credits: drdanial.faithweb.com |
Selamat sore! Tak kisahlah sore ke subuh, hari ini Ramadhan ke-12. Bila update entry setiap hari, puasa pun rasa lebih bermanfaat. Dan tanpa sebab, aku hepi hari ni.
Beberapa hari lepas, aku terbaca kisah menarik seorang ahli sufi dari buku Tazkirat Al-Auliya. Aku ada letak kisah dari riwayat Tirmizi sebelum ni, dari buku yang sama. Kisah kali ni tentang seorang ahli sufi yang bernama Ibrahim bin Adham. Apasal ada 'Gautama' dalam tajuk entri? Okay, mari baca profil dulu.
Ibrahim Bin Adham
Abu Ishak Ibrahim bin Adham, lahir di Balkh dari keluarga bangsawan Arab di dalam sejarah sufi sebagai raja yang meninggalkan kerajaannya- sama dengan kisah Gautama Buddha- lalu mengembara ke Barat untuk menjalani hidup bersendirian yang sempurna sambil mencari nafkah melalui kerja kasar yang halal hingga ia meninggal dunia di negeri Persia kira-kira tahun 165H/782M. Beberapa sumber mengatakan Ibrahim terbunuh ketika mengikuti angkatan laut yang menyerang Byzantium. Taubatnya Ibrahim merupakan sebuah kisah unik di dalam kehidupan kaum Muslimin- [Tazkirat Al-Auliya ms.95]
Kisah Mengenai Ibrahim bin Adham dengan Nabi Khidir a.s
Ibrahim bin Adham adalah Raja Balkh yang memiliki daerah kekuasaan yang sangat luas. 40 pedang emas dan 40 tongkat kebesaran emas diusung di depan dan di belakangnya. Pada suatu malam ketika ia tertidur di bilik istananya, atap bilik itu berderak derik seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: "Siapakah itu?"
"Sahabatmu. Untaku hilang dan aku sedang mencarinya di atas atap ini," terdengar sebuah sahutan.
"Bodoh, engkau hendak mencari unta di atas atap?" seru Ibrahim.
"Wahai manusia yang lalai," suara itu menjawab. "Apakah engkau hendak mencari Allah dengan berpakaian sutera dan tidur di atas katil emas?" suara itu menjawab.
Kata-kata itu sangat mengecutkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya. Ketika hari telah siang, Ibrahim pergi ke ruang tamu dan duduk di singgahsananya sambil berfikir-fikir, risau dan berasa bimbang. Para menteri berdiri di tempat masing-masing dan hamba-hamba telah berbaris sesuai dengan tingkatan mereka. Kemudian dimulakan pertemuan terbuka.
Tiba-tiba seorang lelaki berwajah menakutkan masuk ke dalam ruang tamu itu. Wajahnya begitu menyeramkan sehingga tidak ada seorang pun di antara anggota-anggota mahupun hamba-hamba istana yang berani menanyakan namanya. Semua lidah menjadi kelu. Dengan tenang, lelaki itu melangkah ke depan singgahsana.
"Apakah yang engkau inginkan?" tanya Ibrahim.
"Aku baru sahaja sampai di tempat persinggahan ini," jawab lelaki itu.
"Ini bukan tempat persinggahan para kafilah. Ini istanaku. Engkau sudah gila!" Ibrahim mengherdik.
"Siapakah pemilik istana ini sebelum engkau?" tanya lelaki itu.
"Ayahku!" jawab Ibrahim.
"Dan sebelum ayahmu?"
"Datukku!"
"Dan sebelum datukmu?"
"Ayah sebelum datukku!"
"Dan sebelum dia?"
"Datuk dari datukku!"
"Ke manakah mereka sekarang ini?" tanya lelaki itu.
"Mereka telah tiada. Mereka telah mati," jawab Ibrahim.
"Jika demikian, bukankah ini tempat persinggahan yang dimasuki oleh seseorang dan ditinggalkan oleh yang lainnya?"
Setelah berkata demikian lelaki itu hilang. Sesungguhnya ia adalah Nabi Khidir a.s. Kegelisahan dan kerisauan Ibrahim semakin menjadi-jadi. Ia dihantui oleh bayang-bayangnya sendiri dan terdengar suara-suara di malam hari. Akibat tidak tahan lagi, Ibrahim memutuskan untuk keluar berburu. Lantas, kuda dipacu melalui padang pasir, seolah-olah tidak sedar akan segala perbuatannya. Tiba-tiba Ibrahim mendengar seruan: "Bangunlah!"
Ibrahim pura-pura tidak mendengar seruan itu tetapi suara itu berseru lagi buat kali kedua dan ketiga. Ibrahim cuba untuk tidak mempedulikannya. Akhirnya, untuk kali keempat, suara itu berseru: "Bangunlah sebelum engkau kupukul!"
Pada masa itulah Ibrahim terlihat seekor rusa dan rusa itu berkata: "Aku disuruh untuk memburumu. Engkau tidak akan dapat menangkapku. Untuk inikah engkau diciptakan atau inikah yang diperintahkan kepadamu?"
Apabila mendengar kata-kata tersebut, Ibrahim segera memalingkan wajahnya tetapi tali pelana kudanya juga mengatakan kata-kata yang sama. Ibrahim ketakutan dan kebingungan. Lalu, Ibrahim menangis sehingga basah pakaian dan tubuh kudanya. Ibrahim pun turun dari tunggangannya lalu berjalan. Ketika menyimpang di jalan raya, ia terlihat gembala yang memakai pakaian dan topi dari bulu kambing biri-biri. Rupa-rupanya, gembala itu ialah hamba Ibrahim yang menjaga ternakannya.
Lantas, Ibrahim menyerahkan pakaian mahal di badannya kepada gembala itu dan pakaian gembala itu menjadi miliknya. Kemudian, Ibrahim menyarung pakaian gembala tersebut, disaksikan oleh para malaikat dengan penuh kekaguman.
"Betapa megah kerajaan yang diterima putera Adam ini," malaikat-malaikat itu berkata. "Ia telah mencampakkan pakaian keduniaan yang kotor lalu menggantikan dengan jubah kepapaan yang megah."
Antara Ibrahim dan Gautama, kedua-duanya sanggup meninggalkan kemewahan demi sebuah ketenangan. Walaupun apa yang mereka percaya tak sama, ada satu perkara yang mereka cuba sampaikan;
Dunia ini hanya sementara.
Dapatkah kita manfaatkan dunia yang sementara ini dengan sebaik-baiknya?
p/s: puasa datang sekali setahun, manfaatkan masa sementara ni baik2 ^^
@themagi2014
No comments:
Post a Comment