Friday 25 July 2014

Ramadhan 27: Haiwan dan Syurga

Salam 27 Ramadhan, tinggal 2 hari lagi sebelum perginya Ramadhan untuk tahun ni. Situasi pada masa sekarang? Aku sedang menaip, update entri sambil mendengar lagu The Growlers- Little Miss Jack dan ditemani oleh seekor lalat yang tak henti-henti terbang depan laptop aku. 2-3 hari lepas, aku mengaji sambil ditemani oleh seekor cicak atas siling bilik. 2-3 hari lepas jugak, aku panaskan lauk sahur sambil ditemani oleh seekor lipas. Dan minggu lepas, aku berbuka puasa bersebelahan dengan kucing. Hahaha, semuanya di luar kebiasaan aku~

Bulan2 puasa macam ni, aku terfikir, haiwan yang mana dapat masuk syurga? Sebenarnya, beberapa entri aku sebelum ni berkaitan dengan topik entri hari ni. Jadi, aku senaraikan apa yang patut, secara ringkas dan mudah dibaca.

1. Unta Nabi Saleh a.s

Unta itu adalah mukjizat Nabi Saleh untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT dan ia dikeluarkan dari batu gunung. Unta tersebut menjadi sumber rezeki kaum Thamud sehinggalah ia mati disembelih oleh beberapa kaum Thamud yang sombong. Akhirnya kaum itu diberi azab (ditempik oleh malaikat Jibril sehingga badan mereka hancur) kerana ingkar pada janji mereka untuk patuh pada perintahNya.

2. Anak sapi Nabi Ibrahim a.s

Nabi Ibrahim a.s menyembelih anak sapi gemuk dan menghidangkan daging itu pada tetamu yang datang ke rumahnya. Kemudian, Nabi Ibrahim mendapat khabar bahawa Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim yang dikatakan mandul, akan melahirkan anak lelaki yang bernama Ishak.

3. Kambing gibas Nabi Ismail a.s

Kambing gibas menjadi pengganti Nabi Ismail a.s apabila bapanya, Nabi Ibrahim diuji Allah SWT untuk menyembelih anak sulungnya. Peristiwa itu menjadi permulaan kepada Hari Raya Aidil Adha.

4. Ikan paus Nabi Yunus a.s

Nabi Yunus a.s ditelan oleh ikan paus ketika berlayar di lautan kerana meninggalkan kaumnya lebih awal dari apa yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atasnya. Ikan paus itu memuntahkan semula Nabi Yunus setelah doa taubatnya diterima Allah SWT.

5. Sapi Nabi Musa a.s

Ada seorang lelaki Bani Israil membunuh saudaranya yang fakir demi harta warisan. Setelah kematiannya, lelaki berkenaan berpura-pura mencari siapa yang membunuh saudaranya. Nabi Musa pun meminta mereka mencari seekor sapi menurut ciri-ciri yang diterangkan. Sapi yang dicari pun berjaya ditemui, milik anak si fakir yang soleh. Lalu, sapi itu dibeli dengan harga yang mahal dan segera disembelih. Nabi Musa memotong lidah sapi itu lalu memukul mayat si fakir. Si fakir yang sudah mati itu terus bangun dan memberi siapa yang membunuhnya lalu mati semula selepas itu. 

6. Khimar Nabi Uzair a.s

Nabi Uzair ditidurkan selama 100 tahun bersama khimar (keldai miliknya) selepas melihat kehancuran kota kediamannya. Selepas 100 tahun, Nabi Uzair sedar dari tidurnya dan khimar yang sudah mati itu dihidupkan semula.

7. Semut Nabi Sulaiman a.s

Nabi Sulaiman a.s bertemu dengan seekor semut yang tinggal di atas batu yang makan sebiji gandum sebulan. Nabi Sulaiman membantu semut itu tersebut dengan meletakkan semut di dalam bekas bersama sebiji gandum. Apabila Nabi Sulaiman datang semula sebulan kemudian, semut hanya makan separuh gandum saja kerana semut ragu Nabi Sulaiman akan lupa padanya.

8. Burung hud-hud Nabi Sulaiman.

Burung hud-hud datang menyampaikan berita pada Nabi Sulaiman berkenaan dengan negeri Saba' yang ada singgahsana yang besar tapi menyembah matahari. Disebabkan berita yang dibawa oleh burung hud-hud, Nabi Sulaiman menemui Ratu Saba' iaitu Ratu Balqis dan mengislamkan seluruh penduduk Saba'.

9. Anjing Ashabul Kahfi

7 orang pemuda beriman melarikan diri dari pemerintahan raja yang zalim, bersama seekor anjing yang telah menjaga mereka dengan setia di dalam gua. Mereka berlapan bersama dan tidur selama 3 abad. Di atas kesetiaan anjing berkenaan, Allah SWT memberi jaminan tempat di syurga untuk anjing tersebut dengan mengubah kejadiannya menjadi seekor kambing gibas.

10. Unta Nabi Muhammad SAW

Abu Jahal berniat mahu membunuh Nabi SAW dengan seketul batu yang besar. Ketika Abu Jahal menghampiri Nabi SAW yang sedang bersolat, niatnya untuk membunuh terbatal lalu segera berundur. Apabila diajukan pertanyaan oleh rakan-rakan subahatnya, Abu Jahal mengatakan bahawa ada seekor unta yang sangat besar mahu menendangnya sampai mati jika Abu Jahal masih meneruskan hasratnya untuk membunuh Nabi SAW.

Haiwan lain di Syurga

1. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

"Kambing adalah termasuk binatang yang terdapat di syurga."

2. Dikisahkan bahawa ada seseorang datang kepada Nabi SAW seraya bertanya: "Apakah di dalam syurga itu ada kuda? Sebab aku adalah seorang yang suka kuda."

Nabi SAW pun bersabda: "Jika engkau suka kuda, maka engkau akan diberi kuda dari yakut merah. Kuda itu akan membawamu terbang di dalam syurga ke mana pun yang engkau kehendaki."

3. Abi Ayyub meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada di syurga sesuatupun dari binatang ternak kecuali unta dan burung." (HR Thabrani)



Setakat ni je maklumat yang aku dapat dari Google. Haiwan yang tidak diberi akal sesempurna manusia pun dapat juga masuk syurga. Bagaimana dengan kita?Jadi, berbuat baiklah pada haiwan. Tak rugi pun. Tak gitew, visitors? ^^


p/s: Luar biasa, lalat yang terbang depan laptop aku terus ghaib masa aku update entri ni. 

@themagi2014
ruj: islamicmotivatio.blogspot| biaqpila.blogspot| ensiklopedi-alquran.com| ms.wikipedia/nabisaleh| id.wikipedia/nabisulaiman| ustazcyber.com| facebook: kisah Nabi Muhammad SAW| ms.wikipedia/nabisaleh| id.wikipedia/nabisulaiman| islam-qa.com| kisahmuslim.com| image credits: tutorhacking

No comments:

Post a Comment