Tuesday, 1 December 2015

Kisah Seram Sarawak- Perkampungan Bunian

Salam sejahtera, pengunjung MaGi yang disayangi. Entri ke-2 untuk hari yang sama. Berkobar rasa hati nak menulis entri ni sebab sepatutnya aku tulis untuk bulan November. Disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan maka, aku tulis untuk hari ni. Kisah seram kali ni sangat menarik (pada pendapat aku) sebab perkampungan bunian adalah sesuatu yang misteri. Walaupun ramai yang tak percaya, tempat tu memang wujud dan aku berjaya kumpulkan beberapa kisah dari beberapa sumber.

Kisah Pertama: Puteri Bunian Jatuh Hati

Kisah ini aku dapat dari cikgu aku ketika cikgu aku menuntut di salah sebuah institut perguruan di Sarawak (kalau nak tahu nama tempat tu, pergi cari sendiri). Masa cikgu aku menuntut di situ, dia kenal seorang guru pelatih lelaki yang warak dan baik hati. Tak disangka-sangka, masa guru pelatih lelaki tu menuntut di tempat tu, dia dilamar oleh seorang perempuan jelita yang jatuh hati padanya (yakni, puteri bunian). Apabila lamaran perempuan tu ditolak (ditolak dengan cara baik) kerana guru pelatih lelaki tu dah ada tunangan, perempuan tu marah dan mengugut. Takut jika terjadi apa-apa, guru pelatih itu pun pergi berubat dan akhirnya, perempuan itu pun mengalah.

Kisah Kedua: Tauke Cina di Kampung Misteri

Kisah ni aku dapat dari pakcik aku menerusi seorang tauke Cina yang pernah bekerja sebagai tukang wayang dari kampung ke kampung. Menurut tauke tersebut, suatu masa dahulu, dia berkerja sebagai tukang wayang yang menayangkan pelbagai jenis filem klasik. Ketika berlayar di atas kapal, cuaca baik berubah menjadi buruk dan tauke tersebut terpaksa mencari tempat singgah. Ditakdirkan, tauke itu terlihat sebuah kampung ketika melalui Pusa. Tanpa membuang masa, tauke itu pun berhenti di situ dan mengambil keputusan untuk membuka layar wayang untuk penduduk di tempat itu. Tak disangka-sangka, kedatangannya disambut meriah dan ramai penduduk menonton wayang di atas tanah lapang. Selepas meletakkan alatan wayang di atas meja dan menayangkan filem pilihan, tauke itu pun duduk seketika dan akhirnya tertidur. Apabila tauke itu bangun, tauke itu mendapati dirinya berada di dalam hutan, padang luas tempat penduduk berkumpul menjadi belukar dan meja yang menjadi alas alatan wayang bertukar menjadi tunggul kayu. Tauke tersebut terus cabut lari setelah menyedari apa yang berlaku.

Kisah ketiga: Hadiah Badik

Kisah ni aku dapat dari abah aku menerusi kenalan dia (aku tak kenal siapa orang tu). Dikatakan ada sebuah kapal yang mengangkut pekerja (mungkin pekerja kayu balak) terkandas di sebuah kampung yang terletak di Betong. Semasa sampai di kampung tu, mereka diterima baik oleh ketua kampung dan orang kampung pun semuanya baik-baik. Selepas keadaan cuaca kembali reda, ketua kampung menghadiahkan sebilah badik kepada mereka. Kata si ketua kampung, sekiranya berlaku apa-apa masalah semasa mencari jalan pulang, badik itu perlu dicampak ke dalam sungai. Apabila mereka berlayar semula, salah seorang anak kapal mendapati mereka berpusing-pusing di tempat yang sama untuk beberapa kali dan merasakan ada sesuatu yang tak kena. Akhirnya, mereka mengikut pesanan ketua kampung dan sebaik saja badik dibuang ke dalam sungai, mereka akhirnya melihat muara dan berjaya mencari jalan pulang.

Kisah keempat: Penduduk Kampung yang Tidak Dikenali

Kisah ni aku petik dari penceritaan orang Kampung Sepinang menerusi rancangan TV1. Kata penduduk di situ, kampung itu pada asalnya tempat perkampungan bunian. Jika bernasib baik, mereka akan bertembung dengan beberapa orang penduduk yang tidak dikenali dan berjalan sambil tunduk memandang jalan. Apa yang menakutkan ialah, kaki mereka tidak mencecah tanah dan wajah mereka sukar untuk dilihat. Jika bernasib buruk, mereka akan diganggu sehingga tersesat jalan, jalan lurus menjadi bengkok dan tidak jumpa jalan pulang. Bukan itu saja, beberapa orang penduduk kampung mendakwa, gambar yang mereka ambil di sekitar kawasan kampung itu memaparkan beberapa imej yang tidak pernah mereka lihat dan mereka mengandaikan imej itu mungkin perkampungan bunian.

Wallahu'alam.



p/s: kalau ada cerita seram/misteri yang best, boleh kongsi di kotak komen. Sekian :)
@themagi2015

No comments:

Post a Comment