan sedang membeli roti yang disuruh oleh gurunya. Tiba-tiba angin kencang membawa tubuhnya terbang dan dia terdengar satu suara berkata:
"Wahai angin, demi doa Habib dan dua dirham yang telah disedekahkan kepada orang-orang miskin, pulangkanlah ia ke rumah sendiri."
***
Pada suatu hari, tentera Hajjaj mencari Hasan Al Basri dan Hasan bersama anak muridnya, Habib, bersembunyi di tempat pertapaan Habib. Kemudian, tentera Hajjaj mendapatkan Habib dan bertanya di mana Hasan berada. Habib pun memberitahu gurunya ada di dalam tempat pertapaannya. Lantas, para tentera memasuki tempat bertapa tersebut dan mendapati Hasan tiada. Akhirnya, para tentera pun pergi. Seterusnya, Hasan menceritakan bagaimana tubuhnya disentuh oleh para tentera itu sebanyak 7 kali tetapi mereka tidak nampak dirinya dan Hasan mencela Habib kerana mendedahkan di mana dia berada (dan tidak berbakti kepada gurunya). Kemudian, Habib menjelaskan kerana dia berterus teranglah Hasan terselamat. Hasan kehairanan dengan kata-kata Habib. Habib pun menjawab:
"Aku membaca ayat Kursi 10 kali, Rasul Beriman 10 kali, dan Katakanlah Allah itu Esa 10 kali. Setelah itu aku berkata; Ya Allah, telah kuberikan Hasan kepadaMu dan oleh kerana itu, jagalah dia."
2. Karamah Ahmad bin Khazruya
Suatu ketika Ahmad memakai pakaian compang camping singgah di tempat pengajian. Mereka yang tinggal di tempat itu berbisik pada guru mereka bahawa Ahmad bukan ahli tempat tersebut. Pada suatu hari, Ahmad pergi ke perigi dan timbanya terjatuh. Ahmad dimarahi oleh orang yang melihat perkara tersebut dan memberitahu kepada guru mereka. Lalu Ahmad memberi cadangan agar membaca Fatihah untuk mengeluarkan timba dari perigi tersebut. Ternyata cadangan itu kedengaran pelik bagi si tuan guru. Maka, Ahmad meminta izin untuk membaca Fatihah dan tuan guru itu membenarkan. Setelah selesai Ahmad membaca Fatihah, timba itu serta merta timbul ke permukaan air dan tuan guru itu berasa sangat hairan lalu bertanya siapakah Ahmad. Terus Ahmad menjawab:
"Beritahu kepada muridmu agar mereka menghormati orang yang sedang bermusafir."
[Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan orang yang musafir- Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud dan Tirmizi]
3. Karamah Al Fuzail bin Iyaz
Fuzail mempunyai dua orang anak perempuan. Sebelum meninggal dunia, dia mewasiatkan agar isterinya membawa dua orang anak perempuannya di gunung Jabal Qubais dan berdoalah kepada Allah:
"Ya Allah, Fuzail menyuruhku untuk menyampaikan pesanannya kepadaMu: ketika dia hidup kedua anak-anak yang tidak berdaya ini telah kulindungi dengan sebaik-baiknya. Tetapi setelah Engkau mengurungku di dalam kubur, mereka kuserahkan kepadaMu kembali."
Setelah Fuzail meninggal dunia, isterinya menurut wasiat terakhir suaminya. Kemudian, isteri Fuzail berdoa, menangis dan meratap. Kebetulan pada saat itu seorang Raja dari Yaman lalu di kawasan itu bersama dua orang puteranya. Atas kehendak Allah SWT, anak-anak perempuan Fuzail pun diambil Raja sebagai isteri dua orang puteranya.
4. Karamah Ibrahim bin Adham
Suatu malam, Ibrahim bermimpi melihat malaikat Jibril turun ke bumi untuk mencatat nama sahabat-sahabat Allah. Kemudian, Ibrahim memohon agar namanya diterima sebagai nama sahabat-sahabat Allah. Namun, malaikat Jibril memberitahu bahawa Ibrahim bukan salah seorang di antara sahabat-sahabat Nabi. Tetapi, Ibrahim memohon lagi (dalam keadaan hampir putus asa) dan memberitahu bahawa dirinya adalah seorang sahabat dari sahabat-sahabat Allah. Beberapa ketika malaikat Jibril terdiam dan kemudian berkata:
"Aku menerima sebuah perintah: Tuliskanlah nama Ibrahim di tempat paling atas kerana di dalam jalann ini harapan masih wujud dari keadaan putus asa."
5. Karamah Sufian At-Tsauri
Pada suatu hari, Sufian menegur khalifah yang memintal misai ketika solat. Teguran dari Sufian itu menimbulkan kemarahan khalifah tersebut. Lalu, Sufian dipenjarakan. Ketika tali gantungnya disiapkan, Sufian sedang lena tidur ditemani dua orang soleh. Dua orang soleh itu tidak mahu memberitahu apa yang terjadi tetapi Sufian tiba-tiba tersedar dari lena dan bertanya apa yang sedang berlaku. Kemudian, dua orang soleh itu menjelaskan bahawa mereka sudah tidak cinta pada kehidupan tetapi manusia harus melakukan kewajipan selagi hidup di atas dunia ini. Sufian yang mengerti apa yang mereka maksudkan segera menadah tangan, menangis dan berdoa:
"Ya Allah, turunkanlah belas ke atas mereka ketika juga!"
Maka, doa Sufian dimakbulkan. Khalifah yang sedang duduk di atas takhta bersama para menterinya tiba-tiba disambar petir dan mereka semua terus ditelan bumi.
6. Karamah Rabiah Al-Adawiyah
Hasan Al-Basri bertemu dengan Rabiah di danau. Lantas Hasan menhamparkan sejadah di atas air dan mengajak Rabiah bersolat dua rakaat di atas air. Kemudian, Rabiah berkata:
"Hasan, jika engkau memperlihatkan karamahmu di tempat ramai ini, maka karamahmu itu haruslah yang tidak dimiliki oleh orang-orang lain."
Sesudah berkata begitu, Rabiah melemparkan sejadah ke udara dan melompat ke atasnya lalu memanggil Hasan naik bersama dengannya agar orang dapat menyaksikan mereka. Hasan yang belum mencapai kepandaian itu tidak dapat berkata apa-apa. Lalu Rabiah mencuba menghiburkan hati Hasan dan berkata:
"Hasan, yang engkau lakukan tadi dapat dilakukan oleh seekor ikan dan apa yang dapat kulakukan tadi pula seekor lalat. Yang penting bukanlah kemahiran-kemahiran seperti itu. Kita harus mengabdikan diri kepada Hal-hal yang Terpenting itu."
Sesungguhnya, sifat karamah ini ada pada makna, bukannya rupa. Begitu juga dalam kita berdoa, semuanya bergantung pada makna, bukannya rupa. Habib Al-'Ajami juga pernah berkata:
"Alangkah baik seandainya engkau memiliki sedikit keyakinan. Pengetahuan harus disertai dengan keyakinan."
Sepertimana kita tahu bahawa doa itu satu senjata, kita juga harus yakin bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Jadi, keep calm and teruskan berdoa ^^
@themagi2014
ruj: ummatanwasatan.net| Tazkirat Al-Auliya Farid Al-Din Attar| halaqah.net| usahataqwa.com
No comments:
Post a Comment