Showing posts with label mitos sarawak. Show all posts
Showing posts with label mitos sarawak. Show all posts

Saturday, 13 December 2014

Wanita Legenda dalam Hikayat Sarawak

Sarawak ada banyak hikayat. Hikayat dari pelbagai rumpun bangsa. Kalau di tempat lain, bab puteri memang terkenal. Sebagai contoh, Puteri Gunung Ledang, Puteri Gunung Banang, Cik Siti Wan Kembang, Puteri Walinong Sari, Puteri Lindungan Bulan, Puteri Sinar Bulan...termasuklah puteri misteri macam Mahsuri. Kalau di Sarawak, tak lain tak bukan, orang cuma tahu Puteri Santubong dan Sejinjang. Selain dari tu, tak ada orang tahu pun.

Selepas baca beberapa buah buku lama, termasuk beberapa laman sesawang secara rambang. Mungkin ada ramai lagi wanita legenda dalam hikayat Sarawak. 

Datuk Permaisuri 

Seorang puteri raja dari Johor dikatakan telah terdampar di pantai Miri dan dikenali sebagai Datuk Permaisuri. Menurut blog Jacqie, puteri tersebut mengikuti suaminya berlayar ke Brunei. Namun, ribut datang menyerang dan menyebabkan Puteri Kemala dan ibu mertuanya jatuh ke dalam laut. Dalam keadaan terdesak, suaminya menyelamatkan si ibu manakala puteri tersebut terumbang ambing di laut sehingga terdampar ke sebuah pantai. Apabila si suami mendapat tahu isterinya masih hidup, si suami datang dan cuba memujuk puteri itu untuk kembali. Malangnya, puteri itu enggan dan memutuskan untuk tidak kembali. 

Nama puteri ini dikatakan sama dengan nama isteri Datuk Merpati tetapi terdapat sumber mengatakan bahawa Datuk Permaisuri yang terdampar di Miri terus menetap di situ sehingga ke akhir hayatnya dan tidak dinyatakan pula sama ada puteri yang terdampar di Miri itu berkahwin semula atau tidak. *update2015

Dayang Isah Tandangsari

Dayang Isah, merupakan puteri Datuk Temenggung Kadir dan Dayang Siti Hajar. Kawasan pimpinan Datuk Temenggung Kadir terletak di Tandang Sari, Saribas (kini dikenali sebagai Pusa). Dayang Isah berasal dari sebiji telur yang dijumpai oleh bapanya di dalam sebatang buluh. 10 kati emas adalah syarat untuk berkahwin dengan Dayang Isah dan ia menyebabkan Abang Bunut, kekasih Dayang Isah terpaksa mengundur diri. Kemudian, Dayang Isah dikahwinkan dengan Nakhoda Khar dari Bugis tetapi Dayang Isah tidak bahagia. Nakhoda Khar cemburu apabila mendapati isterinya mencintai Abang Bunut, lalu lelaki itu dibunuh dengan keris. Apabila Abang Bunut mati, Dayang Isah menyedari kecantikannya menjadi punca masalah dan cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Dayang Isah menjerut diri dengan 7 urat rambutnya sampai mati. Nakhoda Khar pula mati dibunuh oleh Datuk Temenggung kerana membunuh Abang Bunut. Makam Dayang Isah masih ada di Kampung Kalok, Pusa dan tidak mudah untuk mendekati makam tersebut.

Dayang Kumunah

Dayang Kumunah ialah wanita legenda ikan patin yang terkenal di Sarawak. Diceritakan bahawa seorang nelayan Awang Gading menemui bayi perempuan di atas batu di tepi sungai. Bayi itu diberi nama Dayang Kumunah dan dijaga hingga dewasa. Kecantikan Dayang Kumunah menjadi perhatian ramai. Kemudian, Awang Usop, seorang lelaki tampan dan kaya mengahwini Dayang Kumunah. Sebelum berkahwin, Dayang Kumunah memberi syarat supaya suaminya tidak memaksanya untuk ketawa. Namun, pada suatu hari, Awang Usop memaksa isteri ketawa. Kerana terhibur dengan pujukan suaminya, Dayang Kumunah ketawa lalu ternampak insang di dalam mulutnya. Tersedar dengan kesilapan tersebut, Dayang Kumunah lari lalu terjun ke dalam sungai dan menjadi ikan patin. Sebelum meninggalkan suami dan anak-anak, Dayang Kumunah berpesan agar keluarga dan generasi selepas itu tidak boleh memakan ikan patin. Jika tidak, mereka menjadi sakit atau gila. Hal tersebut masih menjadi keutamaan bagi masyarakat Melayu Sarawak.

Puteri Sibo

Puteri Sibo merupakan wanita legenda yang tidak begitu jelas dari segi penceritaan dan latar belakang. Nama sebenar Puteri Sibo ialah Puteri Cahaya dan abangnya bernama Putera Indera. Negerinya diserang geroda dan hilang keluarga serta saudara mara. Puteri Sibo dan abangnya tiba di sebuah negeri dan secara tidak sengaja, Puteri Cahaya memakan buah sibo milik sebuah keluarga diraja. Bimbang adiknya dihukum, Putera Indera melumur muka adiknya dengan arang sehingga hitam dan menukar nama adiknya menjadi Puteri Sibo. Tetapi, tanpa disangka, mereka berdua diangkat oleh keluarga tersebut dan malang bagi Puteri Sibo, Putera Bujang, putera keluarga diraja tersebut selalu menyakat dan menyakitkan hatinya. Entah bagaimana, lama kelamaan, Putera Bujang semakin rapat dengan Puteri Sibo sehingga tunangannya, Puteri Ratna diabaikan. Tiba-tiba pada suatu hari, wajah Puteri Sibo terkena pancutan air kelapa yang dibelah oleh inang. Rahsia Puteri Sibo pun terbongkar dan Putera Bujang akhirnya memutuskan untuk menikah dengan adik Putera Indera. Malah, Putera Bujang membantu menewaskan geroda yang telah memusnahkan negeri dua beradik tersebut.

Dayang Puteri

Dayang Puteri merupakan anak bangsawan bernama Badaruddin yang berkahwin dengan wanita Pelajau bernama Biri-Biri. Kisah tersebut dikatakan berlaku di Oya, apabila Biri-Biri dihalau dari rumah keluarga mertua kerana dia tidak setaraf dengan Badaruddin. Biri-Biri membawa diri ke hutan dan selepas beberapa bulan, dia melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Dayang Puteri. Apabila besar, khabar kejelitaan Dayang Puteri tersebar dan diketahui oleh bapanya. Biri-Biri dan Dayang Puteri dijemput pulang dan diberikan sebuah rumah baharu sebagai kediaman mereka. Seterusnya, kecantikan Dayang Puteri, anak bangsawan Badaruddin menjadi kegilaan ramai lelaki dan ramai yang masuk meminang tetapi kesemuanya ditolak dengan penuh adab dan adat. Tetapi, keputusan Dayang Puteri menimbulkan kemarahan ramai lelaki. Akhirnya, segerombolan orang Iban bertindak menyerang Oya dan cuba merampas Dayang Puteri. Berang dengan perkara tersebut, penduduk Oya hidup dalam kacau bilau dan menyalahkan Dayang Puteri dan keluarga. Akhirnya, Dayang Puteri dijatuhkan hukuman mati.

Kumang

Kumang, merupakan pasangan Keling. Perayaan Gawai diselit dengan upacara Kumang dan Keling Gawai, sebagai tanda mengingati mereka. Menurut penceritaan dari Indudaraiban, Keling seorang pahlawan Iban yang gagah, tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Isteri Keling, iaitu Kumang, seorang wanita dambaan lelaki yang cantik serta pandai serba-serbi. Kumang berasal dari rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Dikatakan Kumang telah diculik bersama Lulong, isteri sahabat Keling iaitu Laja. Kumang dan Lulong diculik oleh Apai Sabit Berikat ketika sedang menangkap ikan di sungai. Dengan kuasa ghaib Keling, Kumang dan isteri sahabatnya berjaya diselamatkan. Kumang merupakan contoh wanita terbaik bagi masyarakat Iban dari dulu sehingga sekarang dan sentiasa menjadi rujukan untuk wanita Iban.

Dayang Seri Bulan

Dayang Seri Bulan, anak perempuan dan puteri tunggal Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri Kemala. Awang Samaun dari Kerajaan Brunei telah menawarkan diri untuk mencari jodoh anak Datuk Merpati. Maka, Sultan Bungsu dari Selangor dipilih menjadi bakal suami kepada Dayang Seri Bulan. Ketika Dayang Seri Bulan berada di Brunei, abangnya, Bulan Jati (seekor naga) datang menziarahi dan menjaga keselamatannya.


@themagi2014

Tuesday, 21 October 2014

Sejarah Putera Serapi

Pergaduhan. Sejarah selalu mencatatkan pergaduhan dan semuanya demi untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Umumnya, pergaduhan itu berpunca dari kejelitaan seorang wanita ataupun ketampanan seorang lelaki. Kalau tak percaya, boleh semak di Google sekarang dan baca sendiri sejarah lampau yang berkaitan dengan pergaduhan.

Di Sarawak, kisah pergaduhan antara dua puteri iaitu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang berkisar tentang kecantikan, kelebihan dan juga cinta. Putera Serapi, putera tampan menjadi rebutan. Menerusi buku terbitan DBP, putera yang dijadikan rebutan ialah Putera Murud dari Gunung Murud. Tetapi, nama Putera Serapi lebih banyak disebut dan dikaitkan dengan puteri dua beradik tersebut. Sejujurnya, aku pun keliru. Putera yang mana jadi rebutan? Untuk entri kali ini, Putera Serapi jadi pilihan. Lagipun, sejarah Gunung Murud memang susah nak dapat *sudden give up

Kronologi pendek cinta tiga segi antara Putera Serapi, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dihantar untuk mendamaikan dua buah kampung iaitu Kampung Pasir Kuning dan Kampung Pasir Putih yang sering bergaduh. Selepas kehadiran dua puteri tersebut, kampung tersebut menjadi aman damai. Puteri Santubong mengajar penduduk Kampung Pasir Kuning menenun kain manakala Puteri Sejinjang mengajar penduduk Kampung Pasir Putih menumbuk padi. Hasilnya, kain tenunan di Kampung Pasir Kuning laris dijual dan hasil tanaman Kampung Pasir Putih bertambah subur. Ketika saudagar ramai berkumpul, Puteri Serapi dari Matang datang untuk melihat sendiri kecantikan dan kehebatan dua orang puteri tersebut. Terdapat juga versi mengatakan Putera Serapi sebenarnya jatuh cinta pada Puteri Santubong tetapi Puteri Sejinjang cuba untuk memikat Putera Serapi. Akhirnya, Putera Serapi menghantar pinangan untuk menjadikan kedua-dua puteri itu sebagai isterinya. Tetapi, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang berasa disaingi dan tidak mahu berkongsi cinta dengan lelaki yang sama. Maka, mereka berdua bergaduh dan bertengkar. Puteri Santubong tumbang kerana dipukul dengan alu penumbuk, Puteri Sejinjang pula rebah kerana dilibas dengan kayu belidak sehingga bersepai kepalanya. Kedua-dua puteri itu disumpah oleh Dewata kerana sikap mereka sendiri manakala Putera Serapi patah hati kerana kehilangan kedua-dua puteri tersebut. Putera Serapi dikatakan membawa diri jauh ke dalam hutan, ke sebuah gunung dan akhirnya hilang tanpa khabar berita. Gunung Serapi dikatakan tempat di mana Putera Serapi menghabiskan sisa kehidupannya. Malah, Gunung Serapi boleh dilihat dengan jelas di atas puncak Gunung Santubong. 

*Terdapat sumber menyatakan kampung di bawah jagaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bernama Kampung Pantai Biru dan Kampung Pantai Kuning.

Latar Belakang Putera Serapi

Sejujurnya, tak banyak yang aku dapat dari laman sesawang dan atau blog. Sejarah Putera Serapi ni agak kabur dan tak banyak maklumat. Jadi, aku cuma kumpulkan maklumat asas sahaja.

Nama: Putera Serapi
Nama sebenar: Tidak diketahui. 
Asal-usul: Tidak diketahui.
Mungkin berasal dari susur galur raja di Brunei. Mungkin juga berasal dari susur galur tanah seberang.
Tempat: Matang.
Matang merupakan daerah yang besar dan mencakupi banyak kawasan pada masa kini. Tidak mustahil jika terdapat kerajaan kecil di sana dan didiami oleh keluarga Putera Serapi pada masa dahulu.
Bakal isteri: Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang
Pekerjaan: Mungkin seorang pedagang.
Ia berdasarkan catatan kisah bahawa Putera Serapi telah datang ke kampung-kampung pimpinan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang kerana tersebar berita bahawa hasil tenunan kain dan tanaman kedua-dua kampung tersebut menjadi rebutan saudagar-saudagar lain.
Hobi: Mengembara.
Ia berdasarkan sikap Putera Serapi yang tertarik dengan sesuatu khabar di sesebuah tempat lalu mengembara ke tempat tersebut untuk melihat sendiri tarikan diperkatakan. Ia juga amalan putera dahulukala, mengembara adalah satu perkara biasa bagi anak-anak raja dalam mencari ilmu.
Gambaran Putera Serapi: Wajah tampan, gagah dan bersifat kepahlawanan.  
Sifat-sifat tersebut telah menyebabkan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang jatuh cinta pada lelaki yang sama.
Tempat terakhir didiami: Gunung tertinggi di Matang.
Memandangkan Putera Serapi sendiri berasal dari Matang, tidak mustahil Putera Serapi kembali semula ke Matang selepas mengetahui Puteri Santubong dan Puteri Sejnjang telah disumpah oleh Dewata. Gunung tersebut dipilih mungkin atas empat sebab yang menarik:
  • Gunung tersebut ialah gunung paling tinggi di Matang. Pada masa dulu, gunung merupakan kawasan penting, dipandang suci dan dihormati oleh masyarakat setempat.
  • Gunung adalah tempat yang sesuai untuk bertapa dan bermeditasi. Ia juga menjadi tempat pilihan masyarakat dahulukala untuk melupakan keduniaan dan mendalami ilmu. Juga tempat yang sesuai untuk melupakan kekecewaan.
  • Secara fakta, puncak Gunung Serapi kelihatan di puncak Gunung Santubong (menurut pendaki di Gunung Santubong)
  • Bukan satu kebetulan, puncak Gunung Santubong boleh dilihat di Gunung Serapi.
Dua sebab terakhir seperti memperlihatkan hubungan antara Puteri Santubong dan Putera Serapi itu sendiri.
Pengakhiran hidup Putera Serapi: Tidak diketahui. 
Apa yang dicatatkan oleh kisah-kisah penglipur lara, mitos atau legenda cuma Putera Serapi patah hati kerana cintanya tidak kesampaian. Sama ada hasratnya untuk menikahi kedua-dua puteri tersebut, ataupun cintanya terhadap Puteri Santubong terhalang, tiada siapa yang mengetahuinya. Wallahu 'alam.

@themagi2014
image credit: flickr.com

Tuesday, 4 February 2014

Legenda Boyan Kayong

Boyan Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang kayong) yang misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal Kampung Boyan dan Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan, Kabupaten Gresik di Jawa Timur. Terdapat versi lain yang menyatakan bahawa istilah kayong itu berasal dari bahasa Melanau di bahagian Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan, kisah ikan sebelah dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi sedikit pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah tempat di Indonesia.

Pulau Boyan: Sejarah dan Fakta.

Boyan atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri kerana golongan lelaki keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam pulau ini terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh. Orang Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula dikenali sebagai Boyan Kayong.

Penduduk Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau. Kebanyakan dari mereka berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan keturunan dan bermastautin. Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1988, bancian pada tahun 1947 menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa ke Sarawak meningkat, khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti Kampung Jawa, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain. Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa Tengah manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian Jawa Timur dan Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan dipengaruhi oleh keadaan semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris pada awal 1900an dan juga empayar jajahan Jepun pada awal 1940an.

Boyan Kayong: Di sebalik Legenda.

Legenda Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok kedondong gergasi yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya matahari dan menyusahkan penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' tetapi sejak pokok tersebut tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan hasil tanaman tidak menjadi. Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan untuk menebang pokok kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil. Akhirnya, pokok kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika tubuhnya tumbang, sumpah bangkit akan bermula.

Walau bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah ditebang dan penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan tersebut. Entah tiba-tiba, apabila menjelang malam, pokok kedondong bangkit semula selepas ditebang dan keesokan harinya, pokok itu ghaib. Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas mati ditebang, penduduk di situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka. Sumpah pokok tersebut benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun bermula. Walaupun sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata sumpah itu masih berterusan sehingga ke hari ini.

Biasanya, keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut sebelum mati. Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan mencucuk jarum emas pada hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan dan ia kedengaran tahyul, semua kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT. Wallahu'alam.

Kisah Penglipur Lara Hantu Bangkit.

Kisah Satu

Hantu bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa awal 90an, kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik. Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka bermukun dan menopeng. Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu malam, atuk pergi ke Kampung Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan aktiviti bermukun itu selesai pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Cik Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk dikejar oleh hantu bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya melepaskan diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan Batu dengan selamat.

Kisah Dua

Sambungan dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil memekik-mekik apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu bangkit akan menangkap dan memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak cara untuk mengelakkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi jika perkara itu berlaku di kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar mencari pokok pisang berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit.

Kisah Tiga

Entah betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli dapat dilihat menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan mata yang suram. Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian atau memulangkan semula apa yang kita pinjam dari orang yang berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat kemungkinan kitalah orang pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut apabila menjadi hantu bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah pada sebelah malam (selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik meminta barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini dikenali sebagai Hamlet.

Hantu Bangkit vs. Boyan Kayong

Kisah hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan Boyan Kayong itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta teknologi telah menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan Kayong dilihat sebagai legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak, kejadian hantu bangkit adalah kisah benar yang pernah terjadi di Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri biasanya tahu tentang perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula pada era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching. 

Mungkin amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan menjadi ingatan.

Ruj:
Hantu Bangkit di Sarawak
UUM: Orang Jawa di Borneo Utara
Wikipedia: Boyan
The Tentacle: The Tree Curse by Tom McLauglin
Penceritaan lisan orang tua di Kuching

Monday, 3 February 2014

Batu-batu Misteri di Sarawak

Sarawak; sebuah negeri yang kaya dengan etnik, budaya, kesenian dan legenda. Menjadi sebahagian dari kepulauan Borneo telah memberi identiti yang unik dan menarik. Bukan itu saja, bumi Sarawak ini juga menjadi kediaman pelbagai jenis kisah-kisah yang misteri, termasuklah batu-batu aneh yang menjadi tanda-tanya.

Batu Kinyang, Jalan Rock, Kuching.

Batu Kinyang yang terletak di Jalan Rock, bersebelahan dengan kuil Hindu dan tidak jauh dari Wisma Saberkas merupakan sebuah batu misteri yang mengelupas dan membesar. Ia menjadi tempat memohon hajat pada zaman dahulu. Kononnya, hikmat batu kinyang ini diketahui oleh seorang lelaki berketurunan Jawa yang tertidur di atas batu kinyang ini selepas penat bekerja. Lelaki itu telah memohon hajat untuk memperoleh anak selepas dikunjungi oleh 'seseorang' di dalam mimpi. Apabila hajat lelaki itu termakbul, ramai penduduk mula memohon hajat di batu itu sehinggalah pada suatu hari, hikmat batu itu hilang apabila sebuah kandang sembelihan khinzir dibuka berhampiran. Berdasarkan catatan W.J Chater, Rajah Kedua, Charles Brooke pernah berniat untuk meletupkan batu kinyang dan menggunakan serpihan batu itu untuk membina jalan raya tetapi niat beliau dibatalkan atas pujukan penduduk tempatan.

Batu Buaya, Santubong.

Batu Buaya yang terletak di Santubong diberi nama sedemikian kerana ia kelihatan seperti kepala buaya. Menurut legenda, terdapat seekor buaya gergasi telah mengganas di Sarawak. Dikatakan Datuk Merpati telah memenggal kepala buaya tersebut dan menyumpah kepala buaya itu menjadi batu. Batu Buaya ini penuh dengan kaitan sejarah dan juga legenda, seperti ketibaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Dua puteri itu dikatakan tiba di Batu Buaya selepas berlayar keluar dari Brunei. Begitu juga dengan kisah mangkatnya satu-satunya sultan di Sarawak iaitu Sultan Tengah. Setelah kembali dari Matan, Sultan Tengah berhenti di Batu Buaya dan di tempat itulah baginda dibunuh oleh pengikut yang khianat.

Batu Nabau, Sungai Bukong, Engkelili.


Batu Nabau yang terletak di Engkelili merupakan batu yang sangat aneh kerana berbentuk panjang, mempunyai corak dan menyerupai seekor ular gergasi. Bukan itu saja, penemuan huruf jawi seperti alif, lam, ha, nun, mim dan sin yang terpisah menjadi persoalan ramai. Kisah Batu Nabau mendapat liputan luas selepas seorang lelaki Siam mendapat mimpi ular gergasi menjadi batu sehingga membawa beliau menemui Batu Nabau di Engkelili. Menurut cerita orang tua-tua, Nabau ialah nama ular gergasi yang hadir secara misteri. Masyarakat Iban percaya jika Nabau muncul merentasi Sungai Baleh, banjir besar akan berlaku. Terdapat legenda lain berkaitan dengan Nabau, kononnya Nabau menjelma menjadi manusia dan memikat isteri seorang pahlawan. Berang dengan kelakuan Nabau, pahlawan tersebut menangkap dan mengerat Nabau menjadi tujuh bahagian dan dibuang ke jeram. Jeram itu kini dikenali sebagai Jeram Pelagus yang terletak di Sungai Rajang.

Batu Katak, Jalan Sibu-Bintulu.

Batu Katak yang terletak di jalan Sibu-Bintulu merupakan bongkah batu yang kelihatan seperti katak dari jauh. Apabila didekati, ia dipenuhi dengan lubang-lubang, bermacam-macam jenis nombor dan barang-barang memjuja. Batu Katak menjadi perhatian penggemar nombor ekor kerana menurut cerita, seorang lelaki Cina sangat menginginkan hadiah tempat pertama nombor ekor. Lelaki itu telah meminta bantuan Batu Katak dan dipendekkan cerita, hajatnya termakbul dan lelaki itu membina tokong di Batu Katak sebagai tanda terima kasih. Terdapat kisah-kisah lain mengenai Batu Katak ini seperti kelibat perempuan berbaju putih dan lembaga menakutkan. Terdapat cubaan meletupkan batu ini ketika membina jalan raya dengan menggunakan 'dynamite' dan 'bulldozer' tetapi kedua-duanya tidak berjaya. Maka, Batu Katak kekal di situ dan menjadi kebimbangan masyarakat mengenai masalah syirik.

Batu Bergambar, Sungai Jaong, Santubong.


Batu Bergambar, yang terletak di Sungai Jaong, Santubong merupakan batu yang mempunyai imej manusia yang berusia ratusan tahun. Ia dipercayai tinggalan artifak penduduk Santubong yang terkenal dengan aktiviti berdagang dengan pedagang China, Arab dan India pada kurun ke-11. Penemuan Batu Bergambar menjadi rujukan para arkeologi untuk mengkaji kehidupan di Santubong pada masa lampau, sekaligus mengkaji kesenian dan pertukaran ilmu pengetahuan pada kurun tersebut antara penduduk tempatan dengan pedagang luar. Penemuan batu ini juga telah membawa penemuan artifak tua dari dinasti Tang dan Sung di China, 10 batu berukir dan barang dagangan seperti tembikar, manik, gangsa, perak dan emas. Replika batu ini boleh dilihat di Muzium Tun Abdul Razak, Kuching.

Batu Gong, Sungai Katibas.

Batu Gong yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak merupakan batu misteri yang kelihatan seperti gong yang kemek di tengah. Batu ini dahulunya dikenali sebagai batu bedawak atau batu tawak yang membawa maksud 'gong'. Menurut legenda, terdapat seekor raksasa bernama Remaung telah mengganas di Sungai Katibas dan memakan manusia. Seorang pahlawan bernama Bungai Nuing telah memerangkap Remaung ke dalam seketul batu dan menutup pintu masuk batu itu dengan batu yang digumpal-gumpal. Terperangkap di dalam batu tersebut, Remaung akhirnya mati dan kini batu tempat Remaung menemui maut dilihat seperti gong.

Batu Rasak, Jalan Bintulu-Miri.

Batu Rasak yang terletak di kawasan penempatan Penan Muslim bersembunyi di sebalik belukar, sukar didekati malah dijauhi penduduk tempatan kerana menganggap tempat itu 'keras'. Batu Rasak yang kelihatan seperti orang tegak, orang duduk, wanita mengendong anak, batu berbentuk kerusi, perempuan bertudung, kura-kura dan unta yang bertaburan menjadi perhatian pelancong tetapi tidak semua dapat melihat batu tersebut secara dekat kerana terdapat kejadian pengunjung yang dirasuk dan histeria. Berbeza dari Batu Katak, tiada siapa yang berani meminta nombor di Batu Rasak kerana bimbang dimarahi oleh penunggu. Menurut penceritaan orang tua-tua, Batu Rasak merupakan kawasan sumpahan akibat kelakuan orang Rasak yang terhadap tupai lebih 200 tahun yang lalu. Dikatakan penduduk Rasak mengadakan keramaian dengan memasak daging kura-kura dan tupai namun daging tupai tidak seenak kura-kura lalu mereka ketawa dengan rasa tupai tersebut. Tiba-tiba, hujan pun turun bersama ribut dan kilat, dan mereka semua bertukar menjadi batu. Berdasarkan istilah Sarawak, kejadian seperti ini disebut sebagai 'buak'.

Sea Stack, Taman Negara Bako, Kuching.

Sea Stack yang terletak di Taman Negara Bako merupakan mercu tanda Bako, sekaligus menjadi identiti Sarawak. Ia kelihatan seperti kepala ular tedung yang muncul dari air. Sebagai taman negara tertua di Sarawak (dirasmikan pada tahun 1957), Bako merupakan taman negara terkecil di Asia Tenggara tetapi mempunyai ekosistem yang paling lengkap. Tidak ada legenda khusus mengenai batu ini tetapi yang pasti, 'ular tedung' yang bangkit keluar dari air pasti dipenuhi dengan misteri dan kehebatan ciptaan Yang Maha Esa.

@themagi2014


Sunday, 3 March 2013

Sarawak: Hikayat, Mitos & Legenda

Sarawak bumi Kenyalang; ia merupakan negeri terbesar di Malaysia. Dengan keluasan 124,450 km persegi, setiap penjuru tanah di bumi ini mengandungi pelbagai jenis kisah hikayat dan legenda. Daripada kisah dua puteri jelita, perabangan dan penjajahan, terdapat banyak lagi kisah menarik untuk dijadikan pengetahuan. Semalam, saya ke Kampung Buntal bersama keluarga atas urusan peribadi. Duduk bersama dengan golongan tua seawal jam 8.15 pagi, mereka menyingkap beberapa kisah hikayat, mitos dan legenda untuk diingati bersama. Kisah-kisah ini berlanjutan sehingga kembali ke rumah dan pelbagai cerita lama mula ke udara.

Sekonye emas


Di Kampung Buntal, terdapat sebuah sungai kecil yang disebut sebagai sungai Jaong. Bentuk muka bumi sungai Jaong tidak landai dan tidak sesuai untuk sebarang kenderaan berlabuh. Sehinggalah pada suatu senja, beberapa orang kampung melihat sebuah 'sekonye', sejenis kapal yang lebih kecil dari jong tetapi mempunyai kelengkapan serupa seperti kapal besar. Sekonye tersebut dikatakan berkilauan seperti emas masuk ke muara sungai dengan tenang, lalu terus memanjat tebing dan hilang di sebalik pokok-pokok. Kejadian tersebut menjadi misteri bagi golongan tua yang mengetahui perkara tersebut dan para nelayan tidak digalakkan untuk menjala udang di kawasan tersebut.


Si Bujang Padi

Di Sarawak, meriam kecil dikenali sebagai lela, manakala meriam kecil yang ada 'pemilik' pula disebut sebagai Bujang. Gelaran belakang untuk meriam tersebut bergantung kepada lokasi ia dijumpai. Sebagai contoh, jika meriam kecil tersebut dijumpai di tepi laut maka ia dinamakan sebagai Bujang Laut. Bujang Padi dikatakan telah ditemui di kawasan sawah padi dan orang yang menemui meriam tersebut mendapat alamat dalam mimpi bahawa meriam itu bukan sembarangan meriam kerana ia mempunyai kelebihan untuk ghaib, terbang dan menyerang sesiapa yang berniat jahat. Kebolehan Bujang Padi ini mungkin mengingatkan orang Melaka dengan keajaiban keris Taming Sari milik Hang Tuah.


Keramat Tok Landeh

Di Kampung Landeh, Kuching, pembukaan kampung ini bermula dengan kisah seorang lelaki alim yang mahu dikenali sebagai Tok Landeh. Tiada siapa yang tahu akan asal usul beliau.  Sehinggalah pada suatu hari, Kampung Landeh dilanda banjir besar dan jambatan yang menghubungkan mereka dengan kampung lain ditenggelami air. Ketika orang ramai masih terkurung di kawasan masing-masing, Tok Landeh pula mahu ke seberang. Tanpa menyedari beberapa penduduk kampung sedang berlindung di bawah pokok, mereka menyaksikan Tok Landeh menuju ke seberang dengan berjalan di atas air sambil mengepit tikar dan kain sejadah di bawah ketiak. Mulai saat itu, mereka menyedari Tok Landeh bukan sembarangan orang. Bukan itu saja, beliau juga sentiasa ada setiap kali penduduk kampung memerlukan beliau dengan menyebut namanya. Kemudian, beliau berkata kepada penduduk kampung sekiranya beliau tidak datang apabila namanya disebut dan mereka menemui keris, tikar, sejadah dan kopiah miliknya terapung di atas air maka itu bermakna beliau sudah pergi mengadap Ilahi. Kata-kata beliau akhirnya menjadi kenyataan dan kehilangan Tok Landeh menjadi misteri.


Si Jelita Dayang Isah

Bertempat di Kampung Kalok, kisah Dayang Isah menjadi ingatan setiap penduduk. Kisah tersebut bermula dengan kejelitaan anak perempuan wakil dari Sultan Brunei yang bernama Temenggong Kadir dengan isterinya, Dayang Siti Hajar yang bernama Dayang Aisyah Tandangsari, juga disebut sebagai Dayang Isah. Dayang Isah merupakan anak dari sebiji telur dan telur itu dijumpai berdasarkan mimpi yang diterima oleh bapanya, Temenggong Kadir. Dayang Isah dikatakan mempunyai rupa paras yang sangat jelita sehingga seluruh pemuda di Saribas menjadi gila bayang. Tetapi, Dayang Isah telah jatuh cinta pada pengikut bapanya, Abang Bunut yang tekun dan jujur. Sungguhpun begitu, bapanya telah menerima alamat bahawa sesiapa yang mahu mengahwini Dayang Isah mesti menyediakan 1 kati emas sebagai hantaran (ada juga sumber mengatakan 10 kati emas) sedangkan Abang Bunut itu seorang yang miskin. Oleh sebab itu, cinta mereka pun tidak kesampaian dan Dayang Isah dipinang oleh seorang kaya yang bernama Nakhoda Khar. Namun, Dayang Isah tidak bahagia. Rasa kecewa Dayang Isah semakin parah apabila Nakhoda Khar mengetahui kisah cintanya lalu membunuh Abang Bunut kerana cemburu dan cuba menikam Dayang Isah tetapi tidak lut. Akhirnya, Dayang Isah memberitahu kepada suaminya bahawa senjata yang dapat membunuhnya cuma benang 7 warna dan 7 helai rambut. Selepas memberitahu perkara tersebut, Dayang Isah akhirnya mati dibunuh oleh Nakhoda Khar. Makam Dayang Isah masih wujud sehingga ke hari ini.


Usikan Santubong

Gunung Santubong lambang kemegahan Sarawak, tersimpan kisah suka duka dua beradik yang berakhir dengan kematian dan kisah mereka menjadi pengajaran kepada generasi muda. Sungguhpun kisah mereka sudah lama berlalu dan Gunung Santubong kini menjadi destinasi pelancongan untuk pengunjung domestik atau luar negara, ia mengandungi kisah misteri yang tersendiri. Sebagai contoh, seorang pengunjung berbangsa Cina yang berkhemah di kaki gunung bersama rakan-rakan pernah terlihat kelibat seorang wanita cantik di sebalik pokok-pokok. Menurut seorang pencerita dari Kampung Buntal, ada seorang lelaki tua yang baru kematian isteri bergurau mahu bertemu dengan puteri Gunung Santubong dan memperisterikannya. Lelaki itu kini mejadi sasau. Manakala bapa saya sendiri kepedasan selepas memakan cili yang tumbuh di atas puncak gunung tanpa diketahui siapakah pemiliknya walaupun pada asalnya cili tersebut langsung tidak pedas.


Sumpah Buaya

Pernah menerima banyak sumber mengenai kisah mitos buaya, Batu Buaya yang terletak di Santubong kini menjadi warisan sejarah mengenai kewujudan seekor buaya yang pernah mengganas di Sarawak. Ia dibunuh, kepalanya dipenggal dan disumpah menjadi batu oleh Datuk Merpati dan bentuk kepala buaya itu kekal berada di tepi pantai sehingga ke hari ini. Ia juga menjadi nama sebuah kampung di Santubong, iaitu Kampung Batu Buaya. Selain dari kisah Batu Buaya, terdapat kisah lain mengenai buaya. Dikatakan pada zaman dahulu, ada 7 ekor buaya bersaudara yang tinggal di Pantai Alit, Kabong. Pada setiap malam bulan penuh, beberapa buah kampung akan mengadakan pesta. Oleh itu, pada setiap malam bulan penuh, 7 ekor buaya bersaudara itu akan naik ke darat, menanggalkan rupa buaya mereka dan menjelma menjadi lelaki yang sangat tampan. Setelah beberapa kali menyertai orang kampung di dalam pesta mukun dan menopeng, ketampanan mereka menarik ramai hati gadis muda manakala lelaki kampung itu pula mula berasa marah serta iri hati. Pada suatu malam bulan penuh, 7 beradik itu naik ke darat seperti sebelumnya namun mereka tidak tahu bahawa lelaki kampung tersebut berjaya mendapatkan kulit buaya yang bongsu dan membakarnya. Apabila 7 beradik itu mahu ke sungai semula, si bongsu menyedari kulit buaya miliknya sudah tiada dan dia ditangkap oleh lelaki kampung. Beberapa hari kemudian, si bongsu mati dan kepalanya dipercayai telah dipenggal. Sikap buruk lelaki kampung itu ternyata menyakitkan hati 6 beradik yang lain, lantas abang sulung si Bongsu bersumpah bahawa sesiapa yang berasal dari kampung tersebut, keturunannya ataupun mempunyai kaitan saudara dengan mereka, mereka akan mati dibaham oleh buaya. Sumpahan itu dipercayai masih berbisa sehingga ke hari ini.


::Sumber cerita diperolehi dari beberapa pihak termasuk dari penceritaan lisan yang disampaikan oleh Allahyarham Mohamad Mangal Khan.

#tmg2013

Monday, 22 October 2012

Urban Legend: Kisah Seram di Sarawak

Kisah seram, kat mana2 pun mesti ada cerita supernatural ni (tapi tak dijadikan drama bersiri macam Supernatural Dean dan Sam Winchester). Actually, aku membesar dengan cerita macam ni, dan aku memang suka sangat dengar cerita2 seram. Kalu Shah Alam ada cerita rumah seram with busut besar kat kawasan main air Wet World tu, atau cerita pemandu takde kepala kat Karak Highway or kisah seram pasal  hantu merayau kat Jambatan Pulau Pinang, (pendek kata, semua tempat pasti ada makhluk paling seksi dan seksa)...Sarawak pun ada kisah tersendiri. Aku sebenarnya nak share kisah ni dalam bahasa sendiri (yakni bahasa Sarawak) tapi aku takut non Sarawakian susah nak faham. Jadi untuk bersikap adil, saksama dan lebih berwawasan, aku gunakan bahasa yang korang bleh catch up ^^

Kisah Satu: Biji Mata Celah Siling

Ni kisah benar yang terjadi kat aku sendiri 19 tahun setengah yang lalu. Masa tu, atuk aku masih hidup lagi. Masa tu, kem polis (tempat aku tinggal) dan Kampung Astana Lama (lokasi rumah atuk, sekarang dah jadi area Masja) terletak berdekatan jadi kitorang selalu ke situ dengan berjalan kaki. Suatu hari, parent aku decide nak tidur semalam dua kat rumah atuk. Memandangkan kitorang memang close ngan atuk dan nenek jadi kitorang tak kisah nak stay berapa lama pun. Untuk malam pertama kitorang bermalam kat situ, aku nak tidur sebelah atuk aku. Tau pulak kakak aku mengalah, biasanya dia yang menang. So, tidurlah aku bersama atuk dan nenek (actually, nenek tidur kat tepi katil antik dengan tilam kekabu dia). 

Malam tu, aku rasa macam tak ada perasaan untuk tidur, aku masih kecik masa tu. Untuk beberapa jam, aku just tengok muka atuk aku dan tarik kulit kendur kat hujung siku dia (tak tau apa pasal). Kemudian, aku dongak ke arah siling, konon nak kira bape ekor anak biri melumpat pagar. Tapi sesungguhnya, bukan anak biri yang aku nampak, tapi bijik mata besar dan bulat tengah merenung aku kat celah siling yang belum dibaiki. Untuk beberapa saat, aku main mata dengan bijik mata itu sambil bercakap sendiri, "besarnya bijik mata ni, mata manusia ke?". Setelah puas bermain mata dengan bijik mata, aku berbisik kat telinga atuk dan cakap, "pak nek, ada bijik mata kat atas atap" dan tiba-tiba!---atuk aku tutup mata aku dan cakap, "tidur..."

Esok, bila aku bangun aku bagitau mak ada bijik mata yang tengok aku malam semalam. Mak aku kata, "la, bijik mata cicak tu." Aku balas balik, "bijik mata cicak kecik...yang tu besar." Terus mak aku terdiam dan tak cakap apa2. Sekarang, baru la aku tau bijik mata tu kepunyaan makhluk kecik pendek...aku rasa korang tau makhluk apakah itu dan tau apa pasal ada crita makhluk pendek kat area Masja.

Kisah Dua: Hantu Janet

Kisah hantu Janet merupakan kisah seram yang femes sekitar tahun 60-an, berlaku di kawasan Batu 4 dan Batu 5 di mana korang boleh lihat begitu banyak sofa konkrit, yakni jirat cina kat situ dan masih ada sampai sekarang.. Kisah Janet ni ada banyak versi, kononnya dia mati bunuh diri lepas jadi mangsa rogol atau mati dibunuh orang lepas jadi mangsa rogol. Tapi menurut versi abah aku yang berpindah ke kawasan Batu 4 dan 5 pada era 60-an (masa tu la era seram kat Kuching), Janet, seorang gadis Cina yang berusia 20-an mati dirogol orang.

Cerita dia macam ni, sempena dengan kejayaan tunang Janet melanjutkan study ke oversea, parent diorang adakan majlis pertunangan sebelum tunang Janet bertolak. Si tunang tu ambik flight malam sebab nak spend masa dengan Janet. So, bila masuk waktu malam, Janet decide nak hantar tunang dia sendiri (maybe malu nak kiss2 depan mak bapak dia or malu nak nangis). Lepas hantar tunang dia kat airport, dia pun balik lalu jalan yang sama (dulu jalan kat Batu 4-5 tak macam sekarang; gelap, sunyi, semak belukar). Kemudian, dia berhenti kat situ bila ternampak kayu melintang kat tengah jalan. Niat dia nak alih kayu tu sebab kereta yang dia guna (Ford jenis lama kalu tak silap) tak boleh naik atas kayu tu. Lepas tu....

Berbalik kat kisah orang tua Janet yang tunggu anak dara diorang yang cantik kat rumah. Si ibu nampak Janet ada kat bilik. Tapi Janet macam mengelak nak jumpa si ibu. Setiap kali parent dia nak bercakap, Janet masuk tandas, masuk bilik, keluar rumah. Orang tua Janet mula curiga dengan sikap anak dara diorang. Apa dah jadi terhadap Janet lepas hantar tunangannya ke airport?

Kemudian, kisah awek Cina yang suka tumpang orang mula heboh kat sekitar Batu 4 dan 5. Penduduk yang tinggal kat Kampung Jawa, Haji Baki mula rushing balik kerja (abah aku yang ikut kelas sekolah malam pun cuak masa tu). Pukul 6, jalan raya kat Batu 4-5 dah sunyi sepi. Dikatakan ada la Wak yang lalu jalan tu sekitar pukul 6, terjumpa awek Cina yang nak menumpang motosikal dia. Wak tu kasi la tumpang (sebab tak tau cerita) sampai hujung jalan yang dekat dengan jirat. Bila sampai rumah, Wak tu tercium bau busuk kat tempat duduk belakang motosikal. Lepas tu baru la Wak tu tau pasal kisah Janet.

Selepas 6 bulan berlalu, orang tua Janet tak penah bercakap atau bersua muka dengan anak diorang. So, diorang decide untuk tanya hal tu kat bakal menantu diorang. Kebetulan tunangan Janet balik untuk cuti semester so dia pun rushing balik bila dengar Janet berkelakuan pelik, dan sentiasa pakai baju merah, kasut merah, baju yang dipakai Janet masa hari pertunangan 6 bulan lepas. Tunangan Janet mintak tolong seorang sami sebab dia dapat rasa ada yang tak kena dengan Janet. Sangkaan lelaki tu akhirnya menjadi betul bila kereta Janet ditemui di bawah bukit dan mayatnya pula disumbat di dalam laluan air besar yang baru saja siap. Janet mati dirogol tetapi tiada siapa yang tahu siapakah si jahat itu.