Showing posts with label sejarah sarawak. Show all posts
Showing posts with label sejarah sarawak. Show all posts

Sunday, 15 December 2019

Sayang Simunjan!

Hai, Magians! Aku datang lagi, nak update entri seterusnya. Alang-alang aku tengah bercuti ni, aku tak berminat nak tahu hal kerja. Aku nak relax. Jadi aku ikut trip ke Simunjan pada hari Sabtu 14 Disember. Trip ni bukan trip suka-suka tapi sebenarnya aku dan families pergi attend majlis nikah sepupu aku di Kampung Keniong, Simunjan.

Okaylah, aku nak kongsi sikit tentang Simunjan. Dulu aku selalu dengar nama Simunjan disebut-sebut sebab dulu jiran aku di Briged PGA orang Simunjan. Orang yang berasal dari Simunjan ni ada dialek pertuturan yang unik dan senang nak kenalpasti. Sebelum daerah Simunjan ditadbir oleh Bahagian Samarahan, daerah ini dulunya di bawah pentadbiran Bahagian Kuching. Selepas 27 Julai 1986, Simunjan ditadbir oleh Bahagian Samarahan bersama 2 daerah yang lain iaitu daerah Serian dan Samarahan.

Sebelum wujudnya daerah Simunjan yang ada pada masa sekarang, daerah Sadong telah dibentuk merangkumi kawasan Simunjan (lower Sadong) dan Serian (upper Sadong) pada era pemerintahan Brooke tahun 1901. Simunjan dijadikan pusat pentadbiran pada ketika itu. Kemudian Serian dipisahkan dari daerah Sadong pada 1955 dan satu daerah baru diwujudkan iaitu daerah Serian. Daerah Sadong pula diberi nama baru iaitu daerah Simunjan. Pada 1 Januari 2002, Bahagian Samarahan mempunyai 4 daerah iaitu daerah Simunjan, Serian, Samarahan, Asajaya (dan dua daerah kecil iaitu Sebuyau dan Tebedu).

Now kita berbalik semula dengan kisah kami nak pergi majlis kahwin. Ingatkan dah masuk dekat kawasan pasar Simunjan, kami dah sampai la ke tempat yang dituju. Rupanya, jauh lagi. Sebelum nak sampai ke Kampung Keniong, kena lalu banyak kampung yang lain. Bentuk demografi Simunjan ni berbukit bukau so ada la rasa macam naik kawasan tanah tinggi macam Cameron Highland. Kalau ikut kata makcik aku, kami kena lalu area balai polis, teruskan driving sampai jumpa SK Temiang kemudian teruskan driving sampailah nampak simpang masuk ke SK Keniong. Tak sangka jarak dari balai polis ke Temiang dan ke Keniong tu, masha-Allah... rasa macam nak pergi camping masuk hutan. Kami bertolak pukul 6:43 pagi dari Kuching dan sampai ke tempat dituju pada jam 9:00 pagi. Itu pun abah aku yang driving, kalau aku mungkin pukul 10-11 pagi baru sampai.

Just info tambahan, Kampung Keniong ni sebenarnya kampung masyarakat Iban yang dah memeluk agama Islam. Kampung ni memang sangat terpencil tapi nasib baik laluan masuk ke kampung ni bertar. Lepas habis majlis, kami pun singgah balik ke pasar Simunjan. Masa nak pergi bukan main lambat nak sampai, bila balik cepat pulak rasanya. Memandangkan ini kali pertama aku ke Simunjan dan kali pertama juga nampak kawasan Sungai Sadong iaitu sungai utama di Simunjan, aku rasa aku dapat gambaran yang baik untuk sambung menulis manuskrip.

Sayang Simunjan!








@theMaGi2019
[Klik pautan berikut untuk info lanjut mengenai Bahagian Samarahan]

Tuesday, 16 July 2019

Misteri Asal-Usul Melayu Sarawak

Hai! Lama tak kemaskini info sejarah. Jadi, hari ni aku nak kongsikan satu artikel. Harap bermanfaat untuk mereka yang memerlukan.

Melayu ialah satu rumpun bangsa yang kompleks dan merupakan nama khas bagi satu kelompok suku bangsa di sekitar Kepulauan Melayu atau nama am bagi pelbagai kelompok Bahasa Melayu-Polinesia. Sebelum ini, aku pernah ditanya mengenai kewujudan Melayu di Sarawak semasa melanjutkan pengajian di Shah Alam sebab bagi sesetengah orang, Sarawak tak ada Melayu dan jujur aku tak dapat bagi jawapan yang jelas sebab aku sendiri pun tak pasti. Kalau nak diikutkan, istilah Melayu datangnya dari perkataan ‘Malayu’ yang diambil dari nama Kerajaan Malayu di kawasan Sungai Batang Hari, Jambi. Malah, suku Jawa juga di dalam rumpun Melayu yang sama iaitu penghuni Kepulauan Melayu. Jadi, bagaimana orang Melayu Sarawak wujud?


Menurut artikel Asal Usul Melayu Sarawak: Menjejaki Titik Tak Pasti oleh Jeniri Amir, seorang pensyarah Fakulti Sains Sosial UNIMAS, masyarakat Melayu Sarawak bersifat kompleks dan terhasil daripada beberapa proses. Salah satu daripada proses tersebut ialah penghijrahan. Walau bagaimanapun, bukan suku Jawa sahaja yang ada di Sarawak. Penghijrahan masyarakat Melayu Sumatera ke Sarawak berlaku pada kurun 12-15 ketika Sarawak menjadi kawasan terpenting dalam perdagangan entrepot pada era pentadbiran Srivijaya. Suku Bugis juga boleh didapati di sekitar dan juga Samarahan menerusi pembudayaan makanan tradisi mereka, burasak. Dengan kata lain, perkembangan masyarakat Melayu Sarawak adalah tidak seragam sehingga kini para pengkaji masih berdepan dengan kesulitan.

Istilah ‘Masuk Melayu’
Di Sarawak, istilah ‘masuk Melayu’ ialah istilah yang biasa digunakan bagi mereka yang memeluk agama Islam, menganggap diri sebagai Melayu dan dianggap Melayu oleh orang yang sebangsa dengannya. Secara autoriti dan juga Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, sesuatu kelompok dianggap sebagai Melayu apabila bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu dan beragama Islam. Secara hakikatnya, Melayu dan Islam saling berkaitan kerana gerakan dakwah Islam suatu masa dahulu mendapat penerimaan dari masyarakat Melayu dan identiti Islam menjadi identiti Melayu. Apabila proses perkahwinan campur berlaku, anak daripada hasil perkahwinan tersebut dianggap sebagai Melayu dan wujudlah istilah ‘masuk Melayu’.

Kepelbagaian Melayu dalam Melayu Sarawak
Kewujudan Melayu Sarawak datangnya dari pelbagai proses seperti penghijrahan, asimilasi mutlak dan amalgamasi. Menariknya, Melayu merujuk kepada masyarakat yang tinggal di pesisir laut dan beragama Islam pada era Rajah Putih. Malah, terdapat teori mengatakan perpindahan Melayu ke Sarawak pada era kemuncak pemerintahan Melayu di Sumatera dan Melaka. Cuma, tiada bukti kukuh mengenai perpindahan secara besar-besar pada era tersebut. Tetapi ada yang berpendapat Melayu ialah kaum asal dan peribumi di Sarawak.

Menarik? Mengelirukan? Tapi berminat nak tahu lebih lanjut? Ya.

Jadi, aku senaraikan beberapa kemungkinan kewujudan Melayu ke Sarawak dari sumber-sumber atau jalur-jalur berikut:
  • Melayu Peribumi- Melayu Peribumi merupakan penduduk asal yang mendiami Sarawak. Mereka tidak berhijrah dari tempat lain dan mengamalkan kehidupan tradisional. Ia dibuktikan dengan penemuan istilah ‘Melayu’ di dalam catatan Cina dan Barat sejak dari abad ke-7 lagi. Malah, sebelum kedatangan Brooke, melayu peribumi sudah pun wujud dan tinggal bersama kaum peribumi yang lain, sama seperti melayu di Brunei, Tanah Melayu dan Indonesia.
  • Melayu Brunei- Sarawak pernah ditadbir oleh kesultanan Brunei dan ia bermula pada abad ke-15 iaitu pada era Awang Alak Betatar. Setelah Awang Alak Betatar memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan, pengaruh Islam diluaskan kepada penduduk Brunei dan perlahan-lahan cara hidup penduduk berubah ke arah yang sesuai dengan istilah ‘Melayu’. Seterusnya, para pembesar Melayu Brunei dihantar ke segenap bahagian di Sarawak seperti Saribas, Kuching, Samarahan, Kalaka, Lidah Tanah dan juga Sadong. Kedatangan pembesar Melayu Brunei dari abad ke-15 sehingga abad ke-20, suatu tempoh yang sangat lama telah menyumbang kepada kewujudan Melayu Brunei dan pertalian tersebut kekal sehingga ke hari ini.
  • Melayu Sumatera- Menurut hikayat Datuk Merpati dan Syair Saribas, Melayu dari Kuching berasal dari Sumatera manakala Melayu dari Saribas pula mendakwa mereka berasal dari keturunan Datu Gudam yang juga berasal dari Sumatera. Penempatan awal Melayu Sumatera dipercayai bermula di Lidah Tanah iaitu di sekitar Sungai Sarawak pada awal abad ke-15. Bukan itu saja, kenyataan Melayu datang dari tanah seberang dikaitkan dengan nama-nama perkampungan Melayu di Kuching seperti Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Surabaya dan Kampung Panglima Seman. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa penduduk Kampung Boyan berasal dari Jawa dan dibawa masuk oleh Pengiran Muda Hashim dan pada asalnya mereka menetap di Kampung Permutus, sebuah penempatan yang berhampiran dengan India Street yang sudah tidak wujud lagi. Penduduk asal Kampung Gersik pula dipercayai dari Sumatera dari sebuah kawasan bernama Kayong, berhijrah sekitar abad-19.
  • Melayu dari asimilasi kaum- Melayu asimilasi ialah golongan peribumi yang berasimilasi setelah memeluk agama Islam dan meninggalkan amalan animisme serta mengamalkan gaya hidup sesuai dengan prinsip Islam. Di Sarawak, melayu campuran mewujudkan golongan yang berasimilasi apabila orang Dayak menikahi orang Melayu sehingga wujud istilah ‘masuk Melayu’. Ia juga membuktikan bahawa Melayu sudah ada di Sarawak sebelum kedatangan Brooke. Malah pada abad ke-15 pada pemerintahan Sultan Brunei di Sarawak, banyak suku seperti kaum Dayak, Melanau dan Kedayan memeluk agama Islam dan mereka mengubah cara hidup mereka sehingga menjadi seorang Melayu. Selain itu, beberapa kaum minoriti yang sudah pupus pada awal abad ke-19 akibat proses asimilasi mutlak seperti Pegu, Seru dan Bliun antara yang terawal memeluk Islam dan mengamalkan kehidupan seperti masyarakat Melayu. Sebagai contoh, orang Pegu merupakan kaum dari hulu Sadong yang berpindah ke Samarahan dan mereka sering diserang Dayak Laut. Berkemungkinan mereka dilindungi oleh kaum Melayu yang menyebabkan mereka pun memeluk Islam. Wanita kaum Seru pula memilih untuk bernikah dengan lelaki Melayu dan akhirnya seluruh kaum memeluk agama Islam. Terdapat pendapat lain yang mengatakan kaum-kaum peribumi bukan Islam tertarik hati untuk memeluk agama Islam kerana keperibadian pedagang Islam yang datang berdagang.
  • Melayu dari bangsa Arab/India Muslim- Pedagang dari Arab dan India Muslim dipercayai datang ke Sarawak pada abad ke-5. Sebahagian daripada mereka menetap dan menikahi wanita tempatan. Ia menyebabkan proses asimilasi dan akulturasi berlaku. Pada era pentadbiran Kesultanan Brunei di Sarawak, ramai pedagang Arab dan India Muslim datang berdagang. Keperibadian dan ilmu pengetahuan mereka ternyata amat mempengaruhi penduduk tempatan dan menyebabkan mereka memilih Islam dan perlahan-lahan mengubah gaya hidup mereka sebagai seorang Melayu. Malah, pengaruh Sultan ke-3 Brunei yang berketurunan Arab telah menguatkan lagi usaha dakwah di Sarawak. Penyebaran agama Islam secara aktif pada tahun 1521 Masihi di Sarawak telah mewujudkan golongan Melayu dari yang memakai gelaran sayyid/syed, tungku dan juga wan.
Rujukan:
  • Jeniri Amir (2015). Asal-usul Melayu Sarawak: Menjejaki titik tak pasti. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu 8(1) UNIMAS. 
  • Ahmad Nasir Mohd Yusoff (2016). Islam di Sarawak: Sejarah Awal dan Faktor-faktor perkembangan Islam di Sarawak. Jurnal Al-Anwar, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT),1(1): 1-19
  • Sanib Said (2013). Sejarah yang Hilang. Kota Samarahan: UNIMAS
  • Mohamed Anwar Omar Din (n.d.). Asal Usul Orang Melayu. Jurnal Melayu (7) 2011: 1–82. Diambil dari http://journalarticle.ukm.my/3186/1/1.pdf

@theMaGi2019

Sunday, 21 October 2018

Adopt Acang Merpati!

And now...hari ni, pagi ni (sebab aku tengah free tak tahu nak buat apa), maka aku nak mengumumkan bahawasanya buku kedua aku, novel pengembaraan fantasi Acang Merpati terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjaya diterbitkan!

Bagi sesiapa yang nak tahu tentang buku kedua aku ni (also the 1st with DBP), aku nak buat sneak-a-peak okey?

Judul: Acang Merpati
Penulis: Shield Sahran
Tahun terbitan: 2018
Jumlah mukasurat: 517
Harga: RM30
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Buku ni merupakan satu usaha untuk mendedahkan budaya, sejarah dan hikayat Sarawak dalam bentuk novel fiksyen pengembaraan fantasi. Dalam novel ni, aku gabungkan watak atau karakter mitos, legenda dan tokoh sejarah Sarawak ke dalam garis masa yang sama iaitu abad ke-15. Boleh dikatakan sesiapa yang suka baca mitos atau legenda, korang boleh try baca buku ni. Also bagi sesiapa yang minat sejarah, nak buat kajian tentang sejarah Sarawak atau nak dapatkan persepsi baru tentang legenda Sarawak, aku memang suggest buku ni. Secara ringkasnya, buku ni ialah starter pack untuk mengenali Sarawak.

Apa yang menarik pasal buku ni? Semestinya kewujudan watak legenda yang 'disegarkan'. Ada Puteri Santubong dan Sejinjang, buaya 7 beradik, Tugau, Kumang dan Keling, Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri, Tok Landeh, Dayang Isah, Dayang Puteri, Puteri Raja dan Buah Bunut, Datu Gudam, Temenggung Abdul Kadir dan banyak lagi. Tapi kesemua watak legenda ni bukannya standalone character, watak mereka dikembangkan seiring dengan watak utama fiksyen iaitu Jali. 

Novel ni juga merupakan satu impian aku untuk mengangkat sejarah Sarawak dalam bentuk fantasi seperti yang dilakukan J.R.R Tolkien dalam novel beliau, Lord of The Rings. Inspirasi novel ni juga datangnya dari drama Barat Once Upon a Time yang menghimpunkan watak-watak legenda mereka. Aku rasa kalau Barat dapat gabungkan watak legenda dalam satu jalan cerita, kenapa kita tak boleh? 

By the way, bagi sesiapa yang dah adopt Acang Merpati ke dalam koleksi bacaan mereka, aku ucapkan jutaan terima kasih sebab support penulis dan support sejarah tempatan. Bagi yang belum, aku harap korang sudi adopt 'anak kedua' aku sebab aku menulis buku ni atas dasar aku percaya bahawa sejarah, mitos dan legenda tempatan kita sehebat negara luar.

Beli secara online, klik Acang Merpati


"Penghargaan tertinggi buat penulis adalah dengan membeli bukunya"- Joko Pinurbo

@theMaGi2018

Saturday, 20 October 2018

Muzium The Ranee Margaret

Oh hello October! Akhirnya dapat juga aku update sesuatu untuk bulan ni. Tinggal 11 hari saja lagi sebelum November. So, about the title. Sebenarnya aku keluar hari ni sebab nak beli sampul surat and A4 paper. Also aku terbaca pasal The Ranee Margaret Museum di Old Court Kuching yang dibuka kepada orang awam pada 29 September 2018 kat socmed. Actually, aku pernah tergesa-gesa nak pergi ke Old Court sebab aku nak sangat tengok pameran tentang Ranee Margaret di Old Court. Tapi rupa-rupanya Brooke's team member baru je pasang panel dinding dalam ruang pameran. 

So hari ni, aku sebenarnya tak berniat sangat pun nak pergi ke muzium tu selepas tragedi 'overexcited'. Lepas beli barang dan tak tahu nak pergi mana (plus, cuaca pula sangat baik), aku pun pergi ke Old Court dan tengok banner Ranee Margaret yang dipasang sekitar Old Court. Then, perasaan nak pergi ke muzium tu muncul semula.

Sebelum aku pergi ke dalam muzium, okey...fun fact. Pintu muzium tu sentiasa ditutup tapi aku tak tahu pasal tu. First time sampai, aku tak berani nak masuk. Aku pun merayau depan pintu sampailah tiba-tiba ada pengunjung perempuan keluar. Oh, barulah aku tahu yang hari tu available untuk melawat (padahal dekat tepi pintu tu dah mention "We're open"). And the second fun fact? Yang tu biar jadi rahsia sebab aku pun tak faham macam mana benda tu berlaku. 

Sekarang, pasal The Ranee Margaret Museum. Pertama kali masuk, aku nampak foto-foto lama yang authentic, nostalgia dan facts yang disediakan sebagai penerangan. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian aku such as barang-barang peribadi Ranee Margaret, perabot dari Astana dan catatan dalam jurnal. To be honest, I really fond of everything that related to books. 

Berkenaan dengan foto-foto lama yang dibingkai dengan cermat, aku tak tahulah berapa ramai yang berminat nak tahu tentang kisah-kisah lampau di Sarawak tapi aku selalu curious bila tengok relationship between white people and Sarawakian. Apa perasaan Sarawakian bila nampak white people datang ke sini? Apa perasaan white people bila datang ke tanah baru dan bercampur dengan Sarawakian? Dan macam mana agaknya suasana hidup bersama-sama pada zaman dulu? Kalau aku lihat foto-foto lama, aku rasa memang patut pun Kuching digelar sebagai bandaraya perpaduan yang pertama di Malaysia pada tahun 2015 dan juga pertama di dunia.

Okay, aku tak nak panjangkan intro (intro?) so aku proceed untuk kongsikan gambar sepanjang berada di muzium. FYI, bayaran muzium ni RM10 seorang untuk lokal. Bukan lokal tu aku tak tanya tadi. Dan pengunjung dibenarkan untuk ambil gambar sepanjang berada dalam muzium. Walaupun aku kongsikan gambar di sini, aku rasa lebih baik explore secara dekat dan nyata- sentuh sendiri bekas kaca dalam ruang pameran, dengar muzik yang dimainkan dan lihat keindahan barang pameran depan mata.

Benda pertama yang aku nampak sebaik saja masuk ke dalam ruang muzium ialah foto Marquis de Rastignac dalam bingkai oval. Boleh nampak reflection aku tengah ambil gambar.

Seterusnya, facts tentang Ranee Margaret bermula sebagai The Exile. Menarik, aku tak tahu pun pasal kehidupan dia di zaman muda.

 
Baju ikonik milik Ranee Margaret. Selama ni aku nampak foto hitam putih jadi aku baru tahu baju kebarung Ranee sebenarnya warna ungu. Jahitan masih elok, satu hiasan pun tak rosak.

 
Keringkam milik Ranee yang berusia lebih 100 tahun. Bagi mereka yang tak tahu, keringkam ni bukan produk yang murah, aku tak tahu berapa nilai keringkam Ranee sekarang.

Aku heret parent ikut aku sekali seperti selalunya.

Perabot dan set pinggan yang digunakan di Astana suatu masa dulu.

Patung 'Peter' yang diukir untuk Anthony Brooke, cucu Ranee Margaret.

Family tree keluarga Brooke yang menarik sebab mereka sangat menghargai nama 'Dayang'.

Aku berterima kasih dengan lighting dalam muzium sebab menjadikan gambar swafoto aku lebih cantik dan dapat sembunyikan bekas ekzema di muka.

The things yang buat aku tertarik dengan Ranee ialah hasil kerja seni. Sebab dia boleh lukis rama-rama dengan cantik. Kelemahan aku ialah aku masih tak boleh lukis rama-rama.

Aku rasa doodle yang dibuat oleh Rajah Charles pun menarik. Sebab aku memang suka doodle art.

Aku ambil gambar ni sebab aku sukakan gaya dan riak wajah dalam foto. Sangat asli. FYI, foto dalam bingkai gambar sebelah kiri ialah keturunan ke-13 Datuk Merpati. Kebetulan aku baru siapkan novel yang berkaitan dengan Datuk Merpati.


Yang terakhir sekali, baju keringkam Ranee. Unik, sebab selalunya keringkam dijadikan sebagai selayah/selendang.

BTW, aku nak ucapkan terima kasih pada staff yang polite menyambut pengunjung yang datang ke muzium. Kalau nak tengok bukti tambahan aku datang ke sini, boleh tengok ke dalam buku pelawat and cari nama Shield Sahran. OK, next time aku nak bermain kat Fort Margherita.


@theMaGi2018

Wednesday, 21 March 2018

20 Fakta Ringkas Melayu Sarawak

Selamat malam, sekalian MaGians. Aku tambah 's' di belakang MaGi, simbolik plural. Dengan penuh rasa lega lagi lapang, aku berjaya siapkan satu manuskrip. Sampai bengkak bijik mata aku sebab aku tak nak bertangguh. 
Image result for melayu sarawak
Credits: http://mte3012-sherrene.blogspot.my
Sepanjang proses menyiapkan manuskrip yang bergenrekan sejarah, aku rasa macam tak sangka banyaknya benda yang aku tak tahu. Makin banyak membaca, makin banyak yang tak tahu. Aku tak tahu. Aku memang tak tahu. Bila sebut 'tak tahu' banyak kali, macam bodoh sangat bunyinya, kan? Tapi sebenarnya, bila kita belajar banyak benda memang kita akan sedar banyak benda yang kita tak tahu. Kita memang tak tahu. 'Tak tahu' ialah perkataan yang menyedarkan diri kita bahawasanya kita ni manusia biasa. Tinggi manapun kita belajar, berapa banyak sijil yang kita ada, berapa hebatnya pangkat yang kita dapat, sejauh mana kita dah pergi dan berapa banyak harta yang kita cari, kita takkan pernah tahu apa yang ada di hadapan kita. So, be humble.

Jadi dengan rasa rendah diri lagi bersyukur, aku nak sangat kongsi sebahagian pembacaan aku daripada jurnal akademik yang aku baca mengenai Melayu Sarawak. Siapa Melayu Sarawak asli? Tolong angkat tangan! Sejujurnya, aku tak tahu siapa Melayu Sarawak Asli di Sarawak. Sebab aku sendiri Melayu Sarawak campuran. Tapi kalau ada, boleh pm aku.

Jadi persoalannya di sini, siapa yang tahu pasal Melayu Sarawak? Apa yang kita tahu tentang Melayu Sarawak? Berapa ramai yang tahu tentang fakta ringkas tentang Melayu Sarawak? Aku tak pasti budak zaman sekarang tahu atau tidak, apatah lagi makcik pakcik. Sebab media sogok fikiran orang ramai bahawa Sarawak tak ada Melayu. Kalau ada, Melayu Sarawak dianggap minoriti disebabkan pengaruh media yang asyik tunjuk kaum lain, padahal Melayu Sarawak ramai sebenarnya. 

Okay, aku tak nak buang masa. Aku bagi ringkasan jadi sekurang-kurangnya kita tahu sedikit siapa bangsa Melayu. Aku ringkaskan dalam bentuk point. Harap anda semua ambil peduli dan selamat menambah ilmu pengetahuan.
  1. Menurut kajian Mohamed Anwar Omar Din, Nusantara dibahagikan kepada 4 sub gugusan empayar pada abad ke-14 iaitu Melayu (Sumatera), Tanjung Negara (Kalimantan), Hujung Medini (Tanah Melayu dan Thailand) dan Jawa (Jawa). Menerusi Gugusan Tanjung Negara, Sawaku ialah gugusan sub empayar sama seperti Kalka, Tanjung Kutei, Malano dan Barune(ng). Sawaku dipercayai merujuk kepada Sarawak. Pada masa ini, Melayu bertebaran di 4 sub gugusan empayar dan perlahan-lahan mewujudkan masyarakat Melayu di Sarawak.
  2. Di Sarawak, istilah ‘masuk Melayu’ ialah istilah yang biasa digunakan bagi mereka yang memeluk agama Islam, menganggap diri sebagai Melayu dan dianggap Melayu oleh orang yang sebangsa dengannya. 
  3. Melayu merujuk kepada masyarakat yang tinggal di pesisir laut dan beragama Islam pada era Rajah Putih.
  4. Melayu Peribumi merupakan penduduk asal yang mendiami Sarawak. Mereka tidak berhijrah dari tempat lain dan mengamalkan kehidupan tradisional. Ia dibuktikan dengan penemuan istilah ‘Melayu’ di dalam catatan Cina dan Barat sejak dari abad ke-7 lagi. 
  5. Sarawak pernah ditadbir oleh kesultanan Brunei dan ia bermula pada abad ke-15 iaitu pada era Awang Alak Betatar.  Seterusnya, para pembesar Melayu Brunei dihantar ke segenap bahagian di Sarawak seperti Saribas, Kuching, Samarahan, Kalaka, Lidah Tanah dan juga Sadong. 
  6. Penempatan awal Melayu Sumatera dipercayai bermula di Lidah Tanah iaitu di sekitar Sungai Sarawak pada awal abad ke-15.
  7. Penduduk Kampung Boyan berasal dari Jawa dan dibawa masuk oleh Pengiran Muda Hashim dan pada asalnya mereka menetap di Kampung Permutus, sebuah penempatan yang berhampiran dengan India Street yang sudah tidak wujud lagi.
  8. Penduduk asal Kampung Gersik pula dipercayai dari Sumatera dari sebuah kawasan bernama Kayong, berhijrah sekitar abad-19. 
  9. Di Sarawak, melayu campuran mewujudkan golongan yang berasimilasi (sebagai contoh: apabila orang Dayak menikahi orang Melayu sehingga wujud istilah ‘masuk Melayu’). Ia juga membuktikan bahawa Melayu sudah ada di Sarawak sebelum kedatangan Brooke.
  10. Pada abad ke-15 pada pemerintahan Sultan Brunei di Sarawak, banyak suku seperti kaum Dayak, Melanau dan Kedayan memeluk agama Islam dan mereka mengubah cara hidup mereka sehingga menjadi seorang Melayu. 
  11. Beberapa kaum minoriti di Sarawak sudah pupus pada awal abad ke-19 akibat proses asimilasi mutlak seperti Pegu, Seru dan Bliun antara yang terawal memeluk Islam dan mengamalkan kehidupan seperti masyarakat Melayu. 
  12. Pedagang dari Arab dan India Muslim dipercayai datang ke Sarawak pada abad ke-5. Sebahagian daripada mereka menetap dan menikahi wanita tempatan. 
  13. Penyebaran agama Islam secara aktif pada tahun 1521 Masihi di Sarawak telah mewujudkan golongan Melayu dari yang memakai gelaran sayyid/syed, tungku dan juga wan.
  14. Masyarakat Melayu Sarawak sudah mengamalkan cara hidup Islam sebelum kedatangan James Brooke. 
  15. Sekolah Melayu Encik Boyang antara sekolah Melayu terawal yang dibina dalam era Brooke. Ditubuhkan pada 1861, ia merupakan pusat pendidikan untuk pelajar Melayu dalam menimba ilmu agama dan pendidikan berlandaskan agama Islam.
  16. Perahu balok Melayu ialah perahu yang digunakan oleh orang Melayu di Kampung Ladung dan Batang Air Simunjan secara meluas suatu masa dahulu. Ia diperbuat daripada kayu balak dan pada awalnya ia dibuat menggunakan keseluruhan pokok dengan menggunakan peralatan mudah seperti parang dan beliong. Ia juga dikenali sebagai Sampat.
  17. Datuk Merpati ialah tokoh dipercayai sebagai pengasas kepada kerajaan Santubong dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu. 
  18. Kuching, atau Sarawak pada suatu masa dahulu antara negeri yang tersenarai dalam petikan dari teks lama Brunei dan mempunyai sejarah tersendiri dari segi penempatan, sosio-politik dan ketamadunan Melayu Sarawak. Pengaruh Johor (empayar Johor-Riau) terhadap Sarawak berterusan di dalam kerajaan besar Brunei menerusi pemerintahan Sultan Tengah.
  19. Terdapat sebuah masjid kecil di tebing sungai pada kaki bukit yang digunakan oleh masyarakat Melayu Sarawak yang tinggal di Kuching. Masjid sudah wujud lebih awal sebelum James Brooke tiba. Masjid tersebut mengalami perubahan dan kini ia menjadi Masjid Divisyen Kuching dan ia menjadi lambang bagi Melayu Sarawak yang sejak sekian lama berpegang pada prinsip Islam.
  20. Bermukun dan bergendang ialah budaya masyarakat Melayu Sarawak yang diamalkan sebelum kedatangan Brooke. Menurut kajian dari Institut Bahasa Melayu Malaysia Kuala Lumpur, pantun bermukun dan bergendang merupakan gambaran world view masyarakat mengenai konsep cinta terhadap Tuhan, manusia, dan alam.
@theMaGi2018

Monday, 19 February 2018

Sejarah Perkapalan di Sarawak

Selamat petang, Magians! Entri kedua untuk bulan Februari. Bulan cinta, kononnya. Tapi bulan ni bulan yang tough. Dapat penyakit, dapat ceramah free dan dapat stres. Tapi nasib baiklah mood aku baik. Aku malaslah nak stand still dengan benda-benda macam tu. Lebih baik move on. Well, positive thinking. Dalam hidup ni kita kena positif.

Okay, kembali ke topik asal. Sebenarnya, aku nak kongsikan pembacaan aku dari buku Tenggelamnya Pulau Kidjang (dan dari buku-buku yang lain). Seperti yang aku sebut dalam entri sebelum, buku ni banyak info tambahan yang aku rasa aku patut kongsikan dalam entri kali ni. Kata orang, sharing is caring.

Sejarah Awal Perkapalan di Sarawak

Image result for the royalist brooke
Image Credits: dawlishchronicles.com
Pengangkutan air memainkan peranan penting di Sarawak suatu masa dahulu. Kedudukan geografi Sarawak yang dilingkari dengan aliran sungai menjadi penghubung antara satu tempat ke tempat yang lain. Pada era Brooke, kapal merupakan perkara penting sebagai meidum pengangkutan harian, perdagangan, peperangan dan sebagainya. Aku pernah kongsikan artikel mengenai senarai nama kapal yang pernah digunakan pada era Brooke dan turut dikongsikan di page Facebook Planet Sarawak dengan tajuk Kapal-kapal Era Dinasti Brooke di Sarawak. Dan aku pernah kemaskini satu entri berkenaan dengan kapal Maimuna yang bertajuk Rajah Brooke's Ship: The Maimunah. 

The Shipping Office merupakan satu syarikat perkapalan di Sarawak suatu masa dahulu. Catatan sejarah menyebut bahawa James Brooke tiba di Sarawak menggunakan jalan laut pada era pemerintahan Kesultanan Brunei dan beliau tiba pada 15 Ogos 1839 menggunakan kapal Royalist (menerusi Brooke Heritage Trust, kapal Royalist di dalam perancangan untuk dibina semula replika di Plymouth dan baru selesai dalam peringkat fasa pertama). Menerusi pelayaran di Asia Tenggara, James Brooke mengetahui antimoni banyak terdapat di Sarawak.

Pada 5 Julai 1843, H.M.S Samarang tiba di muara Sungai Sarawak. Seterusnya pada 25 Julai 1843,  Sir Henry Keppel tiba bersama  kapal diraja British H.M.S Dido diiringi oleh sebuah lagi kapal H.E.I.C.S Phlegethon. James Brooke melawat ke Sarikei dengan menaiki kapal H.E.I.C.S Phlegethon.

Kedatangan James Brooke, permulaan dinasti Brooke dan penglibatan awal keluarga Brooke ketika itu telah memulakan era Sarawak moden. Jalan sungai dan laut menjadi sistem perhubungan penting Sarawak dengan dunia luar. Walaupun usaha membina jalan darat dijalankan tetapi pembinaan terhad di kawasan bandar. Maka jalan air menjadi keutamaan di Sarawak.

Kepentingan Jalan Air, Kapal dan Sejarah Pertempuran Beting Maru

Image result for beting maru
Image Credits: sarawakdayakheritageand
variousstories.blogspot.com
Sejarah pertempuran Beting Maru bermula di anak tanjung Batang Maru yang terletak di Simanggang (kini dikenali sebagai Sri Aman). Pertempuran tersebut berlaku pada 31 Julai 1849 dan James Brooke sendiri yang mengetuai angkatan perang dan belayar menuju ke Sri Aman. Sejarah mencatatkan beliau menaiki kapal Rajah Singh pada 24 Julai 1849, dianggotai oleh 640 orang Melayu ke Batang Lupar dan menumpaskan lanun yang bermaharajalela di pesisir perairan Sarawak.

Selain kapal Rajah Singh, terdapat beberapa buah lagi kapal perang British yang turut serta seperti kapal Nemesis, Royalist dan Ranee. Pertempuran ini juga disertai oleh 7 buah kapal perang kecil, juga 70-80 buah perahu milik orang Dayak Sungai Lundu dan Sugai Balau, orang Melayu dari Samarahan dan Batang Sadong. Peristiwa pertempuran itu membuktikan jalan air merupakan penghubung dan komunikasi penting bagi penduduk Sarawak dengan dunia luar. Namun tarikh sebenar bermulanya sistem pengangkutan air di Sarawak tidak dapat dipastikan. Malah, sistem pengangkutan air di Sarawak dipercayai telah wujud sejak sekian lama sebelum kedatangan keluarga Brooke.

Syarikat Perkapalan era Brooke:  The Borneo Company Limited

Ia merupakan syarikat milik orang Eropah yang ditubuhkan pada tahun 1856 dan ia menjalankan urusan perdagangan di Sarawak dengan dunia luar dan turut mengendalikan aktiviti pengangkutan laut.

Image result for the borneo company
Image Credits: themaidensgiedd.blogspot.my
Penubuhan Jabatan Laut Sarawak bermula sebagai The Shipping Office pada tahun 1873 dan ia menjadi bukti kewujudan pengangkutan air di Sarawak secara rasmi walaupun sistem pengangkutan ini sudah lama digunakan. Pada awal penubuhan, bilangan kakitangan cuma 10 orang dan diketuai seorang pegawai British.

Hal ehwal perhubungan dengan dunia luar pula diuruskan oleh Post, Shipping & Customs Department pada awal pentadbiran Sarawak dan pentadbiran pejabat terbabit sentiasa berbeza. Pada 1874, The Shipping Office akhirnya memiliki pejabat sendiri dan diletakkan di bangunan The Public Office. Selain pejabat The Shipping Office, ia juga menempatkan beberapa pejabat kerajaan lain dan pernah dijadikan Mahkamah Tinggi.

Selepas tahun 1922, satu perintah baru dikeluarkan iaitu The Shipping Office bekerjasama dnegan Trade and Customes Department Sarawak untuk urusan hal ehwal perdagangan. Perintah baru ini dikeluarkan sesuai dengan kepentingan jalan laut dan fungsi utama pengangkutan air dalam urusan perdagangan di Sarawak. Seterusnya, The Shipping Office (turut dikenali sebagai The Marine Department) berpindah ke bangunan Godown No.6 di Main Bazaar (sekarang tebingan Kuching) dan pada Oktober 1930, Jabatan Laut Sarawak dipindahkan ke bangunan The Custome House yang juga terletak di Main Bazaar. Kemudian, Jabatan Laut Sarawak dipindahkan sekali lagi untuk projek pembangunan Bandaraya Kuching dan pada awal tahun 1988, Jabatan Laut Sarawak beroperasi di Tanah Putih, Pending.

Sejarah Penubuhan Sarawak Steamship Company

Image result for sarawak steamship company
Image Credits: sarawaktourism.com
Sarawak Steamship Company merupakan syarikat perkapalan komersial pertama di Sarawak dan ia ditubuhkan pada 1 Julai 1875 oleh Straits Steamship Company Limited yang berpangkalan di Singapura. Peranan Jabatan Laut Sarawak diperluas dan berubah sejajar dengan perkembangan semasa. Antaranya, tanggungjawab Shipping Master atau Harbour Master terhadap soal-soal berkaitan dengan kapal perdagangan telah diperluas kepada hal ehwal keselamatan membabitkan kapal-kapal tempatan, bot kecil dan perahu penambang serta kebajikan anak-anak kapal tempatan.
Peraturan sijil pelepasan pelabuhan yang dicadangkan pada 1872 dikuatkuasakan pada tahun 1920 dan dikenali sebagai Aturan 1920. Ia merupakan sistem pemeriksaan kapal keluar masuk ke dalam perairan Sarawak sebelum memperolehi sijil pelepasan pelabuhan. Peraturan dan undang-undang awal itu juga meliputi Aturan Post Office, Aturan Pemeriksaan Kapal-kapal kecil, Aturan Kapal-kapal Ikan dan beberapa aturan lagi yang melibatkan aktiviti perkapalan laut. Sejak dari awal tahun 1958 iaitu melalui peraturan The British Registry, setiap kapal di Sarawak perlu berdaftar dengan Jabatan Laut Sarawak dan kapal-kapal tersebut akan menjalani pemeriksaan setiap tahun sebelum sijil keselamatan dikeluarkan.

Pada tahun 1942, sijil pengiktirafan pelaut telah diperkenalkan bagi mengawal bilangan anak-anak tempatan yang menjadi pelaut. Kesatuan pekerja Jabatan Laut Sarawak ditubuhkan pada tahun 1963. Ia berperanan untuk menjaga kebajikan sosial anak-anak kapal dan memberikan penerangan mengenai perancangan yang dilaksanakan oleh Jabatan Laut Sarawak. Apa yang menariknya, rekod Jabatan Laut Sarawak menunjukkan pelepasan pelabuhan yang dikeluarkan oleh The Shipping Office sebelum Perang Dunia ke-2 dan selepasnya menggunakan tulisan Jawi.

Fakta-fakta Lain Mengenai Sejarah Perkapalan di Sarawak
  • Encik Awang Mantali bin Awang Bujanh merupakan pemegang pertama sijil pelaut dan pernah bekerja di atas kapal milik Sarawak Steamship Company.
  • Kapal Sri Harum Muda antara kapal layar tradisional yang pernah beroperasi di perairan Sarawak pada sekitar tahun 1950-an.
  • Sijil perahu penambang terawal yang pernah dikeluarkan ialah pada tahun 1951 iaitu lesen dikeluarkan kepada Encik Mail Bin Daud.
  • Penggunaan kapal kecil bermula di Sungai Rajang pada tahun 1910, diperkenalkan oleh seorang mubaligh Kristian dari Pennsylvania (USA) iaitu Rev.James Hoover.
  • Perkhidmatan bot ekspress bermula pada awal tahun 1960.
  • Selepas penubuhan Sarawak Steamship Company, beberapa syarikat perkapalan ditubuhkan seperti The Hua Siang Steamship Company, The Borneo Company, South East Asia Shipping Sdn.Bhd. dan Messrs Central Shipping Company.
  • Antara kapal dagang dan penumpang yang dikenali penduduk tempatan pada awal tahun 1950-an ialah  M.V Tambali, M.V Ong Tiang Swee, S.S Meluan, M.V Dido, M.V Rejang, M.V Rajah Mas dan M.V Pulau Kidjang.
  • Kapal A.V Rulla merupakan kapal terawal milik Sarawak Steamship Company dan berperanan sebagai kapal kargo/penumpang.
  • S.S Marudu milik Straits Steamship Company menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari Kuching ke Miri dan juga North Borneo (sekarang Sabah).
  • The Hua Siang Steamship Company mempunyai 2 buah kapal kargo/penumpang iaitu M.V Hua Li dan M.V Hua Heng.
  • Antara kapal milik keluarga Brooke yang terkenal selain Royalist ialah H.H.S.Y Aline, H.H.S.Y Zahora, H.H.S.Y Maimuna dan H.H.S.Y Shorna. Kapal Zahora kini dikenali sebagai Seri Sarawak dan berkhidmat sebagai kapal kerajaan.
  • Kapal M.V Auby, M.V Rajah Mas (nama asalnya M.V Rejang), dan M.V Pulau Kidjang merupakan kapal kargo/penumpang yang popular di Sarawak suatu masa dahulu.


@theMaGi2018
ruj:
Tenggelamnya Pulau Kidjang| Sarawak Suatu Masa Dahulu| Brooketrust.org| Britishpathe.com| White Rajah by Nigel Barley

Sunday, 18 February 2018

Book Session: Tenggelamnya Pulau Kidjang

Hello Februari. Bulan cinta, kata orang. Tapi bagi aku, bulan ni bulan aku jatuh sakit. Gastrik la, sakit perut la, cherry-berry la, migrain la. Memandangkan aku tak boleh nak elak sakit, anggap je lah sakit itu penghapus dosa. Okay, back to the topic. Sepanjang bulan 2 ni, aku belum update satu entri pun. Kekangan kerja, plus tengah berusaha nak siapkan manuskrip baru (sebab aku nak cuba nasib dalam sayembara tahun ni). Bila sebut pasal manuskrip, buku kedua aku tak lama lagi nak diterbitkan. Dan semestinya, aku dan buku ni berpisah tiada. Jadi, bila sebut pasal buku, aku nak kongsi pembacaan pertama untuk tahun ni. Buku Tenggelamnya Pulau Kidjang karya Zaliha Hassan ni bukan buku baru, buku ni diterbitkan oleh Yayasan Pulau Kidjang pada tahun 2004 (masa tu aku baru Tingkatan 4) dan adik aku beli dekat kedai buku Sinar Suci bulan lepas, harga RM5 je. 

Buku ni dan buku Tenggelamnya Kapal Vander Wijck tu sebenarnya tak ada kaitan langsung, tajuk je lebih kurang tapi berkongsi kisah yang sama- kisah kapal yang tenggelam. Dan kisah buku Tenggelamnya Pulau Kidjang ni bukan cerita fiksyen tapi kejadian ni memang benar-benar berlaku. Dalam masa yang sama, mungkin nasib Pulau Kidjang tak sesadis kisah Titanic tapi tragedi ni juga antara kes kemalangan yang dahsyat pada era 70-an di Sarawak, meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan sebahagian mangsa terkorban gagal dijumpai sehingga sekarang.

Sejarah Pulau Kidjang

Menerusi entri ni, aku nak kongsikan sedikit sejarah Pulau Kidjang. Pulau Kidjang ialah nama sebuah kapal, bukan nama pulau. Tak menarik kalau aku tulis macam karangan, jadi aku singkatkan macam biodata.

Nama: Pulau Kidjang
Tempoh beroperasi di perairan Sarawak: pertengahan tahun 60-an hingga awal tahun 70-an. 
Tahun dibina: 1936
Tempat dibina: Hong Kong
Tempat didaftar: Pelabuhan Singapura
No. pendaftaran asal: 159456 (sijil pendaftaran asal dikeluarkan oleh kerajaan Singapura, sah sehingga 10 Mei 1973)
No. pendaftaran baru: 325028 (Jabatan Laut Sarawak)
Ukuran kapal: 7.19 meter panjang, 7.92 meter lebar
Peranan: sebagai kapal kargo dan kapal penumpang
Kos bayaran penumpang: RM10-RM12
Ruang dalaman kapal: 25 buah kabin untuk penumpang (kabin juragan di tingkat atas kapal bersebelahan dengan rumah kemudi, 5 buah kabin di dek utama, sebuah kabin kelas pertama dan 18 buah kabin di dek bawah), bilik enjin, palka kargo.
Jenis kapal: 'tender' dan Elliptical Stern (rekabentuk buritan yang rungkup dan terjuntai)
Pemilik sebelum: Kee Lee Shipping Co. Ltd Singapura
Pemilik selepas: Syarikat Perkapalan Messrs Central Shipping Sdn.Bhd (Main Bazaar, Kuching)
Harga ketika dibeli: RM 320 000.00
Usia ketika dibeli: 28 tahun (tahun 1964)

Rentetan Tragedi Pulau Kidjang 

  • Cuti umum pada 25 Disember 1973 bersempena dengan perayaan Krismas- Jabatan Laut dan Kastam ditutup selama 2 hari. Namun, tiket kapal Pulau Kidjang dijual seperti biasa untuk pelayaran 26 Disember 1973.
  • Tiada laporan perubahan cuaca, angin dan ombak dalam tempoh 48 jam, MV Pulau Kidjang meneruskan pelayaran seperti biasa. Senarai nama penumpang diserahkan ke Bhgn. Pemeriksaan Jabatan Kastam.
  • Ramalan cuaca dari Lapangan Terbang Kuching melaporkan keadaan berawan dan cerah pada pada 26-27 Disember 1973. Amaran bahaya hanya dikeluarkan oleh Jabatan Laut Sarawak kira-kira 10 jam selepas tragedi MV Pulau Kidjang.
  • Pada 27 Disember, air pasang setinggi 4.32 meter, memasuki kawasan kuala Rejang dengan arus deras.
  • MV Pulau Kidjang berlayar pada kelajuan 7 knot sejam. Juragan kapal mengemudi kapal berpandukan kedudukan boya lampu hijau yang terletak di sebelah selatan terus menuju ke timur. Kemudian, juragan menyedari perubahan cuaca dan angin mula bertiup kencang.
  • Keadaan berombak dan tiupan angin kencang menyebabkan Pulau Kidjang tersasar dari beting selatan lalu menuju ke arah tanjung. Kawasan air cetek diikuti rempuhan ombak besar menyebabkan kapal menjadi tidak stabil. Lebih 200 tan air laut melimpah masuk ke dalam kapal dan mula disedari penumpang seawal jam 11 malam pada 26 Disember 1973. Keadaan berterusan sehingga kapal karam keesokan harinya.
  • Tragedi tersebut diketahui pada tengah hari 27 Disember 1973.

Senarai Anak Kapal yang Meninggal Dunia
  1. Rubi bin Jais- ketua pegawai krew
  2. Goh Jam Kiam- pengurus kapal
  3. Siek Mo Huat- kerani
  4. Yusuff ak Goya- kelasi
  5. George Lenon ak Henry Duek- kelasi
  6. Mohiddin bin Morshidi- kelasi
  7. Semeon bin Aron- kelasi
  8. Lie Ann Moh- tukang masak
  9. Liong Teng Khen- tukang masak
  10. Ulis bin Mataha- tukang masak
  11. Lau Ing Kui- tidak diketahui
  12. Tnay Khiang Hong- pekerja am sambilan/pemunggah barang.

Senarai Penumpang Meninggal Dunia dan Mayat Ditemui



Senarai Penumpang Meninggal Dunia dan Mayat Tidak Ditemui


Menerusi buku ni, ada banyak lampiran gambar mangsa terkorban. Tapi aku tak sampai hati nak upload sebab mangsa tu semuanya dah tak ada. Aku rasa macam tak sesuai tunjuk keadaan orang yang jadi mangsa tragedi kapal tenggelam. Buku ada banyak info tambahan lain mengenai sejarah perkapalan di Sarawak, sistem pengangkutan air dan kisah-kisah lain mengenai Pulau Kidjang dari sudut ingatan juragan kapal dan penumpang yang terselamat. Bagi sesiapa yang nak tahu tentang sejarah hitam Pulau Kidjang, aku suggest buku ni dalam bucket list. Kadang-kadang, kita perlu baca semula sejarah sebagai peringatan di masa hadapan.

@theMaGi2018

Tuesday, 28 March 2017

Lane Building Kuching

Image result for lane building kuching
Credits: Tripadvisor
Lane Building merupakan bangunan lama abad ke-19 yang kini menjadi hub perniagaan peniaga Cina seperti kopitiam, kedai makan, kedai pastri dan juga kraftangan. Lane Building terletak tidak jauh dari pusat membeli-belah Plaza Merdeka yang beroperasi pada tahun 2012 dan juga bersebelahan dengan deretan rumah kedai di Kai Joo Lane.

Kewujudan Lane Building di Kai Joo Lane mempunyai cerita tersendiri kerana Kai Joo Lane berada di laluan jaringan seperti Ban Hock Lane dan Jalan Court House. Ketiga-tiga laluan tersebut saling berhubung dengan India Street yang beroperasi selama 160 tahun. Malah Kai Joo Lane sendiri wujud pada era Brooke.

Lane Building

Lane Building merupakan bekas pejabat untuk sebuah syarikat guaman yang direka oleh pereka tempatan, Yap Han Boon di Kai Joo Lane. Struktur Lane Building dibina dengan gaya klasik seperti jubin bumbung kaca yang berwarna hijau jed, tingkap kecil kayu belian, dan jendela gaya pengatup Cina. Tidak banyak maklumat spesifik mengenai Lane Building itu sendiri.

Kai Joo Lane

Kai Joo Lane mendapat nama dari seorang peniaga Teochew yang mula-mula membuka rumah kedai di laluan tersebut. Beliau, Teo Kai Joo (1870-1924) membuka 32 buah rumah kedai pada 1923. Laluan tersebut diberi nama sebagai Kai Joo Lane oleh Charles Brooke. Terdapat anekdot menyatakan bahawa Charles Brooke berkawan baik dengan Teo Kai Joo dan berkunjung ke kedai peniaga tersebut jika ada masa terluang. 

Walaupun Charles Brooke menamakan laluan tersebut sebagai Kai Joo Lane, ia dikenali sebagai 'sar lee hung' dalam dialek Teochew dan Hokkien yang bermaksud atap zink- merujuk kepada rumah kedai yang didirikan dengan batu bata berwarna coklat kemerahan dan atap zink.

Kemudian, ia mendapat gelaran baru iaitu 'kua ca hung' yang bermaksud jalan keranda kerana perniagaan membuat keranda beroperasi di laluan tersebut. Nama tersebut kekal untuk beberapa ketika sehinggalah kedai keranda tersebut menamatkan operasi.

Kini, Kai Joo Lane meneruskan operasinya sebagai hub perniagaan makanan yang aktif pada sebelah malam dan Lane Building sendiri menjadi tempat penginapan yang menawarkan suasana lokaliti dan juga diselitkan dengan elemen sejarah-sesuai dengan kewujudan Lane Building di laluan bersejarah seperti Kai Joo Lane.


rujukan:

@themagi2017

Monday, 23 May 2016

Kronologi Pengembaraan Keling

Salam Mei, hari ke-23 tahun 2016. Hari ini aku mengarang entri berkenaan dengan Kronologi Pengembaraan Keling menerusi buku Jimmy Donald yang bertajuk Keling of the Raised World. Buku terbitan Fajar Bakti tahun 1991 yang dibeli dengan harga RM18.00 di kedai buku lama di Jalan Carpenter merupakan cerita lisan yang dibukukan setelah penulis melakukan perekodan cerita di bahagian Sri Aman, Cerita lisan itu dikutip dari 3 orang pencerita iaitu:

  1. Sigi anak Achng dari Nyelam
  2. Junau anak Sanggah dari Punggu Tapang
  3. Chakong dari Rapak

Kronologi Pengembaraan Keling
  1. Jemuring Gading merupakan anak sulung di dalam keluarga ketua Panggau Libau. Jemuring Gading mempunyai beberapa orang adik beradik iaitu Sang Gima, Senteba, Sentebai, Ribai dan Sabit Bekait. Apabila bapa mereka meninggal dunia, Jemuring Gading mengambilalih tugas bapanya dan membahagikan harta pusaka keluarga kepada adik-beradiknya dengan adil dan saksama.
  2. Malangnya, adik-beradik Jemuring Gading iaitu Ribai dan Sabit Bekait tidak berpuas hati dengan pengagihan harta pusaka, Ribai dan Sabit Bekait pun meninggalkan Panggau Libau dengan rasa marah.
  3. Kemudian, Ribai dan Sabit Bekait datang menyerang Panggau Libau dan berjaya membunuh abang mereka, Jemuring Gading serta adik-beradik yang lain. Semua penyokong Jemuring Gading dibunuh dan dipancung kepala. Tetapi Ribai dan Sabit Bekait memutuskan tidak mahu memenggal kepala adik-beradik mereka. Maka, Jemuring Gading disemadikan di dalam tempayan dan diletakkan di hadapan rumah panjang manakala adik-beradik yang lain dikuburkan di tempat lain. Isteri Jemuring Gading, Sang Gima, Senteba dan Sentebai tidak dibunuh kerana mereka sedang mengandung.
  4. Setelah kematian Jemuring Gading, isterinya Sekurai Mayang telah melahirkan anak lelaki yang bernama Keling. Isteri Sang Gima, Senteba dan Sentebai juga melahirkan anak lelaki iaitu Sempurai anak Sentebai, Sempungga anak Senteba dan Laja anak Sang Gima. Keempat-empat anak mereka membesar tanpa bapa.
  5. Apabila Keling dan sepupu-sepupunya meningkat remaja, Keling berharap agar ada seseorang yang boleh mengajar dan memimpin mereka menjadi lelaki yang berkemahiran. Ibu Keling mencadangkan supaya Keling pergi meminta bantuan Nenek Dukun bernama Sindon. Nenek Dukun yang asalnya berjantina lelaki telah berubah menjadi perempuan kerana kekuatan ilmu saktinya. Maka, Keling pun segera mendapatkan Nenek Dukun untuk upacara membangkitkan semula sisa Jemuring Gading yang disimpan di dalam tempayan.
  6. Setelah Nenek Dukun melakukan upacara selama 7 tahun, 7 bulan, 7 minggu dan 7 hari, sisa Jemuring Gading berjaya dibangkitkan dan kebangkitan itu menyerupai seorang lelaki tua yang berambut ganjil. Lelaki tua itu digelar sebagai Bujang Tua (Old Bachelor) dan menjadi guru yang banyak mengajar Keling dan sepupu-sepupunya cara menangkap ikan, menjerat burung, menanam padi dan memenggal kepala musuh.
  7. Apabila Keling cukup umur, Keling dijodohkan dengan Kumang si dewi kecantikan yang berasal dari Gelong Batu. Kedua-duanya bersetuju dan menunggu masa untuk disatukan. Tetapi, Makcik Sampan yang suka menjaja cerita telah memburuk-burukkan Kumang di hadapan ibu Keling dan memfitnah Keling di hadapan keluarga Kumang. Akibat perbuatan Makcik Sampan, hubungan Keling dan Kumang terputus. Keling sangat kecewa lalu pergi menjerat burung bersama sepupunya. Malangnya, Keling gagal memperoleh apa-apa dan menyebabkan ibu Keling hampa sedangkan ibu Keling sangat bangga dengan kebolehan anaknya. Akhirnya, Keling mengambil keputusan untuk pergi mengembara di dalam hutan.
  8. Setelah beberapa hari berlalu, ibu Keling berasa susah hati dan meminta bantuan Laja, Sempungga dan Sempurai pergi mencari Keling. Mereka mencari Keling selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya. Selepas puas mencari, mereka menganggap Keling mati dan membuat upacara mengenang pemergian Keling.
  9. Tanpa pengetahuan keluarga, Keling telah merantau jauh dan berdepan dengan pelbagai cabaran. Hasil pengembaraan Keling, dia telah bertemu dengan raksasa bernama Gerasi, memperoleh tangkal, azimat dan seketul berlian. Apabila Keling mengakhiri pengembaraannya, getah pokok telah melekat di kulit Keling dan Keling tampil seperti lelaki tua. Seorang anak kecil dari Gelong Batu telah menemui Keling dan membawa Keling pulang ke rumah panjang Kumang. Di sana, Keling berkawan dengan Ngelai dan memperkenalkan diri sebagai Sebungkok di hadapan ibu Ngelai.
  10. Sepanjang tinggal di Gelong Batu, Keling cuba mendekati Kumang. Keling mendapat tahu Kumang masih belum berpunya walaupun sudah lama putus tunang dengan Keling. Pada awalnya, Kumang tidak suka dengan kehadiran Keling tetapi setelah Keling berjaya menangkap ikan kegemaran Kumang, Kumang mula menerima Keling yang masih menyamar sebagai Sebungkok. Lalu, Keling mendekati Kumang pada sebelah malam dan mereka berbual di dalam gelap. Kumang menyangka Ngelai yang cuba memikatnya. Maka, Kumang meminta Ngelai menikahinya manakala Sebungkok dijodohkan dengan Lulong, kawan Kumang.
  11. Gelayan, lelaki yang menyukai Kumang merasakan Sebungkok seperti satu ancaman di Gelong Batu. Gelayan juga tidak suka Sebungkok mendekati Kumang. Maka Gelayan mengajak Sebungkok bertanding iaitu memburu, menyepak tempat penampi, membelah batang alu, melompat jauh, mendaki gunung Gelong dan membakar sungai Gelong. Sebungkok berjaya memenangi pertandingan tersebut tetapi penduduk Gelong menderita kerana tidak ada air selepas kebakaran sungai Gelong. Sebungkok pun membelah langit untuk mendapatkan air dengan tangkal yang diperoleh semasa mengembara.
  12. Selepas menggunakan tangkal tersebut, Keling mendapat alamat bahawa Sabit Bekait sedang menyiapkan tentera untuk menyerang Panggau Libau. Keling berasa susah hati.
  13. Seterusnya, Gelayan datang semula dan mencabar Sebungkok bersabung ayam. Sebungkok berjaya mengalahkan Gelayan. Menyedari kehebatan Sebungkok, Gelayan mengajak Sebungkok menyertai peperangan melawan Sabit Bekait yang sedang berkuasa di langit. Sebungkok bersetuju. Ketika Gelayan membina tangga menuju ke langit, tangga tersebut roboh dan Bujang Tua segera mencari orang yang pandai membuat tangga ke langit. Kehebatan Sebungkok berlawan dengan Gelayan telah sampai ke pengetahuan Bujang Tua dan Sebungkok disuruh membina tangga ke langit. Sebungkok berjaya dan kehebatan Sebungkok mengingatkan Bujang Tua terhadap Keling. Maka, Keling dilantik menjadi ketua dan berperang dengan pihak Sabit Bekait. Sabit Bekait tumpas.
  14. Sebungkok pulang bersama tentera sambil membawa trofi kepala musuh. Seterusnya Sebungkok menghadiri majlis di rumah panjang Gelong. Rahsia Keling yang menyamar sebagai Sebungkok akhirnya diketahui Kumang.
  15. Lulong, tunangan Keling ketika menyamar sebagai Sebungkok akhirnya menyerahkan Keling ke tangan Kumang semula. Keling dan Kumang diraikan dalam majlis pernikahan yang gilang-gemilang. Lulong pula dijodohkan dengan Laja, sepupu Keling. Keling digelar sebagai Raja Berani dan kehebatan Keling sebagai pahlawan Iban pun dikenang sehingga ke hari ini.

@themagi2016