Isnin
Daripada Abu Qatadah Al Ansaari berkata Nabi saw ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda, "padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepadaku. (Muslim)
Maklumat: hari mulia untuk Nabi saw, digalakkan berselawat ke atas nabi, dan mengucap penghormatan kepada baginda. Peristiwa yang berlaku pada hari Isnin ialah naiknya Nabi Idris as ke langit, naiknya Nabi Musa as ke bukit Tursina, malaikat Jibril turun kepada Nabi saw buat kali pertama, amalan Nabi saw dilaporkan, dan bukti keesaan Allah swt diturunkan (qul huwallahu ahad). Hari Isnin dikaitkan dengan Nabi Adam as, merujuk kepada asmaNya Al Hayy yang bermaksud Yang Maha Hidup, manifestasi kehidupan dan permulaan, mirip dengan kejadian Nabi Adam as.
Selasa
Rasulullah saw ditanya mengenai hari Selasa, maka Baginda menjawab, "Hari Selasa adalah hari berdarah. Para sahabat bertanya: mengapa demikian Ya Rasulullah? Lalu Baginda menjawab, "kerana pada hari itulah Hawa berhaid dan putera Nabi Adam as membunuh saudaranya sendiri."
Maklumat: hari sesuai untuk berbekam. Peristiwa lain yang berlaku pada hari Selasa ialah wafatnya Nabi Yahya as, wafatnya Nabi Zakaria as, meninggalnya tukang sihir Firaun, meninggalnya Asiah binti Muzahim isteri Firaun dan meninggalnya Habil putera Nabi Adam as. Nabi Harun as dan Nabi Yahya as dikaitkan dengan hari Selasa, merujuk kepada asmaNya, melihat (Bashaar) dan pemaksa (al Qashaar). Menurut Muhyiidin Ibn Arabi, "jika harimu hari selasa maka Nabi Harun dan Nabi Yahya merupakan temanmu tempat melekat petunjuk yang Haqq."
Rabu
Nabi saw ditanya tentang hari Rabu. Maka Baginda menjawab, "Hari Rabu adalah hari bencana terus menerus. Para sahabat bertanya: mengapa demikian Ya Rasulullah? Lalu Baginda menjawab, "kerana pada hari itulah Allah swt menenggelam (menghancurkan Firaun) dan kaumnya, memusnahkan kaum Ad dan Tsamud yang ingkar pada kerasulan dan kenabian Nabi Saleh as."
Maklumat: Hari Rabu sesuai untuk makan ubat dan menyembuhkan penyakit. Peristiwa lain yang berlaku pada hari Rabu ialah kehancuran Qarun, Firaun, kaum Nabi Hud as, dan juga Namruz bin Kanaan. Nabi Isa as dikaitkan dengan hari Rabu, melekat padanya sebuah rahsia.
Khamis
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Al-Zajaji dalam Al-Amali, daripada Ali kwh, beliau berkata: "Jika kamu mempunyai urusan maka bersegeralah melakukannya pada hari Khamis kerana Nabi saw pernah memohon kepada Allah swt agar umatnya mendapat keberkatan pada pagi hari Khamis:"
Maklumat: Hari yang baik untuk berdoa dan berhajat. Juga elok untuk berpuasa sunat dan melakukan amal kebajikan. Peristiwa yang berlaku pada hari Khamis ialah Nabi Ibrahim bertemu dengan Raja Mesir, Bunyamin saudara Nabi Yusuf datang ke Mesir untuk berjumpa dengan Nabi Yusuf, Nabi Yaakub ke Mesir untuk berjumpa dengan anaknya, Nabi Yusuf dan Nabi saw memasuki Kota Mekah selepas perjanjian Hudaibiyah. Nabi Musa as dikaitkan dengan hari Khamis, melekat padanya rahsia-rahsia tentang perintah agama dan misteri kedekatan kepada Allah swt.
Jumaat
Hadis Abu Hurairah ra meriwayatkan Rasulullah saw pernah bersabda, "kita adalah umat yang terakhir, tetapi kita umat yang lebih dahulu pada hari kiamat nanti. Kerana setiap umat diberikan kitab sebelum kita sedangkan kita diberi kitab sesudah mereka. Kemudian hari ini (hari Jumaat) hari yang ditentukan oleh Allah swt kepada kita, Allah telah memberikan petunjuk kepada kita pada hari tersebut, maka umat lain akan mengikuti kita, besok (hari Sabtu) umat Yahudi dan lusa (hari Ahad) umat Kristian."
Maklumat: penghulu segala hari. Hari yang mustajab untuk berdoa, hari penambahan kurnia, hari penuh keampunan dan barakah. Juga hari yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, mengeratkan silaturrahim serta berjamaah (solat jumaat) dan sesiapa yang ke rahmatullah pada hari Jumaat terlepas dari fitnah kubur. Peristiwa lain yang berlaku pada hari Jumaat ialah Nabi Adam as dicipta, disingkirkan dari syurga dan turun ke bumi, wafatnya Nabi Adam as dan pernikahan Nabi saw dengan Siti Khadijah.Nabi Yusuf as dikaitkan dengan hari Jumaat, merujuk kepada nama 'Uruba' (nama asal hari Jumaat sebelum kedatangan Islam) yang bermaksud 'hari keindahan dan perhiasan', juga dikenali sebagai hari berjamaah (solat Jumaat, pertemuan Nabi Yusuf dengan ayahanda tercinta dan hari penyempurnaan manusia)
Sabtu
Menurut Rasulullah saw, hari Sabtu adalah hari tipu daya.
Maklumat: Hari yang sesuai untuk berburu. Peristiwa yang berlaku ialah tipu daya kaum Nabi Nuh as, Nabi Saleh as, Nabi Musa as, Nabi Isa as, tipu daya kaum Musyrikin terhadap Nabi saw, tipu daya Bani Israil terhadap laranganNya dan tipu daya saudara-saudara Nabi Yusuf as terhadap Nabi Yusuf as. Nabi Ibrahim as dikaitkan dengan hari Sabtu, merujuk kepada maksud Kalaam iaitu berbicara dan juga keabadian (mungkin keabadian Nabi Ibrahim as kepada Allah swt yang tidak berbelah bagi, namun makna keabadian ini masih belum jelas sepenunhya)
Ahad
Hari Ahad adalah hari penciptaan, Allah berfirman, "dan Dia mengadakan di bumi gunung ganang yang menetapkannya supaya tidak berhayun-hayun kamu dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju."
Juga berfirman dalam Surah Hud: 7 yakni, "dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa sedangkan ArasyNya berada di atas air (ia menjadikan semua itu untuk menguji kamu) siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) berkata bahawa kamu akan dibangkitkan hidup sesudah mati, tentulah orang-orang yang ingkar berkata, ini tidak lain hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)
Maklumat: Hari Ahad membawa pengertian tunggal dan satu (seperti Surah Al-Ikhlas). Ia hari pertama Allah swt mencipta alam. Menurut sabda Nabi saw, hari Ahad hari yang sesuai untuk bercucuk tanam dan membuat binaan. Peristiwa yang berlaku pada hari Ahad ialah Allah swt menciptakan langit, bumi, neraka, anggota badan Nabi Adam as, dan tujuh lautan. Nabi Idris as dikaitkan dengan hari Ahad, merujuk kepada matahari yang menjadi pusat 7 planet dan penyebab dari segala sesuatu kehadiran, dalam masa yang sama, Nabi Idris as ialah 'penemu kebijaksanaan', permulaan putaran bagi setiap lingkaran.
*Sebarang pendapat, pembetulan, dan cadangan sangat dialu-alukan. Sekian.