Tuesday 14 January 2014

Keperibadian Rasul: Mukjizat Nabi SAW



                                                                                                                                                                                                                                                                                                             
Nabi Muhammad SAW terkenal sebagai penutup segala nabi dan mempunyai kelebihan yang banyak sebagai Nabi akhir zaman. Sebagaimana Nabi Musa a.s diberi mukjizat membelah laut, Nabi Sulaiman a.s diberi mukjizat mengawal kerajaan haiwan dan jin, Nabi Yusuf a.s diberi kebolehan mentafsir mimpi ataupun Nabi Isa a.s diberi kebolehan menyembuh dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah SWT, Nabi Muhammad diberi kebolehan yang sangat banyak yang tidak akan habis semasa hayatnya dan tidak akan habis putus sesudah wafatnya sampailah ke akhir zaman. Nabi SAW diberi kelebihan lebih banyak memandang baginda nabi dan Rasul yang diutuskan untuk menyebarkan Islam ke seluruh dunia, bukannya untuk sesetengah kaum dan setiap penduduk dunia menempuh keadaan yang berlainan (seperti demografi, bahasa, pemikiran, budaya)


Mukjizat Aqwal dan Af'al.

Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu Aqwal dan Af'al. Nabi SAW memiliki kedua-duanya dengan banyak. Mukjizat Aqwal itu memberi makna perkataan dan Af'al pula memberi makna perbuatan. Antara contoh mukjizat Aqwal ialah:

1. Tentang meluasnya kerajaan Kaum Muslimin.

Diriwayatkan oleh Thauban r.a, berkata Rasulullah SAW pernah bersabda; "Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan bumi untukku lalu aku melihat arah timurnya dan arah baratnya; dan sesungguhnya ummatku akan meluas sampai kerajaannya menurut apa saja yang telah dihimpunkan kepadaku daripadanya" (Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Pada zaman itu, Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa umatnya akan bertambah dan meluas ke seluruh dunia dan terbukti dari catatan sejarah bagaimana Islam tersebar ke seluruh tanah Arab, menular ke India, ke China, ke Nusantara malah memasuki negara-negara Barat serta negara Timur yang lain. Diyakini setiap negara kini mempunyai masjid untuk penduduk Islam.

2. Tentang Akan Adanya Beberapa Puluh Orang Nabi Palsu, di antaranya terdiri dari 4 orang perempuan.

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda; "Akan ada di kalangan ummatku para pendusta serta pembohong 27 orang, di antara mereka itu 4 orang perempuan." (Ahmad)

Pada masa kini ramai yang mendakwa diri mereka nabi terakhir dan menyebar ajaran sesat. Ternyata Nabi Muhammad sudah mengetahui perkara tersebut terlebih dahulu.

3. Tentang Akan Terjadinya Ummat Islam Mengikut Jejak Kaum Yahudi dan Nasrani.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda; "Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak langkah orang yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhabb (sejenis biawak), tentu kamu memasukinya juga." Baginda ditanya orang; "Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani?" Baginda bersabda; "Maka siapa lagi?" (Bukhari dan Muslim)

Sekarang kita sendiri sudah melihat bagaimana Yahudi dan Nasrani memanipulasi orang Islam menerusi fesyen, muzik, trend malah gaya hidup.

4. Tentang Akan Adanya Golongan di antara Ummat Muhammad yang baik perkataannya tetapi buruk perbuatannya.

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda; "Akan ada di kalangan ummatku perselisihan dan perpecahan, iaitu suatu golongan yang mengelokkan perkataan dan memburukkan perbuatan..." (Abu Daud dan Al-Hakim)

Pada masa kini, kita melihat ummat Islam berpecah, bertelingkah dan berselisih di tanah Arab. Ramai yang pandai berbicara tetapi bodoh dalam beramal dan juga perbuatan-perbuatan berkaitan dengan manusia akhir zaman.

5. Tentang Akan Adanya Banyak Jumlah Kaum Muslimin Tetapi dalam keadaan seperti buih di atas air bah.

Diriwayatkan Nabi SAW bersabda bahawa bangsa-bangsa lain akan mengerumuni orang Islam seperti mengerumun suatu hidangan yang ada di pinggan. Apabila salah seorang bertanya adakah orang Islam terlalu sikit jumlahnya? Baginda bersabda bahawa orang Islam pada hri itu banyak jumlahnya tetapi seumpama buih yang ada di atas air bah, musuh-musuh menjadi tidak takut dan hati-hati orang Islam dipenuhi oleh 'Al Wahan'. Setelah ditanya oleh salah seorang makna 'Al Wahan', baginda menjawab; "Cinta keduniaan dan benci kematian." (Abu Daud dan Baihaqi)

Jelas sekali kita melihat betapa ramai orang Islam yang di dunia tetapi hanya segelintir yang berani menentang penganiayaan terhadap saudara-saudara mereka, sebagai contoh, di Palestin. Jika semua ummat bersatu Palestin pasti bebas dari ancaman musuh. Kuantiti akhirnya tidak setimpal dengan kualiti dan berlakunya penguasaan terhadap Muslimin tetapi orang Muslimin tidak berdaya melawan kerana sikap pemimpin dan orang Islam yang leka dan terlalu tamak dengan dunia.

6. Tentang Akan Berlakunya Fitnah, di antaranya golongan yang menjual agama dengan dunia.

Menurut riwayat Nabi SAW bersabda; "Akan berlaku di hadapan hari kiamat pelbagai fitnah seperti sekeping malam hari yang gelap gelita pada hari itu seorang lelaki pada pagi hari beriman dan pada petang hari menjadi kufur; dan pada petang hari beriman dan pada pagi hari menjadi kufur; beberapa kaum akan menjual agamanya dengan benda dari dunia."  (Tirmizi)

Apa yang kita boleh kaitkan dan lihat pada masa sekarang ialah permainan dunia yang sanggup menjual agama asalkan diri dipandang tinggi, martabatnya dijulang dan dipercayai ramai. Golongan manusia seperti itu sanggup berbuat apa saja demi kesenangan diri dan tidak kisah jika perlu berpura-pura arif tentang agama jika cara itu dapat mengaburi mata orang ramai.

7. Tentang Akan Sikitnya Jumlah Kaum Muslimin yang menegakkan pimpinan Al-Quran dan Sunnah Rasul.

Diriwayat bahawa Nabi SAW pernah bersabda; "Sesungguh Islam itu pada mulanya dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing pula sebagaimana pada mulanya, maka berbahagialah bagi orang-orang yang asing." Nabi ditanya oleh sahabat; "Apakah orang-orang asing itu?" Baginda bersabda; "Mereka yang menghidupkan sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia." (Muslim dan Ibnu Majah)

Pada masa kini, ramai yang tidak mengetahu tentang sunnah Nabi kerana terlalu terikut-ikut dengan cara hidup agama lain. Pengamal sunnah menjadi sedikit dan terasing, tetapi golongan itulah yang diberkati dan bahagia.

Antara contoh mukjizat Af'al ialah:

1. Tentang Nabi SAW membelah bulan.

Kata Anas bin Malik r.a.:"Sesungguhnya ahli Mekah pernah meminta kepada Rasulullah SAW supaya memperlihatkan suatu tanda bukti kepada mereka, baginda memperlihatkan kepada mereka akan bulan terbelah dua hingga gunung Hira' itu dapat mereka lihat antara kedua belahannya itu." (Bukhari)

2. Tentang Isra' dan Mi'raj.

Menurut riwayat, setelah Nabi SAW selesai isra' dan mi'raj, baginda menceritakan pengalaman hebat itu kepada seluruh ketua Musyrikin Quraisy dan Muslimin di tengah-tengah masjid Al Haram Mekah. Pada masa itu baginda diejek-ejek dan diketawakan kerana mereka menyangka itu cerita bohong. Tetapi apabila ditanya oleh ketua Quraisy rupa Baitulmaqdis, baginda menceritakan apa yang dilihatnya kerana semasa perjalanan itu Allah SWT memperlihatkan keadaan Baitulmaqdis dan tanda-tanda yang ada padanya padahal pada sebelum itu Nabi SAW tidak pernah melihat Baitulmaqdis. (Bukhari dan Muslim)

3. Tentang Sebatang Kayu yang bersedih kerana tidak digunakan lagi oleh Nabi SAW.

Diriwayatkan bahawa sebelum Nabi SAW membuat mimbar di masjid, baginda menggunakan sebatang kayu kurma sebagai alas bersandar semasa berkhutbah. Apabila mimbar dibina, baginda tidak lagi menggunakan kayu itu. Kayu itu dikatakan telah menangis sehingga suara tangisannya didengari oleh orang ramai. Maka, datanglah baginda kepada kayu itu dan mendekatinya dan meletakkan tangan ke atas kayu itu. Kayu itu pun diam dari tangisannya. Kayu itu telah menangis kerana merasakan dirinya tidak digunakan lagi pada tiap-tiap hari Jumaat.

4. Tentang Nabi SAW mengembalikan mata yang terkeluar.

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat Nabi SAW, Qatadah bin Na'man, sebelah matanya terkeluar terkena panah dalam perang Uhud. Qatadah menemui Nabi SAW dan berkata, "Ya Rasulullah, aku mempunyai seorang isteri yang amat kucintai dan aku khuatir bahawa isteriku itu kelak akan merasa jijik melihat rupaku kerana mataku dalam keadaan seperti ini." Maka baginda pun memegang mata Qatadah dengan tangannya dan mengembalikan semula mata itu ke tempatnya semula. Menurut riwayat, mata Qatadah yang dirawat oleh baginda itu lebih terang dari mata yang satu lagi.

5. Tentang Makanan yang membaca tasbih di tangan Nabi SAW.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud r.a berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan tasbih makanan padahal ia sedang dimakan oleh Rasulullah SAW."

Menurut riwayat lain yang dilafaz dengan jelas, "Kami makan akan makanan bersama Rasulullah SAW dan kami mendengar bacaan tasbih makanan itu."

6. Tentang Daging Kambing yang beracun memberitahu kepada Nabi SAW.

Menurut Jabir bin Abdullah r.a., seorang perempuan Yahudi dari penduduk Khaibar mengirim daging kambing panggang yang dibubuh racun. Ketika Nabi SAW memakan daging itu, tulang daging kambing memberitahu baginda bahawa padanya ada racun. Maka Nabi SAW segera meludah dan memberitahu sahabatnya yang hendak turut makan daging itu bahawasanya; "Tulang ini mengkhabarkan kepadaku bahawa padanya ada racun." 

Perempuan itu kemudiannya dipanggil mengadap baginda dan apabila perempuan itu bertanya  bagaimana Nabi SAW tahu daging itu diracun, baginda bersabda, "Ia memberitahuku, bahawa ia beracun."

7. Tentang Air yang terpancar dari jari Nabi SAW.

Kata Anas bin Malik r.a.; "Pada suatu hari Nabi SAW ada di az-Zaura' (dekat Madinah), ada orang yang membawa sebuah bejana air kepada baginda lalu baginda meletakkan tangannya di dalam bejana itu. Maka memancarlah air dari celah jari-jari baginda lalu para sahabat berwudhu' dengan air itu seorang demi seorang hingga semuanya dapat berwudhu'."

Menurut riwayat, di waktu itu ada lebih kurang 80 orang.


p/s: (Salam Maulidur Rasul 2014, berselawatlah ke atas Nabi SAW. Semoga kita mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT)
@themagi2014
ruj: Keperibadian Nabi Muhammad SAW (1998: Jahabersa)|Nabi-nabi dalam AlQuran (1986: Toho Putra Semarang)

No comments:

Post a Comment