Thursday, 1 November 2012

Kalendar Gregorian: Maksud nama setiap bulan

Menurut kalendar yang kita guna pakai sekarang, setahun ada 12 bulan dan 12 bulan tu terdiri dari Januari sampai Disember. Kalendar Gregorian ni dicipta oleh Father Gregory untuk selaraskan hari mengikut pusingan matahari dan menambahbaik sistem kalendar Julian yang dicipta oleh Julius Caesar yang pernah digunakan di Rom pada suatu masa dulu. Mungkin tak ramai yang terlintas di fikiran bagaimana nama Januari, Februari dan seterusnya boleh wujud dalam kalendar. Tapi apa yang pasti, ramai yang tahu bulan kelahiran masing-masing.

(Seterusnya)>>>

Setiap nama dalam kalendar Gregorian mempunyai makna dan asal usul tersendiri. Kebanyakannya diilhamkan oleh pihak Roman untuk kalendar mereka, Kalendar Roman. Kalendar Roman pula hanya memiliki 10 bulan dan 305 hari, berbeza dengan kalendar yang kita gunakan sekarang iaitu 12 bulan dan 365 hari; 366 hari tahun lompat. Menurut kalendar Roman, tahun baru diraikan pada bulan Mac, juga berbeza dengan kalender Julian dan Gregorian yang menetapkan Januari sebagai bulan pertama. Untuk penerangan lanjut, sila rujuk di bawah:


Januari (Ianuarius Mensis)
Merupakan bulan pertama dalam kalendar Julian dan Gregory dan kedua terakhir dalam kalendar Roman. Berasal dari nama dewa Rom iaitu Janus, yang bermaksud, ‘dewa pintu’ (atau Ianua). Janus ialah dewa yang mempunyai dua wajah; satu wajah mengadap ke depan dan satu lagi mengadap ke belakang. Masa depan dan masa lalu ditentukan dengan kedudukan wajah Janus iaitu wajah di depan adalah optimis dan tersenyum, manakala wajah di belakang pula muram dan sedih.  Dengan erti kata lain, Januari merupakan pintu masuk ke tahun baru dan meninggalkan tahun yang lepas.


Februari (Februum, Februa)
Bulan yang paling singkat dalam kalendar Gregory, kurang dari 30 hari dan juga bulan untuk tahun lompat.  Berasal dari bahasa Latin ‘Februum’ yang bermaksud penyucian, berdasarkan ritual penyucian pada hari ke-15 bulan penuh atau disebut sebagai ‘Februa’ dalam Latin. Februari dimasukkan ke dalam kalendar Roman oleh Numa Pompilius pada 713 bc, merupakan bulan yang terakhir dalam senarai dan ditukar pada masa Decemvris (bermaksud ‘Ten Men’ dalam pemerintahan republik Roman) pada c.450 bc dan menjadi bulan kedua. Dalam kalendar Julian, hari ke-29 dimasukkan setiap 4 tahun untuk melengkapkan kitaran tahun lompat dan mengalami sedikit perubahan dalam kalendar Gregory apabila tahun Anno Domini (AD) bermula pada Zaman Pertengahan.  Anno Domini dicipta oleh Dionysius Exiguus sebagai label pemisah antara kalendar Julian dan Gregory, merujuk kepada tahun sebelum kelahiran Jesus (atau juga disebut sebagai BC) dan nama Anno Domini ini berasal dari perkataan ‘Anno Domini Nostri Iesu/Jesu Christi' yang membawa maksud ‘In the Year of Our Lord Jesus Christ’.


Mac (Mars, Martius)
Bulan ketiga dalam kalendar Julian dan Gregory. Pada era Roman Purba, Mac merupakan bulan pertama dalam kalendar dan nama diambil bersempena dengan nama dewa peperangan Greek iaitu Martius atau Mars, juga dikenali sebagai Ares. Di Rom, dengan cuaca Mediteranean, musim bunga bermula pada bulan Mac dan ia menjadi asas logik bagi mereka menjadikan Mac sebagai bulan pertama dalam kalendar dan dijadikan bulan untuk kempen ketenteraan.  


April (Aprilis, Aperire, Aphrillis, Aphros, Aprus)
Bulan keempat dalam kalendar Julian dan Gregory. Menurut kalendar Roman, April merupakan bulan kedua sebelum raja Numa Pompilius memasukkan Januari dan Februari dalam senarai kalendar pada 700 bc. Ia menjadi bulan keempat pada masa Decemvris yang diberikan sebanyak 29 hari dan mengalami perubahan dalam kalendar Gregory. Makna April sebenarnya kurang jelas. Menurut etimologi dari Latin, nama April mungkin berasal dari perkataan ‘aperire’ yang bermaksud ‘membuka’, merujuk kepada musim bunga. Nama April juga mungkin diberi sebagai penghormatan kepada dewi Aphrodite (Aphros) atau Aprus, nama salah satu dewa.


Mei (Maia, maiores)
Merupakan bulan ke-5 dalam Julian dan Gregory. Nama diberi bersempena dengan nama dewi Greek, Maia. Juga dikenali sebagai Bona Dea, dewi kesuburan pada era Roman dan festival Bona Dea diraikan pada bulan Mei. Menurut puisi Ovid Roman, etimologi kedua nama ini berasal dari perkataan ‘maiores’ yang bermaksud ‘golongan tua’ dan diikuti oleh bulan Jun atau ‘Iuniores’ yang bermaksud ‘golongan muda’.


Jun (Juno, Iuniores)
Bulan ke-6 dalam Julian dan Gregory. Terdapat dua etimologi pada asal usul nama. Pertama, ia berasal dari nama dewi Juno (atau Hera dalam mitos Greek), isteri kepada dewa Roman Jupiter. Ia juga merujuk kepada perkataan ‘Iuniores’ yang bermaksud ‘golongan muda’, didahului oleh bulan Mei atau ‘maiores’ yang bermaksud ‘golongan tua’. Jun merupakan bulan kegemaran untuk melangsungkan perkahwinan dan dikaitkan dengan kepercayaan terhadap Juno (atau Hera), dewi perkahwinan, memberi tuah kepada mereka yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga.


Julai (Quintilis, Julius)
Bulan ke-7 dalam Julian dan Gregory. Pada era Roman, ia jatuh pada bulan ke-5 dan disebut sebagai Quintilis dalam bahasa Latin dan Mac disetkan sebagai bulan pertama sebelum ditukar pada era Decemvris pada 450 bc. Kemudian, ia ditukar oleh maharaja Augustus menjadi ‘July’ sebagai tanda peringatan untuk Julius Caesar yang lahir pada bulan ketujuh.


Ogos (Sextilis, Augustus)
Merupakan bulan yang ke-8 pada kalendar Julian dan Gregory. Menurut kalendar Roman, ia jatuh pada bulan ke-6 dalam kalendar 10 bulan di bawah pemerintahan Romulus pada 753 bc dan disebut sebagai Sextilis dalam bahasa Latin. Pada 700 bc, ia menjadi bulan ke-8 apabila Januari dan Februari dimasukkan ke dalam senarai kalendar oleh raja Numa Pompilis dengan bilangan hari sebanyak 29 hari. Kemudian, Julius Caesar menambah dua hari dalam bulan tersebut untuk kalendar Julian pada tahun 45 bc. Pada tahun 8 bc, nama Sextilis ditukar menjadi ‘August’ bersempena dengan nama maharaja Augustus.


September (Septem, septimus)
Bulan ke-9 dalam Julian dan Gregory. Berasal dari perkataan ‘septem’ yang bermaksud ‘tujuh’ dan ‘septimus’ yang bermaksud ‘ke-7’ dalam bahasa Latin.  Menurut kalendar 10 bulan Roman, September merupakan bulan ketujuh dan Mac ialah bulan pertama untuk Kalendas Martius (1 Mac) sebelum ditukar menjadi Kalendas Januarius (1 Januari).


Oktober (Octo)
Bulan ke-10 dalam Julian dan Gregory, dan bulan ke-8 dalam kalendar 10 bulan Roman. Berasal dari perkataan Latin ‘octo’ yang bermaksud ‘lapan’ disebabkan oleh kedudukan dalam kalendar Roman dan mengalami perubahan kedudukan apabila Januari dan Februari dimasukkan ke dalam kalendar.


November (Novem)
Bulan ke-11 dalam kalendar Julian dan Gregory dan bulan ke-9 dalam kalendar 10 bulan Roman. November, atau ‘novem’ membawa maksud ‘sembilan’ dalam bahasa Latin dan nama itu tidak diubah walaupun Januari dan Februari dimasukkan ke dalam kalendar dan menjadikan November sebagai bulan ke-11.


Disember (Decem)
Disember merupakan bulan terakhir dalam kalendar Julian dan Gregory dan bulan ke-10 dalam kalendar 10 bulan Roman. Disember atau ‘decem’ bermaksud ‘sepuluh’ dalam bahasa Latin dan ia merupakan bulan ke-10, bulan terakhir dalam kalendar Roman dan juga menjadi bulan terakhir untuk kalendar Julian dan Gregory dengan bilangan hari sebanyak 31.


MaGi2012 (WE reference)

No comments:

Post a Comment