Tuesday 15 July 2014

Ramadhan 17: Bacalah! Dengan Nama Tuhanmu

Selamat hari Nuzul Al-Quran kepada pengunjung MaGi. Semoga hari ini berlalu dengan baik dan selamat. Seperti biasa, aku update entri pada sebelah petang sebab masa tu je line broadband laju. Memandangkan hari ini hari Nuzul Al Quran, mari kita singkap sedikit kisah di sebaliknya.


credits: rakyatnews.my
Nuzul Al-Quran

"Bacalah (wahai Muhammad)! Dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [Surah Al-Alaq ayat 1-5/surah Makkiyah]

Peristiwa Nuzul Al Quran terjadi pada 17 Ramadhan sebelum 10 malam terakhir iaitu malam Lailatul Qadar. Maksu Nuzul ialah turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa ini menyaksikan Nabi Muhammad SAW, nabi dan rasul terakhir menerima mukjizat terbesar iaitu Al-Quran diturunkan buat pertama kalinya dan seterusnya turun secara berperingkat-peringkat. Ia berlaku pada tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Nabi SAW sedang beribadat di Gua Hira'.  

Ayat Al Quran yang mula-mula diperturunkan Allah SWT kepada Nabi SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah 5 ayat pertama dari Surah Al Alaq. Ada ulama menyebut mungkin Surah Al Fatihah merupakan ayat-ayat pertama yang diperturunkan, berdasarkan kedudukan Surah Al Fatihah sebagai surah permulaan, kepentingannya dan maknanya. Tapi, Surah Al Alaq diyakini sebagai ayat-ayat pertama yang diajarkan kepada Nabi SAW memandangkan Nabi SAW seorang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis dan diriwayatkan Aishah r.a iaitu:

Ketika Nabi SAW sedang beribadat di Gua Hira' Malaikat Jibril turun mendapati Nabi SAW lalu memeluk dan menyuruh Nabi SAW membaca, tetapi Nabi SAW menyatakan: "Aku tidak pandai membaca." Kemudian dipeluknya lagi dengan kuat sambil menyuruhnya supaya membaca tetapi Nabi SAW tetap menyatakan perkara yang sama. Pada kali ketiga dipeluknya lagi sambil menyuruh supaya Nabi membaca mengikuti apa yang dibaca oleh Malaikat Jibril, iaitu mulai ayat 1 hingga ayat 5 surah Al Alaq.


Hubungan Surah Al Alaq dengan Surah Al-Qadr

Melalui Surah Al-Alaq, Nabi SAW diperintah membaca Al Quran manakala Surah Al-Qadr pula Allah SWT menerangkan tentang permulaan turunnya Al Quran. Surah Al-Qadr ialah surah ke-97 dalam Al Quran dan merupakan surah Makkiyah (diturunkan di Mekah) dan dinamakan bersempena dengan nama Lailatul Qadar, Qadar yang bermaksud kemuliaan.

Surah Al-Qadr (ayat 1-5) menyebut:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya Al Quran) pada malam yang mulia. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari 1000 bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."


Peringkat Nuzul

Peristiwa Nuzul berlaku pada bulan Ramadhan, sama dengan Lailatul Qadar dan kedua-dua menunjukkan kepentingan dan rahsia Al Quran yang tidak ada pada kitab-kitab terdahulu. Al Quran diturunkan secara mutawatir (berperingkat) menurut sebab-sebab yang tersendiri. Malah, perkataan Nuzul juga disebut sebanyak 290 kali seperti di dalam surah Al Baqarah ayat 22, surah Ali Imran ayat 3 dan banyak ayat-ayat lain.

Hikmah Al Quran diturunkan secara beransur-ansur ialah supaya ia mudah difahami, dihafal dan dilaksanakan. Tempoh Al Quran diturunkan ialah selama 22 tahun 2 bulan dan 2 hari bermula dari 17 Ramadhan sehingga 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah. Pada masa itu, setiap surah dihafal oleh Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabat baginda, dicatat, dikumpul pada zaman Sayyidina Abu Bakar dan disempurnakan pada zaman Sayyidina Uthman.

Beberapa ulama memberi pendapat bahawa surah pertama yang diturunkan ialah Surah Al-Alaq berdasarkan beberapa riwayat sahih tetapi mengalami kesukaran untuk mengetahui surah terakhir yang diturunkan. Apa yang boleh disimpulkan ialah 
  • Surah At-Taubah sebagai surah panjang terakhir yang turun, 
  • Surah Al-Nasr sebagai surah pendek terakhir yang turun,
  • Ayat-ayat 275-281 surah Al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.
Hubungan Nuzul dengan Lailatul Qadar

Al Quran diturunkan pada 17 Ramadhan manakala malam Lailatul Qadar jatuh pada 10 malam terakhir iaitu pada malam-malam ganjil 21, 23, 25, 27, 29. Penurunan Al Quran adalah satu keberuntungan yang besar kerana ia tidak ada pada umat terdahulu malah malam Lailatul Qadar juga dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Kedua-dua peristiwa ini merupakan kelebihan yang istimewa dan mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.

Terdapat satu pandangan bahawa ayat Al-Qadr 1-5 diturunkan berdasarkan riwayat dari Ali bin Aurah. Pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang dari Bani Israil yang beribadah pada Allah SWT selama 80 tahun dan sedikit pun tidak derhaka. Para sahabat kagum dengan perbuatan mereka. Kemudian Malaikat Jibril datang memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT menurunkan sesuatu yang lebih baik dari ibadat 80 tahun. Malaikat Jibril pun membaca ayat Al Quran yakni surah Al Qadr yang menyatakan kelebihan malam Lailatul Qadar bersamaan dengan 1000 bulan dan amal ibadat dilipatgandakan. Penurunan surah Al Qadr itu menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.


Dan sesungguhnya, ibadat pada malam Lailatul Qadar itu bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan dan semuanya hanya terkumpul dalam 10 malam sahaja. Jadi, pada hari Nuzul Al Quran ini, banyakkanlah membaca Al Quran dan bersedia dengan malam 1000 bulan. Usia kita belum tentu begitu panjang untuk meneruskan ibadah jadi jangan biarkan 83 tahun 4 bulan yang datang sekali setahun berlalu begitu saja :)


@themagi2014
ruj: 
Islam.gov.my| ms.wikipedia| Shafiqolbu.wordpress| pengusahamuslim.com| drhayei.com

No comments:

Post a Comment