Hai, dearest! Hari ni hari Jumaat, penghulu segala hari. Walaupun hari masih berjerebu aku tak nak otak aku pun ikut berjerebu. Makanya, aku habiskan pembacaan. Kali ni buku dari tanah seberang, sebuah antologi cerpen kelolaan KOMPAS dan kebanyakan cerpen diterbitkan pada tahun 1995, 1996, dan 1997. To be honest, masa tu aku masih di bangku sekolah rendah.
Okaylah, aku nak perkenalkan buku tersebut:
Judul: Anjing-anjing Menyerbu Kuburan (Cerpen Pilihan KOMPAS 1997)
Terbitan: 2017
Rumah Penerbitan: KOMPAS
Mukasurat: 202
Tarikan Utama Antologi AAMK
Berkenaan dengan buku ni, sebelum aku beli secara online (boleh rujuk Ulat Buku Bookstore Page kalau berminat), aku sebenarnya berdepan dengan konflik. Nak beli buku ni, atau nak beli buku Eka Kurniawan (Eka penulis kegemaran aku selepas Shahnon Ahmad). Tapi tajuk buku ni menarik perhatian aku. Kenapa anjing-anjing tu pergi serbu kubur? Ada apa dengan kubur tu? Dosa apa yang penulis cuba nak kaitkan dengan kubur?
Rupa-rupanya, anjing tu simbolik. Watak utama belajar ilmu mistik untuk dapatkan kesenangan jadi keluarganya tak hidup miskin lagi. Syarat terakhir ialah dia perlu gigit telinga mayat perawan yang mati pada malam Selasa Kliwon untuk lengkapkan ilmu dia tu. Tapi watak tu tak dapat sempurnakan syarat terakhir sebab anjing-anjing lapar tercium bau bangkai lalu anjing tu pun pergi ke kubur tu. Pada mulanya aku tak faham simbolik apa yang penulis iaitu Kuntowijoyo cuba nak sampaikan? Sebenarnya, cerpen ni menyampaikan maksud kehidupan orang bawahan yang miskin dan bersaing untuk hidup sehingga terpaksa mencuri atau melakukan kerja-kerja haram. Anjing-anjing tu pula melambangkan orang atasan yang pantang nampak peluang, terus nak sambar tanpa fikir kesusahan orang bawahan. Jujur aku cakap, simbolik dalam cerpen ni memang cukup tersirat. Ambil masa juga aku fikir maksud sebenar. Patutlah panel juri pilih cerpen ni sebagai judul antologi.
Kekuatan Antologi AAMK
Secara peribadi, kekuatan sebenar antologi ialah senarai penulis yang dipilih. Bila aku nampak nama Ahmad Tohari, aku tahu buku ni bagus. Tapi bukan Ahmad Tohari saja yang bagus, penulis Kuntowijoyo, A.A Navis, Ratna Indraswari Ibrahim, Ismet Fanany dan Harris Effendi Thahar. Antara cerpen yang aku rasa mempunyai kekuatan yang sangat ketara dari segi jalan cerita, penghayatan, pennyampaian makna simbolik dan juga kreativiti ialah:
- Anjing-anjing Menyerbu Kuburan (Kuntowijoyo)
- Jangan Dikubur Sebagai Pahlawan (Kuntowijoyo)- kisah bajingan yang jahat tapi diangkat sebagai pahlawan sebab sebelum mati dia sempat menentang Belanda.
- Rumah Terbakar (Kuntowijoyo)- kisah seorang alim yang mahu menyelamatkan kampung dari maksiat tapi terbunuh pula pasangan kekasih yang bertemu secara sembunyi.
- Maria (A.A Navis)- kisah wanita yang feminis dan tinggi semangat emansipasi, kemudian berkahwin dan akhirnya demi membela suaminya yang mahu dihukum bunuh kerana menentang Belanda, wanita itu mati bersama suaminya.
- Penangkapan (A.A Navis)- kisah penulis yang mahu menentang kerajaan, kemudian dipenjarakan dan sepanjang di dalam penjara mereka makan secukupnya sedangkan anak isteri pula terpaksa merempat.
- 17 Tahun 4 Bulan (Ratna Indraswari Ibrahim)- kisah perempuan yang mahu menjadi polis, tapi kerana tak mahu dikongkong dalam menjalani kehidupan seharian, terjebak dengan aktiviti pelacuran. Walaupun cuba diselamatkan, dia menuduh dirinya cuba dimanipulasi dan akhirnya kembali semula menjadi pelacur.
- Hadiah dari Rantau (Ismet Fanany)- kisah seorang perempuan yang hampir membunuh diri kerana dikhianati tunangnya, diselamatkan oleh seorang lelaki yang baik. Tanpa diketahui suaminya, perempuan itu sebenarnya tidak berniat pun mahu membunuh diri.
- Kang Sarpin Minta Dikebiri (Ahmad Tohari)- kisah lelaki yang bernafsu besar sepanjang hidupnya, memilih untuk dikembiri kerana bosan ditundukkan oleh nafsu. Belum sempat dikembiri, dia mati akibat kemalangan. Orang kampung melihat dia sebagai lelaki jahat, tapi hanya seorang lelaki saja yang percaya bahawa dia baik, kerana di akhir kehidupannya, dia mahu berubah menjadi lelaki baik.
Ada banyak lagi cerpen yang lain dalam antologi ni sebenarnya, tapi aku cuma senaraikan cerpen kegemaran aku je lah. Yang lain bukannya tak bagus, tapi mungkin tema atau jalan ceritanya dah biasa dibaca atau agak klise di mata aku (pendapat peribadi). Dan ada satu cerpen yang aku rasa macam tak konsisten dan aku tak berapa faham apa maksud yang penulis cuba sampaikan. Aku nak kata kecelaruan tema, aku tak pasti tapi aku faham simbolik yang dia gunakan. Ada unsur Hinduisme dan ada perlambangan dalam tiga peringkat hidup tapi aku kira teknik nak menyampaikan maksud tu kurang berkesan untuk pembaca. Anyway, cerpen Gauhati ni aku rasa tarikannya terletak pada unsur dan perlambangan yang dia gunakan maka sebab itulah cerpen ni dipilih.
Secara keseluruhan, antologi yang banyak menggunakan elemen bahasa Indonesia ni tak susah untuk difahami. Penggunaan simbolik memang sangat kaya. Cerita yang menarik dan ada yang sangat segar sampai aku rasa aku nak buat cerpen macam tu. Aku kena belajar cara untuk sampaikan cerita secara simbolik. Bagi sesiapa yang ingin belajar pengayaan cerita dalam penulisan, aku cadangkan...bacalah buku ni. Tapi sebelum baca, belilah buku ni. Tak mahal, RM38 (tak termasuk postage) untuk ilmu yang bermanfaat.
Aku sangat berpuas hati dengan buku ni.
@theMaGi2019
No comments:
Post a Comment