Tuesday 12 June 2018

Antara Ronggeng Dukuh Paruk (1982) dan Sang Penari (2011)

Image result for sang penari 2011
credits: wikipedia
Selamat siang, MaGians! Hari ni aku nak update tentang satu filem Indonesia, Sang Penari yang dilancarkan pada tahun 2011. Bukan filem baru tapi aku baru tengok sebab filem ni diangkat dari novel trilogi Ronggeng Dukuh Paruk. Dan novel yang diterbitkan pada 1982 tu aku baru je beli tahun ni dari Instagram @bukuindonesiaku dan baru je selesai baca baru-baru ni (nak tahu pasal novel tu boleh rujuk entri Ronggeng Dukuh Paruk).

Memandangkan aku dah tulis banyak pasal buku Ronggeng karya Ahmad Tohari, kali ni aku nak bandingkan sikit tentang filem Sang Penari yang dihasilkan oleh Ifa Isfansyah. Sang Penari merupakan filem adaptasi novel yang bukan diadaptasi 100% mengikut jalan cerita novel. Ada beberapa perubahan yang disesuaikan dengan gaya penghasilan filem.

Persamaan antara buku dan filem, apa yang aku nampak dengan jelas ialah:
  • Watak Srintil dan Rasus tidak diubah. Srintil ialah penari ronggeng Dukuh Paruk yang digilai ramai. Rasus ialah anak muda Dukuh Paruk yang berjaya menjadi tentera.
  • Watak Sakarya, Kartareja dan Nyai Kartareja. Sakarya ialah datuk Srintil yang sangat mempercayai semangat Ki Secamenggala. Kartareja dan isterinya, Nyai Kartareja ialah dukun ronggeng yang mengasuh Srintil menjadi penari dan dalam masa yang sama, menggunakan Srintil untuk kesenangan peribadi.
  • Watak Sakum selaku pemukul gendang ronggeng yang buta.
  • Latar tempat Dukuh Paruk yang miskin, tandus dan mundur.
  • Latar tempat markas tentera yang menjadi permulaan untuk Rasus mengubah kehidupan.
  • Kisah Srintil menjalani 'bukak klambu' iaitu kehilangan perawan untuk menjadi penari ronggeng sejati.
  • Kisah perjuangan parti komunis yang disemarakkan oleh Encik Bakar, sehingga menyebabkan warga Dukuh Paruk dipengaruhi dan menjadi punca kemusnahan mereka.
  • Penggunaan bahasa Banyumas yang ketara di dalam filem dan juga buku.
Image result for sang penari 2011
credits: bersatoe.com
Perbezaan antara buku dan filem ialah:
  • Menerusi filem, Srintil dijadikan ronggeng ketika usia remaja manakala menerusi buku, Srintil dipilih menjadi ronggeng di usia yang muda, sekitar 11-12 tahun (dan bagi sesiapa yang dah baca buku Ronggeng, Srintil digambarkan berdada leper ketika pertama kali diangkat menjadi penari bagi menunjukkan usianya yang masih muda).
  • Berdasarkan filem, Srintil meminati ronggeng kerana mengagumi penari ronggeng Surti yang akhirnya mati akibat memakan tempe bongkrek yang dihasilkan oleh Santayib, bapa Srintil. Melalui buku, Srintil digambarkan meminati ronggeng walaupun tak pernah melihat tarian ronggeng memandangkan penari ronggeng mati ketika Srintil masih bayi.
  • Menerusi buku, keris ronggeng Srintil pemberian Rasus merupakan milik bapa Rasus. Tapi menerusi filem, keris tersebut dikatakan terjatuh dari pinggang Surti si penari ronggeng ketika penari itu rebah tidak sedarkan diri selepas memakan tempe bongkrek dan dikutip oleh Rasus lalu diberikan kepada Srintil apabila Srintil menjadi penari ronggeng.
  • Perkembangan cinta antara Rasus dan Srintil lebih jelas di dalam filem berbanding buku kerana menerusi buku, Rasus berdepan dengan konflik untuk menyatakan cinta walaupun Srintil jujur meminta Rasus menikahinya.
  • Dukuh Paruk digambarkan musnah sepenuhnya di dalam filem akibat menyertai parti komunis secara membuta tuli. Menerusi buku, Dukuh Paruk didiami semula selepas dimusnahkan oleh tentera kerana mengikuti parti komunis.
  • Pengakhiran Srintil dalam filem dan buku adalah berbeza. Menerusi buku, Srintil menjadi gila kerana keinginannya untuk menjadi isteri tidak kesampaian kerana ditipu oleh lelaki dari Jakarta. Menerusi filem, Srintil ditangkap tentera akibat menyertai parti komunis, dibawa pergi dan nasibnya tidak diketahui. (Menurut kajian yang dijalankan mengenai gerakan komunis era 60an di Indonesia, sesiapa yang menyertai komunis secara langsung atau tak langsung akan dikenakan hukuman bunuh. Penulis Ahmad Tohari menyatakan beliau tidak dapat menulis pembunuhan  tersebut kerana beliau mungkin akan menerima hukuman tembak dari pemerintah Orde Baru.)
Image result for sang penari 2011
credits: culture360
Tarikan yang ada pada filem Ronggeng:
  • Aku suka pengakhiran untuk Srintil dalam filem. Sebab pengakhiran tu rasa lebih realistik dan sesuai dengan budaya pemerintahan pada zaman tersebut. Aku faham penulis tak dapat matikan watak Srintil sebagai korban parti komunis, sebaliknya menghidupkan watak Srintil sebagai bekas tahanan PKI yang berdepan dengan kehidupan yang sukar selepas berhenti menjadi ronggeng-sebab isu pembunuhan tahanan parti komunis sangat sensitif untuk diceritakan.
  • Dan aku suka pengakhiran untuk keseluruhan filem, Rasus menyerahkan keris milik Srintil kepada seorang penari ronggeng yang seiras seperti Srintil lalu babak tersebut berakhir dengan penari ronggeng menari diiringi dengan pemukul gendang yang buta seperti Sakum, lalu menghilang dan menyepi. Sama seperti nasib Srintil yang begitu terkenal dan dipuja-puja di Banyumas tapi dilenyapkan dan hilang begitu saja tanpa khabar berita.
Tarikan yang ada pada buku Ronggeng:
  • Aku paling suka kisah Srintil menjadi 'gowok' kepada lelaki bernama Waras. Bahagian ni yang aku rasa, keinginan Srintil untuk jadi seorang isteri semakin jelas.
  • Aku suka bagaimana sikap kejam Bajus mempergunakan Srintil menyebabkan Srintil menjadi gila. Serius, aku rasa kalau watak Bajus tu betul-betul wujud, aku memang bagi tamparan beberapa das.
  • Kisah Srintil selepas dibebaskan dari penjara juga agak menarik. Sebab perubahan Srintil menjadi lebih ketara apabila statusnya sebagai penari ronggeng terkenal diganti dengan gelaran 'bekas tahanan PKI'.

Secara keseluruhannya, karakter Srintil dan Rasus diterjemahkan dengan baik sekali melalui pelakon Prisia Nasution sebagai Srintil dan Oka Antara sebagai Rasus. Kedua-dua pelakon berjaya menghayati watak dan nama-nama tersebut kini wujud dalam bentuk manusia yang nyata. Watak Nyai Kartareja juga menarik, aku rasa perempuan tua ni opportunist gila. Walaupun jalan cerita tidak diadaptasi sepenuhnya dari buku, still aku rasa filem ni ada sesuatu yang nostalgia, realistik dan menyegarkan.


@theMaGi2018

No comments:

Post a Comment