Bandung, kota indah nun di tanah seberang. Tempat lahirnya pemula
keturunanku berbangsa Belanda-Indonesia. Kata orang sana, aku ini berketurunan
induk. Datukku pernah berkata, dia punya bercupak-cupak tanah bendang, lembu
kambing beranak pinak. Hidupnya bahagia berkahwin dengan gadis pilihan,
sehinggalah Jepun menyerang dan merampas harta benda. Tidak sempat menyampaikan
pesan, datukku ditangkap ketika sedang bekerja di kebun. Tinggalkan si isteri
dengan anak begitu saja, tanpa mengetahui nasib mereka. Segalanya ternoktah,
hidup bagaikan terhenti. Begitulah bahana perang. Perang hanya membawa derita.
Aku kemudiannya menarik nafas sambil membelek kad pengenalan dan
melihat ke kiri dan ke kanan. Untuk seketika, aku teringat pada datukku. Dia
sudah menjadi arwah selama 18 tahun. Ketika aku masih kecil, dia selalu duduk
di sebelahku dan bercerita pada keindahan kampung halamannya. Aku terpesona.
Dia memberitahu aku bahawa isterinya pasti sedang menanti kedatangannya. Lantas
aku menoleh memandang nenek, kehairanan. Ah, aku mengangguk. Kini aku mengerti
bahawa nenek itu isteri kedua.
Kemudian, aku terdengar beberapa pengumuman dari mulus suara gadis
dari corong pembesar suara. Beberapa orang lalu lalang, sibuk seperti aku. Aku
duduk resah menanti giliranku untuk bertolak. Ah, aku terlupa. Terlupa pula
untuk memaklumkan kepada rakanku bahawa aku mahu ke Bandung pada hari ini.
Tapi, bukankah aku sudah menghantar surat cuti kepada dia? Bukankah dia majikan
aku sendiri?
Aku tertawa sendirian.
* * *
Terdapat sebuah rumah tumpangan di Bandung. Rumahnya cantik, pemiliknya berasal
dari Padang Panjang. Sekarang berpindah ke Bandung dan menjadi kaya. Rumah
penginapan itu dikatakan milik seorang wanita tua yang bernama Dasari. Sekarang
rumah itu menjadi kepunyaan wanita yang bernama Mande Haryati, mendapat
lima bintang dari pengunjung sebelumnya. Begitulah, aku terpesona pada
kandungan risalah yang disediakan oleh pesawat penerbangan. Benarkah rumah ini
indah seperti apa yang dikatakan?
“Kamu
mahu ke sana?” tiba-tiba seorang wanita pertengahan umur yang duduk di sebelah
aku menyapa aku. Aku mengangguk.
“Ya.”
“Rumahnya Dasari itu indah. Saya pernah ke sana. Ada
kolam, kamarnya cantik,” kata wanita tersebut.
“Kamu kenal dengan Dasari?” aku kehairanan.
“Bukan, saya temannya si Mande,” ujar wanita
tersebut lalu memperkenalkan dirinya, “Nama saya Sastri.”
Maka, berkenalanlah aku dengan Sastri, seorang pemilik
toko jamu yang membekalkan ramuan mandian untuk spa kecantikan milik Mande.
Kemudian, aku memandang semula risalah tersebut erat-erat dengan perasaan
teruja. Kata-kata Sastri sebentar tadi mempesonakan aku. Rumah Inap Dasari,
nampaknya rumah inilah yang menjadi pilihanku untuk percutian kali
ini. Setahun yang lalu, saudaraku berkunjung ke Bandung, menginap di hotel
antarabangsa bersama keluarganya. Mereka kesurupan membeli belah. Duit menyusut
bukan masalah. Asalkan hati senang. Si penjual juga turut gembira, kerana
dengan ketibaan pelanggan seperti saudaraku, mereka untung besar. Aku berniat
mahu membawa orang tuaku dan merasakan kesurupan di kedai kain seperti mereka.
Malangnya, orang tuaku enggan berbuat demikian. Katanya, mahu berbakti dengan
tanah. Katanya lagi, berbakti dengan tanah lebih menggembirakan dan juga untung
besar.
Tiba-tiba,
pesawat bergegar. Terdengar suara mulus dari corong pembesar suara. Lantas, aku
menjenguk ke luar tingkap dan menghela nafas gembira. Tanah hijau dan
kemeriahan tanah seberang mula melambai ke arahku. Sekarang, Bandung
menyambutku dengan kelapangan. Tapi, kelapangan itu hilang apabila kakiku
menapak di atas bumi Bandung.
Derapan kaki manusia lebih dahsyat dari tapak kaki
kuda. Manusia berpusu-pusu di kaunter pasport, berpusu-pusu di bahagian bagasi,
berpusu-pusu di kedai serbaguna. Malah, bersesak bagaikan lembu sekandang di
dalam tandas. Segala-galanya sesak. Kami saling berhimpit, bersaing mendapatkan
teksi. Lantas, aku terkenangkan datukku yang dipaksa bersesak-sesakan di dalam
lori ayam. Selepas dia ditangkap oleh askar Jepun, mereka dihantar ke Sarawak
menggunakan lori ayam dan menaiki kapal tongkang. Mereka semua dijadikan buruh
tanpa upah untuk membina jalan dan menyiapkan tempat pertahanan di sana. Malang
menimpa, setelah tamat berkhidmat, beberapa buruh seangkatan dengan datukku
menerima hukuman bunuh kerana didapati tidak berguna lagi akibat penyakit.
Askar Jepun sangat jahat. Untung nasib datukku melarikan diri ke perkampungan
Dayak dan diselamatkan oleh penduduk di sana. Jika tidak, aku pasti tidak wujud
di sini, sedang mengembara di tanah tumpah darahnya.
“Mau ke mana, pak?” suara pemandu teksi
menerpa aku. Aku dibawa kembali semula ke dunia nyata, lalu tersenyum.
“Bawa saya ke Rumah Inap Dasari.”
“Maaf pak, saya tidak masuk ke situ. Tapi saya bisa
hantar bapak ke Toko Jamu Sastri. Bapak boleh berjalan kaki dari situ ke Rumah
Inap Dasari,” ujar si pemandu teksi.
“Oh ya? Tadi saya ada berkenalan dengan Puan Sastri
dalam kapal terbang. Dialah yang cadangkan Rumah Inap Dasari kepada saya,” aku
membalas riang.
“Oh bapak, kamu ini memang pandai bercanda,” kata
pemandu teksi tersebut lalu ketawa. Aku juga turut ketawa, tetapi aku hairan.
Kenapa aku dikatakan bergurau?
Pemandu teksi tersebut memandu dengan berhati-hati.
Mataku segar menikmati tanah baru untuk pertama kalinya. Angin pagi di sini
menerpa dengan nyaman. Sejuk terasa sehingga ke tulang sum-sum. Untuk beberapa
ketika aku terdiam melayan perasaan. Sesekali si pemandu teksi memandang aku
dengan senyuman. Teringat pula aku pada perjalanan datukku dari sini ke
Sarawak. Kisah pengembaraan datukku penuh ranjau sepanjang jalan.
Akhirnya, perjalanan kami terhenti di depan Toko
Jamu Sastri. Aku melihat toko jamu itu dengan perasaan kagum.
“Ini tokonya?”
“Ya.
Ini memang perhentian saya, pak. Tambangnya, pak?” ujar pemandu teksi. Aku
segera menghulurkan sekeping Rupiah kepadanya. Kulihat pemandu teksi itu
terperanjat.
“Aduh pak, duit besar.”
“Tak apa, kamu ambil saja bakinya.”
“Betul pak? Kamu baik ya, pak. Nama saya
Harto. Harap kita ketemu lagi.”
Aku ketawa. Harto, si pemandu teksi ternyata menyenangkan
aku. Setelah teksi Harto berlalu, aku berdiri tepat-tepat di depan Toko Jamu
Sastri. Terbit keinginan untuk membeli jamu. Bukan untuk aku. Aku teringat akan
masalah sendi ibu yang kerap terjadi sejak kebelakangan ini. Abah pula selalu
sakit badan. Kesan akibat kerja berat suatu ketika dulu. Begitulah orang tua
zaman dulu. Bekerja keras mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Sekarang,
anak remaja tidak perlu bersusah memotong kayu api, meniup asap memasak nasi
dan mencangkul membajak tanah kebun. Tulang belulang anak muda zaman sekarang
sudah rapuh. Seperti keropok.