Sunday 27 July 2014

Ramadhan 29: Selamat Tinggal, Ramadhan~


29 Ramadhan, penghujung bulan puasa yang penuh barokah. Rasa macam baru 2-3 hari sambut bulan puasa, tak sangka bulan puasa tak lama lagi akan pergi dan kita bakal tinggalkan bulan puasa. Kalau ikut kalendar, hari ini hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Dan dalam 29 hari ni, syukur tak terhingga aku berjaya khatam. Syukur juga sebab beberapa keinginan kecil aku telah dimakbulkan.

Kalau nak diikutkan, tak ada benda lagi yang aku nak kupas untuk hari terakhir berpuasa tahun ni. Kalau nak terus mengupas dan 'peel it' macam motto blog aku, lebih baik tunggu Ramadhan tahun depan. Harap-harap, umur aku panjang untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Masih ingat, hari pertama kita meraikan kedatangan Ramadhan? Apa yang kita makan masa sahur dan buka puasa? Apa yang kita buat setiap hari? Tadarus? Terawih? Mengaji? Solat sunat? Sedekah? Apapun yang kita buat sepanjang bulan puasa, berdoalah moga-moga amal kita diterima.

Masih ingat gambar apa yang aku letak dalam entri pertama? Ini dia~


Dan korang dapat agak gambar apa yang terakhir dalam entri bulan Ramadhan kali ni?


Korang faham kan apa yang aku nak sampaikan?

Ya, Ramadhan bakal tinggalkan kita. Tak banyak aku nak pesan pada hari terakhir ni. Aku cuma nak cakap:

1. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, luar dan dalam, jasad dan roh, fizikal dan mental...
2. Selamat makan-makan, jangan lupa pada orang yang tiada makanan.
3. Selamat pakai baju baru,baju yang lama janganlah dilupakan.
4. Selamat memandu, jangan langgar lampu hijau, jangan langgar orang.
5. Selamat berdepan dengan Iblis, semoga hati kita kuat menentang godaan.

Dan, Selamat Tinggal, Ramadhan. Semoga kita bertemu lagi tahun depan :)

@themagi2014
image credits: islampos.com| yanasakura.my| lowbet09.files.wordpress

Saturday 26 July 2014

Ramadhan 28: Nostalgia Puasa 90an

Selamat petang. Hari ni, 28 Ramadhan. Ikut kalendar, esok ialah hari terakhir. Bunyi mercun di tempat aku biasa2 jew (maklum la, perumahan). Malam semalam, rumah dah tukar langsir baru (FYI, langsir tahun lepas punya, tanak membazir). Rumah pun dah di 'touch-up' guna mekap Nippon Paint. Apa-apapun, raya tahun ni serba sederhana. Banyak sangat tragedi yang berlaku, kurang selera nak raya sakan. Berminggu dah entri heavy duty, so entri hari ni, santai2 jew :)



Nostalgia Puasa 90an

Raya 90an ialah Raya yang paling nostalgia. Banyak perkara yang menarik berlaku 10 hari sebelum Raya. Jalan-jalan di pekan beli kasut baru, cuba baju Raya, hidu bau biskut dari dapur mak, terawih dan tadarus ngan member satu kem (aku duduk di kem polis PGA dulu). Tapi ada beberapa kenangan yang aku tak dapat lupa dan aku tak rasa perkara tu akan berulang lagi.

1. Bunga Api Lidi

Dulu, masa kecik2, bapak aku sekali-sekala beli bunga api yang colourful tu. Bapak aku beli tak banyak jadi rasa nak bermain tu tak puas. Jadi bila dengar kawan2 cerita main bunga api dari puasa pertama sampai malam raya, tipulah aku tak cemburu. Tapi aku tak pernah terhegeh nak mintak bapak aku beli. Jadi, aku dalam keadaan agak terdesak campur kreatif, aku copet penyapu lidi mak aku dan aku bakar hujung lidi tu. Kemudian, aku pusing lidi tu laju2 dan cahaya terbakar dari lidi tu pun beralun-alun, terasa macam main bunga api. Esok, aku kena marah ngan mak sebab buat sampah depan rumah.

2. Pasang pelita

Dulu, masa kecik2, kawasan rumah kami di kem agak besar jadi kami ada banyak pelita dipasang kat keliling rumah. Orang Sarawak panggil pelita ni tuntong. Malam kemuncak pasang pelita ni masa malam 27 Ramadhan, mak kata malam 7 likur. Jadi, setiap kali menjelang 11 malam, aku dan adik beradik aku akan gaduh siapa yang pergi amek pelita tu. Sebabnya? Malam 7 likur, kata orang tua-tua, hantu dah keluar. Pernah sekali, aku pergi amek pelita tu sampai ke hujung rumah, aku lari pecut naik tangga sebab aku nampak sesuatu kat longkang besar. Rupa-rupanya, khayalan aku je. Cet.

3. Malam 7 Likur

Malam 7 likur ni memang mempengaruhi zaman kanak-kanak aku. Macam2 cerita yang aku dengar dari mulut orang. Kisah hantu pocong matematik, tetamu misteri, kenalan baru, kisah di asrama. Tapi ada satu kisah masa aku dalam perjalanan pergi terawih. Kebetulan dua2 kakak aku datang bulan jadi, diorang bergilir temankan aku pergi ke surau. Bila kakak pertama aku yang hantar aku ke surau (kitorang jalan kaki), ada banyak katak kat tepi jalan. Kata kakak aku, banyak sangat 'ranjau' sepanjang jalan. Dan bila kakak kedua aku yang hantar aku, sekor katak pun tak ada. Diorang hantar aku secara bergilir-gilir dan FYI, kakak aku yang pertama tu geli katak. Memang dugaan (baca lagi Nostalgia Malam 7 Lekor

4. Jilat bekas kuih

Masa kecik2 dulu, mak aku suka buat kuih (kek lapis, biskut, apa saja yang berkaitan dengan kuih). Bau kuih terbakar dalam oven kukus semerbak sampai keluar dari tingkap. Jadi, aku selalu berdiri di tepi pintu dapur yang tertutup dan berharap ada saki baki adunan kuih yang melekat kat bekas kuih. Bila dapat sikit peluang, aku akan hulurkan jari dan cubit sedikit adunan dan masukkan ke dalam mulut. Tapi bila peluang tu besar (yakni mak bagi aku bekas kuih tu) aku akan jilat bekas tu sampai bersinar, macam baru lepas cuci dengan Sunlight.

5. Godaan air paip

Umumnya, puasa tu memang membuatkan kita rasa dahaga. Aku tak tahu, masa kecik2 dulu, godaan air paip tu terasa luar biasa. Aku bayangkan air mangga, air sirap, air oren, air berkarbonat, dan segala macam air yang sedap2 keluar dari paip. Padahal, paip yang aku nampak tu paip untuk amek air wuduk. Lama2 tengok paip tu, boleh sasau aku dibuatnya. Itulah dia, zaman jahiliyah aku.

6. Kalendar puasa

Masa kecik2 dulu, aku akan kerat kotak (atau kulit buku) dan kemudian aku tempel kertas putih. Lepas tu aku akan buat 30 petak, aku lukis benda2 merapu seperti cawan, kartun, ketupat dan bahagian atas aku tulis- kalendar bulan puasa. Bila tamat puasa hari pertama, aku akan tandakan petak pertama, dan begitu sampai habis puasa. Sekarang, aku tak buat kalendar macam tu lagi, aku pakai phone je. Dan, aku cuma tanda hari2 perempuan aku je, hahaha.

Setakat itu je lah yang aku dapat masukkan dalam entri. Nak tulis semua tak muat. Lagipun, mak dah panggil suh keluar dari bilik yang panas macam oven. Memerap je kerja aku, tak lama lagi masak jadi kuih. Okay, masa untuk logout. Sekian~

p/s: macam mana dengan kenangan korang?

@themagi2014
image credits: bazilahabuhassa.blogspot.com

Friday 25 July 2014

Ramadhan 27: Haiwan dan Syurga

Salam 27 Ramadhan, tinggal 2 hari lagi sebelum perginya Ramadhan untuk tahun ni. Situasi pada masa sekarang? Aku sedang menaip, update entri sambil mendengar lagu The Growlers- Little Miss Jack dan ditemani oleh seekor lalat yang tak henti-henti terbang depan laptop aku. 2-3 hari lepas, aku mengaji sambil ditemani oleh seekor cicak atas siling bilik. 2-3 hari lepas jugak, aku panaskan lauk sahur sambil ditemani oleh seekor lipas. Dan minggu lepas, aku berbuka puasa bersebelahan dengan kucing. Hahaha, semuanya di luar kebiasaan aku~

Bulan2 puasa macam ni, aku terfikir, haiwan yang mana dapat masuk syurga? Sebenarnya, beberapa entri aku sebelum ni berkaitan dengan topik entri hari ni. Jadi, aku senaraikan apa yang patut, secara ringkas dan mudah dibaca.

1. Unta Nabi Saleh a.s

Unta itu adalah mukjizat Nabi Saleh untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT dan ia dikeluarkan dari batu gunung. Unta tersebut menjadi sumber rezeki kaum Thamud sehinggalah ia mati disembelih oleh beberapa kaum Thamud yang sombong. Akhirnya kaum itu diberi azab (ditempik oleh malaikat Jibril sehingga badan mereka hancur) kerana ingkar pada janji mereka untuk patuh pada perintahNya.

2. Anak sapi Nabi Ibrahim a.s

Nabi Ibrahim a.s menyembelih anak sapi gemuk dan menghidangkan daging itu pada tetamu yang datang ke rumahnya. Kemudian, Nabi Ibrahim mendapat khabar bahawa Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim yang dikatakan mandul, akan melahirkan anak lelaki yang bernama Ishak.

3. Kambing gibas Nabi Ismail a.s

Kambing gibas menjadi pengganti Nabi Ismail a.s apabila bapanya, Nabi Ibrahim diuji Allah SWT untuk menyembelih anak sulungnya. Peristiwa itu menjadi permulaan kepada Hari Raya Aidil Adha.

4. Ikan paus Nabi Yunus a.s

Nabi Yunus a.s ditelan oleh ikan paus ketika berlayar di lautan kerana meninggalkan kaumnya lebih awal dari apa yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atasnya. Ikan paus itu memuntahkan semula Nabi Yunus setelah doa taubatnya diterima Allah SWT.

5. Sapi Nabi Musa a.s

Ada seorang lelaki Bani Israil membunuh saudaranya yang fakir demi harta warisan. Setelah kematiannya, lelaki berkenaan berpura-pura mencari siapa yang membunuh saudaranya. Nabi Musa pun meminta mereka mencari seekor sapi menurut ciri-ciri yang diterangkan. Sapi yang dicari pun berjaya ditemui, milik anak si fakir yang soleh. Lalu, sapi itu dibeli dengan harga yang mahal dan segera disembelih. Nabi Musa memotong lidah sapi itu lalu memukul mayat si fakir. Si fakir yang sudah mati itu terus bangun dan memberi siapa yang membunuhnya lalu mati semula selepas itu. 

6. Khimar Nabi Uzair a.s

Nabi Uzair ditidurkan selama 100 tahun bersama khimar (keldai miliknya) selepas melihat kehancuran kota kediamannya. Selepas 100 tahun, Nabi Uzair sedar dari tidurnya dan khimar yang sudah mati itu dihidupkan semula.

7. Semut Nabi Sulaiman a.s

Nabi Sulaiman a.s bertemu dengan seekor semut yang tinggal di atas batu yang makan sebiji gandum sebulan. Nabi Sulaiman membantu semut itu tersebut dengan meletakkan semut di dalam bekas bersama sebiji gandum. Apabila Nabi Sulaiman datang semula sebulan kemudian, semut hanya makan separuh gandum saja kerana semut ragu Nabi Sulaiman akan lupa padanya.

8. Burung hud-hud Nabi Sulaiman.

Burung hud-hud datang menyampaikan berita pada Nabi Sulaiman berkenaan dengan negeri Saba' yang ada singgahsana yang besar tapi menyembah matahari. Disebabkan berita yang dibawa oleh burung hud-hud, Nabi Sulaiman menemui Ratu Saba' iaitu Ratu Balqis dan mengislamkan seluruh penduduk Saba'.

9. Anjing Ashabul Kahfi

7 orang pemuda beriman melarikan diri dari pemerintahan raja yang zalim, bersama seekor anjing yang telah menjaga mereka dengan setia di dalam gua. Mereka berlapan bersama dan tidur selama 3 abad. Di atas kesetiaan anjing berkenaan, Allah SWT memberi jaminan tempat di syurga untuk anjing tersebut dengan mengubah kejadiannya menjadi seekor kambing gibas.

10. Unta Nabi Muhammad SAW

Abu Jahal berniat mahu membunuh Nabi SAW dengan seketul batu yang besar. Ketika Abu Jahal menghampiri Nabi SAW yang sedang bersolat, niatnya untuk membunuh terbatal lalu segera berundur. Apabila diajukan pertanyaan oleh rakan-rakan subahatnya, Abu Jahal mengatakan bahawa ada seekor unta yang sangat besar mahu menendangnya sampai mati jika Abu Jahal masih meneruskan hasratnya untuk membunuh Nabi SAW.

Haiwan lain di Syurga

1. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

"Kambing adalah termasuk binatang yang terdapat di syurga."

2. Dikisahkan bahawa ada seseorang datang kepada Nabi SAW seraya bertanya: "Apakah di dalam syurga itu ada kuda? Sebab aku adalah seorang yang suka kuda."

Nabi SAW pun bersabda: "Jika engkau suka kuda, maka engkau akan diberi kuda dari yakut merah. Kuda itu akan membawamu terbang di dalam syurga ke mana pun yang engkau kehendaki."

3. Abi Ayyub meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada di syurga sesuatupun dari binatang ternak kecuali unta dan burung." (HR Thabrani)



Setakat ni je maklumat yang aku dapat dari Google. Haiwan yang tidak diberi akal sesempurna manusia pun dapat juga masuk syurga. Bagaimana dengan kita?Jadi, berbuat baiklah pada haiwan. Tak rugi pun. Tak gitew, visitors? ^^


p/s: Luar biasa, lalat yang terbang depan laptop aku terus ghaib masa aku update entri ni. 

@themagi2014
ruj: islamicmotivatio.blogspot| biaqpila.blogspot| ensiklopedi-alquran.com| ms.wikipedia/nabisaleh| id.wikipedia/nabisulaiman| ustazcyber.com| facebook: kisah Nabi Muhammad SAW| ms.wikipedia/nabisaleh| id.wikipedia/nabisulaiman| islam-qa.com| kisahmuslim.com| image credits: tutorhacking

Thursday 24 July 2014

Ramadhan 26: Cerita 10 Malam Terakhir

Selamat petang kepada visitors. Hari ini, Ramadhan 26. Tinggal 3 hari lagi sebelum hari Raya dan kesibukan kemas rumah semakin terasa. Kadang-kadang, kemas rumah sampai larut malam. Bila sebut pasal malam, pernah tak korang alami sesuatu yang menghairankan dalam tempoh 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan? 

Sebenarnya, bila kita terlihat sesuatu yang luar biasa pada 10 malam terakhir, kita tak pasti sama ada kita benar-benar lihat malam Lailatul Qadar, atau ujian iman dari Allah SWT ataupun cuma khayalan semata-mata. Dalam tempoh 10 malam terakhir, apa yang kita lihat mungkin kelihatan biasa tapi bermakna, seram, pelik atau mendebarkan. Hakikatnya, malam Lailatul Qadar boleh dilihat secara nyata atas kehendak Allah SWT kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. 

Biasanya, menurut pengalaman dari manusia lain yang pernah mengalami keanehan pada 10 malam terakhir, mereka akan melihat:

  • cahaya terang memenuhi ruang sehingga ke tempat paling gelap.
  • mendengar ucapan salam.
  • bertemu dengan kejadian yang tidak dijangka.
  • diperlihatkan sesuatu ketika sedang bersujud.
  • mendapat alamat atau petanda melalui mimpi
Sebenarnya, ada banyak jenis pengalaman yang dialami dalam 10 malam terakhir. Bagi sesiapa yang pernah melihat atau merasai sesuatu dalam tempoh 10 hari tersebut, adalah disunatkan untuk menyembunyikan kisah itu dari pengetahuan orang ramai. 

Tapi, ada beberapa kisah yang aku pernah dengar dari ustazah di surau dan orang lain masa kecik-kecik dulu iaitu:

1. Pemuda dan Keranda

Dikisahkan bahawa ada seorang lelaki yang baru balik dari surau selepas terawih dan tadarus (jangan mintak aku sahihkan perkara ni sebab ini cerita dari orang lain). Masa dalam perjalanan balik rumah, lelaki itu terserempak dengan sebuah keranda yang melintang di tengah jalan dan ada jenazah di dalamnya. Lelaki itu tanpa teragak-agak terus duduk di sebelah keranda lalu membaca Fatihah. Selesai membaca Fatihah, lelaki itu bangun dan menyambung perjalanan balik ke rumah. Bila lelaki itu toleh ke belakang, keranda itu menghilang entah ke mana.

2. Perempuan muda dan Lelaki rukuk

Yang ini aku dengar dari orang lain, tak pasti kesahihannya tapi ada pengajaran yang baik. Dikisahkan bahawa ada seorang perempuan muda yang bangun bersahur lebih awal dari ahli keluarga yang lain. Semasa menuju ke dapur, dia ternampak kelibat lelaki sedang rukuk di luar rumah padahal belum masuk waktu Subuh dan tak ada orang yang pernah solat di kawasan ampaian rumahnya sebelum ini. Berdebar dengan apa yang dia lihat, dia pun duduk di dapur sambil tertanya-tanya, apa yang dia lihat sebentar tadi?

3. Lelaki dengan sebuah bakul

Yang ini aku dengar dari orang lain dan aku tak dapat sahihkan cerita ni tapi ada pengajaran yang baik. Dikisahkan ada seorang hamba Allah bermimpi melihat seorang lelaki berdiri di tangga rumah sambil membawa bakul. Wajah lelaki itu bercahaya dan tersenyum penuh pengharapan. Bila hamba Allah itu tersedar dari mimpi, barulah dia ingat lelaki yang datang dalam mimpinya adalah saudara maranya. Lalu disedekahkan doa pada saudara maranya yang sudah meninggal dunia. Menurut surah Al Qadr ayat 4, roh sememangnya turun ke dunia pada 10 malam terakhir bersama malaikat atas izin Allah SWT. Lagu Uji Rashid iaitu Dengan Bismillah pun menyebut perkara yang sama. 

4. Budak Lelaki dan Langit yang terbuka

Yang ini pun aku dengar dari orang lain dan tak pasti akan kesahihannya (dan cerita ni pun kedengaran agak luar biasa) jadi anggaplah kisah ni sebagai pengajaran dari kuasa Yang Maha Pencipta. Dikisahkan ada seorang budak lelaki yang menjaga ternakan berupa kambing. Dikatakan pada malam-malam terakhir pada bulan puasa, dia sering berjaga di kandang (mungkin takut orang curi kambing untuk hari Raya). Dikatakan pada suatu malam dia terlihat ruang langit seakan-akan terbuka dan dalam keadaan keliru dia sendiri tak pasti samada dia berkhayal atau benar-benar melihatnya. Tapi dia menganggap kejadian itu sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.

Sebenarnya ada banyak kisah-kisah yang aneh yang berlaku pada manusia pada 10 malam terakhir. Tapi antara keanehan dan amal ibadat, adalah lebih baik korang beribadat daripada memburu keanehan pada malam Lailatul Qadar. Malah, Nabi SAW sendiri pun lupa (atau dilupakan) pada kejadian malam Lailatul Qadar yang terjadi ke atas diri baginda. Jika korang pernah alami kejadian aneh pada 10 malam terakhir, simpan cerita itu sebagai kisah terbaik yang pernah korang alami. Dan, cerita-cerita di atas hanya sekadar secebis ingatan dari masa silam.



@themagi2014
ruj: alhamidiyah.com| cara.bukaaura.org| iqbalsafwan.com| ikim.gov.my| image credits: favim.com

Wednesday 23 July 2014

Ramadhan 25: The Beautiful Houris

Salam Rabu, 25 Ramadhan. Malam ni ialah malam ganjil, banyakkan amalan kita dengan mengaji dan perkara-perkara sunat. Lebih banyak amalan exra, lagi bagus. Sebut pasal extra, aku berjaya memecut selepas tertinggal 4 hari mengaji dan sekarang aku berada pada juzuk ke-26. Dan melalui tafsir, surah Ad-Dukhan ada menyebut tentang bidadari yang bermata bundar. Aku terus tertarik tentang perkara ni jadi hari ini, entri berkenaan dengan bidadari.

Kewujudan Bidadari

Bidadari ialah ciptaan Allah SWT yang tinggal di syurga dan kewujudan mereka tidak sama dengan wanita-wanita yang diciptakan di dunia. Kecantikan bidadari syurga tidak dapat binasa, mereka diciptakan dengan sifat paling sempurna, dengan sifat sopan santun serta tidak pernah digauli oleh jin mahupun manusia. Bidadari akan menjadi isteri orang-orang beriman di akhirat kelak. Bidadari dikenali sebagai Huurin Ainin, Huurin 'Iin, Al-Huur, Haura dan juga Houris- semuanya membawa maksud yang sama iaitu gadis perawan yang cantik, putih bersih dan bermata bundar.

Beberapa ciri-ciri bidadari disebut dalam beberapa surah di dalam Al Quran iaitu:

  • Bidadari wujud dengan fizikal gadis perawan dan disebut sebagai wanita syurga (surah Al Waqiah 35-37)
  • Sifat bidadari itu diibaratkan seperti permata yakut dan marjan (surah Ar-Rahman 55-58)
  • Bidadari memiliki rupa paras yang cantik dan akhlak yang baik (surah Ar-Rahman 70)
  • Bidadari tampil dengan jelita, putih bersih dan bak terlindung di dalam rumah (surah Ar-Rahman 72)
  • Kecantikan bidadari sangat luar biasa, mereka memiliki mata yang jeli, lebar dan berbinar iaitu bundar (surah Ad-Dukhan 54)
  • Kecantikan mata bidadari bak jeli dan seakan-akan telur burung unta yang tersimpan dengan baik (surah Ash-Shafat 48-49)
Beberapa kitab tafsir dan sarjana Islam menyebut tambahan ciri-ciri bidadari iaitu:
  • Usia bidadari adalah sebaya, mereka tidak melalui proses kelahiran dan dikatakan usia mereka ialah 33 tahun, kemuncak usia matang bagi wanita muda. Para bidadari sentiasa sepakat, tidak pernah bersedih dan jiwa mereka sentiasa bahagia (Tafsir Al-Karimir Rahman)
  • Sifat perawan jelas pada diri bidadari iaitu melalui bentuk payudara mereka yang padat, tegak dan tidak terkulai jatuh (Tafsir Ibni Katsir)
  • Bidadari hanya memandang suaminya sahaja dan selebihnya ia lebih suka menundukkan pandangan (Ibnu Abbas, Tafsir Ibni Katsir)
  • Mereka ibarat mutiara yang tersimpan. Malah rumah mereka dari mutiara. Mereka menjaga kehormatan diri dan tubuh mereka bersih serta indah dengan kulit yang bagus (Tafsir Al-Karimir Rahman, Ibnu Abbas, Mujahid, Zaid bin Aslam, Qatadah, As-Suddi, Tafsir Ibnu Katsir)
  • Bidadari penuh dengan sifat cinta dan kasih sayang, mereka tidak ada hasrat yang lain (Tafsir Al-Karimir Rahman)
  • Bidadari tidak pernah disentuh oleh mana-mana tangan (Tafsir Ibni Katsir)

Gambaran Bidadari yang Lain-lain

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang kecantikan fizikal yang dimiliki oleh para bidadari di syurga iaitu:

"Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dnegan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua orang isteri, di mana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada yang membujang." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan melalui hadis di atas ialah ahli syurga dapat melihat sumsum tulang betisnya bagi menunjukkan betapa cantik dan bersinarnya para bidadari malah mereka berbau harum semerbak, bersuara merdu dan tidak memakai jilbab. Jilbab hanya untuk wanita di dunia. Tercatat satu hadis sahih musnad dari Imam Ahmad yang menyebut bahawa ketika para wanita syurga yakni para bidadari tersenyum, maka timbullah kilat di langit.

Wujud para bidadari ini melalui petikan ayat dari surah Al-Waqiah menyatakan bidadari dicipta secara langsung, makna ayat ini tidak dijelaskan dengan lanjut. Para ulama bersepakat bahawa bidadari diciptakan daripada za'faran iaitu safron. Abu Nu'aim meriwayatkan dari Anas r.a:

"Andai seorang bidadari meludah di 7 samudera, nescaya seluruh samudera itu akan tawar, kerana manisnya mulut bidadari, kerana bidadari diciptakan dari za'faran."

Menurut Ibnu Qayyim pula:

"Kalau wanita dunia yang terbuat dari tanah saja kecantikannya sudah sedemikian memukau, bagaimana dengan bidadari yang diciptakan dari za'faran? Tidak terbayang keelokan rupa paras dan bentuknya."


Kekeliruan mengenai Bidadari

Terdapat persoalan atau kekeliruan, jika lelaki mendapat bidadari di syurga, bagaimana dengan perempuan? Secara lojik, kaum Adam dicipta dengan tabiat yang unik iaitu sukakan wanita yang cantik. Maka Allah SWT menawarkan wanita syurga kepada kaum Adam agar mereka berlumba-lumba beribadah, beramal soleh dan mengerjakan segala kebaikan demi mendapat ganjaran sempurna di akhirat kelak. 

Bagi wanita pula, secara lojiknya perempuan yang baik ada perasaan malu. Kaum Hawa mempunyai tabiat suka memendam perasaan jika benar-benar sukakan sesuatu. Maka Allah SWT tidak memotivasikan kaum Hawa dengan ganjaran mereka di akhirat kelak. Kaum Hawa (suaminya masuk neraka atau perempuan itu tidak berkahwin), mereka juga akan diberikan pasangan yang lebih baik, sesuai dengan mereka kerana di syurga, semuanya hidup berpasangan. Malah kaum Hawa diberikan kelebihan untuk kembali muda, kekal perawan, tidak haid dan cantik buat selama-lamanya.

Terdapat anggapan bahawa bidadari mempunyai sayap. Menurut Islam, hanya malaikat saja yang bersayap malah kewujudan bahan sayap para malaikat pula dikategorikan sebagai ghaib. Yang bersayap dan menjadi utusan cuma malaikat, bidadari hanya ditugaskan duduk di dalam khemah, tidak keluar ke mana-mana dan tidak bercakap mahupun bersentuhan dengan apa saja sehingga menjelangnya akhirat. Di akhirat kelak barulah bidadari hidup bersama dengan suami mereka.

Perbandingan antara Wanita dunia dan Wanita Syurga

Memang jelas bidadari dicipta dengan segala keindahan. Manusia pula diciptakan dengan sebaik-baik rupa. Ummu Salamah r.a pernah bertanya dengan Nabi SAW berkenaan dengan wanita dunia dan bidadari, yang manakah lebih utama? Nabi SAW bersabda, wanita di dunia lebih utama atas beberapa perkara iaitu:
  • kerana solat, puasa dan ibadah wanita dunia kepada Allah SWT.
  • kesabaran menempuh dugaan dan godaan dunia.
  • dan sesungguhnya wanita dunia lebih utama dari bidadari bermata jeli, seperti kelebihan yang nampak daripada apa yang tidak nampak (zahir mendahului batin)
Bagi golongan wanita dan isteri di dunia yang menjaga kehormatan diri dan menunaikan perintahNya, kecantikan mereka jauh melebihi bidadari sekalipun bidadari diberikan segala keindahan. Ibnu Qayyim pernah berkata bahawa wanita dunia mendapat keutamaan kerana:
  • Para bidadari tidak pernah mengalami kesulitan yang dialami oleh wanita dunia.
  • Para bidadari tidak pernah berjuang di jalan Allah SWT.
  • Para bidadari tidak pernah dicemuh kerana memakai hijab.
  • Para bidadari tidak pernah merasai sulitnya patuh pada suami.
Dalam Islam menyatakan bahawa wanita yang taat pada suami, menjaga diri dan menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya akan menjadi ketua kepada para bidadari di syurga.



p/s: okey, curious berkenaan dengan bidadari pun terjawab, sedikit sebanyak :)
@themagi2014
ruj: Shirotolmustaqim.wordpress| id.wikipedia/wiki/bidadari| lampuislam.blogspot| islamqa.info| kisahislami.com| mediaislam.net| bersamadakwah.com|image credits: fineartamerica.com

Tuesday 22 July 2014

Ramadhan 24: Siapa Anjing, Siapa Manusia?

Hari-25, melalui 10 malam terakhir dan terus menghitung sehingga 1 Syawal. Hari ni, entri simple dan tak panjang sebab lambat update lagi. Maklum le, line internet tak clear. Makanya, entri kali ni berkenaan dengan anjing.

Kita pasti pernah dengar orang marah suka sebut, "Anjing betul!" atau "Hanjeng punya orang!". Anjing merupakan kawan baik di Barat tetapi dalam Islam ia dikenali sebagai haiwan najis selain dari khinzir. Tapi itu tak bermakna kita boleh sepak terajang anjing sesuka suki hati kita. Tak gitew, visitor sekalian?

Image result for dogSejarah Anjing Dalam Islam

Memang, anjing ialah makluk yang haram untuk kita sentuh dan jika kita tersentuh kita mestilah kena samak. Tapi hakikatnya, semasa manusia pertama dicipta iaitu Nabi Adam a.s, Iblis berniat untuk merosakkan adunan tanah tersebut dan meludah adunan itu lalu kesan ludahan itu menjadi titik pusar pada manusia. Tindakan Iblis menimbulkan marahNya tetapi belum sampai murka lalu Iblis dihalau keluar dari syurga. Tetapi Iblis berhenti di gerbang syurga lalu meminta bantuan ular untuk masuk semula. Iblis pun bersembunyi di dalam mulut ular dan kemudian berjumpa dengan kuda. Iblis pun menghasut kuda bahawa ciptaan Allah SWT yang baharu iaitu manusia akan memperhambakan kuda dan duduk di punggung kuda sehingga ke akhir zaman. Kuda pun berasa tercabar lalu segera mendekati adunan Nabi Adam a.s yang belum ditiupkan roh ke dalamnya dan cuba menginjak-injak adunan tersebut. Sebelum kuda sempat berbuat demikian, Allah SWT mencubit keluar bahagian adunan Adam yang terkena ludahan Iblis dan ia terpelanting lalu terciptalah anjing. Maka sebab itulah, kalau kita tolong anjing yang lapar atau tercedera, anjing akan patuh pada kita dan kesetiaan anjing terhadap manusia boleh menjadi sangat luar biasa.

Kisah Anjing Dalam Islam

Anjing selalu dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Aku, yang tinggal di kawasan kejiranan bukan Islam masa kecik-kecik dulu, aku sebetulnya tak kisah dengan kehadiran anjing yang merayau di tepi jalan. Kadang-kadang, aku duduk dan bercakap dengan anjing sebab bercakap dengan anjing lagi baik dari bercakap dengan manusia yang berhati busuk. Sebenarnya, bila kita bercakap dengan anjing, mereka beri perhatian pada kita dan aku rasa setiap kali bercakap dengan anjing, aku dihargai. Dan anjing tu pun macam tahu aku tak dapat sentuh dia. Betapa anjing itu bukan ciptaan yang sia-sia, mungkin sebab itu anjing juga mendapat tempat dalam Islam seperti:

  • Kisah Ashabul Kahfi, iaitu kisah 7 orang pemuda beriman bersama anjing mereka bernama Qithmir. Anjing itu telah duduk, menjaga dan tidur bersama mereka di dalam gua selama 3 abad lama. Kesetiaan Qithmir menjadikan ia sebagai anjing yang mendapat jaminan masuk syurga.
  • Kisah seorang pelacur yang menemui anjing kehausan dan hampir mati di padang pasir. Kerana belas kasihan terhadap haiwan tersebut, pelacur itu dengan bersusah payah mencedok air dengan sepatunya dan memberi minum pada anjing berkenaan. Dikisahkan bahawa Allah SWT mengampun seluruh dosa pelacur tersebut kerana kasihnya terhadap makhluk ciptaan Allah SWT.
  • Kisah Abdullah bin Jaafar bin Abi Thalib, dia melihat seorang lelaki di kebun anggur memberi makan pada seekor anjing yang kelaparan. Semua roti milik lelaki berkenaan habis diberikan pada anjing tersebut. Abdullah pun bertanya kenapa lelaki itu tidak makan sedikit roti miliknya? Lelaki itu pun berkata kawasan itu bukanlah kawasan anjing dan jelas sekali anjing itu ialah anjing yang bermusafir. Lelaki itu tahu anjing itu pasti sangat lapar dan dia tidak kisah jika dia berlapar sehingga hari esok. Mendengar kata-kata lelaki itu, Abdullah mempelajari perkara baru lalu dia membeli kebun anggur tersebut dan menyerahkan semuanya pada lelaki itu.
Menjaga anjing bertujuan untuk menjaga haiwan ternakan, berburu atau menjaga harta benda sebenarnya tidak menjejaskan ibadah kita pada Allah SWT. Kesukaran yang dialami ialah untuk membersihkan anjing berkenaan kerana ia najis dan kita mesti samak setiap kali kita bersentuhan dengan anjing. Dalam Islam, membela anjing atas tiga perkara di atas adalah makruh, dan mendapat pahala jika ditinggalkan. Sekalipun kita tidak boleh menyentuh anjing, janganlah kita membenci makhluk berkenaan kerana ada sesuatu yang dapat kita pelajari dari anjing iaitu:
  • Anjing sentiasa berasa lapar; ia mengingatkan kita pada makna ketaatan orang-orang yang soleh yang sentiasa lapar pada harapan dan kerinduan terhadap PenciptaNya.
  • Anjing tidak ada tempat tinggal tetap dan teruskan kehidupan selagi berdaya; ia mengingatkan kita pada sifat tawakal dan yakin bahawa Allah lebih tahu apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita inginkan.
  • Anjing ialah haiwan yang tidur sebentar; ia memperlihatkan kita bahawa orang yang lena nyenyak akan hanyut di dalam mimpi yang tidak pasti dan orang yang sedar akan sekelilingnya akan berusaha mendekatkan diri pada PenciptaNya.
  • Anjing tidak punya harta; ia mengingatkan kita tentang sifat zuhud, berasa cukup pada pemberian Allah SWT tanpa keluh kesah.
  • Anjing tidak akan meninggalkan tuannya; ia mengingatkan kita tentang kesetiaan pada Tuhan yang menjadikan kita dan memelihara kita dari awal kelahiran kita sehingga tiba ajal kita.
  • Anjing redha bila diusir; begitulah makna keredhaan yang benar, kita haruslah redha pada kehendak dan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT.
  • Anjing tidak kisah ditempatkan di mana saja; memperlihatkan pada kita begitulah seharusnya kita tawadhuk dalam kehidupan dan jangan hanya merungut.
  • Jika anjing dipukul sebelum diberikan sesuatu (seperti makanan), ia akan kembali tanpa berdendam; memperlihatkan pada kita makna khusyuk. Sekalipun kita dihimpit masalah atau ditimpa malam, kita kembali semula pada Pencipta dan percaya bahawa pada setiap kesabaran yang pasti ada ganjaran yang menanti.
Pengajarannya? Mungkin kita perlu faham makna 'anjing' sebelum nak jadikan nama anjing sebagai penyedap sumpah seranah. Anjing ialah haiwan, tiada akal, dan kita manusia, ada akal. Kenapa masih ada manusia yang berkelakuan lagi teruk dari haiwan? 

Sesungguhnya, dalam sejarah tamadun dunia, aku tak pernah dengan anjing memerintah dengan kejam, membunuh, memperhambakan manusia, bersikap zalim dan ganas. Semuanya dilakukan oleh manusia. Jadi, mari cerminkan diri kita dan selamat berfikir :-)

@themagi2014
Ruj: Tafsir Al-Jalalain (Mozaik Islam)| zionist-killer.blogspot| themalaysianinsider.com| rumaysho.com| Image credits: en.wikipedia.org/wiki/dog